Rabu, 25 November 2015

Rebiu | Con-Damn The Corruptor – From North To South Tour 2015


Con-Damn The Corruptor – From North To South Tour 2015
CD-R ini adalah keluaran khas dari Con-Damn The Corruptor sempena mini-tour band asal Inanam, Sabah ini di Semenanjung sekitar awal April 2015 lalu. Ianya terhad kepada 100 salinan sahaja dan mengandungi 3 buah lagu; Lost of Humanity, Perasuah, dan Lost of Humanity (versi akustik yang diambil dari “Kami Penghasut” 4-way split). Saya sukakan CD-R ini. Punk jenis bawaan Con-Damn The Corruptor memang kegemaran saya. Lagi pula lagu-lagu yang dimuatkan adalah selain dari yang ada dalam “self-titled” CD mereka. Salinan saya bernombor: 86/100.
facebook.com/ConDamnTheCorruptor
reverbnation.com/condamnthecorruptor

Rebiu | Con-Damn The Corruptor – self-titled


Con-Damn The Corruptor – self-titled
Album sulung dari band punk kelahiran Sabah Con-Damn The Corruptor ini dikeluarkan secara bersama oleh Akar Press dan Broken Noise Records. Di dalamnya terkandung sejumlah 12 buah lagu, termasuklah 3 yang terakhir dirakam secara Live Acoustic dimuat sebagai bonus. Menurut pendapat saya, irama punk yang menjadi usungan Con-Damn The Corruptor begitu dekat dengan masyarakat yang rebel. Ianya mengingatkan saya band-band seperti Carburetor Dung (Malaysia) dan Marjinal (Indonesia). Sememangnya, CD ini cukup-cukup sarat dengan bangkangan dan bantahan terhadap isu-isu diskriminasi, penindasan serta ketidakadilan terutamanya di persekitaran ruang-lingkup kehidupan mereka. Punk bikinan Con-Damn The Corruptor bukan sekadar hiburan dan santai kosong. Ini punk yang dalamnya ada jiwa. Ini punk yang dimainkan dengan rasa. Con-Damn The Corruptor sesungguhnya rangkuman suara rakyat Sabah.
facebook.com/ConDamnTheCorruptor
reverbnation.com/condamnthecorruptor

Isnin, 23 November 2015

Rebiu | Krosot / Gorb – Split Tape


Krosot / Gorb – Split Tape
Gelarlah aku poser jikalau menikmati dan menghargai sesuatu karya non-metal itu satu kesalahan di bawah akta “true metal maniac”, haha. Kali ini aku nak bercakap tentang split tape yang genre-nya jatuh di bawah profil muzik elektronika. Krosot adalah pencernaan bunyian harshnoise dijana oleh dua anggota kumpulan noisegrind Dosa. Kemahiran Amir dan Madi memanipulasi bunyi dari gajet dan circuit bending menghasilkan lagu Taqiyah (side A) yang kedengaran merenjat dan menggetar bagai terkena kejutan elektrik. Gorb pula juga bukan nama baru. Air tangan saudara Jadam (gitaris Necrotic Chaos / Profane Creation) telah aku dengari sejak debut demo (1994 tak silap) berbau Techno/Industrial. Dua lagu dalam split ini (side B); Jauh Di Mata dan Abcess adalah revolusi Jadam selepas 20 tahun bereksperimentasi melalui Gorb. Lagu-lagunya seperti gubahan remix yang asyik dan mengkhayalkan hasil gunapakai software tertentu. Maaf kiranya tafsiran aku melalut dan kelaut. Aku mengulas dari kacamata seorang metalhead. Yang pasti, split tape ini eksplorasi bunyi menerusi aplikasi perkakasan dan perisian. Hanya untuk mereka yang bersedia untuk berada dalam dimensi lain. Keluaran istimewa Raung Records sempena Cassette Store Day 2015.
reverbnation.com/gorb
facebook.com/raung.rekod

Rebiu | Gelanggang Filem – Isu #7


Gelanggang Filem – Isu #7
Gelanggang Filem Fanzine pada dasarnya tiada kaitan dengan scene muzik bawahtanah Malaysia. Akan tetapi, saya mengikuti perkembangan dan memiliki kesemua isu terbitan Gelanggang Filem kerana sifatnya yang DIY dan underground. Fanzine ini berkisarkan industri perfileman tempatan. Ia dikendalikan oleh seorang anak muda asal Kelantan bernama Farid bin Ahmad Saleh aka Xrantarox Farid. Beliau adalah pelajar Diploma Teknologi Kreatif (Skrin), Fakulti Filem, Teater dan Animasi di UiTM Kampus Puncak Perdana. Kelebihan yang ada pada beliau, berserta minat terhadap muzik underground diadun dan diselaraskan sebaiknya dalam penghasilan Gelanggang Filem Fanzine. Ulasan ini akan mengambil beberapa mukasurat kiranya saya mahu bermula dari isu pertama, justeru itu fikir saya lebih baik terus mengambil isu terakhir (setakat ini) iaitu #7 yang kebetulan juga sebuah edisi istimewa yang ada hubungannya dengan scene muzik Oi! dan skinhead iaitu filem Ophilia. Isu #7 ini adalah yang paling nipis (hanya 40 halaman mukasurat) dan buat kali pertamanya tampil dengan kulit luar tanpa warna berbanding isu-isu terdahulu. Ophilia yang diwar-warkan sebagai filem skinhead pertama di negara ini diberi highlight menyeluruh; bermula dengan wawancara khas bersama pengarahnya Raja Mukriz, temubual berasingan bersama dua pelakonnya; Pekin Ibrahim dan Kodi Rasheed, catatan penulis cerita Lyn dan diakhiri sebuah rebiu panjang lebar 3 mukasurat ditulis saudara Farid sendiri. Perkara lain yang mengisi isu kali ini hanyalah sebuah interbiu bersama Nam Ron yang berbicara tentang Teater Kompilasi-nya. Di akhir ulasan ini, bukan sahaja berkaitan isu #7 ini tetapi merangkumi semua isu-isu terdahulu, Gelanggang Filem adalah sebuah penerbitan serius dalam cara penyampaian yang santai dan bersahaja. Di sini tiada ruang untuk karut-marut gosip-mosip, cerai-berai artis dan hidup mewah selebriti. Teruskan karyamu Farid.



Ahad, 22 November 2015

Rebiu | John Macbaren – self-titled


John Macbaren – self-titled
Hardcore Punk yang dimainkan dalam tempo yang pantas dan singkat. Berbekalkan 6 buah lagu, EP ini tamat dalam masa hanya 5 minit. Band-band seperti Black Flags, Dead Kennedy’s, Minor Threat dan seumpamanya mungkin sebahagian dari asas pembentukan muzik John Macbaren, tetapi saya lebih selesa mentafsir band ini mengikut apa yang saya dengari: CERGAS dan CERDAS! Cergas atas sebab kelajuan dan kecepatan yang mereka persembahkan. Cerdas atas dasar kebijaksanaan olahan dan susunan lagu yang dipamirkan. Tambah menarik, John Macbaren turut menyuntik sedikit elemen ‘harshnoise’ dalam muzik mereka. Kesimpulan saya, ini adalah Fastcore! Ya... fastcore yang garang dan mesejnya tepat ke muka anda!!
facebook.com/johnmacbaren

Rebiu | Misgive – Short Skirts, Shot Guns


Misgive – Short Skirts, Shot Guns
Kenapa? Tak percaya ke? Yeah.. ini Misgive. All-female punk rock from Kota Kinabalu, Sabah. “Short Skirts, Shot Guns” EP mempertaruhkan 5 buah lagu punk yang rangup, enak dan tidak henti-henti mengajak pendengar berlari serta menari bersama (alunan iramanya). Musically inspired by bands like Bad Religion, Rancid, NOFX.. you name it! Sesambil asyik melayani lagu demi lagu dalam EP ini, anda pasti juga beberapa kali tertelan air liur membelek gambar awek-awek cun yang menganggotai kumpulan ini. Apapun, jangan diperlekehkan mereka hanya kerana mereka wanita. Misgive hebat dan berbakat! Bulih bah kalau kau!
facebook.com/Misgive.Official

Jumaat, 20 November 2015

Pengenalan – UP THE PUNX


Blog ini dikendalikan oleh Pyan Nathias, seorang metalhead yang turut meminati dan menghargai scene punkrock, hardcore, elektronik dan lain-lain muzik underground non-metal di tanahair tercinta ini. Bagi yang tidak mengenali Pyan Nathias, saya adalah editor NATHIAS fanzine dan media online EKSTRIM. Tujuan asal saya mengujudkan blog ini hanyalah untuk arkib atau dokumentasi segala minat dan penulisan saya terhadap bahan-bahan yang selain daripada muzik metal yang menjadi keutamaan saya. Ia mungkin jika sesuai saya sumbangkan kepada beberapa fanzine tempatan yang menyokong gerakan muzik punk/hardcore atau jika ada keizinan, kemungkinan juga saya realisasikan sebuah fanzine saya sendiri. Info: facebook.com/piankvlt

NATHIAS FANZINE
facebook.com/nathiasmag
nathiasmag.blogspot.com

EKSTRIM - Media Muzik Metal Malaysia
ekstrim-info.blogspot.com
facebook.com/ekstriminfo

BLAZT PROMOTION
facebook.com/blaztpromotion
blaztpromotion.blogspot.com

DEATHSALES DISTRIBUTION
facebook.com/deathsales
death-sales.blogspot.com

Foto: Senja di Sutera Harbour / Tanjung Aru, Kota Kinabalu. 17 November 2015.