Khamis, 31 Disember 2015

Rebiu | The Bollocks – Revival


The Bollocks – Revival
Sebolehnya saya tidak mahu komen panjang tentang The Bollocks. Ia sebuah nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Mereka antara yang terawal merintis laluan punk dalam scene muzik underground tempatan. Dan mereka antara yang terbaik untuk dijadikan rujukan oleh generasi punk hari ini. “Revival” asalnya dalam format cakera padat keluaran Life On The Edge Records (2008) dan yang direbiu ini adalah rilisan semula oleh Basement Records (2014) dalam bentuk pita audio. Album ini, menurut pendapat saya, lebih keras dan berat muziknya, bahkan lirik-liriknya juga berbanding “Revolution” (Cass.EP 1997). Istimewanya, “Revival” memuatkan rakaman semula lagu lama The Bollocks; Police Federation (1994) dan No More War (1995) serta saduran Tak Mau Lagi (lagu asal Mass Separation). Dapatkan segera tape ini sementara stok masih ada. 
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434

Isnin, 21 Disember 2015

Rebiu | V/A – A Sound From The Northern Sky Volume 1


V/A – A Sound From The Northern Sky Volume 1
Ini sebuah kompilasi di mana saya berasa cukup selesa untuk menikmati pelbagai genre muzik pada satu masa. Menariknya juga, ini usaha baik Raung Records menghimpunkan band-band asal Perlis dalam satu dokumentasi muzik bawahtanah. Savage membuka tirai bagaikan gempita metal yang berat dan padat. Saya kemudiannya hanyut dalam irama melankolik Moi Last Von yang memilukan. Merenggah menjulang tinggi semangat progresif mereka. Mengakhiri Side A, Ahmad Raimi umpama terapi jiwa dalam suntikan ambient ciptaannya. Beralih ke Side B, seni avant-garde metal Au Revoir sememangnya sentiasa berada pada kualitinya yang tersendiri, tanpa pencabar dan itu pasti. Villains A. City menghadirkan sesuatu yang menghiburkan dalam nuansa rock alternatif. Catagaxian cukup padu dan laju tanpa meninggalkan resepi melodik. Krosot menutup edisi pertama kompilasi ini dengan cukup sempurna melalui kebingitan Noise buatan mereka. Kompilasi ini cukup berbaloi untuk dimiliki cuma mungkin lebih baik jika ada info ringkas setiap band yang ditampilkan. Saya juga sarankan band seperti Dosa dan Wreckär berada dalam radar Raung Records untuk keluaran Volume 2 akan datang.

Rebiu | Klabu Asap – self-titled


Klabu Asap – self-titled
Punk yang diwarnai kepelbagaian dan kekayaan melodi manis, mesra dan ceria adalah sandaran utama Klabu Asap, sebuah band 3-piece dari Johor Bahru. Kelima-lima lagu dalam EP ini begitu menghiburkan, mudah dihadam, menambat hati pendengar turut serta menyanyikan setiap bait senikata yang didendangkan. Botak dan rakan-rakannya memiliki kemampuan yang baik dalam menghasilkan struktur riff dan susunan lagu yang menarik, kemas dan menangkap. Pujian juga perlu diberi terhadap penggunaan sepenuhnya bahasa ibunda dalam penulisan lirik band ini. Bermotifkan cinta, persahabatan dan kerinduan, objektif mesej yang disampaikan lebih senang difahami dan diterima akal. Kualiti rakaman EP ini memang bagus dan memuaskan (hasil kerja rakaman di Studio46 - Nyaring Studio). Saya kira Klabu Asap tiada masalah untuk melangkah lebih jauh. Mereka mempunyai peluang untuk berada di arus perdana sepertimana Flop Poppy mahupun Bunkface seandainya mereka mahu. 
facebook.com/klabuasapband

Rabu, 2 Disember 2015

Interbiu | KROSOT : 26.11.2015


KROSOT adalah satu nama yang telah begitu lama berkecimpung dalam pembikinan muzik elektronik/eksperimental Harsh Noise. Semenjak 90an lagi projek pemanipulasi bunyi bising ini mengembangkan nama mereka dengan pelbagai rilisan, samada fizikal mahupun digital. KROSOT dianggotai oleh individu yang bukan asing dalam scene underground tempatan. Individu yang dimaksudkan adalah Mack dan Maddy, kedua-duanya bermain dalam band noisegrind DOSA. Berdasarkan split tape terbaharu mereka bersama GORB yang begitu menarik perhatian saya, maka dianjurkan sebuah interbiu di mana hasilnya seperti berikut...

[01] Pasti ramai yang tidak mengenali Krosot. Bila dan bagaimana ianya bermula? Siapa yang berada di sebalik projek ini? Bagaimana keadaannya Krosot hari ini berbanding fasa awal ia ditubuhkan?

Mack: Segalanya bermula pada sekitar penghujung 90an di mana saya di mana waktu itu saya banyak membuat tape trade dan salah seorang penpal saya dari Australia telah menghantar sekeping tape yang dipenuhi noise. Pada mulanya saya tidak begitu serius dengan tape tersebut, tapi lama-kelamaan saya dapati muzik tersebut melekat dalam jiwa saya. Bermula pada saat tersebut saya berjinak-jinak untuk membuat muzik noise, saya bermula dengan akustik noise, sebab ingin mencari kelainan sedikit dari yang saya dengar sebelum ini. Bermula pada itu, satu demi satu Krosot dipinang untuk pelbagai rilisan oleh label-label. Pada mulanya saya seorang sahaja sehinggalah kini Maddy join bersama. Sebelum tu memang ada saya jemput rakan-rakan seperti Fazri untuk tolong time live show. Krosot tetap sama sahaja dari mula sehingga kini, cuma alatan yang digunakan sahaja berbeza sedikit. Sekarang lebih banyak cuba untuk hand-made dan pateri  alatan-alatan sendiri.

[02] Bagaimana huraian tepat profil muzik (atau mungkin lebih sesuai jika diguna terma “bunyi”) noise dalam konteks Krosot?

Mack: Noise Manipulation.

[03] Merujuk kepada lagu “Taqiyah” dalam split tape bersama Gorb, boleh diperjelaskan bagaimana Krosot menghasilkannya? Apakah kaedah ataupun peralatan yang digunakan untuk mendapatkan bunyian sebegitu?

Mack: Kebanyakan lagu yang dihasilkan adalah spontan. Tak ada sangat planning bagai. Sebab kami nak rakam emosi yang cuba kami gambarkan masa tengah berdepan dengan alatan-alatan yang kami gunakan untuk hasilkan bunyi. Cuma bila dah rekod, kami akan dengar dan touch up mana-mana part yang kami rasa perlu atau tinggalkan as is. Untuk rekoding tersebut kami menggunakan beberapa alatan buatan sendiri dan juga beberapa efek pedal untuk menambah perisa. Ianya disambung ke mixer hasil buatan tangan Maddy dan seterusnya ke tape deck.

[04] Tanpa suara mahupun senikata, dengan hanya bunyian membingit dan tidak jelas motifnya di telinga kebanyakan, bagaimana Krosot mahu menghubungkaitkan dengan mesej yang hendak disampaikan, maksud saya apa yang berselindung di sebalik setiap judul yang diberi?

Mack: Sebenarnya konsep kami bukanlah asing sangat pun. Ia sama macam konsep instrumental. Hanya lagu tanpa menyanyi. Cuma bezanya yang kami buat adalah pencemaran bunyi atau bunyi bising. Sebenarnya kita secara sedar atau tak dikelilingi oleh bunyi bising. Berbalik kepada apa yang saya ungkapkan di atas, apa yang terakam adalah emosi dan tenaga yang kami cuba ekpresikan mengenai sesuatu perkara yang ingin di sampaikan. Mungkin agak sukar untuk didengar atau dihadam oleh telinga sesetengah mereka yang belum “sampai”. Ada jugak kawan saya bereksperimen dengan rilisan tape dan cd KROSOT dengan terbalikkan tali tape kaset serta memainkan cd menggunakan turntable. Menurut beliau, mesej yang disampaikan amat jelas kedengaran jika berbuat begitu. Ada juga mungkin boleh mencuba.

Maddy: Sebenarnya kepuasan adalah matlamat utama di mana kami membina alatan sendiri dan dengan memperdengarkan hasil  bunyian yang kami record mahupun secara persembahan live. Jadi pendengar boleh berimaginasi sendiri dengan bunyi-bunyian tersebut dan ianya bebas.

[05] Krosot sebenarnya tanpa pengetahuan ramai telah begitu banyak mengeluarkan produk. Puluhan rilisan mengisi senarai diskografi Krosot. Ceritakan antara rilisan-rilisan terpenting dalam sejarah Krosot?

Mack: Semua penting sebab semua adalah dokumentasi sejarah projek ini. 

[06] Bagaimana persembahan “live” Krosot dapat didefinasikan?

Mack: Kaku tapi bising.

Maddy: Saya cuba untuk menggerak-gerakan badan mengikut alunan dan lantunan hasil bunyian bising.

[07] Bagaimana pula suasana atau scene Harsh Noise / HNW di negara kita Malaysia?

Mack: Itu saya kurang arif. Maafkan saya.

Maddy: Saya lihat semakin banyak penglibatan band/individu yang mula menghasilkan noise. Ada juga yang menganjurkan acara seperti Noise Fest dan sebagainya, jadi ini sesuatu yang sangat bagus.

[08] Saya dimaklumkan label Raung Records bakal mengeluarkan kompilasi projek/band Noise tempatan. Berikan maklumat tentang itu?

Maddy: Ya. Dalam perancangan di mana saya cuba kumpulkan sebanyak mungkin local band/individu yang terlibat dengan noise dan akan keluarkan sebuah kompilasi. Jika ada yang berminat boleh contact saya di facebook.com/raung.rekod.

[09] Apakah rilisan-rilisan terbaharu serta perancangan akan datang dari kem Krosot?

Mack: Membina lebih banyak alatan sendiri serta menguji tahap ketahanan alatan tersebut agar ianya tidak hanya boleh pakai sekali sahaja. Juga merakam emosi dengan memanipulasikan bunyi bila ada masa dan bila rasa nak rakam.

Maddy: Rilisan terbaru tengah planning untuk  e.p. cassette dan yang terdekat saudara Rahman (circuitrip) dari Singapura akan mengeluarkan sebuah  kompilasi noise dan kami juga tengah mencari bahan-bahan buangan seperti mainan berbunyi dan meneliti cuicuit diagram untuk membuat alatan baru.

[10] Terima kasih kerana sudi memberi respon kepada interbiu ini. Ada apa-apa yang hendak diperkata sebagai penutup temubual?

Mack: Terima kasih.

Maddy: Terima kasih saudara Pyan atas interview ini.

Terima kasih juga kepada Mack dan Maddy yang sudi meluangkan masa untuk bersama dalam sessi interbiu ini. Selamat maju jaya diucapkan kepada KROSOT. Semoga karya-karya yang dihasilkan dapat diterima ramai terutamanya di tanahair sendiri di mana scene muzik elektronik / eksprerimental sebegini agak kecil dan terpinggir. Kenali KROSOT di krosotofficial.blogspot.my atau hubungi xmackx@email.com untuk sebarang maklumat.
– Interbiu oleh Pyan Nathias (26/11/2015)