Isnin, 21 Disember 2015

Rebiu | V/A – A Sound From The Northern Sky Volume 1


V/A – A Sound From The Northern Sky Volume 1
Ini sebuah kompilasi di mana saya berasa cukup selesa untuk menikmati pelbagai genre muzik pada satu masa. Menariknya juga, ini usaha baik Raung Records menghimpunkan band-band asal Perlis dalam satu dokumentasi muzik bawahtanah. Savage membuka tirai bagaikan gempita metal yang berat dan padat. Saya kemudiannya hanyut dalam irama melankolik Moi Last Von yang memilukan. Merenggah menjulang tinggi semangat progresif mereka. Mengakhiri Side A, Ahmad Raimi umpama terapi jiwa dalam suntikan ambient ciptaannya. Beralih ke Side B, seni avant-garde metal Au Revoir sememangnya sentiasa berada pada kualitinya yang tersendiri, tanpa pencabar dan itu pasti. Villains A. City menghadirkan sesuatu yang menghiburkan dalam nuansa rock alternatif. Catagaxian cukup padu dan laju tanpa meninggalkan resepi melodik. Krosot menutup edisi pertama kompilasi ini dengan cukup sempurna melalui kebingitan Noise buatan mereka. Kompilasi ini cukup berbaloi untuk dimiliki cuma mungkin lebih baik jika ada info ringkas setiap band yang ditampilkan. Saya juga sarankan band seperti Dosa dan Wreckär berada dalam radar Raung Records untuk keluaran Volume 2 akan datang.