Rabu, 13 Januari 2016

Interbiu | JOHN MACBAREN : 10.12.2015


JOHN MACBAREN adalah sebuah unit Fast Hardcore Punk dari Seremban, Negeri Sembilan. Mereka terdiri daripada Hanif (gitar), Fikri/Gaga (bass), Ameer (dram) dan Alang/Afiq (vokal). John Macbaren telahpun mengeluarkan sebuah EP mengandungi 6 lagu pada awal tahun 2015 dan mereka aktif muncul di pentas gig. Ini interbiu bersama John Macbaren.

[01] Bagaimana dengan sambutan terhadap EP John Macbaren; baik CD-R mahupun format kaset?
CD-R yang kami riliskan hanyalah 50 keping sahaja dan telah habis kesemuanya. Dan kaset pula diriliskan 200 unit dan masih lagi belum habis terjual. Sambutan rilisan yang amat memuaskan untuk kami dan terima kasih kerana support dan membeli.

[02] Bagi yang tidak mengenali John Macbaren, cuba kalian ceritakan sedikit tentang bila dan bagaimana band ini bermula? Siapakah yang menganggotai band ini?
Kami hanyalah sekumpulan rakan dari Seremban yang suka berkongsi idea mengenai muzik dan perkara yang berlaku di dalam kehidupan harian kami. Dan di masa lapang kami banyak meluangkan masa di studio jamming. Sekitar awal 2012 John Macbaren telah menjinakkan diri dalam scene hardcore/punk. Line-up asal adalah Nazif (Guitar), Ameer (Drum), Alang (Vocal) dan Fikri (Bass). Selepas bermain 3 gig, Nazif menarik diri dari band kerana ada hal peribadi. Kemudian Hanif menggantikan tempat Nazif sebagai gitaris band John Macbaren.

[03] Mengapa band ini dinamakan John Macbaren? Siapa atau apakah di sebalik nama John Macbaren tersebut?
Datangnya dari nama rokok sebenarnya. Ada bandmate kami yang menghisap rokok jenama John pada masa tu and ada yang hisap tembakau Macbaren. So jadilah nama John Macbaren.

[04] Hardcore/Punk mungkin hanyalah asas atau akar muzik John Macbaren tetapi dapatkah kalian perjelaskan lebih lanjut apa definasi muzik John Macbaren dalam skop kalian sendiri?
Itu terpulang pada pendengar untuk melabelkan kami dalam genre apa pun kerana pendapat dan citarasa masing-masing berbeza. Kami lebih berminat dalam kebebasan menulis lagu. Tapi untuk diceritakan, John Macbaren pada asalnya adalah sebuah band punk rock yang berinfluencekan NOFX, Minor Threat. Kemudian kami mula mencuba membuat lagu yang lebih laju tapi mengekalkan beat punkrock dan hardcore punk. 

[05] Apakah inspirasi mahupun sumber rujukan kalian dalam penciptaan muzik dan lirik?
Inspirasi lirik kami banyak diinspirasikan dari band-band hardcore punk yang lama dulu. Inspirasi muzik pula berasal dari band Minor Threat. Tetapi disebabkan experimentasi, idea, dan influences yang dikongsi oleh setiap ahli band berbeza seperti (old-school hardcore punk/metal/grindcore) telah menjadikan kami sebagai John Macbaren.

[06] Boleh kalian simpulkan apakah tema atau mesej yang ditulis dalam lirik-lirik lagu John Macbaren?
Mesej utama yang kami ingin sampaikan ialah just be yourself. Maksud “be yourself” ni ialah apa yang anda rasa betul dan berbaloi untuk diperjuangkan, just terus perjuangkan. Kami tidak meletak sesuatu tema dalam penulisan lirik. Kami hanya meluahkan perasaan yang kami rasa dan patut dikongsi bersama rakan-rakan di luar sana.

[07] John Macbaren dilihat agak kerap menyertai sirkit-sirkit gig tempatan. Boleh dikongsikan sedikit pengalaman dan antara persembahan paling kalian ingati?
Semua gig yang kami main semuanya kami have fun gila. Tapi untuk pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah first tour kami iaitu Chaos Road Trip bersama Abrasion (Singapura), Beelzebub (Singapura) dan Abolition A.D. Kami bermain di Penvia (Kuala Lumpur), Orchid Studio (Pahang) dan Soundmaker (Penang). Tiga hari bersama, tidur merata, mandi asal boleh, makan sedap dan yang paling best kami gunakan public transport sebagai kami punya main transport. Memang terbaik dan terima kasih kepada Pdoih dan Blacksun sebab organize dan banyak menolong kami dalam road trip ni.

[08] Bagaimana kalian melihat suasana scene Hardcore/Punk di Malaysia masakini?
Hardcore punk pada pendapat kami sudah agak aktif rasanya. Banyak band yang keluar EP, demo, LP dan kebanyakannya jugak telah dihasilkan secara DIY, dari cover inlet lirik semuanya dihasilkan sendiri, termasuklah benda-benda yang rumit macam t-shirt, tote bag pun dan segalanya. Kitaorang pun baru lagi keluarkan EP yang pertama awal tahun itu hari. Sekarang ni dari pemerhatian kami makin banyak band yang pergi tour dalam Malaysia ada luar negara pun dan ini bagi kita adalah satu perkara yang bagus di mana dengan pergi tour kita dapat melihat dan mengalami cara punk rocker di tempat lain.

[09] Apa antara rancangan-rancangan terbaharu John Macbaren untuk rilisan dan aktiviti akan datang?
Kami sekarang dalam proses mengumpul material untuk direkod di mana lagu-lagu ni akan disertakan dalam beberapa projek projek split kami dengan band-band Malaysia dan satu band Singapura jika tiada aral melintang.

[10] Terima kasih kerana sudi memberi respon kepada interbiu ini. Ada apa-apa yang hendak diperkata sebagai penutup temubual?
Terima kasih sebab sudi menemubual kami. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih pada anda kerana masih aktif melakukan temubual bersama band-band DIY, kerana melalui cara inilah kita dapat bertukar pandangan dan segalanya. Terima kasih.