Sabtu, 30 Julai 2016

Rebiu | SVATANTRATA – Dance In The Darkness


SVATANTRATA – Dance In The Darkness
Overflöd Records / Pissed Off! Records
Agak terkilan kerana saya hanya mampu mengulas demotape ini setelah pemergian abadi vokalisnya, Are. Svatantrata difahamkan terdiri daripada ahli / bekas ahli-ahli band dari gerombolan Kratom City, Kulim, Kedah termasuklah Angkara dan 13DAS. “Dance In The Darkness” memuatkan 5 buah lagu d-beat hardcore + 1 intro pendek keseluruhannya berdurasi 15:34 minit. Secara muzikal, d-beat hardcore bawaan Svatantrata bukanlah jenis yang dimainkan laju di mana hampir keseluruhannya boleh dikatakan dalam tempo mid-paced dan agak melodik. Kadang-kala seperti ada juga suntikan stoner rock dalam muzik band ini. Proses rakaman (termasuk mixing & mastering) demo ini dibuat secara live di Warehouse Studio namun hasilnya boleh dibanggakan, kedengaran berat dan padat. Vokal (Allahyarham) Are yang serak bagai penuh amukan dan amarah meluahkan isu-isu politikal, kesamarataan, kemiskinan, perang dan sebagainya. Saya melihat Svatantrata sebagai sebuah band berpaksikan crustcore dan sudah tentu mereka menakjubkan! Emel: svatansband@gmail.com.

Rabu, 27 Julai 2016

Rebiu | PANCA SERI GEMALA SAKTI – EP 2014


PANCA SERI GEMALA SAKTI – EP 2014
41+9 Records
EP self-titled dari Panca Sri Gemala Sakti (PSGS) ini menghidangkan 4 buah lagu berdurasi keseluruhan 19:44 minit. Agak sukar untuk mendefinasikan konsep dan halatuju muzikal PSGS kerana ianya pelbagai. Malah band asal Kerteh dan Chukai (Terengganu) ini dalam facebook menamakan genre mereka sebagai “baham belaka”. Lagu pertama, Dalam Kelambu satu garapan indie rock dan RnB diselang-selikan dengan gaya hip hop. Ala.. lebih kurang macam lagu-lagu Joe Flizzow yang selalu buat kolaborasi dengan artis-artis terkenal tu la. Diikuti lagu Kembali yang hampir keseluruhan iramanya agak mellow. Kira macam indie rock yang perlahan dan melankolik la. Hujung-hujung rancak sikit tapi bukanlah jenis yang keras atau berat. Boleh tahan sedap la lagu ni. Seterusnya lagu ke-3 lagu favourite aku, berjudul Penghormatan Teragung. Lagu yang sebenarnya lebih perlahan daripada lagu ke-2 tadi. Didahului dengan sebuah kata-kata (lebihkurang macam baca puisi) yang menginsafkan. Bahagian awal lagu ni dengar macam Nasyid Kontemporari then mix dengan rentak balada dan slow rock. Memang best lagu ni apatah lagi lirikal keagamaan; mengenai cinta kepada Rasullulah. Lagu paling indah dan mengesankan dalam EP ni bagi aku. Lagu penutup Siapa Temanmu stail macam lagu pertama di mana ada injeksi hip hop dalam muzik indie rock yang kali ni kedengaran lebih bluesy (terutama part ritma gitar dan solo). Keseluruhan mutu rakaman memang bagus, professional sound yang kira dah capai tahap pengeluaran album. Vokalis PSGS ni pun menyerlah; menjiwai setiap nyanyian dengan tone suara dia yang memang marvellous. Berdasarkan apa yang aku dengar, rasanya aku boleh rangkumkan PSGS dan rilisan ni di bawah kategori Alternative Rock.
facebook.com/panca-sri-gemala-sakti-127892350568939
facebook.com/kertehscenes

Ahad, 24 Julai 2016

Interbiu | ABHORSTENCH : 23.07.2016


ABHORSTENCH adalah sebuah unit Harsh Noise dari Seremban, Negeri Sembilan. Dibentuk sekitar tahun 2015, Abhorstench diterajui oleh dua personil; Amir Fadli (individu yang terlebih dahului dikenali menerusi band noisegrind Psychotic Sufferance serta editor Psychotic Art Zine) dan Faizal Fauzi (bekas anggota kumpulan melodic deathrash Farasu). Kenali Abhorstench dalam interbiu bersama Amir Fadli.

Ceritakan bila & bagaimana timbul idea menubuhkan Abhorstench?
Dah lama dah nak buat Abhorstench ni cuma masa tu komitmen kat Psychotic Sufferance ngan Psychotic Art Zine banyak sangat. Idea ni timbul semula bila jumpa kat pesta buku KL pada pertengahan 2014 kalo tak silap. Idea ni diutarakan semula lepas kami balik dari pementasan teater di ASWARA awal 2015.

Apa tujuan Abhorstench dibentuk maksud Abhorstench itu sendiri?
Tujuan Abhorstench, memanipulasi bunyi dan membawa pendengar kepada satu dimensi bunyi bising yang berstruktur / tanpa struktur, tanpa undang-undang muzik, tanpa frekuensi standard, ambient gelap dan lain-lain bentuk eksperimen.

Siapa dan latarbelakang individu-individu di sebalik Abhorstench?
Saya Amir Fadli dan Faizal Fauzi (ex-Farasu). Kedua-duanya berperanan dalam penghasilan bunyi bising, pemain Rebab, Ehru, Sitar dan Gambus berdistortion.

Huraikan definasi genre Harsh Noise buatan Abhorstench?
(tiada jawaban)

Apa sumber dan inspirasi korang dalam menggubah sesuatu bunyian (untuk buat sesebuah track)?
Sumber yang paling utama adalah field recording yang kami lakukan. Sound sampler yang kami rakam di kilang dan bengkel besi, station keretapi, pasar besar Seremban dan Ipoh, kenduri-kendara yang kami hadiri, kedai mamak, kawasan hutan, kawasan air terjun dan banyak lagi kawasan untuk dapatkan ambient yang menarik. Untuk pengubahan bunyian pula setiap track yang kami hasilkan itu ada alat muzik yang kami eksperimenkan contohnya ehru, rebab, caklempong dan lain-lain dengan penambahan pedal effects.

Boleh sebut beberapa nama projek Harsh Noise yg jadi rujukan?
Rujukan: Merzbow (Pulse Demon), Incapacitants, Government Alpha / Tube Tentacle (split), Gore Beyond Necropsy / Merzbow (Rectal Anarchy), Massona, Kazumoto Endo, To-Die, Theo Nugraha, CSSO, Impiety (Skullfucking Armargeddon), Werewolf Jerusalem, The Rita, Isengard, Hanatarash, Hijokaidan, Nocturnal Emissions, Nihilist Spasm dan banyak lagi la.

Apa peralatan & kelengkapan lain yang diperlukan dalam mencipta bunyian bising Abhorstench?
Kelengkapan lain adalah equipment yang kami buat sendiri (diy) melalui ilmu electronic yang tak seberapa yang ada pada kami iaitu shaker paku dan ball bearing yang kami tambah denga fizo, fuzz box yang diubah suai dan passive 3 channel mixer.. itu jer buat masa ni.

Senaraikan diskografi / senarai rilisan yang telah dikeluarkan setakat ni?
Abhorstench - Pergi bersarang di semenanjung khayalan (demo)
Abhorstench - Pergi bersarang di semenanjung khayalan (remixed and damage promo)
Abhorstench / To-Die (split)
Abhorstench / Tube Tentacles (split)
Abhorstench / Doa dan Dosa (split)
Abhorstench / Daiben (split)
Abhorstench / Jeritan (split)
Abhorstench / Chromasonus (split)
Abhorstench / Theo Nugraha (split)
Abhorstench / Random Emotionally Deformed (split)
Next Planned released:
Abhorstench / ANKBKTNOISESCAPE (split)
Abhorstench / File 106 / WMFM (3-way split)
Abhorstench / Krosot (split) [Blazt Promotion]

Apa konsep atau tema mesej yang hendak disampaikan? (Beri beberapa contoh judul lagu dan terangkan maksud mesejnya)
Konsep / mesej yang disampaikan: Kebanyakan mesejnya berkisar kepada kehidupan manusia seharian, nilai moral, agama, rasional dalam pemikiran, berfikiran kritis dan logik, cara hidup dan komunikasi sesama manusia, menghargai alam semulajadi dan lain-lain.. contoh lagu “Pergi bersarang di semenanjung khayalan” adalah berkisar mengenai pengasingan jiwa dan diri dari segala tekanan media massa yang mencengkam dengan penuh pembohongan, fitnah dan juga mind control. “Syubahah” pula adalah penerimaan masyarakat terhadap segala masalah sosial seperti pecah amanah, korupsi secara terang-terangan. Kemana perginya sifat menghalang, mempersoal dalaman masyarakat itu sendiri? Masyarakat sendiri rela terlibat dalam diam?.

Senaraikan beberapa event yang pernah Abhorstench sertai dan nyatakan event mana paling menarik?
(tiada jawaban)

Pendapat kau tentang scene Harsh Noise di Malaysia?
Pendapat saya la.. secara amnya scene harsh noise di Malaysia ni tak besar tapi berkembang dengan pesat. Setiap hari ada saja solo project yang keluar / diketengahkan. Ini tidak tertakluk kepada penggiat seni muzik underground sahaja malah pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi juga turut menghasilkannya. Ini kerana ada beberapa sebab harsh noise ni berkembang kerana ianya tidak tertakluk kepada gig tertutup sahaja. Ianya turut dipersembahkan di waktu pesta buku indie dan zine fest, sewaktu majlis baca puisi dan sajak, boleh dikatakan ianya bersifat bebas dan boleh masuk dalam semua event seni dan audiennya semakin berkembang.

Apa keunikan dan kekuatan yang ada pada Abhorstench bagi membolehkan orang kena check-it-out projek Harsh Noise ni?
(tiada jawaban)


Nota: Interbiu ini akan disunting dan dikarang semula menjadi sebuah rencana dan dimuatkan di bawah ruangan EXPOSE dalam Edisi Kedua BANGKIT! FANZINE akan datang.

Rebiu | DISTOPIA – Isu #0


DISTOPIA – Isu #0
28ms / A5 / Bahasa Melayu
Sebuah isu eksperimental suntingan dan terbitan Sarajevo Amira Maisara, dirilis pada Disember 2015. Distopia hampir keseluruhannya mengetengahkan topik-topik semasa dan realiti yang berlaku pada diri dan persekitaran penulis; cerita-cerita peribadi, curahan pendapat, perkongsian idea dan pengalaman. Semua ini dibentangkan dalam bentuk penulisan rencana. Antara artikel yang menarik perhatian seperti “Agenda Membaptis Masyarakat Ke Arah Modenisasi” yang mempersoal kewajaran pembangunan tanpa henti di Kuala Lumpur (dikaitkan dengan kebanjiran pusat-pusat membeli-belah, pembinaan lebuhraya dan sebagainya) yang akhirnya mengakibatkan kesan tidak baik kepada rakyat, ketidakstabilan sosio-ekonomi, kapitalisma dan konsumerisma, jurang kemasyarakatan dan pelbagai impak lain. Dalam “Monolog”, penulis mengongsikan pengalaman hitam beliau ditahan polis (ekoran menyertai himpunan anti-GST pada 1 Mei 2015), penyalahgunaan kuasa autoriti, pertuduhan tidak munasabah dan juga kehidupan dalam sel. “Relevankah Fanzine?” adalah kupasan penulis tentang pembikinan zine atas kertas pada era siber ini zaman di mana maklumat di hujung jari. Menariknya, menyunting dan menerbitkan zine sangat rapat dengan Sarajevo yang sememangnya seorang editor dan beliau tahu apa kelebihannya membikin zine. Distopia #0 turut menyelitkan bahan-bahan lain seperti puisi, ilustrasi, ulasan muzik dan literatur serta satu temubual bersama Ieda Mazlan, seorang pelukis dan juga aktivis Makanan Bukan Periuk Api. Secara total, Distopia ini satu penerbitan yang serius, bernas, mendidik dan sesuatu yang perlu lebih kerap dikeluarkan. Hubungi: zinedistopia@gmail.com.

Rebiu | KATALIS – Isu #1


KATALIS – Isu #1
24ms / A5 / Dwi Bahasa
Nipis tapi berat. Inilah karakter Katalis. Sebuah zine yang menganjurkan kesedaran untuk berfikir dan beroleh manfaat darinya. Ini usaha kolektif beberapa anak muda Sabah yang sangat suka membaca dan berkongsi-kongsi idea. Katalis #1 dimuatkan 7 buah artikel pelbagai intipati; ditulis dengan baik dan mendalam, berasas (dari fakta dan kajian penulis), menyentuh ruang-lingkup kehidupan, ada antaranya bersifat religi, sarat dan padat dengan pengisian dan faedah-faedah ilmu. Selain daripada Bahasa Melayu sebagai pengantar utama, beberapa penulisan dalam Bahasa Inggeris. Turut diselitkan 3 buah puisi dan beberapa ilustrasi ringkas (doodle) sebagai penghias. Pengendali utama Katalis Zine adalah saudari Sharifah Nursyahidah yang juga merupakan penggerak dan peneraju Buku Jalanan Kota Kinabalu. Baru-baru ini pada penghujung April lalu, beliau tampil dengan buku pertama Kaki Jalan (Travelog Gadis Punk Aktivis) keluaran Deleted Books. Hubungi: facebook.com/squesha.

Selasa, 19 Julai 2016

Rebiu | BISAK PALAK – Edisi Pertama


BISAK PALAK – Edisi Pertama
Metuk Ulau Underground Voices
Bisak Palak bermaksud “Koyak Kepala” dalam bahasa Sarawak. Zine ini adalah Antologi Penulisan Kreatif Warga Bintulu diketuai penulis / penyunting utama Pendekar Mustar (atau nama sebenarnya Adi Herman yang terlebih dahulu dikenali melalui Antologi Cerpen Pentagram Di Atas Pusara). Para pengkarya lain dalam edisi pertama terbitan pada Februari 2016 ini termasuklah Barangkali Marus Kamarudin, Jika Jackson, Kevin Keegan Jerome, Pian Mpun Ana dan Korawk Al Naseer. Mereka segelintir warga Bintulu yang mahu keluar dari kepompong kehidupan normal dan mempersoalkan perihal persekitaran menerusi karya kesusasteraan; berupa sajak dan juga cerpen. Pendekatan penulisan mereka cukup menarik, kreatif, dibantu pula oleh penguasaan bahasa yang baik menghasilkan karya-karya yang pelbagai wajah dan natijahnya; kritis dan sinis di sebalik bait-bait puitis, pedas dan panas di penghujung ceritera-ceritera satira, cukup-cukup pelbagai. Bisak Palak kesimpulannya satu penerbitan yang melampaui normal, melangkaui formal dan sebebasnya tanpa sekatan peraturan dan perundangan (penulisan). Sejumlah 10 buah sajak dan 11 cerpen terhimpun dalam naskah Bisak Palak #1 berketebalan 36 mukasurat saiz A5 yang mana hampir keseluruhannya ditulis dalam bahasa ibunda.
facebook.com/bisakpalak
metukulau.blogspot.com

Isnin, 18 Julai 2016

Rebiu | WASTED – Isu #2


WASTED – Isu #2
28ms / 13cm x 18cm / Dwi Bahasa
Publikasi DIY ini dihasilkan oleh Kodi, pemain dram dalam band Disobey dan Not Things!. Zine ini secara fizikal amat simple pembikinannya, tanpa frontcover artwork, tiada gambar-gambar berkaitan sebagai hiasan, 100% hanya teks semata-mata. Mungkin bagi pandangan kebanyakan, zine dengan layout seperti ini nampak terlalu mendatar dan hambar tetapi tidak samasekali pada kandungannya. Pengisian Wasted #2 cukup besar dan mendalam pengertiannya. Rencana-rencana yang ditulis bersifat opini yang berasas, wajar mesej-mesejnya dan begitu fokus serta relevan dengan diri dan realiti sekeliling editor itu sendiri. Zine ini memusatkan kepada scene di Kelantan, atau Kota Bharu secara khusus. Kodi menulis luahan (atau keluhan) beliau tentang limitasi untuk ruang menjalankan aktiviti seni & kreatif akibat kerenah birokrasi pihak majlis perbandaran tempatan serta kurangnya kuasa membeli ekoran kelemahan nilai Ringgit Malaysia. Zine ini kalau tidak kerana penggunaan Bahasa Inggeris dalam penulisan di bawah judul “Kisah Si Leftist Yang Palsu, Keliru dan Kelakar”, pasti keseluruhannya berbahasa ibunda. Selain artikel, Wasted #2 turut menampilkan 4 buah interbiu ringkas tetapi mendapat respon yang padat, bersama; Pasar Percuma KB (satu kerja amal dengan tujuan membantu golongan yang memerlukan dan aku setuju dengan maklumbalas Alief: tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima), Wasted Youth KB (satu komuniti kecil yang gigih berjuang memperkasakan scene Kelantan, penganjuran gig muzik independen serta kegiatan-kegiatan DIY lain), Kutu Buku Distro (pengedar bahan bacaan bebas oleh seorang pelajar UMK asal Keningau, Sabah) dan Darul Naim Squad (kelompok scene skinhead/muzik oi! yang menolak keras ideologi Nazi, fahaman perkauman dan ketuanan bangsa). Secara keseluruhan, zine ini cukup berbaloi untuk dibaca dan difahami serta diambil pengajaran dari intipatinya. Wasted sebuah zine yang tinggi nilai punk dan rebel dalam jatidirinya. Harap akan ada isu #3 menampilkan penceritaan tentang scene skate di Kota Bharu [sepertimana dimaklumkan di halaman terakhir zine ini] dan sekiranya boleh ditokok-tambah foto-foto berkaitan dengan penulisan bagi menyerlahkan lagi ketrampilan zine Wasted. Hubungi: facebook.com/kodiamain.

Rebiu | CON-DAMN THE CORRUPTOR – Siok Sendiri Promo


CON-DAMN THE CORRUPTOR – Siok Sendiri Promo
Self-released
Satu rilisan istimewa yang boleh dianggap rare dari kem Con-Damn The Corruptor. Dikeluar-edarkan sempena Siok Sendiri Sabah Tour mereka sekitar Mei 2014. Tiga lagu yang ditampilkan dalam CD-R ini memang telah ada dalam album debut mereka; (1) Sabahan Punks – 2:20, (2) Con-damn The Corruptor – 1:49, dan (3) Sayonara – 1:22 akan tetapi yang terkandung dalam “Siok Sendiri” ini rasanya versi yang berlainan. Ini versi promo, dirakam live atau rehearsal. Memang tujuan aku mendapatkan rilisan ini untuk mencari sesuatu yang berbeza dari CTC selain tambah-tambah koleksi band punkrock dari pekan Inanam di Sabah dan aku perolehinya dari pihak DDT Distro. Tak pasti stuff ini masih ada atau sebaliknya, ianya berharga cuma RM3 dan cukup terhad. Salinan aku bernombor #8/20. Aku nak petik sebaris dari senikata dalam Sayonara yang cukup besar pengertiannya: Apa guna jadi Punk, kalau tidak pandai DIY.
facebook.com/ConDamnTheCorruptor

Rebiu | UPTOSIXTEEN – Masa Depan


UPTOSIXTEEN – Masa Depan
Self-released
Punk Rock dengan pengisian isu-isu politikal dan kemanusiaan. Itulah yang menjadi galasan empat pemuzik berpengkalan di Pasir Gudang, Johor. Lagu-lagu UpToSixteen sangat menarik untuk didengar, segar dan energetik. “Masa Depan” mengandungi lima buah lagu Punk Rock di bawah jalur melodic dan poppish. Begitu banyak perkara-perkara positif ada di dalam EP ini; baik dari aspek lagu-lagunya, produksinya mahupun kualiti rakaman. Syahmi (vokal/gitar kedua), Fendy (vokal/gitar pertama), Jiem (vokal/bass) dan Has (dram) bagi saya adalah sekumpulan pemuzik yang bukan sahaja berbakat besar tetapi juga berkemahiran tinggi. Pengendalian instrumen mereka cukup kemas dan mantap. Olahan muzik dan lagu-lagu band ini memang menakjubkan, banyak idea diketengahkan dan penuh dengan variasi. Di sebalik kerancakan lagu-lagu UpToSixteen, lagu berjudul Bersama Kau adalah pilihan saya dari EP ini. Sebuah lagu berentak perlahan, dinyanyikan penuh perasaan, mesejnya menyentuh hati dan cukup menginsafkan. Ianya tentang anak-anak kecil ketiadaan ibubapa, terbiar dan dalam kelaparan. Saya faham pengertiannya lebih luas. Terhasil dari rakaman di Studio46 (Nyaring), kualiti bunyi dalam “Masa Depan” tidak dapat dipertikaikan, memang cukup menyerlah. Saya percaya rilisan CD berdurasi keseluruhan 20:09 minit ini tidak akan mengecewakan pendengarnya malah saya lebih percaya bahawa UpToSixteen adalah sebuah band yang lahir dengan kualiti dan memiliki karisma tersendiri untuk sebaris dengan band-band melodic / poppunk terbaik di negara kita ini. Teruskan!.
facebook.com/uptosixteen
instagram.com/uptosixteen

Rebiu | NO DISTANCE – Some Unexpected Journey


NO DISTANCE – Some Unexpected Journey
Self-released
No Distance adalah wakil Punk Rock dari Melaka Bandaraya Bersejarah. “Some Unexpected Journey” merupakan rilisan sulung dari band yang ditubuhkan pada Disember 2012 ini. Memuatkan 6 buah lagu, apa yang boleh dinikmati dari EP ini adalah satu himpunan irama Punk Rock yang benar-benar melodik sepanjang 19:15 minit CD ini berputar. Persembahan band yang dibarisi oleh Popeye (bass/vokal), Adek (gitar/vokal) dan Rizal (dram) cukup kemas, rancak, ligat dan penuh dengan riff-riff gitar yang memikat. Setiap lagu seperti ada kekuatannya tersendiri, padat dengan struktur dan susunan melodi yang menangkap dan melekat. Lirik-lirik No Distance adalah luahan keperihatinan mereka tentang persahabatan, cinta dan kehilangan. Dirakam di Adam Music Studio, kualiti bunyi yang dihasilkan dalam EP ini memang pada tahap terbaik dan mengkagumkan. “Some Unexpected Journey” direalisasikan dalam format Pro-CD, diperkemaskan dalam double folded slip case dan turut disertakan helaian dicetak kesemua lirik. Secara am, material ini sesuai untuk sesiapa yang meminati band-band seperti NOFX, Green Day dan seumpamanya. Tahniah No Distance. Ini percubaan pertama yang lulus dengan cemerlang.
facebook.com/No-Distance-290813094354461
nodistancepunk.bandcamp.com

Sabtu, 16 Julai 2016

Rebiu | KAH KAH CELAKA – Demo+nstrasick


KAH KAH CELAKA – Demo+nstrasick
Self-released
Ini rilisan pertama band 4 remaja berusia antara 19 – 22 tahun dari Johor Bahru. “Demo+nstrasick” mempertaruhkan 6 buah lagu berdurasi keseluruhan 15:46 minit. Kah Kah Celaka bukan calang-calang gerangannya dalam scene Punk Rock tempatan. Mereka sekumpulan anak muda yang berbakat besar dan mempunyai masa depan yang cerah kiranya bakat yang ada terus diasah dan diberi lebih ruang untuk pendedahan. Menerusi demo ini, Kah Kah Celaka menyajikan irama Punk Rock yang sempoi, bersahaja, seronok didengar dan sudah tentu menghiburkan. Setiap lagu yang disusun dalam cd-r ini kedengaran lebih baik dari satu lagu ke lagu seterusnya dan bertambah rancak. Biarpun dirakam secara live, kualiti sound-nya saya anggap boleh tahan dan tidak mengecewakan. Lagu-lagu pilihan kegemaran saya adalah seperti Sang Pemimpin, Dead On Trap dan Sistem atas sebab tenaga yang ada dalam lagu-lagu tersebut manakala Lagu Gembira (Yippie Yeay) dan Punk Rock Band tanpa sedar mengundang saya untuk turut sama menyanyi bersama mereka. Dapatkan “Demo+nstrasick” karya Kah Kah Celaka jika anda mencari sesuatu yang menggembirakan. Awas, harimau selatan mengaum!.
facebook.com/Kah-Kah-Celaka-1387607011538300

Ahad, 10 Julai 2016

Notasi | AL-FATIHAH UNTUK PAJIL ARMADOS


InnaLillahiwainnailaihiraji’un. Terima perkhabaran duka saudara kita Mohamat Fadzil @ Pajil salah seorang angggota band metalpunk Lahad Datu ARMADOS telah kembali ke rahmatullah awal subuh tadi. Aku terkejut dan hiba dengan berita ini kerana antara kami masih dalam perbincangan mengenai penghantaran CD diskografi “Perang Ilmu Penghancuran” untuk rebiu dan interbiu dalam Bangkit! Fanzine. ALLAH menyayangimu sahabat. Mudahan rohmu ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. AL-FATIHAH.
Dicatat pada 08.07.2016


Imej di atas adalah keratan Siaran Akhbar (dari suratkhabar tempatan di Sabah) merujuk kepada insiden malang yang menimpa Allahyarham Mohamat Fadzil @ Pajil – ihsan Chal Berani Muntah Distro.