Selasa, 9 Ogos 2016

Rebiu | BRAINCËLL – Mindlock


BRAINCËLL – Mindlock
Self-released
Di kalangan scene tanahair, Braincëll mungkin dilihat sebagai satu nama baru yang muncul mewarnai arena muzik d-beat / crust / hardcore punk tempatan. Pun demikian, ahli-ahli kumpulan ini adalah himpunan pemuzik-pemuzik yang telah agak lama berkecimpung dalam dunia underground, menerusi band seperti Appäratus dan Atomicdeath seperti yang saya kenali. Kaset EP “Mindlock” adalah taruhan sulung dari mereka untuk mula membina dan meletakkan nama Braincëll dalam peta hardcore punk Malaysia. Mereka memang hakikatnya pemuzik-pemuzik yang berpengalaman, berkemahiran dan berpengetahuan luas maka itu tidak hairanlah kalau saya mahu katakan memang kualiti muzik d-beat / crust punk garapan Braincëll ini sesuatu yang sukar untuk dipertikaikan. Ini band yang telah benar-benar bersedia menetapkan matlamat band ini tatkala ianya ditubuhkan dan tiada sebarang masalah untuk bergerak lancar di atas landasan halatuju muzikal mereka. “Mindlock” ditaruhi oleh 6 buah lagu (durasi keseluruhan hampir 11 minit) yang cukup lengkap dengan suasana kotor, jahat dan bising tanpa belas irama crust punk, sebahagian besarnya terinspirasi dari semangat yang telah dibawa oleh para lagenda seperti Motörhead, Doom, Discharge, Amebix, Anti-Cimex dan sebagainya. Semuanya kedengaran begitu mengkagumkan; baik dari sudut kocokan-kocokan gitarnya, gema lantunan petikan bass, ketukan dram sekata yang menghentam begitu juga teriakan-teriakan berkahak dari vokalis mereka. Saya hilang kata-kata untuk terus berbicara tentang rilisan EP ini kerana mengikut perkiraan saya ianya cukup sempurna sebagai sebuah produk hardcore punk berprofil tinggi. Braincëll tiada sebarang kekurangan untuk berada dalam kelompok band d-beat / crust terbaik di negara ini dan mereka perlu sentiasa ada dalam radar pemerhatian anda. Amat disyorkan!.
facebook.com/braincell.crust
braincell-crust.bandcamp.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan