Sabtu, 24 September 2016

Ekspos | MISGIVE


Merujuk kepada arena muzik independen dan scene underground tempatan, hampir sukar untuk dicari dan ditemui sebuah kumpulan yang kesemuanya dianggotai oleh kaum wanita. Sebuah band yang menggelarkan diri mereka sebagai MISGIVE mungkin satu-satunya jawaban kepada pencarian kalian pada masa ini – mereka adalah all female punk rock band dari Kota Kinabalu, Sabah.

MISGIVE bermula pada 1 Jun 2013 dengan line-up terdiri daripada Reen Rebecca Rushell Molinus aka Reen (vokal/gitar), Celyane Anne Rodrigues Muyuk aka Yen (vokal/bass), Brenda Rodney aka Brenda (gitar utama) dan Josephine Pun Yin aka Pinpin (dram). Pada 20 April 2014 MISGIVE merilis EP pertama berjudul “Short Skirts, Shot Guns”. Kira-kira dua bulan sebelum itu, bertarikh 14 Februari 2014 mereka melancarkan single Short Skirts, Shot Guns di laman YouTube – youtu.be/Rauj2KHwDCM – sebagai langkah awal pengenalan band dan promosi pengeluaran EP.

EP “Short Skirts, Shot Guns” dikeluarkan menerusi kerjasama MISGIVE dan Kenny Cleod Productions serta BMT (Borneo Music Technology) Studio. Ianya memuatkan 5 buah lagu berdurasi keseluruhannya 13:28 minit punk rock yang cukup menghiburkan. CD tersebut diedarkan pada harga cuma RM10 dan sangat disarankan kepada penggemar-penggemar band seperti Blink-182, Rancid, Four Years Strong, Distillers, NOFX, Anti-Flag, The Loved Ones dan seumpamanya, di mana inilah band-band yang banyak mempengaruhi karakter muzikal MISGIVE.

“Short Skirts, Shot Guns” dilancarkan secara rasmi dalam satu persembahan secara akustik di at Mint Store Wawasan Plaza (Kota Kinabalu) diikuti promosi besar-besaran dalam jelajah Short Skirts, Shot Guns Tour di Semenanjung Malaysia dan Singapura pada 24 hingga 27 Mei 2014. Usaha tersebut diteruskan di Borneo apabila MISGIVE turut terlibat dalam beberapa gig di Sarawak dan negeri kelahiran mereka, Sabah. 

MISGIVE juga telah menjalani penggambaran dan melancarkan dua Video Muzik rasmi mereka iaitu; “Short Skirts, Shot Guns” MV mula dipertontonkan pada 23 Mac 2014 di youtu.be/ITDjXAF0Z_U dan “Don't Need No Words” MV pada 1 Februari 2015 di youtu.be/NQ3BWy4RONs. Kedua-dua video ini diarahkan oleh Radzie Rahman. Kredibiliti MISGIVE sebagai sebuah band yang berbakat besar dan berpotensi tinggi telah menarik perhatian Afraid Clothing, Vans dan Cort Guitar & Bass untuk menaja pemakaian dan instrumen muzik MISGIVE.

Sebagaimana lumrah kebanyakan band di dunia ini, MISGIVE turut ditimpa masalah penarikan diri anggota band bilamana pada 5 April 2015 Brenda dan Pinpin mengambil keputusan membawa haluan masing-masing untuk tidak ladgi bersama Reen dan Yen. Namun kekosongan itu segera dilengkapi oleh Sabreena Jade aka Sabby (dram) yang menyertai MISGIVE pada 16 April 2015 dan bermulalah era baru band ini bergerak secara bertiga sahaja.


Perjalanan MISGIVE tidak akan terhenti. Mereka mungkin akan meriliskan materi terbaharu tidak berapa lama lagi selain giat aktif muncul di pentas. Antara gig-gig besar yang pernah diterajui MISGIVE adalah seperti Smash Fest, The Freak Bistro Tawau (23/11/2014), Rock The World 2014, Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur (13/12/2014), Meet Up Kuching 2015, Le Civic Centre, Kuching (29/02/2015) dan juga Maximum Rock & Roll: The Global Edition, Karamunsing Room, Kota Kinabalu (16/05/2015).

INFORMASI
+60-10-9447250


Nota:
*Teks oleh Trashnoiser – trashnoiser@gmail.com
*Disediakan pada 16 Julai 2016
*Untuk siaran Bangkit! #2.5 – Edisi KLZF2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan