Jumaat, 16 Disember 2016

BANGKIT! #3 dalam pembikinan!!


Edisi Ketiga BANGKIT! FANZINE dijadualkan kembali sedikit masa lagi. Untuk makluman, aku pada ketika ini sedang bertungkus-lumus menyedia dan menyiapkan isu #3 ini dengan harapan dapat diterbit dan boleh mula diedarkan sebelum atau pada tarikh berlangsungnya acara Chaos in Rumah Api #4 (23 - 25 Disember 2016). Itulah perancangan asalnya. Memandangkan tarikh tersebut sudah terlalu hampir, aku sedikit gusar sasaran tersebut tidak sempat direalisasikan. Sekitar 10 – 20 peratus lagi bahagian yang belum disiapkan. Agak banyak kekangan akhir-akhir ini; komitmen keluarga, pulang bercuti di kampung, masalah kesihatan dan sebagainya. Aku akan cuba. Pun demikian, aku memohon maaf lebih awal seandainya Bangkit! #3 tidak dapat dikeluarkan sewaktu berlangsungnya CIRA#4. 

ATOMICDEATH telah aku pilih dan tampilkan sebagai highlight dalam isu #3 ini. Temubual bersama band-band seperti ACID DISTORTION, LOSST, WÄRFEAR dan WEOT SKAM diketengahkan selaras dengan pembabitan mereka dalam CIRA#4 (sepertimana yang aku maklumkan tadi). Selainnya, turut disajikan interbiu bersama NOT THINGS!, xTOLAKKOKx, EXPLICIT dan TIKAMxLARI. Semuanya 9 buah band disoal-siasat, hehe! Untuk makluman, semua band yang dipaparkan masing-masing telah mengeluarkan rilisan-rilisan terbaharu mereka. 

Bangkit! #3 juga akan mengandungi seksyen REBIU yang agak besar skalanya berbanding isu-isu terdahulu. Kali ini 14-mukasurat padat dengan ulasan dan kupasan ke atas produk-produk cd, kaset dan juga zine-zine tempatan. Segmen INFORMASI turut diperbentangkan merangkumi 3-mukasurat dipenuhi berita-berita mutakhir, maklumat dan prebiu terkini scene hardcore punk serta aktiviti DIY di negara kita Malaysia. Beberapa ARTIKEL juga sebahagian daripada wadah pengisian isu kali ini antaranya termasuklah liputan gig, laporan scene dan sebagainya.

Terima kasih tiada terhingga buat rakan-rakan kontributor yang sudi menyumbangkan karya penulisan; Roots Radicals yang mengisi kolum “Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan” dengan suntingan terkini artikel Ada Apa Dengan Rumah Api?, Encik Jep (HvTAM zine) yang melaporkan gig High Life vol.1, Tun Farul Azri yang mengimbau kembali scene terdahulu dalam Pogo via 1995/1996 (The Year Punk Broke), Mr.Apaisan yang mengimbas semula perjuangan pembikin fanzine dalam rencana Otai Makan Petai, Adi Herman yang melukis komik Kibota dalam episod Don’t Judge A Person By Its Face serta Trashnoiser yang menyalurkan interbiu bersama Weot Skam dan beberapa rebiu.

Ok. Ini sahaja yang dapat aku laporkan sedikit-sebanyak tentang proses pembikinan Bangkit! #3. Aku harap segalanya berjalan lancar dan sekali lagi maaf dipohon andaikata aku terpaksa menunda sedikit ke hadapan tarikh pengeluaran zine ini. Apapun, keep in touch dan terus ikuti perkembangan semasa pembikinan Bangkit! #3.

Pyan Nathias, 16 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan