Rabu, 14 Disember 2016

Rebiu | PEACEMAKER / KROSOT – Split 2016


PEACEMAKER / KROSOT – Split 2016
Raung Records
Split Cassette Peacemaker / Krosot ini ibarat ejen pemecah kesunyian. Kedua-dua unit ini adalah penjana bunyi bising keras Harsh Noise, sejenis genre electronic yang mana bagi aku akan membuat diri berasa segar setelah dikenakan kejutan elektrik, hehe!. Tapi kalau korang tak biasa dengan Harsh Noise, memang berdengung gegendang telinga korang (apatah lagi kalau mendengar menggunakan walkman/earphone). Peacemaker dari Philadelphia (USA) menamakan sound-nya sebagai transformational harsh noise dan ianya bukan calang-calang kerana ini projek solo oleh Richard Hoak, pemain dram band grind/death tersohor, Brutal Truth. Peacemaker dalam track berjudul “hallucinautical” mengikut pendengaran aku seakan bunyian bising sekata yang panjang, seperti HNW (Harsh Noise Wall) dan pada detik-detik tertentu disulami elemen renjatan dan kejutan besar. Memang menarik kerana ianya seumpama satu pelayaran di lautan luas yang tenang dan ada ketika-ketikanya dilambung ombak besar dan juga gelora ganas. Krosot pula sebenarnya tidak asing dalam scene terpencil Harsh Noise di negara kita ini. Unit yang dioperasikan oleh ahli anggota band noisegrind DOSA ini telah begitu lama berkarya menghasilkan bunyi-bunyian bising dan mereka telah begitu banyak rilisan dalam senarai diskografi mereka. Krosot yang mahu mendefinasikan sound mereka sebagai lo-fi harsh noise melalui track bertajuk “hydro apartheid” mempersembahkan satu bunyian bising panjang yang berkepelbagaian. Korang akan dengar macam-macam variasi dan dimensi bunyi dari track Krosot ini dan ianya seperti mengalir meresapi salur pembuluh urat saraf korang. Impaknya menakjubkan. Seperkara lagi yang menarik tentang split cassette ini ialah tentang pembikinan folded cover yang cukup kreatif (didatangkan pula dalam pilihan samada putih atau hitam) serta dihiasi artwork yang memang unik (karya Shaze). Hanya pada harga RM8 (tidak termasuk kos pengeposan), kaset ini sesuatu yang harus korang miliki jika berminat untuk mengalami getaran Harsh Noise.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan