Khamis, 15 Disember 2016

Rebiu | CON-DAMN THE CORRUPTOR – My Songs For You


CON-DAMN THE CORRUPTOR – My Songs For You
Akar Press / Broken Noise Records
Bagi kebanyakan termasuk pihak label pengeluar mengkategorikan muzikal Con-damn The Corruptor (CTC) sebagai Political Punk. CTC sendiri menggelar Punk Rock Sumazau sebagai deskripsi muzik mereka atas kecenderungan etnik dan gunaan instrumen tradisional tempatan seperti kulintangan, seruling, gandang dan sampoton dalam pengolahan lagu-lagu mereka. Manakala pada saya secara peribadi, saya melihat CTC sebagai sebuah band Folk Punk dimana band ini seolah-olah mendendangkan lagu-lagu rakyat dalam nuansa punk rock. CTC sentiasa berada dalam perhatian saya sebagai penyampai suara marhaen. Apa yang lebih menakjubkan, menerusi album kedua ini, CTC membuka skop punk terbuka lebih luas, tidak sekadar berbicara tentang permasalahan politik, penindasan dan peperangan. Dalam lagu berjudul Dowry, CTC mempersoalkan isu wang hantaran / perbelanjaan yang meningkat begitu tinggi dewasa ini sehingga menghalang hasrat sesebuah perkahwinan manakala menerusi lagu The Stray Song mereka mengutarakan keprihatinan terhadap kucing-kucing terbiar dan kelaparan. “My Songs For You” adalah sebuah album yang berada dalam toplist saya yang mana teramat-amat disarankan untuk wajib dimiliki, didengari dan dihayati. Semuanya ada di sana, di dalam album berdurasi 37 minit ini yang merangkumi kepelbagaian; keindahan muzik punk, kreativiti dalam rock, keunikan, ekspresi perasaan, emosi, segalanya. Ianya hampir sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata kerana kalian akan hanya dapat memahami dan turut sama berada dalam aspirasi CTC sekiranya kalian memiliki dan mendengar secara teliti album ini. Cukup hebat!
facebook.com/ConDamnTheCorruptor
facebook.com/akarpress
facebook.com/brokennoiserec

Tiada ulasan:

Catat Ulasan