Khamis, 19 Oktober 2017

Rebiu | ACAH-ACAH – Isu #0.5


ACAH-ACAH – Isu #0.5
24ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu pra-perdana Acah-Acah #0.5 agak “amateurish” sifatnya, akan tetapi di masa yang sama memiliki nilai Do-It-Yourself yang sangat tinggi. Kepujian perlu diberi kepada Jerry atau nama sebenarnya Rozairi Yahya yang berusaha mendapatkan kekuatan dan keyakinan dalam diri sendiri untuk berani keluar dari kepompong bakat terpendam, keluar mencari laluan dan landasan yang tepat untuk mengetengahkan kebolehan serta karya-karya dihasilkannya. Pepatah ada mengatakan “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Tahniah Jerry, anda telah memulakan langkah untuk ke hadapan. Isu ini, namanya pun edisi pengenalan. Sudah tentu bukan kesempurnaan yang boleh kita jangkakan. Sedikit-sebanyak pasti terkandung kekurangan dan kelemahan. Kecacatan yang hakikatnya bukan disengajakan pun. Ianya perkara lazim pada kita semua yang hendak memulakan sesuatu yang baru. Bahkan, hingga akhirnya nanti kita manusia biasa tak akan pernah mencapai kesempurnaan pun. Yang ada cuma kematangan dan pengalaman mengurangi kesilapan. Acah-Acah komik zine telah mula memperlihatkan potensi. Potensi untuk berkembang dan berdiri atas identiti tersendiri. Meskipun masih perlu diberi lebih perhatian dalam memperbaiki aspek “stroke” dan “plotting” (malahan perlu lari dari belenggu tipikal sekiranya boleh), zine komik ini sudahpun membina karakter-karakter tulen seperti Awe Metal dan Pojie Black sebagai pengisian utamanya. Elemen humor sangat penting dalam memenuhi pengertian sesebuah komik. Perkara ini ditekan dan diterap dengan baik dalam Acah-Acah #0.5. Untuk mengajak orang ketawa terbahak bukannya satu kerja mudah. Untuk mencuit hati pembaca, tergelak kecil dan tersenyum simpul sudah cukup mencapai objektif untuk zine komik karya Jerry ini. Dialog-dialog dilontarkan kelakar; kekadang sinis dan sadis pada tempatnya. Tidak sekadar lukisan-lukisan kartun, Jerry turut menghasilkan karya-karya bertulis; teks-teks satira menerusi kolum Berita Acahan dan paling menarik ruangan Galeri & Nostalgia Kaset. Bagusnya Jerry, beliau tidak mengetepikan kepentingan sesebuah komik. Pendidikan moral disuntik di segenap ruang Acah-Acah. Pasti ramai pembaca yang terkesan dengan komik semukasurat “Emak” dan puisi “Merdekakah Kita?”. Ini baru sebuah permulaan. Edisi “Woi! Cepatlah sikit!!” sempena Kota Bharu Zine Fest tempohari. Jerry yang saya kenali mempunyai semangat luar biasa, sifat juang yang menjulang serta disiplin dalam setiap perkara yang dilakukannya. Isu pra-perdana ini mungkin sedikit “tergesa-gesa” ekoran sifatnya yang “mahu cepat siap”. Pun demikian, matlamat kartunis muda kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini untuk memperkenalkan diri dan Acah-Acah komik zine telahpun tercapai. Pasti langkah-langkah susulan sedang disusun untuk melihat Acah-Acah mendewasa, menempuhi pelbagai fasa evolusi dan suka-duka dalam berkarya. Tiada jalan singkat Jerry, kejayaan adalah satu perjalanan yang panjang. Cintai apa yang anda buat dan lakukannya bukan kerana nama. Satu masa nanti, anda pasti sama sebaris memartabatkan scene komik indie tempatan, sepertimana antaranya Ahm Ahmad (Birat!), Aku Napie, Aneurysm, Amin Landak (Yak Bok Te) dan ramai lagi.

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #2.5


TRYPOPHOBIA – Isu #2.5
24ms / A5 / Bahasa Inggeris
Meskipun sekadar edisi promosi untuk Trypophobia #3 yang jika difahami hendak dikeluarkan pada hari berlangsungnya Kuala Lumpur Zine Fest 2017, isu bersiri #2.5 yang berketebalan 20 mukasurat (tidak termasuk kulit) ini sahaja sudah begitu berat dan ketat pengisiannya; padat dengan ilmu dan penuh dengan manfaat. Sepertimana ulasan saya ke atas isu-isu terdahulu Trypophobia, saya tidak berganjak dari pendapat mempertimbangkan inilah satu-satunya zine (pada tempoh era ini) yang membawa dan menitikberatkan ideologi serta budaya punk di dalamnya. Menerusi Trypophobia #2.5, kedua-dua editor; Ribut Cicak dan seseorang lagi yang hanya mahu dikenali dengan nama Fakkkiu kali ini (haha!) telah membentang dan memperbincangkan pemikiran serta fahaman punk mereka dalam artikel-artikel seperti Punk Of The Day, Straight Edge Or Die, Ism-Schism-Smism, A Brief Look Into Chaos Theory, dan Post-Modern Punk (sekadar menyebut beberapa judul). Saya turut begitu tertarik dengan penulisan editor dalam artikel Malaysian Punk di mana penulis mengeluarkan pandangan terhadap lima band tempatan yang mendapat sisi istimewa di hatinya: Carburetor Dung, Dum Dum Tak, The Garrison, Ben’s Bitches, dan Pusher. Selainnya, isu promo ini turut menyelitkan dua artwork di halaman terakhir untuk sedikit sesi “brainwash” otak kalian, haha!! Bayangkan ini cuma versi pengenalan untuk isu sebenar, jitunya kandungan Trypophobia #2.5 ini cukup menggambarkan betapa padunya luaran dan dalaman isu #3 nanti. Dan tidak ketinggalan, kredit saya untuk penampilan penghias kulit luar yang teramat “evil” pada isu ini, hihi!

Notasi | Laporan Akhbar: Festival Kumpul Penulis Muda


Mingguan Malaysia | Ahad 15 Oktober 2017 | Seni & Budaya | Mukasurat 33 | Festival Kumpul Penulis Muda – laporan akhbar oleh Abd.Aziz Itar mengenai Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017

Ceritera Bangkit! @ Selangor Zine Fest 2017


SELANGOR Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out telah diadakan pada Sabtu, 7 Oktober 2017 bertempat di Black Box, Tingkat 2, SACC Mall, Shah Alam. Buat julung kalinya aku menyertai acara sebegini, setelah sekian lama bergelumang dengan dunia penulisan dan pembikinan zine. Kalau nak dikira-kirakan, dah 24 tahun aku buat zine semenjak zine lama aku NATHIAS diterbitkan isu pertamanya pada Mac 1993 dulu. Untuk event ni, aku “beroperasi” atas nama BANGKIT! FANZINE, sebuah zine baru berpaksikan scene Hardcore Punk yang aku usahakan dua tiga tahun kebelakangan ni [Nota: Bangkit! #1 rilis Mei 2016].

Semangat aku nak join sama event macam ni sebenarnya meluap-luap, haha! Bukan apa, bila adanya event-event macam ni, aku rasa semacam scene zine-making tu dihargai dan segala benda suka-duka, kegigihan, kepenatan, pengorbanan.. pendekata “passion” dalam menulis dan terbitkan zine DIY ni selama ini berbaloi! Tambahan pula dengan deretan 8 isu Bangkit! Zine (5 regular series + 3 special edition) yang dah aku keluarkan setakat tarikh event tu membuatkan aku rasa yakin untuk turut serta mengambil bahagian. Dan, gila tak gila, semangat berapi punya pasal, sempat pulak aku sediakan BANGKIT! #5.5 keluaran khas Selangor Zine Fest 2017, huhu!   


Dalam seminggu lebih awal aku dah buat persiapan rapi. Habis semua pesanan / pembelian melalui pos aku “hold” kononnya bagi memastikan stok yang mencukupi untuk dibawa ke event, huhu! Selain daripada kesemua isu keluaran Bangkit! Fanzine, aku turut bawa beberapa rilisan terkini label kecil aku Blazt Promotion [Nota: Destroying Ears “Rotten Words” dirilis rasmi pada tarikh event ni] dan juga zine komik Acah-Acah yang aku impot dari Pasir Mas, Kelantan, haha! (bikinan kawan aku Rozairi Yahya a.k.a Jerry). Dah nama pun “first time” join event, jadi aku takde la harapkan bulan dan bintang.. ni cuma sekadar mengutip pengalaman baru, jumpa rakan-rakan scene zine. Semoga acara dan penglibatan aku dipermudahkan, tu jer yang aku nak. Aku gendong sekali anak sulung aku Safwan Nurhisyam untuk membantu. 

Hari Kejadian [7/10/2017]: Awal pagi lagi aku dan Hisyam dah gerak dari rumah di Selayang, takut traffic jam. Anak aku yang kecil, Nurhaziq Iqbal namanya meronta-ronta nak ikut sama (tapi aku tak bagi takut dia keletihan nanti) dan bestnya, wife aku turut bantu keluarkan pakaian dari sebuah bekas untuk masukkan barang-barang dagangan aku, cewah! (terima kasih sayang! – sorry selit ayat romantis sikit, hehe). Aku berbahagia dengan sokongan keluarga sebenarnya. Kami (aku dan anak aku) sampai di SACC Mall menghampiri jam 10 pagi. Displin ketepatan masa tu kena ada dalam diri, haha! Boleh pulak sesat dalam mall ni – salah tingkat lah, buka lif pintu nak masuk tutup lah, berpusing-pusing gak lah berpeluh mengangkut bekas yang agak berat. Bila dah jumpa area Black Box tu, suasana masih lengang. Para vendor belum ramai yang datang. Kami tak tunggu masa lama terus pilih booth yang kosong dan menyusun.

Berdasarkan pemerhatian aku, pengunjung hanya mula ramai yang datang bertandang sekitar tengahari (jam 12 ke atas). Alhamdulillah event berjalan lancar dan terima kasih kepada semua yang berkunjung ke booth Bangkit! Fanzine. Terima kasih kerana sudi membeli, menyokong mahupun yang sekadar bertanya khabar. Terharu. Zine bukan hanya akan “mati” bila tiada lagi yang mahu membuatnya tetapi juga bila tiada lagi yang mahu menyokongnya. Aku nak cerita jugak, boleh pulak pagi tu si Nizang Mosh bawak sorang student UITM (pelajar kewartawanan tak silap) datang interview aku, pasal zine-zine dan event ni lah. Aku tak pasti dia (student tu) faham ke tidak apa aku cakap. Maksud aku bukan faham tentang pengisian percakapan, tapi suara “itik tercekik tulang” aku, kahkah! Lantak kau la labu, huhu!

Penghargaan: Aku bagi pihak Bangkit! Fanzine nak ucap terima kasih sesangat kat event Selangor Zine Fest ni secara keseluruhan; pihak penganjurannya bro Ali Rafiq (Kedai Buku Mak Ali), bro Zaki (Dystopia Assembly) dan terutama sekali encik Aku Napie yang beberapa kali bertanyakan “confirmation” penyertaan aku dalam event ni. Acara sebegini sememangnya baik dari pelbagai sudut meskipun peringkat awal tu aku agak “cuak” dengan persekitaran venue yang agak terdedah kepada umum (maklumlah sekeliling kedai-kedai tudung dan pakaian dengan makcik pakcik window-shopping bersama anak-anak dara jelita mereka, kahkah!) tetapi hingga berakhirnya event (sekitar 10 malam) semuanya berjalan lancar, selesa dan harmoni. Kredit juga untuk persembahan selingan yang menghiburkan. Aku gembira berjumpa orang-orang yang hebat di sana, bertemu kawan lama dan rakan baru. Terima kasih semuanya. Nanti kita jumpa lagi!

Okay, berikut beberapa foto yang aku sempat ambil untuk dijadikan kenang-kenangan. Maaf jika tak semuanya dapat aku petik ekoran “kesibukan” menjaga booth, kahkah! Apa pun, korang semua berada dalam bingkai-bingkai potret memori. Fuh, bersastera la pulak.

BANGKIT! #5.5 keluaran khas Selangor Zine Fest. Daripada 40 naskah yang dibawa, bila balik kira semula baki tinggal 6 naskah. Syukur.

Kolaborasi dahsyat Hafifi Anak Bukit dan Man Dugong Cinta Si Penggali Kubur.

KVLTS – Band ini memang wow!!

IN A SENSE rocks! Nantikan mereka dalam Bangkit! #6.

Kolektif Sarata launching their zines; Manusiasi #5 / Paragila #7 / Konversasi Sulit: Sebelah Tangan / 96:01 Emansipasi

P-RM – Really love this band!

AYAM HITAM memang ada kelasnya yang tersendiri. Power!

Seronoknya di zine fest ni.. selain menjual zine beli juga zine kawan-kawan lain untuk bacaan/koleksi sendiri. Yang sedang dibaca ni Trypophobia zine.


Sehari selepas event aku tidur lebih separuh hari, haha! Badan sakit-sakit maklumlah dah tua, huhu! Ini sahaja stuff yang sempat aku miliki dari event Selangor Zine Fest. Sebahagian besarnya aku beli dari booth-booth lain di event, ada satu dua yang trade/swap manakala tshirt/kaset 13DAS tu barangan pemberian kiriman band tu melalui bro GLord Records yang datang turut bawa vinyl The Bollocks “Viva La Punk”. Sebenarnya banyak yang list dalam kepala otak nak beli sebelum balik tapi bila dah sampai rumah baru teringat itu lupa ini lupa… biasalah!

Berikut ni pula aku nak abadikan beberapa gambar lain [yang dipetik orang lain, haha!]:

bersama Abdul Aziz Itar (Utusan Malaysia / penulis buku Ribut Dari Timur / editor Vortex From The East zine). Legend dia ni! Ajis beritahu laporan event #selangorzf2017 akan masuk Mingguan Malaysia, Ahad 15/10/2017.

bersama Fariz Fahami (vokalis KVLTS / Desecrate AD). Thank you bro pasal sudi trade cd KVLTS dengan Bangkit! Fanzine.

bersama Oliver a.k.a Ribut Cicak (salah seorang editor Trypophobia zine). Trypophobia ni very-very powerful “punk culture” zine. Korang kena dapatkan segera. Aku ada semua issue yang release setakat ni; #1 (versi A6 dan versi A5 dedua aku ada), #2 dan #2.5 (promo edition untuk #3). Lots of knowledge, lots of idea, really informative. Recommended!

Sekian. Terima kasih sudi baca al-kisah “Ceritera Bangkit! @ Selangor Zine Fest 2017” aku ni. Kalau tiada aral melintang, Bangkit! Fanzine berminat untuk join event Kuala Lumpur Zine Fest 2017 pula nanti (dijadualkan pada 9 Disember di Atas by Bijan FX, Petaling Jaya). Jika berkesempatan, aku nak keluarkan dua isu time tu; BANGKIT! #6 (menampilkan In A Sense, Brawk, Republik Anak Timur, 13, Piri Reis, Anak Bukit, Soft, Sepu10h, Shizuka Ben Aman, dsb) serta edisi khas KLZF2017 tu sendiri iaitu BANGKIT! #6.5 (mengetengahkan Petak Daud, Nizang Mosh, Aku Napie, Ocha Vozvyshennyy, dll). Aku tutup laporan ni dengan laungan: “Jom bikin zine la woi!”.

Sabtu, 7 Oktober 2017

BANGKIT! FANZINE – Isu #5.5


Dilancarkan pada 7 Oktober 2017. BANGKIT! #5.5 – keluaran khas Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017. Mengetengahkan band-band antarabangsa: Temubual eksklusif dan liputan “Live in Rumah Api” bersama MY OWN VOICE (Itali), wawancara “live” bersama NOXA (Indonesia) serta interbiu ringkas bersama FLAT SUCKS (Jepun). Turut memuatkan artikel “tribute” Chris Cornell (1964–2017), karya-karya seni termasuklah puisi, komik dan ilustrasi. Semua ini dipadat-mampatkan dalam zine mini 28 mukasurat, bersaiz A5 dan ditulis dwibahasa. Dapatkan edisi istimewa ini di tapak acara [lihat flyer di bawah] atau melalui pesanan pos. Up the punx!

Harga: RM3 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM1 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM7 poslaju Semenanjung / RM11 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570



Informasi mengenai Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017 sepertimana di laluan berikut:

Selasa, 3 Oktober 2017

Interbiu | FLAT SUCKS : 27.09.2017


FLAT SUCKS is scheduled to have a mini tour in Malaysia & Singapura on the coming 28 – 31 October 2017. The band from country known as "Land of the Rising Sun" has put out their new album “Osoru Osoru” few months ago, and will be available here in cassette tape format by Tempang Records. Bangkit! Fanzine has recently arranged a brief conversation with Flat Sucks. Here is the feedback, replied by their vocalist, Kaoru Merda Hayata on 27th September 2017. – Interview by Pyan Nathias

Hello. How’s life in Osaka lately?
Chaos as ever, I saw a cos-play dance team practicing in a local park in the morning. 

Please introduce us the background and line-up of Flat Sucks?
Flat Sucks was formed by students attending to the same university in Kyoto in the Spring of 2010. The band currently consists of Kaoru (Vo), Kaori (Ba), Hiroki (Dr), and a new guitarist Hiroshi who joined them in Summer, 2017. The name of the band “Flat Sucks” means “Being normal sucks”. We recognize ourselves as a “Fantastic Athletic Hardcore Punk Band” because of our eccentric live performances and our variety of different song constructions.


What has the band released so far?
EP: 
The Nap Time (CDR)
Kikaika-Ningen/MaiPenRai (CDR)
Split:
Juanito 4 Guns (Cállate <CL> / Flat Sucks / Venkman <US> / xDeloreanx <IT>) (Cassette, Tobi Records & Ponx Presents) 
Studio Album:
Osoru Osoru (CD, Tani9 Records)

Tell us more about your new album “Osoru Osoru”? Are there any different as compared to the previous one “The Nap Time”?
The first album “The Nap Time” was recorded in the rehearsal studio by ourselves. We really love recording the songs with “raw” sounds as we do in live performance. But we decided to record the new album with the great music engineers in Osaka. This new album, “Osoru Osoru” includes re-recorded songs from “The Nap Time” and brand new songs (#2, #7, #9, #14).


Heard that you’re going to have a mini tour in Malaysia by end of October and have been told that it’ll be your second time here, right? What have you plan and going to expect for this time?
Yes, this is the second time to have a tour in Malaysia. At the first time, we had shows in KL and Johor supported by my man Enol of “Alchemy of Sickness”. Every show had a great success. We really like the underground music scene in SE Asia. People are so nice.
This time, we’ll have a tour with support from Hadi and Kenith of “Tempang Records”, and Hasib of “Azadghei Distro”. And we’ll have shows in KL on 28th, in Batu Pahat on 29th and in Singapore on 31st October. We are so excited to have shows with amazing bands each days. We want to feel local punk culture deeper and deeper. 

Also heard that “Osoru Osoru” will be pressed here on cassette tape by Tempang Records. Say something about it.
Terima kasih, Tempang Records. 
1. The super horrible and beautiful artwork by Kaoru (Vo.)!
2. The music not simply categolized as punk!
3. Listen to Flat Sucks behind the back of your parents!


How would you define the music of Flat Sucks? Where the influences come from?
Well, it’s not so easy to define. Our music is basically hard-core punk, but also new wave in some senses.  You can judge for yourselves!. We are influenced by The Stalin, The Comes, Gauze (JP) and Wire, Dead Kennedys, Minor Threat, Verbal Abuse, and so on. 

What exactly your lyrics all about?
That’s our frustration to shitty world (especially in Japan) and people who place limits on themselves, and BIG love for backpaking at the same time. Mai Pen Rai. 


End up this brief interview with any last words. Thank you & welcome to Malaysia (soon). 
¡El pueblo unido, jamás será vencido!


Remark: As per appeared in Bangkit! #5.5

Jumaat, 29 September 2017

Notasi | Edisi Pengenalan Yang Dibatalkan!


sekadar perkongsian: 

BANGKIT! #0 [Edisi Pengenalan] – sebuah issue yang tidak pernah diketahui umum, tidak pernah dimaklumkan kepada sesiapa pun sebelum ini, tidak diterbitkan dan secara teknikalnya dibatalkan. Kalaupun ada master copy / digital file isu ini, ianya tidak rasmi atau bahasa omputehnya "unofficial" (sebab aku anggap ia tidak wujud). 

Apabila Ocha Vozvyshennyy beri komen balas "tolong riliskan bangkit #0 tu pleaseee? nipis pun takpe, ada value dia" dalam status aku terdahulu, balik rumah tadi aku terus cari semula sampel kulit luar yang aku teringat aku pernah print (rujuk foto). Bukannya apa, aku terkenang banyak perkara. Di sini bermulanya idea awal dan asas penerbitan Bangkit! Fanzine yang ada sekarang. Pembikinan "isu percubaan" ini terbengkalai di mana aku begitu "down" bila arwah abah aku sakit dan pergi buat selamanya pada masa tu. Sedikit demi sedikit, pelahan-pelahan aku bangkit kembali dan hasilnya aku realisasikan terus Bangkit! #1 pada Mei 2016 tanpa perlu ada sebarang Edisi Pengenalan. 

Bangkit! Fanzine sebelum keujudannya aku bermula dengan blog "Up The Punx" terlebih dahulu. Bila datang keinginan untuk menjadikan penulisan-penulisan online kepada format fizikal paper fanzine, nama BANGKIT! memang nama pertama yang terlintas dalam fikiran aku, dipacu dari nama "Up The Punx" itu sendiri. Kredit & terima kasih kat Ahmad Nizamuddin Abdullah aka Nizang Mosh sebab dialah orangnya yang aku refer untuk dapatkan nasihat / pandangan tentang penggunaan nama tersebut dan beliau mengesahkan tiada zine bernama BANGKIT! sebelum ini dalam scene tempatan. 

Terima kasih juga kat Johan aka Trashnoiser dari blog Noise From Hell zine sebab contribute banyak bahan untuk disiarkan masa aku sedang bikin "isu yang tak menjadi" ni, huhu.. maaf kerana terpaksa "reject" beberapa daripadanya apabila isu ni bertukar wajah menjadi Bangkit! #1.

Nota: Kalaulah Bangkit! #0 ni dikeluarkan satu hari nanti, rasanya akan kekal dengan kandungan & pengisian asal tanpa ada tambahan benda/bahan baru. Ia perlu keluar (jika dikeluarkan) dalam format sepertimana ia sepatutnya keluar pada waktu itu iaitu Disember 2015 / Januari 2016.

– Pyan Nathias, 29 September 2017

Notasi | Bangkit! Lahir Dari Rasa Cinta


Tak sangka aku telah melakukannya. Bangkit! Fanzine – sejumlah 8 isu diterbitkan setakat ini; merangkumi 5 “regular series” + 3 “special issues”. Syukur Alhamdulillah di atas segalanya. Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang menyokong, mendorong, membeli & membaca naskah-naskah yang aku kira taklah seberapa ini. Mohon maaf andaikata masih banyak kekurangan & kelemahan sana-sini dalam zine ini. Aku hanya buat sekadar mampu, semuanya demi cinta & sokongan kepada scene tempatan. Bangkit! Zine ni sentiasa menjadi pengalaman & cabaran baru untuk aku sendiri sejak aku mulakan projek ni dan isu pertama rilis pada Mei 2016. Mudahan ia terus berkembang dan tidak terhenti, selagi ada keizinan-Nya, inshaaAllah. Bangkit!

Nota: 
1. Aku pernah cuba keluarkan Bangkit! #0 (edisi percubaan) sekitar Disember 2015 / Januari 2016 tapi terbengkalai & terbatal bila arwah bapa aku meninggal dunia. Aku “down” dan sedikit demi sedikit bangkit semula untuk terus merealisasikan Bangkit! #1 tanpa ada edisi percubaan.
2. Harga semua issue, termasuk #5.5 yang cadangnya nak launch dan mula diedar pada #selangorzf2017 ngam-ngam RM50. Never planned but it happens, hehe!
3. Bakal menyusul: Bangkit! #6 (Brawk, In A Sense, RAT, 13, Piri Reis, Anak Bukit, Soft, Sepu10h, Shizuka Ben Aman, etc) dan Bangkit! #6.5 (Petak Daud, Aku Napie, Nizang Mosh, etc). Bahan-bahan interview semua dah ada tapi macam biasa la part review lambat siap. So, tunggu ia kembali bangkit!

Sorry tulis status panjang-panjang, ditulis untuk diri sendiri untuk kongsikan bersama kalian. Bangkit! lahir dari rasa cinta untuk korang semua.

Pyan Nathias, 29 September 2017

Khamis, 28 September 2017

BANGKIT! #5.5 dalam pembikinan!!


Dalam pembikinan apenya, haha! Dah siap pun, huhu! BANGKIT! #5.5 – sebuah lagi keluaran khas, sempena Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017. Isu ini nak dilancar dan mula diedarkan pada event tersebut, bertarikh 7hb Oktober 2017 di Blackbox, Level 2 SACC Mall, Shah Alam. Isu ni sebenarnya takde dalam perancangan pun, tapi ntah apa mimpi aku “ter” buat la pulak, haha!


Setelah melalui fasa "try & error", aku putuskan menukar warna kulit dari perancangan asal hijau tua kepada hijau muda yang tampak lebih manja & ceria [sebenarnya aku terjumpa kertas kaler ni beratus keping duk ada dlm kotak bwh katil, haha]. BANGKIT! #5.5 serupa sepertimana isu #2.5 (edisi KLZF2016) yang hanya sekadar 28 mukasurat (harga dicadangkan juga sama, cuma RM3 senaskah). Nipis? Bangkit! Fanzine sebagaimana biasa senantiasa menjanjikan kepadatan!

Bangkit! Fanzine sebagaimana konsep & halatujunya 100% untuk band-band dan scene tempatan (Malaysia). Since aku dapat dua interbiu dangan band luarnegara dari rakan-rakan penyumbang, maka aku guna edisi #5.5 untuk siarkan interbiu-interbiu tu plus aku tambah 1 lagi temubual ringkas, jadi ada 3 band interview dalam ni – MY OWN VOICE (Itali), NOXA (Indonesia) dan FLAT SUCKS (Jepun). Lain-lain pengisian termasuklah artikel “tribute” Chris Cornell, sajak, komik, ilustrasi dan sebagainya.   

Ok, jumpa nanti di #selangorzf2017 dan dapatkan BANGKIT! #5.5 ni di sana.


Informasi mengenai Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017 korang check sini:
facebook.com/SelangorZF
facebook.com/events/2004050166473133

Isnin, 18 September 2017

Interbiu | CUKONG PRESS : 17.09.2017


Ilmu Adalah Senjata. Itulah pendirian dan perjuangan CUKONG PRESS, sebuah rumah penerbitan berhaluan kiri yang dilihat begitu aktif dan produktif dalam menulis serta mengeluarkan bahan-bahan bacaan radikal, anarki dan segalanya yang berpaksikan perlawanan. Usaha kolektif ini seakan tidak mengenal penat dalam menyalurkan ilmu dan pendidikan, meskipun dalam keadaan mereka sendiri tenat. Semua ini bukan juga atas dasar minat semata-mata, tetapi lebih menjurus kepada kesungguhan dan kebertanggungjawaban terhadap matlamat mereka. Cukong tidak terhenti sekadar penerbitan buku dan zine malah terus berkembang dengan pelbagai produksi dan aktiviti-aktiviti lain. Diskusi ini bersama Ocha Vozvyshennyy. Beliau bukan sahaja salah seorang penulis utama, tetapi individu penting di belakang keujudan dan pergerakan Cukong Press. Untuk makluman, Cukong Press hari ini diterajui sepenuhnya oleh Butan, Din Tonggak, Redo Gemok, Kolo (Aisy) dan Ocha. – Temubual oleh Pyan Nathias

(1) Cerita sikit latarbelakang Cukong Press ni. Apa yang mendorong dan mencetuskan idea kepada wujudnya publisher ni? Apa dasar dan sasarannya?

Ni kan bang, soalan yang jawapan dia ramai belum tau, sebab jarang orang interview Cukong Press ni. Kalau ada orang interview pun budak universiti / kolej yang buat dorang punya kerja, aku yakin lecturer dorang reject interview tu, muahahahaha..

Ok, kita mula, Cukong Press secara rasmi wujud pada Januari 2015, secara seriusnya nama Cukong Press digunakan, aku malas nak cerita pasal nama lama (Bayangan Biasan), sebab kau interview pasal nama Cukong Press. Asalnya Cukong ditubuhkan secara bersama, aku (Ocha), Nami dan Aepool, kami bertiga yang asaskan kolektif ni. Cukong Press berdiri pun atas sebab aku dan Aepool bangunkan space art Rumah Bayang, lepas tu Nami masuk tumpang dan akhirnya jadi sebahagian dari kolektif Rumah Bayang / Cukong Press. Oleh sebab minat kami yang sama dalam bidang buku, kami bersetuju melahirkan sebuah rumah penerbitan yang serius dalam mempunyai fokus menerbitkan bahan bacaan radikal berunsur ilmiah dan ideologi, juga politikal.

Pada awalnya, kami menerbitkan bahan bacaan yang kami gelar pop-radikal, bahan seperti novel, cerpen, puisi yang berasaskan radikalisme dan politikal kiri. Kami betul-betul fokus dalam hal isi yang diterbitkan, kerana kami sendiri adalah para pengamal ideologi anarcho-kolektivisme, terutama aku dan Aepool yang mana kami telah berkawan cukup lama dari waktu bermain tear gas, sampai kami mula meninggalkan tear gas dan dekat dengan masyarakat.

Dasar kami cukup mudah, Lawan penindasan! apa segala bentuk penindasan, berterus terang, berani untuk ilmu, anarkisme adalah darah kami, siapa pun berani menuduh kami anarkis sesat, kami tetap menjawab, kami adalah ANARKIS! Pelanggan tidak selalu betul! kami lawan siapa pun yang berlagak dengan duit mereka, sebab kami terlalu ramai manusia baik berbanding mereka yang berlagak suci, jadi kami tidak akan tunduk pada sesiapa pun.

Sasaran kami juga cukup mudah. Mampos la penindas-penindas di masa akan datang setelah kami berjaya menyebar subur ilmu yang kami tanam pada anak muda hari ini, biar kami mampos di tali gantung, supaya anak cucu kami menyanjungi ilmu yang kami curahkan, dan mereka mempunyai semangat untuk mencurahkan minyak petrol ke atas kepala-kepala bapak korupsi dan membakar mereka.

(2) Semenjak ianya bermula hinggalah ke hari ni adakah kau gembira dan berpuashati dengan tujuan-tujuan dan pencapaian Cukong Press?

Sejujurnya aku selalu puas hati, dari segi kolektif hingga masyarakat. Kita mula dengan kolektif, kalau kau nak tau, Aepool dan Nami bukan lagi sebahagian kolektif Cukong Press, kolektif silih berganti, tapi apedehal, yang penting bukan menjaga kepuasan individu, tetapi kepentingan kolektif yang lebih diutamakan, sedar atau tak, hari ini Cukong Press ada 5 ahli kolektif yang betul-betul rakus dan mempunyai semangat yang tinggi dalam hal-hal penulisan, sehingga kami berjaya melebarkan sayap Cukong Press dengan tertubuhnya Pickpocket Press dan Monkey Zine, ya, semuanya berjalan dengan lebih baik hari ni.

Sejak tertubuhnya Cukong aku beberapa kali pernah cuba menghentikan semua ni, kau tau la, hidup dalam kolektif bukan benda mudah, kita bukan kolektif “part time” yang ahli dia pergi kerja, hujung minggu baru lepak space, tak!.. kami kolektif makan, tidur, sakit semua sama-sama, kami buat kerja ni full time, orang minta kurang kami bagi, orang minta itu ini gift kami hulur, last-last kami sendiri susah, tapi apedehal, kami yakin dengan apa yang kami buat, walaupun beberapa kali dihalau tuan rumah sebab tangguh sewa.

Hal pembaca pulak, aku rasa setakat ni semua ok, cuma ada beberapa ketika, waktu kami mula-mula bergerak, orang komplen pasal kualiti buku (kami buat buku handmade), sejak tu aku berusaha untuk lahirkan buku handmade terbaik dan ajar kawan-kawan lain supaya kualiti terjamin, sekarang ok dah kot... kahkahkah!

(3) Beberapa keluaran Cukong adalah bahan terjemahan / alih bahasa contohnya macam “Sindikalis Dalam Revolusi Rusia” atau “Anarki: Sebuah Panduan Grafik”. Apa antara kriteria utama pemilihan sumber-sumber asal yang hendak diterjemahkan tu?

Oh, buku terjemahan semua aku yang terjemah, kriteria dia adalah aku suka buku tu dan aku terjemah lah! muahahaha... tak la, ada buku yang aku rasa masyarakat dapat terima cara penceritaan dia, so aku terjemah lah, tambahan pulak, buku tu senang nak terjemah, kalau kau suruh aku terjemah Das Kapital, aku tutup terus Cukong ni.. kahkahkah... sebenarnya tak ada la kriteria mana pun, cuma pastikan dia tak fasis, rasis, pro monarki, pro nasionalis, dan sekutu dengannya la, kami anarkis paham? anarkis! kakakakaka... buku-buku yang berunsurkan agama pun tengok gak la, kalau ada yang lepas, aku lepaskan jugak, tak la diskriminasi pun, cuma kebanyakkan penulisan yang masukkan unsur agama ni aku elakkan sebab biasanya dia fasis.

(4) Bagaimana pula dengan buku / zine yang dihasilkan penulis-penulis di bawah Cukong Press sendiri, apa skop kandungan dan pengisiannya?

Cukong ni bosan, sebab pengisian dia sama, anarkisme, komunisme, anarkisme, komunisme, anarkisme, komunisme, ha tu jela... jadi, terjemah ke, penulis ke, rupa dia tu je, nak buat macam mana, dah kami anarko, jangan kau minta buku Mein Kampf pulak, mintak penerbit lain la, kami ada prinsip, jangan kau templak kami tak menganjurkan kepelbagaian ilmu plak? kami bukan rumah penerbitan yang lempar apa saja, kami ada prinsip tau? kakakaka... dah banyak buku yang berunsurkan politik kepartian, ultra agama, dan nasionalisme aku reject tanpa belas kasihan, geram jugak aku, dia tak kenal ke Cukong Press sebelum dia hantar manuskrip tu? penat tau aku nak review, alih-alih isi tahi (bagi aku la).

(5) Senaraikan 10 buku / zine terbitan Cukong Press paling laris?

Paling laris sejak 2015, satu-satunya buku yang menggegarkan kerusi pemimpin korup adalah KL – Lagenda Urban Yang Digelapkan. Buku ni ditulis oleh semua ahli Cukong terdahulu dengan daya kami sendiri, inilah buku terbaik pernah kami hasilkan sepanjang riwayat Cukong setakat ini.

Antara buku lain adalah:

2. Anarki: Sebuah Panduan Grafik
3. Pudu
4. Deklarasi Perang
5. Selimut Fasis
6. Perang Tani di Jerman
7. Bonnot Gang
8. Penghambaan Politik
9. Manusia Melangkah
10. Carlo Cafiero

(6) Sebutkan judul 1 atau 2 atau mungkin 3 buku / zine yang paling Cukong Press sarankan untuk dibaca dan terangkan sedikit kenapa perlu dibaca?

1. Biasanya bagi orang yang tak biasa dengan bacaan kami “spark plug” dia adalah KL – Lagenda Urban Yang Digelapkan. Aku yakin lepas tu kau kene mandrem dengan Cukong Press dan ketagih macam kau “rindu” ganja, kakakakaa... sebab buku KL ni artikel dan kisah dia menarik, ramai orang tak tahu semua kisah yang kami jumpa ni. Tak kire kau minat genre apa sekalipun, bila kau baca buku KL, kau akan tersangkut, aku jamin 400%!

2. Biar aku selfish sikit la eh? bagi can la? aku sarankan buku aku sendiri, hahahaha... Deklarasi Perang. Deklarasi Perang ni adalah buku essei di mana aku huraikan puisi terbaik bagi aku dengan tajuk yang sama.

3. Oleh sebab kau bagi sampai 3 choice, aku guna semanfaat mungkin, wuhuuuu... aku nak orang baca Anarki: Sebuah Panduan Grafik, fuhh... buku ni sedap weh kalau kau nak kenal anarkisme, anarkisme bukan geng baju hitam pecahkan mcD paham? anarkisme dibina oleh ni orang-orang bijak! kahkahkah!

(7) Cerita sikit pasal division Cukong yang lain macam Cukong Media, Cukong Merch, CP Sindiket dan lain-lain lagi kalau ada yang mungkin aku tak tau.

Banyak weh, hahahaha... aku gila merchandise, aku kalau boleh handphone pun nak buat sendiri, tapi apakan daya, nak beli beras tadi pun nak kene singgah kedai mesin try luck, hahahaha... Cukong Merch dengan Cukong Media adalah cabang yang terawal kami buat, tapi tula, kolektif dulu jenis ahli kuat tido dan layan diri sendiri lebih utama, maka terbengkalai, aku pun semak, aku buat bodoh, aku fokus pada buku.

Sampai bila kami semakin wise dalam hal-hal penerbitan, aku tubuhkan CP Sindiket (Pickpocket Press, nama baru) yang memberi fokus bahan bacaan fiksyen radikal (pop-radikal seperti Cukong awalnya), kerana Cukong telah mengambil peranan menerbitkan bacaan yang non-fiksyen dan lebih keras, Pickpocket Press aku bagi kepercayaan pada Redo Gemok untuk uruskan, dan satu lagi cabang adalah Monkey Zine, yang diuruskan oleh Kolo (15 tahun, berhenti sekolah, fuck sekolah katanya), Monkey zine kerja dia ciplak zine, jaga-jaga la zine korang, kahkahkah... takde lah... kami tau batas menjaga hubungan kawan-kawan dan persekitaran.

Cukong Merch, buat merchandise la, cuma kami slow sikit, sebab, dalam Kolektif Rumah Bayang ni ada Organisasi Terlarang, kami banyak bagi laluan pada mereka untuk keluarkan merchandise, jadi Cukong Merch fokus pada merchandise Cukong Press jela, supaya orang tak keliru posting merchandise dari pihak mana nanti, kang semua nama Cukong je tapau, baik tutup je semua page lain.. kahkahkah... sebenarnya kami sama je, bawah Rumah Bayang, cuma pengurusan diagihkan supaya semua ada peranan tanpa ketua.

(8) MONKey Zine tu apekebenda pulak?

Aduh, dah cakap dah tadi, nampak sangat tak fokus, kesian aku, penat nak jawab berulang, kakakakaka... Monkey Zine asalnya nak dijadikan distro untuk semua kawan-kawan buat zine kumpulkan, last-last si Kolo ni punya malas nak berurusan dengan orang, dia plagiat je semua zine, aku lantak kan aje, esok lusa apa nak jadi, jadi lah, sebab bagi aku, dia perlu lalui proses pembelajaran dalam menerima tohmahan dan pujian, aku biarkan je dia uruskan semua hal ikut kehendak dia, boleh jadi dia ada alasan dia sendiri yang aku sendiri kene belajar pada dia satu hari nanti, tak ada batasan umur pada ilmu beb!

(9) Rumah Bayang tu apa sebenarnya dan apa yang ada di situ?

Rumah Bayang tu rumah hantu... kahkahkah kahkahkah... aduh, aku dah ketawa sorang-sorang ni... naya la...

(10) Kau rasa orang kita ni malas membaca atau memang tak suka ilmu? 

Susah nak cakap bang, aku tak berani kata orang malas membaca, sebab dorang bukak fb setiap hari, dulu tak ada fb orang bukak surat khabar setiap hari, jadi di mana malasnya?

ok, aku paham sebenarnya maksud soalan kau, bagi aku ini semua adalah kerana kerja jahat autoriti yang suka menakut-nakutkan masyarakat sebab diorang melorong masyarakat ke arah satu ilmu semata-mata, autoriti menyusup sorok ilmu-ilmu yang boleh menggugat kedudukan mereka dari diberi kepada rakyat, kerana itulah, rakyat tidak biasa dengan sesetengah ilmu yang bagi mereka bukan kebiasaan. Oleh kerana ketakutan itu juga mereka tidak membaca dan membeli bahan bacaan selain dari bahan bacaan kebiasaan yang beredar di kedai buku.

Dan antara yang bangangnya adalah mat-mat konon otai yang cakap “la... ada lagi ke orang tulis zine ni? aku ingat zine ni zaman aku sekolah dulu je”, depa tak terdedah dengan kepelbagaian jenis bahan bacaan, ada ke patut orang fikir zine ni untuk budak sekolah?? dia ingat kita tulis “knowledge” maksud Adidas dengan Levi’s ke dalam novel tu? barua punya “otai”.

(11) Ok bro, last... kau cakap / tulis aje la apa yang kau nak bagitahu kat penutup interview ni biar orang tahu & faham apa adanya dengan Cukong Press.

Aku ni orangnya suka cakap direct bro, sebab tu jugak aku rasa ramai yang tak senang dengan aku, dan aku suka pergi mampos kan orang! kakakaka... macam ni, biar faham, Cukong Press mengamalkan konsep dan sistem anarkisme dalam kolektif, kami berbahagi samarata, kami publisher kecik, jualan paling laris kau ingat sampai 1000 copy ke? burit la nak sampai 500 pun tak, dan keuntungan setiap jualan kami tanggung rumah dan makan kami, itu pun nak makan sedap kene tunggu kawan datang ziarah dan belanja, hahahaha... kami buat buku DIY, DIY ni kau buat utk pakai sendiri murah la bro, tapi kalau kau nak jual balik, kos dia tinggi lagi, sebab tu karpet handmade dengan karpet mesin, lagi mahal karpet handmade, so kau orang tak patut persoal ke aku kenapa buku Cukong mahal, nak baca beli, takde duit curi, menyampah maki, apa kami peduli???

Isu royalti, bukan tak nak bagi, tapi tak mampu, kang kami janji, tak tepati, lagi kami mati! kakakakaka.. Jadi seeloknya, kami akan buat persetujuan awal dengan penulis, kami paham kau minta royalti, tapi kau hantar la ke publisher lain, bukan kami, sebab kami kaki maki! yeah!

Apa pun terus la support kami supaya kami menjadi penerbit paling banyak menyumbang semula kepada masyarakat, mana yang follow kami lama tu tau la apa kami dah buat selama ni, duit hasil pembelian korang kami tak bazir sikit pun untuk kepentingan kami, semuanya demi yang satu. Masyarakat!

Terima kasih abang Pyan sebab sudi interview Cukong Press, perkataan “aku” tu anggap jela mewakili “kami”, aku malas nak tukar. Terima kasih, terima kasih, terima kasih.



Nota: Interbiu ini dibuat untuk disumbangkan kepada Manusiasi Zine #5, suntingan Khasreena Afiqa @ Kesi. Kenali Manusiasi Zine di:

Sabtu, 16 September 2017

BANGKIT! FANZINE – Isu #5


Setelah menempuhi beberapa fasa kesulitan, pembikinan BANGKIT! FANZINE #5 akhirnya dapat diselesaikan dan terbit secara rasmi pada 15 September 2017. Isu kali ini menampilkan temubual bersama BAD IDEA sebagai coverstory / highlight. Juga disediakan interbiu-interbiu bersama DERITAxTERUS, EMERGED, BROKENTAPES INCIDENT, HEGEMONI, PELIGROSOS, TOTAL SICK, STORY ENDS, DELUSI dan EXPURGATED. Dalam isu kelima ini juga ada artikel (di bawah kolum Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan) ditulis oleh Farisi Che (vokalis band Hegemoni) serta ulasan showcase Showdown In Borneoland oleh Adi Herman. Seperti biasa turut dipaparkan ruangan informasi / buletin scene hardcore punk tempatan, rebiu-rebiu CD, Tape dan Zine serta satu komik sumbangan Roots Radicals. Semua ini ditulis dalam Bahasa Melayu, 52 mukasurat bersaiz A5.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM1 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM7 poslaju Semenanjung / RM11 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570







Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! #5 – sila berhubung!

Rebiu | MOSH – Isu #18


MOSH – Isu #18
104ms / A5 / Bahasa Melayu
Mosh Zine – satu nama yang sudah begitu kukuh dalam scene penulisan dan penerbitan DIY tempatan. Ini zine yang tidak boleh tidak, wajib berada di tangan dan dibaca oleh setiap penyokong muzik punk/hardcore malah pengumpul koleksi zine/fanzine di negara ini. Mosh tidak perlu kepada pengenalan lanjut mengenai keberadaannya dalam scene. Ianya telah bertahan begitu lama, dihasilkan demi keperluan dan kepuasan kalian semua tanpa mengenal erti penat. Bagi yang pernah memiliki edisi dok dang dang Mosh #17.5 (diterbitkan sempena KL Zine Fest pada 8 Oktober 2016 lalu), anda mungkin telahpun mendapat serba sedikit gambaran awal kandungan dan pengisian Mosh #18. Rilis secara rasmi pada 24 Februari 2017, Mosh #18 adalah edisi yang lengkap. Ya, serba lengkap dan sempurna! Isu ini mengetengahkan temubual bersama Johny Comes Lately, Cinta Si Penggali Kubur, Kah Kah Celaka, Rejected Kids, The Pilgrims, The Needles dan juga OOMK zine (satu-satunya bahan bertulis dalam Bahasa Inggeris). Bangga saya kali ini ini kerana turut menyumbangkan 3 buah soalan dalam interbiu bersama Johny Comes Lately. Banyak juga artikel-artikel menarik yang dimuatkan antaranya Lumpuh Di Temerloh (oleh Riduan Mohamad), DDT di Sabah, Bah! (travelog mini tour Dum Dum Tak tulisan editor zine ini, Nizang), Rumah Api Takkan Mati (oleh Adi Salvatrucha), Meat is Murder (cerpen ditulis dalam Bahasa Melayu oleh Matyie Abahaydar, penulis novel Paramalang), Hingga Hujung Hayat (catatan-catatan transplant – oleh Nizang yang melalui sendiri proses transplant tersebut), Madu & Racun (himpunan nota-nota pendek), Aku, Pen Marker dan The Dillinger Escape Plan (personal writing oleh Amirull Jaafar) dan ulasan eksklusif buku Aku Anak Punk. Tidak ketinggalan Mosh #18 turut menyelitkan beberapa karya senilukis dalam bentuk komik dan illustrasi, antaranya sumbangan Farriese (komik 2-mukasurat berjudul Persepsi), artwork-artwork oleh Raimi Barbarossa, Aku Napie, Irwan JCL dan Adi Shutterscream. Ruangan “butthurt” pula melibatkan sejumlah 5 mukasurat ulasan-ulasan editor ke atas beberapa produk zine dan muzik. Semua ini; merangkumi keseluruhan texts, arts & rock n roll sepertimana slogan junjungan Mosh Zine adalah satu himpunan bahan-bahan yang penuh pengertian, begitu banyak menyalurkan inspirasi dan perkongsian berguna kepada para pembacanya. Inilah kelebihan dan kekuatan Mosh, bukan sekadar bacaan kosong tanpa manfaat. Cepat dapatkan Mosh #18, ianya berbaloi dengan nilai RM yang kalian bayar untuk senaskah zine berkualiti seperti ini. Diterbitkan oleh Karya Raya Resources dan edaran menerusi Kidal. Hubungi nizangmosh@gmail.com. RM15 tak termasuk pos.

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #1


TRYPOPHOBIA – Isu #1
44ms / A6 / Bahasa Inggeris
Tempohari saya mengulas Trypophobia #2 di mana saya terpegun dengan pengisiannya. Ia mendorong saya untuk cuba mendapatkan isu pertama zine ini dan syukur sya masih berpeluang memperolehinya. Saiznya “comel” – A6, separuh A5. Nampak kecil namun pengisianya amat-amat padat, ketat dan sarat dengan manfaat. Trypophobia #1 yang dirilis pada Disember 2015 membawakan artikel-artikel mustahak seperti What is Punk, Judy Is A Fuck, Anarchism in Punk, GG Allin: The Man who Brings Danger to Rocks, Smoking Benefits, Banned in KL: I Don’t Care If You Burn My Boyfriend Pictures Mom, I’ll Still Love Him dan I Against I (Between Faith of Atheism and Religion). Turut dimuatkan interbiu panjang dan mendalam bersama Ben’s Bitches dan Benzoate serta prebiu informatif melibatkan band Pig-Krüst, Iqbal M dan Radiowave. Disertai juga satu ruangan rebiu muzik mengandungi ulasan-ulasan cd & tape yang ditulis dengan begitu baik sekali. Saya secara peribadi kagum dengan integriti dan kebolehan editor-editor Trypophobia ini. Mereka meletakkan ilmu yang subur dan segar di setiap helaian cetakannya. Penuh dengan pendedahan dan bahan-bahan “cuci otak”. Ini zine yang berada teguh pada pendiriannya – Do Not Fear The Irregularities (Jangan Kau Takut Dengan Kejanggalan). Ini adalah dari punk untuk punk! Hubungi mr.fadhlan@gmail.com (Muhd Fadhlan) ataupun oliverdabit666@gmail.com (Ribut Cicak) sebagaimana tercatat pada mukasurat terakhir, manalah tahu anda masih ada nasib untuk dapatkan senaskah Trypophobia #1.