Khamis, 30 Mac 2017

Rebiu | DISCARNAGE – Isu #3


DISCARNAGE – Isu #3
96ms / A5 / Bahasa Inggeris
Jika melakukan sesuatu perkara berlandaskan pengetahuan, pengalaman dan minat yang betul-betul mendalam di dalam perkara tersebut, maka hasilnya pasti sangat menakjubkan. Inilah yang ada pada Mika Røtten, editor Discarnage Fanzine. Ia sebuah zine yang bagi saya cukup sempurna, memenuhi kehendak dan keperluan konsep, pengisian dan penampilan genre yang dijunjunginya – oldschool Death Metal. Padat dan cukup sarat dengan teks, foto, artwork dan sebagainya seperti datang dari zaman 80an/90an. Mika Røtten seorang penggemar “taksub” muzik oldschool Death Metal (malah ada band sendiri bermuzikkan sedemikian, Reputdeath) dan beliau juga enthusiast hal-hal berkaitan horror, zombie dan gore samada filem, senilukis, ilustrasi dan lain-lain. Kelebihan juga pada editor ini kerana bakatnya tidak hanya pada penulisan yang tepat dan mantap tentang genre yang ditulisnya, malah berkebolehan untuk melukis artwork-artwork berdarah, ngeri dan menakutkan. Discarnage Fanzine #3 yang rilis sekitar September / Oktober 2016 lalu menampilkan temubual bersama Galvanizer, Insinner, Morbus Grave, Wormridden, Dismember, Carnal Tomb, Putrid Yell, Buried To Rot, The Casket, Cryptic Brood dan D-Sagawa serta satu hasil temubual secara live bersama Usus. Kandungan lain termasuklah pelbagai artikel antaranya “The Best Death Metal Demo Of 2014” dan “The Best Of Two : Death Metal Ep / Album of 2015” serta ratusan (ya! ianya ratusan) ulasan dan kupasan ke atas produk cd, tape dan zine. Turut diselitkan sebuah rebiu eksklusif filem seram “Fright Night”. Seperkara lagi yang mengagumkan saya ialah kebijaksanaan Mika Røtten menggabungkan teknik cut-and-paste dan penggunaan komputer (perisian adobe kalau tidak silap) menjadikan ketrampilan Discarnage #3 begitu unik, kreatif dan terserlah ke-oldschool-annya. Cukuplah, saya tidak mahu berkata apa-apa lagi. Ini sebuah zine yang amat-amat saya cadangkan kepada anda untuk dimiliki. Saya menyimpulkannya sebagai cukup berkuasa dan penuh dengan tenaga. Tanpa ragu, Discarnage adalah fanzine Death Metal terbaik di negara kita Malaysia. Penghasilan yang cemerlang! Hubungi: dis_carnage@yahoo.com. Death Mental Illness!

Rebiu | HERMYTH – Isu #7


HERMYTH – Isu #7
44ms / A5 / Bahasa Inggeris
Interbiu bersama Militant Attack (Sarawak), Dire Crown (Sarawak), Nympholepsy (Singapura), Existence Denied Fanzine (Singapura) dan Blazt Promotion (Selangor). Diperakui memang terbaik hasilkerja M.Azman (editor) kali ini. Bikinannya jauh lebih bagus berbanding isu-isu terdahulu. Pengisian slot-slot interbiu tampak lebih ketat & padat. Kesemua pihak yang ditemubual dilihat memberi respon yang baik menghadirkan jawaban-jawaban yang panjang-lebar dan terperinci kecuali Blazt Promotion (label aku la tu) yang agak selekeh dan malas (haha!). Rebiu kali ini pun agak menarik dengan penambahan kuantiti produk pelbagai format yang diulas. Ruangan tetap “Hermyth Forum” turut lebih meriah dengan hujah-hujah dan pendapat (dari puluhan individu yang dihubungi) berkisarkan topik penganjuran gig, rilisan die-hard / collector items, unity dan sebagainya. Paling ketara, perubahan fizikal kepada saiz A5 (terdahulu Hermyth diterbitkan bersaiz A4) bukan sahaja merubah kepada wajah lebih segar penampilan zine ini tetapi juga menampakkan konsep cut & paste itu lebih kena-pada-tempatnya. Tahniah Azman, you did very well on this Hermyth #7. Hubungi: 017-2796369. Rating: 4/5 – Pyan Nathias (12/08/2016)

Nota: Rebiu ini telah disiar dalam BANGKIT! #2.5 keluaran khas: Kuala Lumpur Zine Fest 2016

Rabu, 29 Mac 2017

Sampel Halaman BANGKIT! #4


Dah tak lama dah ni. Harinya semakin dekat. Foto kat atas tu aku tunjuk test print / proof reading copy, hehe! manakala imej-imej berikutnya di bawah ni aku prebiu beberapa halaman daripada keseluruhan 60 mukasurat BANGKIT! #4.






Harap korang enjoy tengok foto dan imej-imej yang aku update ni. Semua dah siap susun, siap atur. Digital mastercopy pun dah dihantar untuk kerja-kerja printing. Tunggu sokongan korang jer, huhu! Target release? April Fool :)

Pyan Nathias, 29 Mac 2017

Isnin, 27 Mac 2017

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #1


THE AKSARA COMMUNE – Isu #1
108ms / A5 / Bahasa Inggeris
Mengikut penelitian saya, asas pembikinan dan penerbitan isu pertama (October Issue) zine The Aksara Commune ini adalah kompilasi bahan-bahan penulisan / bacaan yang terlebih dahulu diletakkan secara online di blog (menggunakan nama yang sama) kendalian Karim Abdullah [fb.com/karim.anderson.79], seorang penuntut di Universiti Malaya jika tidak silap saya. The Aksara Commune terbahagi kepada 4 teras utama; Gig Review, Album Review, Band Interview dan juga Article. Penulisan-penulisan dalam bahasa Inggeris ini digarap dengan begitu baik dan teliti. Saya sukakan slot interbiu yang mana menampilkan 3 band yang agak asing dalam pengetahuan saya iaitu EF’IL (Ambient / Instrumental / Post-Rock dari Ipoh, Perak), Ippie Gomas (Dreamy / Sadcore / Indie Rock, juga dari Ipoh) dan Piri Reis (Emoviolence / Skramz dari Shah Alam, Selangor). Pemilihan dan usaha mengetengahkan band-band seperti ini membuatkan orang-orang seperti saya membuka mata dan meneroka lebih jauh dalam scene muzik bebas tempatan. Penulis turut menyediakan ulasan yang cukup eksklusif untuk album The Afternoon Gentlemen “Complete Pissedography 2008-2012” (Grind / Powerviolence dari Leeds, UK) dan The Electric Ape In Stereo “We Come In Peace” (Shoegaze / Experimental / Post-Rock dari Ipoh). Keseluruhan zine ini mantap cuma mungkin lebih baik jika rekaletak dan susunatur dapat diperkemaskan dan dipadatkan bagi mengurangi ruang kosong dan ketebalan yang tidak perlu. Agak malang juga, selepas The Aksara Commune #1 diterbitkan dalam format fizikal, blog berkenaan tidak lagi dikemaskini dengan bahan-bahan baharu. Saya tidak pasti samada saudara Karim Abdullah masih lagi menulis dan tidak tahu juga kemungkinan adanya isu-isu susulan zine ini. Apapun, harap beliau kembali berkarya.
theaksaracommune.wordpress.com

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #2


TRYPOPHOBIA – Isu #2
68ms / A5 / Dwi Bahasa
Trypophobia Zine dikendalikan oleh dua editor; seorang daripadanya tidak mahu dikenali (anonymous) dan yang kedua menggunakan nama pena Ribut Cicak. Isu #2 Trypophobia saya perolehi semasa acara Kuala Lumpur Zine Fest, 8 Oktober 2016 di mana difahamkan zine ini rilis / diedar secara rasmi pada tarikh tersebut. Ianya sebuah zine yang begitu “punk” dalam konteks pengisian dan juga fizikal (maksud saya berkenaan reka bentuk dan susun atur). Satu slot temuramah bersama SESAK!! [sebuah komuniti political street art] dan 3 mukasurat ruangan ulasan muzik & zine kelihatan seperti hanyalah bahan sampingan kepada zine ini yang keseluruhan besarnya memuatkan penulisan-penulisan berbentuk artikel, rencana-rencana yang agak panjang (dengan isi-isi yang baik), beberapa short stories serta personal notes yang kebanyakannya menjurus kepada pemikiran punk dan konsep perlawanan (anti-sistem). Antara artikel yang bagus dan menarik perhatian saya adalah Najib: He’s the Villain that Punks deserves, Anarkisme: Relevan atau tidak.., Dissection on Taqwacore, Peranan Punk Dalam Masyarakat, Zine Punk Dah Mati, To be or not to be punk, dan begitu banyak lagi penulisan / rencana lain yang bersifat penentangan politik, kritikan sosial, bahasan /  kupasan terhadap realiti semasa. Turut diselit laporan penulis untuk KLZF 2015 dan komen pihak zine ini terhadap filem Mat Moto (arahan Pekin Ibrahim). Saya tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Saya sukakan banyak perkara yang ada pada zine ini. Saya harap saya masih ada peluang untuk mendapatkan isu #1 yang terdahulu dan juga mahu editor-editor Trypophobia terus bekerja untuk kembali dengan isu ketiga. Hubungi offisialmy@gmail.com atau oliverdabit666@gmail.com.

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #5


PEDAL TO THE METAL – Isu #5
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Meskipun dikatakan dalam kesulitan berpindah lokasi dari Kangar ke Gombak (atas komitmen kerjaya), Raimi tetap berusaha dan berupaya menerbitkan Pedal To The Metal isu yang ke-5, rilis pada Disember 2016. Konsistensi dalam prestasi dan kualiti zine ini kekal terpelihara. Zine ini kembali kepada hiasan kulit luar memaparkan basikal dan pemandangan – menepati konsep travelog yang menjadi intipati utamanya. Kalian boleh baca teks laporan (serta beberapa foto) aktiviti kayuhan basikal Ride To Kota Kuala Kedah yang dilakukan penulis dan rakan Wan Fazrul sejauh 47km pada 4 September 2016. Sambungan artikel (Bahagian II) laporan Menjejaki Pattani Darussalam juga boleh dibaca dalam isu ini. Turut disiarkan laporan zine fest yang berlangsung di Perlis dan Bintulu, Sarawak. Untuk sisi muzik, PTTM #5 membawakan wawancara bersama band death/thrash tempatan berwibawa Malapetaka dari Kuala Lumpur. Uniknya, isu kali ini turut menemubual kumpulan/individu bukan dari golongan muzik lasak iaitu The Impatient Sisters (band 3 gadis adik-beradik dari Kuantan yang menamakan muzik mereka sebagai indie-folk) dan Kim Herrin (gadis pemain dram yang khabarnya kini terlibat bersama Candy). Dalam slot interbiu juga, isu ini cukup eksklusif dengan pengisian bual-bicara bersama Dr. Noorwan Arif (yang juga rakan lama saya di zaman 90an), pembikin Thanatopsis Zine. Sepertimana yang pernah saya tulis dalan rebiu isu-isu terdahulu, Pedal To The Metal adalah penerbitan yang perlu anda ikuti jika mahukan sebuah zine ada semua di dalamnya. Selain travelog dan muzik, zine ini terus mengadakan ruangan-ruangan literatur (puisi dan cerpen), senilukis (ilustrasi dan komik) serta penulisan-penulisan berbentuk rencana/artikel dan rebiu untuk skop yang pelbagai dan tidak terhad. Bukan hanya mementingkan gaya penulisan yang menarik, PTTM turut mengutamakan kualiti pengisian yang mendidik dan bermanfaat. Teruskan berkarya Raimi!
facebook.com/cyclingmetalpunk
cyclingmetalpunk.blogspot.com

Rebiu | KONTRADIKSI – Puduraya


KONTRADIKSI – Puduraya (Catatan Peribadi dan Kawan-Kawan)
20ms / A5 / Bahasa Melayu
Mentelaahi zine ini mengimbau kenangan zaman remaja saya sekitar 1991-1995. Puduraya umpama nadi sebahagian daripada perjalanan hidup pada ketika itu. Di situlah pusatnya beratur panjang berebut-rebut mendapatkan tiket bas ekspres (kekadang terpaksa beli dari ulat tiket) untuk pulang ke kampung sempena hari perayaaan mahupun cuti semester. Di situlah penghubung berulang-alik setiap hujung minggu dari UPM Serdang untuk saya ke Central Market melepak bersama teman-teman scene underground, memulakan langkah kaki ke venue-venue gig ataupun ke Kompleks Campbell / Pertama mencari kaset-kaset terbaru. Di Puduraya juga saya pernah dapatkan beberapa t-shirt metal (imported) dan psssttt... di sana juga saya ada beli buku Permata Yang Hilang (rasanya buku panduan ni masih ada tapi lupa sorok kat mana, hahaha!). Berbalik kepada Kontradiksi, isu pertama zine kendalian Khairul Mohd Zan [fb.com/kairu.rukawa] ini adalah sebuah himpunan memoir Puduraya, segalanya-galanya seputar Hentian Puduraya; perkaitannya dengan persekitaran, pengalaman dan kehidupan si penulis serta rakan-rakannya. Dirilis pada hari berlangsungnya KLZF 2016, isu Puduraya ini menyiarkan 4 buah catatan (selain Khairul turut disumbangkan oleh Zeezam, Sayap Anonymous dan Azizi Smallman), kutipan status dan komen-komen di laman sosial facebook, sedikit petikan fakta dari Arkib Negara, beberapa foto lama dan 4 buah puisi (sajak) bertemakan terminal bas yang cukup-cukup bersejarah tersebut. Pengisiannya mengundang pelbagai emosi di sebalik nostalgia-nostalgia tersebut; senyum tawa, pahit duka, seram sejuk, malah linangan airmata. Hentian Puduraya kini hanya tinggal sejarah, diubahsuai dan dijenamakan semula menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC). Untuk makluman, editornya saudara Khairul bukan asing dalam bidang penulisan bebas dan penerbitan zine. Beliau pernah berkarya menerusi Kebebasan Insan, Boycott Manifesto, Harapan Insan Hina waima Kontradiksi sebelum ini pernah terbit dalam format newsletter untuk 2 keluaran. Hubungi: terminalogik@gmail.com.

Sabtu, 25 Mac 2017

Rebiu | BISAK PALAK – Edisi Kedua


BISAK PALAK – Edisi Kedua
36ms / A5 / Bahasa Melayu
Edisi kedua Bisak Palak telah diterbitkan pada Oktober 2016. Ianya sebuah zine literatur yang dilihat semakin berkembang. Jikalau dahulu di keluaran pertama hanya bertumpu dari anak-anak Bintulu, kali ini karya-karya senitulisnya merayap dari hampir segenap bumi Sarawak; melibatkan Miri, Sarikei dan Kuching. Dalam edisi kedua ini terkandung 11 puisi dan 8 cerpen, antara penulisnya selain Adi Herman selaku pengendali zine ini termasuklah Barangkali Marus Kamaruddin, Lawrance Kijun, Korawk Al Naseer, Frayed Cactus, Rieynna Annieyrza, Pian Mpun Ana, Srikandi Mawar Hitam dan Jika Jackson. Turut dimuatkan sebuah sajak nukilan penulis puisi terkenal iaitu Karl Agan serta satu-satunya teks berbahasa Inggeris berupa cerpen karya Kevin Keegan Jerome. Berdasarkan penelitian saya, ini zine yang menepati maknanya (merujuk kepada maksud nama Bisak Palak), sungguh benar mengoyakkan kepala; memaksa minda keluar merewang terawang di angkasa terbang bersama-sama puisi dan cerpen yang dimuatkan. Maka melayanglah minda sebebasnya mencari maksud dan pengertian di setiap garis baris kata dan bahasa, mudah-mudahan minda temui jalan pulang bersama jawaban untuk jiwa. Bisak Palak #2 turut menyelitkan sedikit karya senilukis (ilustrasi) dan kali ini juga menampilkan artwork berwarna menghiasi kulit hadapan. Segera dapatkan sekiranya anda penggemar sastera Melayu kontemporari.
facebook.com/bisakpalak

Rebiu | WROTEOFF – Bingit Keluh Rakyat


WROTEOFF – Bingit Keluh Rakyat
Independen
Ini merupakan demo pertama (dan berkemungkinan satu-satunya demo setakat ini) dari WroteOff, duo Noise / Powerviolence dari bandaraya Kuching, Sarawak. Berjudul “Bingit Keluh Rakyat”, demo cd-r yang dirilis pada 1 Disember 2015 ini mengandungi kesemuanya 7 buah lagu berdurasi keseluruhan 6:15 minit; D.I.Y, G.S.T, Negara Ini, Panic To Be Alone, P.U.N.X, Rocks**r dan The Man Of Honour. Muzik WroteOff mengikut telinga saya merangkumi petikan bass berdistorsi; kering dan kasar bunyinya, paluan-paluan yang berdesup laju pada set dram serta ekspresi vokal yang boleh dikatakan pelbagai; meneran dan separa garau. Saya sukakan nuansanya yang bising dan meletup-letup, konsepnya seperti Sete Star Sept (noisegrind Jepun) cuma bezanya asas dan orientasi WroteOff cenderung ke arah Hardcore Punk. Untuk makluman, WroteOff ditubuhkan sekitar tahun 2014, dianggotai Colt (vokal / bass) dan Azeg (dram / vokal latar). Mereka seperti tidak aktif setelah kelahiran “Bingit Keluh Rakyat”. Saya berharap mereka berdua kembali berkarya. Band ini not bad-lah!.
facebook.com/wroteoffswk
soundcloud.com/wroteoff

Rebiu | KASRAKASS – Self Destruction


KASRAKASS – Self Destruction
Tempang Records
Komposisi irama Grindcore yang benar-benar padat dan melekat dihasilkan Kasrakass. Nuansanya bersifatkan pantas, keras dan ganas!. Berpengkalan di Pantai Dalam (Kuala Lumpur), Kasrakass dibarisi oleh Jack (gitar), Ray (dram), Syafix (vokal) dan Majid (bass). Walaupun dianggap pendatang baru dalam arena muzik bebas tanahair, mereka telah bermula dengan baik dan menunjukkan potensinya menerusi demo-cd berjudul “Self Destruction”. Saya kagum dengan bakat dan kebolehan yang ada pada anak-anak muda ini. “Self Destruction” menghidangkan sejumlah 8 buah lagu berdurasi keseluruhan hanya 6:45 minit. Dengarkan dan nikmati kekuatan tenaga dan kerakusan old-school grindcore yang mereka persembahkan, ianya pasti membuatkan anda seakan hilang pertimbangan, mahu sahaja terus melompat dan berlari-lari liar. Kasrakass seperti ada di dalamnya semangat grind klasik; sepertimana Napalm Death, Terrorizer, Repulsion, malah logo band ini menghampiri Warsore. Material demo ini telah dirakamkan di studio Brutal Lab, termasuklah proses mixing dan mastering di bawah seliaan saudara Auks (Sicksociety, Bunuhdiri). Kualiti bunyi memang Gred A; padu dan berat memenuhi kehendak format muzik Kasrakass, serta kedengaran begitu kemas meskipun difahamkan pendekatan live recording yang diambil. Kaedah packaging turut pada tahap profesional; 3-panel gatefold cover & pro-pressed cd-r keluaran Tempang Records. Senilukis oleh Uze Osbourne membuahkan tarikan tambahan. Demo “Self Destruction” oleh Kasrakass ini sangat saya sarankan untuk kalian yang gemar muzik bising, laju dan grind-to-the-core!. Dapatkan salinan anda dari pihak Noise Hipster Distro (harapnya stok versi CD demo ini masih tersedia). Baru-baru ini Tempang Records dengan kerjasama Raung Records telah mengeluarkan “Self Destruction” dalam bentuk pro-cassette tape. Jangan ketinggalan!.
facebook.com/kolumpoberdarah
facebook.com/TempangRecords
facebook.com/noisehipster.distro

Rebiu | KARATZ – Huru-Hara


KARATZ – Huru-Hara
Four Touch / Night Art Production / dll.
Karatz, lagenda punk/oi! Taiping telah bangkit dari tidur yang panjang. Mereka kembali aktif dan menyertai beberapa gig kebelakangan ini. Sebagai tanda kepulangan band ini ke dalam scene, Karatz mengeluarkan sebuah CD menghimpunkan lagu-lagu yang pernah dirakam. Rilisan diberi judul “Huru-Hara” ini memuatkan semula 6 lagu dipetik dari split tape “Punk Hey!! Punk!!” bersama band Indonesia, No Man’s Land (terbitan Muzikbox Production, 1998). Turut disertakan sebuah saduran, Runaway lagu asal Del Shannon. Kualiti rakaman tidaklah begitu baik. Ianya kedengaran raw dan dipercayai diambil terus (rip) dari kaset. Mungkin lebih bagus kiranya diambil dari salinan asli DAT rakaman asal dan diproses re-mastering. Sebaliknya, objektif dan kepentingan “Huru-Hara” jauh lebih bernilai; meraikan kepulangan Karatz dan menyediakan kita satu peluang terbaik untuk menikmati semula lagu-lagu mereka. Untuk makluman, Karatz dianggotai oleh Abazz (vokal), Zawawie (gitar), Kamarul (bass) dan Asrul (dram). Dapatkan segera CD berdurasi 17:49 minit ini untuk koleksi punk klasik tempatan anda!.
facebook.com/karatzoffical

Rebiu | CENDOL’S DEAD – Duit Kuasa Sialan


CENDOL’S DEAD – Duit Kuasa Sialan
Green Peace Distro / DIS346 / Brain Music
The Last Mohican from Segamat – CENDOL’S DEAD yang terdiri daripada Hasanul Byteey (vokal), Zaid Hashraf (bass), Haji Bob (gitar/vokal) dan Alipan (dram) telah mengeluarkan sebuah EP berjudul “Duit Kuasa Sialan” dalam format pro-tape, di mana mula diedarkan sekitar awal Mac 2016. Material EP tersebut melalui proses rakaman, mixing dan mastering di Brain Studio (pada Disember 2015) di bawah kendalian Mr.Angah. “Duit Kuasa Sialan” mempertaruhkan sebanyak 7 buah lagu Punk Rock / Hardcore Punk yang energetik dan begitu bersemangat. Gubahan muziknya pelbagai; kencang, crusty, keras, catchy / melodik di sesetengah bahagian dan menggila huru-hara pada tempat-tempatnya!. EP ini dimulai dengan lagu dinamakan Segamat Johor yang seakan sebuah anthem dari Cendol’s Dead dalam memperkenalkan diri dan scene asal lahirnya mereka. Lagu-lagu seterusnya adalah rangkuman keluhan dan amarah Cendol’s Dead mengenai politik menipu dan menindas, kecaman terhadap sistem pemerintahan, kerakusan negara-negara kuasa besar, malah turut menyentuh perihal hipokrasi dalam scene termasuklah membidas amalan senioriti. Pada lagu penutup, Cendol’s Dead mengambil langkah berani memainkan semula lagu Aku Cinta Padamu (Siti Nurhaliza) diolah dalam gaya hardcore punk mereka. Ianya unik dan dilakukan dengan bijak. Pada keseluruhannya saya berpendapat, sekiranya kalian menggemari Chaos UK atau lagenda tempatan seperti The Bollocks dan Carburetor Dung, anda pasti mencintai apa yang disediakan oleh Cendol’s Dead. Band ini berdiri teguh dalam budaya berlawanan mereka. Di akhir ulasan ini, saya ingin sampaikan lagi pesanan Cendol’s Dead yang berbunyi: Fucking rockstar, Fuck You!, Fucking rockstar, Fuck You!.
facebook.com/TheLastSegamatMohican
cendolsdead.bandcamp.com

Rabu, 22 Mac 2017

Rebiu | DICKIES TALE – Easy Beat With The Hardest Dick (Live Demo)


DICKIES TALE – Easy Beat With The Hardest Dick
Independen
Live Demo ini merupakan rilisan pertama dari Dickies Tale, band 3-piece asal selatan tanahair yang dianggotai oleh Syami (gitar/vokal), Daus (bass/vokal) dan Ejam (dram). “Easy Beat With The Hardest Dick” dirakam secara ‘langsung’ di Studio Carlos, Johor Bahru dan telah dikeluarkan secara rasmi pada 14 Januari 2017, sewaktu mereka menyertai gig The Southern Sanitarium di Embrace Hall. Ianya memuatkan 4 buah lagu; Aku Okay!, Kita, Mamak dan Why Should We Go? di mana durasi keseluruhan 13:42 minit. Di sudut muzikal, Dickies Tale memperdengarkan kreativiti dan keupayaan mereka menerusi irama yang boleh ditafsir sebagai Punk Rock Reggae. Mereka pada dasarnya bermain Punk Rock rancak, kencang dan kental; poppish dan melodic di bahagian-bahagian tertentu, disulami ritma-ritma Reggae yang mengasyikkan pada sesetengah lagu. Elemen reggae/ska hadir dalam lagu Aku Okay! dan lebih jelas ketara pada Why Should We Go?. Bunga-bunga bass begitu menonjol memainkan peranannya. Meskipun dirakam ‘live’, saya merasakan kualiti bunyi yang terhasil masih baik, kedengaran bersih dan selesa pada pendengaran. Beberapa lagu mempunyai sentimen humor pada liriknya namun tetap positif pada keseluruhan tema dan mesej yang mahu mereka sampaikan. Band ini menulis dan menyanyikan tentang semangat untuk hidup, erti persahabatan, kegembiraan dan pelbagai perkara lain. Not bad at all – memang boleh tahan juga daya tarikan Dickies Tale yang menamakan NOFX kecenderungan utama sumber inspirasi mereka. Kombinasi punk dan reggae yang cuba dipraktikkan tampak berhasil dan berpotensi untuk berkembang jauh lebih baik. Terkini dilaporkan demo cd-r ini telah habis diedarkan dan khabarnya Dickies Tale bakal merakam semula kesemua lagu; dengan penambahan instrumen trumpet dan lapisan gitar utama. Harapnya akan tambah menjadi.
facebook.com/DickiesTale
dickiestale.bandcamp.com

Rebiu | THE NEEDLES – Life Is Not A Movie


THE NEEDLES – Life Is Not A Movie
Guerilla Records
The Needles adalah sebuah unit Punk Rock dari Ampang / Kuala Lumpur dianggotai oleh adik-beradik Nasrul Adib (vokal/gitar) dan Nasrul Aqil (gitar) serta bantuan rakan-rakan mereka Aifaa Anuar (dram) dan Muhammad Nazeem / Ridzuan Jasni (bass). Sejujurnya saya baru mula mengenali band ini menerusi rilisan EP “Life Is Not A Movie” bermuatan 7 buah lagu yang mereka riliskan pada 30 Julai 2016. The Needles khabarnya telah ujud semenjak tahun 2007 lagi, kemudiannya hibernasi selama beberapa tahun sebelum kembali berkarya menerusi “Life Is Not A Movie”. EP berdurasi keseluruhan 22:11 minit ini mengetengahkan 4 lagu pertama dalam bahasa Inggeris dan bakinya 3 lagu terakhir dalam bahasa Melayu. Aliran muzik mereka mengikut pendengaran saya sangat sedap didengar; rancak bertenaga, adakalanya manis dalam kelembutan, punk pop / melodik yang seronok serta menghiburkan. Sound quality yang ditonjolkan begitu baik, bunyi setiap instrumen keluar jelas dan seimbang. Saya difahamkan band ini mendapat inspirasi pembentukan muziknya dari band-band seperti The Ramones, The Misfits, The Queers, Sex Pistols, Bad Religion, No Use For A Name, The Bouncing Souls dan yang sewaktu dengannya. Tanpa ragu, ingin saya nyatakan bahawa The Needles ini sebuah band yang ada sesuatu yang bisa menambat perhatian kalian. Cubalah!
facebook.com/theneedlesmy
twitter.com/TheNeedles_MY
soundcloud.com/theneedlesmy

Rebiu | PLAGUE OF HAPPINESS – Tunjal


PLAGUE OF HAPPINESS – Tunjal
Nyaring! Records
Ianya penantian menghampiri 10 tahun. Album pertama “Kawan” terbit pada akhir 2007 / awal 2008. Boleh dikatakan agak lama Plague Of Happiness (POH) berada dalam fasa “diam” untuk hadir kembali dengan album penuh kedua. Ubinya berisi. Kepulangan ini bukan semata sebuah kepulangan. Bersama di dalamnya adalah kematangan jatidiri, keupayaan dan kemahuan. Dengan luasnya pengalaman yang ada, dengan usia bertambah dewasa, POH menerusi album baru “Tunjal” yang rilis sekitar Ogos 2016 ini dilihat melangkah lebih jauh dalam merealisasikan identiti sebenar muzik Ska Punk, dalam cara dan gaya mereka sendiri. “Tunjal” dilengkapi oleh 15 buah lagu berdurasi keseluruhan 50:32 minit. Melodinya pelbagai variasi; bermacam wajah dan wadah. Kalian pendengar tidak dihidangkan dengan ekspresi dan emosi yang sama serupa antara sebuah lagu ke lagu seterusnya yang lain. Berwarna-warni; dari rancak ke perlahan rentaknya, dari berat ke ringan coraknya. Berselang-seli, silih berganti. Horns section mengambil peranan lebih besar dan lebih cemerlang untuk album kali ini. Elemen harmoni dari unit tiupan ini digarap cukup teliti dan terperinci; tiba tepat pada masanya, kena pada tempatnya. Kolaborasi saling melengkapi (antara instrumen asas dan tiupan) ini membuahkan hasil karya yang begitu menyerlah. Enak dan mengasyikkan!. Tidak hanya pada sisi komposisi senilagu, kualiti bunyi rakaman “Tunjal” menurut saya sudah mencapai piawaian internasional. Kepakaran telah meletakkan POH tiada bezanya dengan band-band antarabangsa. Muzik POH seakan “bernafas”, bergema di liang telinga, seperti bermain di hadapan mata. Saya tidak mahu sebuah ulasan yang terlalu panjang-lebar untuk album ini. Ianya sebuah mahakarya yang sempurna, tiada langsung apa-apa untuk dipertikaikan. Rasanya tidak perlu sebarang dolak-dalik lagi dan masih dalam berkira-kira untuk dapatkan sebuah rilisan seperti ini, kerana untuk sebuah kepuasan maksima, inilah barangannnya yang perlu kalian perolehi. “Tunjal” ini benar-benar menunjal.
plagueofhappiness.com
facebook.com/plagueofhappiness
nyaring.com
facebook.com/nyaring

Selasa, 21 Mac 2017

BANGKIT! #4 dalam pembikinan!!


Edisi No.4 BANGKIT! FANZINE akan diterbitkan tidak berapa lama lagi, jangkaannya sekitar akhir Mac / awal April 2017 ini. Buat masa ini aku masih “berperang” menyiapkan bahagian ulasan cd, tape dan zine serta ruangan informasi (berita scene tempatan). Isu ni pun sebenarnya dah sedikit tersasar dari target asal. Tapi tu lah.. plan nak publish awal Mac tak menjadi pula, banyak hal-halnya yang menghalang. Since tak done nak siap awal, aku pun ada buat perubahan last minute. Nanti la aku cerita lebih lanjut dalam bab “editorial” isu baru ni nanti.

BANGKIT ! #4 menampilkan temubual eksklusif bersama PLAGUE OF HAPPINESS. Pemain tenor saxophone dorang (Azmal Mashudi) pun aku letak di frontcover mewakili band Ska Punk asal Johor Bahru ni. Interbiu lain melibatkan CON-DAMN THE CORRUPTOR, NO SECURITY, BRONCO BUSTER, HARRK TUIH!, M.C.B, DESECRATE A.D, TAHI SUCI, KASRAKASS, PANGGUNG CERITA (diolah semula jadi artikel bawah ruangan Ekspos) dan BUKIT BINTANG PYRATE PUNX (duduk bawah kolum Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan!)

Selain tu ada juga penulisan-penulisan lain sumbangan rakan-rakan kontributor macam Special Report CARBURETOR DUNG dan ACID RAIN serta beberapa lagi artikel. Seksyen rebiu dan informasi tidak ketinggalan. Cukup takat ni yang dapat aku beritahu. Tunggu pengumuman rasmi kelak, haha!

Pyan Nathias, 21 Mac 2017

Isnin, 20 Mac 2017

Rebiu | AYAM HITAM – Last Attack


AYAM HITAM – Last Attack
Independen
Saya kira saya perlu berikan double thumbs up kepada Ayam Hitam. EP ketiga ini bertambah bagus bikinannya, baik dari segi gubahan muzik, rakaman bunyi, pengisian mahupun produksi pengeluarannya. Lebih penting, teras anarki yang disemai dan dibajai dalam band ini semenjak mereka bermula semakin tumbuh melata, membesar dan lebih ketara. “Last Attack” tetap ‘sasau’ sebagaimana dua EP terdahulu “Bunyi Jujur” dan “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak”. Ya, saya telah menggelar mereka Punk Sasau merujuk kepada betapa barai dan rabaknya penyampaian muzikal mereka, namun Ayam Hitam ini tetap teguh, sentiasa utuh dan terus dewasa dengan konsep melawan mereka. Penentangan mereka terhadap kebatilan politikal, kebertanggungjawaban mereka dalam merubah mentaliti masyarakat, cakna mereka kepada hak-hak kehidupan adalah segalanya, diletakkan di tempat yang paling atas. Cubalah rujuk kepada helaian lirik yang dikembarkan; senikata-senikata lagu Ayam Hitam penuh dengan makna, ditulis puitis dan sarat pengertian. Mereka terdiri daripada penulis-penulis rebel di bawah naungan Cukong Press, tidak hairanlah idea-idea yang ada dalam band ini cukup-cukup radikal; tanpa sempadan dan tiada sekatan. EP kali ini berdurasi 9 minit 53 saat, memuatkan lima lagu; Restu Ibu Bumi, Papan Tanda Jalan, Menuju Anarki, Punk Is Back dan yang terakhir judulnya panjang semacam bebelan iaitu Semua Orang Pikir Mereka Hidup Selesa Dibawah Kapitalisma, Padahal Mereka Hanya Diguna Untuk Kepentingan Mereka, Dunia Perlu Diubah Dengan Cara Hapuskan Mereka, Hanya Satu Kata.... lagu pendek 46 saat liriknya cuma satu sebutan – fuck!. Nah, unik dan kreatif kan Ayam Hitam ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalannya, di mana ada kesungguhan di situ ada kejayaannya – di sinilah berdirinya Ayam Hitam. Menongkah arus. Amat jantan kokokannya!
facebook.com/bandayamhitam

Rebiu | AYAM HITAM – Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak


AYAM HITAM – Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak
Independen
Terima kasih kepada alam yang terus-menerus memberi kehidupan kepada ayam-ayam untuk kekal hidup tenang di reban masing-masing. Sebagai ayam-ayam yang bercita-cita tinggi dalam persatuan reban Ayam Hitam ini, kami berasa sangat berbesar hati setelah 3 bulan Ayam Hitam ditubuhkan secara rasmi, kami telah mengeluarkan dua EP termasuk yang ini dan sebelumnya EP Bunyi Jujur. Nak kata gelojoh, ya memang gelojoh pun, peduli apa, sebab kami nak share seni kami, pastu kami nak jual untuk lepas duit jamming akan datang. Malas dah cakap banyak, terima kasih sebab beli, jangan lupa lawan kerajaan korup!!!” – sekali lagi mohon maaf kerana saya salin kembali catatan Ayam Hitam yang terdapat dalam booklet 12-mukasurat EP kedua mereka ini. Saya fikir ianya penting dan lebih jelas untuk kalian fahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak”. Ini sebuah rilisan yang luarannya tampak drastik, namun dalamannya radikal secukup-cukupnya. Anda tidak perlu melihat kepada keupayaan mereka dalam bermuzik. Muzik hanyalah sekadar sebuah platform. Dengar dan perhalusi suara-suara mereka, pesanan-pesanan mereka. Hakikat perjuangan sebenar Ayam Hitam ada pada setiap suara dan pesanan itu. Arus perlawanannya semakin deras, dalam iltizam yang kian menebal. Selain Ocha (vokal/gitar), Mat Ghandi (gitar utama) dan Epol (dram), Ayam Hitam dalam rakaman ini turut dibantu sessionist Mat Manan (bass). Tidak cuma kuatnya pengaruh blues dalam komposisi punk, band ini pada saya turut menyuntik unsur-unsur rock n’ roll, surf garage dan grind dalam aliran muzik mereka. EP 19-minit “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak” menghidangkan 5 buah lagu; He Was Just A Boy, Bersatulah Kaum Babi, Pinokio (Dara Puspita cover), Koboi Penyelamat Dunia dan sebuah hidden track berjudul Lawan. Hubungi efendymuslim@gmail.com atau 012-6444947 untuk lebih lanjut tentang apa adanya dengan Ayam Hitam. Dengarkan: sampai bilakah menjadi hamba, dipijak henyak dengan mereka, tiba masanya bangkit semula, rebut semua hak milik kita.
facebook.com/bandayamhitam

Rebiu | AYAM HITAM – Bunyi Jujur


AYAM HITAM – Bunyi Jujur
Independen
Lihat pada judulnya – “Bunyi Jujur”. Awal-awal lagi Ayam Hitam ini sudah memperakui apa yang terkandung dalam rilisan EP pertama mereka ini. Izinkan saya memetik catatan mereka pada helaian lirik yang disertakan: “Ayam Hitam taklah perfect mana untuk main band yang kami fokuskan pada genre Blues Punk, sebab hampir semua bebudak Ayam Hitam buta chord, tapi sebab passion kami, kami tetap nak main, sebab kami mampu pegang chord walaupun tak tau chord nama jadah apa, kami cuma tau nak sebarkan perlawanan melalui muzik, kalau tak best harap maaflah, sebab kami newbie, untuk sound record EP Bunyi Jujur ni, memang kami jujur record pakai henpon je, lepas tu cleankan, hah! Sebab kami ni miskin, takde duit nak record power-power mahal, sebab tu jugak kami jual murah, sebab nanti orang marah, lagi pulak tujuan kami terus keluarkan EP ni sebab kami jujurnya nak cari duit jamming sikit, bukan nak kaya pun. Nak kaya baik ayam.. ye tak? So.. kami harap kami dapat puaskan halwa telinga korang dengan EP ni, yang kurang kami minta maaf dan tunjuk ajar. TERUS SUPPORT PERLAWANAN RAKYAT!”. Hadamkan dimana, bagaimana dan kemana “kejujuran” Ayam Hitam dalam berkarya. Dibarisi Aepool Kojak (dram), Mat Ghandi (gitar 1), Ocha (vokal/gitar 2) dan TK(Nuril)/Harris (bass) dalam rakaman EP ini, Ayam Hitam menterjemahkan makna tulus ikhlas dalam ertikata yang sebenar. Meletakkan semangat dan jiwa besar di dalam kekurangan mereka. Sebaliknya, maksud perjuangan dan cita-cita yang begitu tinggi nilainya mengatasi sifat-sifat minimalis mereka. Tanpa “kejujuran”, kita tidak akan mampu menzahirkan sebuah perjuangan sepertimana yang dijayakan oleh Ayam Hitam ini. “Bunyi Jujur” memuatkan 7 buah lagu (18:10 minit durasi keseluruhan), termasuklah sebuah hidden track intro. Lagu disenaraikan adalah Protes Rakyat, Teman, Gaya Kita, Blur Perosak, Sang Katak dan Seragam Biru. EP dari Ayam Hitam ini diedarkan Cukong Media, hubungi emel cukongpress@gmail.com atau whatsapp 019-3243296. Ini sebuah perlawanan.. dan perlawanan ini berterusan, tanpa henti!
facebook.com/bandayamhitam

Jumaat, 17 Mac 2017

Rebiu | P-RM – (ro) Demo


P-RM – (ro) Demo
Independen
Alternative Folk Punk adalah satu pilihan yang tepat dari P-RM dalam menyampaikan mesej melalui senimuzik. Ianya boleh ditafsirkan sebagai lagu-lagu rakyat, nyanyian-nyanyian jalanan dalam attitude punk. Kumpulan ini didokongi oleh Petak Daun (vokal), Ali Ibrahim Ali (bass), Ramlee Maarof (melodica), Ayon M. Osman (gitar) dan Kerk Kuding (dram). Saya tidak pasti apa di sebalik singkatan nama P-RM, namun di permukaan cd-r ada tertulis Pedulikan Rasukan Momok, mungkin itu yang dimaksudkan. Lihat satu lagi kelainan yang ada dalam “pilihan” P-RM, mereka memasukkan instrumen melodica atau nama lainya pianica dalam senilagu mereka. Demo (ro) mengikut pada senarai dibariskan 4 lagu (Sedar Sekadar Sedar, Menjadi Manusia, Meriam Air dan LK-PPK) akan tetapi demo ini sebenarnya mengandungi sebuah lagi lagu tambahan, diletakkan sebagai hidden track, berjudul Ditindas Pemikiran [merujuk kepada soundcloud mereka]. Lagu ekstra ini dimainkan secara akustika. Kesemua lagu-lagu ciptaan P-RM kedengaran begitu sempoi, gubahan melodi serta susunan muzik yang santai dan menangkap, menarik pendengar untuk turut berdendang bersama. Menjiwai suara mereka, merasai ekspresi dan aspirasi mereka. P-RM bagaikan kumpulan Kembara atau Kopratasa dalam nuansa yang berbeda. Lirik-lirik P-RM persis himpunan puisi warga marhaen, senikata yang ditulis dengan puitis, namun sinis dan kritis pada masa yang sama. Mesej mereka adalah sindiran dan kritikan terhadap isu-isu semasa, permasalahan sosial dan politikal dalam negara. Demo 18:54 minit ini adalah karya-karya bebas yang cukup baik dan murni sifatnya dari anak-anak punk Kedai Buku Mak Ali, Kajang.
facebook.com/PdashRM
instagram.com/p.rm.nop
soundcloud.com/user-67618882

Rebiu | M.C.B – Promo 2016


M.C.B – Promo 2016
Independen
Apabila Crust Punk dan Grindcore dikahwinkan, maka lahirlah darinya satu hibrid yang dinamakan Crustgrind – inilah nuansa muzikal galasan M.C.B atau nama penuhnya Mindless Corruptor Bastards. Promo 2016 dari band berpengkalan di Kuching, Sarawak ini mempertaruhkan enam lagu temasuklah sebuah intro. Ketika pertama kali saya menerima dan mendengar rilisan ini, hati saya terus berkata, “wah!! ini sungguh hebat!”. M.C.B dalam promo cd-r ini hanyalah dibarisi oleh Mad (gitar), Chie (dram) dan Ben (vokal) akan tetapi hasil kerja mereka, sound presentation mereka, binaan muzik mereka cukup besar. Crustgrind bikinan M.C.B berdentum kuat, bagaikan ribut dan kilat, bergerak pantas! Mainannya kemas dan ketat, jitu dan mantap! Terus-terang, saya sukar membuat pilihan untuk trek kegemaran kerana kesemuanya memukau halwa pendengaran. Sepanjang 10:18 minit durasi menyeluruh CD ini, mereka hidangkan pelbagai variasi olahan dan susunan riff-riff gitar yang agresif dan berat atmosferanya, diiringi blastbeat-blastbeat padu dan meletup-letup dari pukulan dram, mengiringi pula serangan-serangan vokal menggeram dalam amarah berapi. Selain daripada Napalm Death (era– “From Enslavement To Obliteration” dan “Scum”) serta Extreme Noise Terror, saya percaya sekiranya kalian meminati band lama seperti Carcass Grinder (Jepun) dan Filthy Christians (Sweden), anda pasti akan menggemari M.C.B. Band ini perlu diberi perhatian khusus dan amat disarankan untuk didekati, didengari dan diikuti perkembangan mereka dari masa ke semasa.
facebook.com/mcbcrust

Rebiu | HARRK TUIH! – Demo


HARRK TUIH! – Demo
Independen
Demo CD ini sekali dimainkan ianya berlalu begitu cepat, cuma 6:00 minit untuk sejumlah 5 buah lagu. Biarpun begitu, tempoh singkat itu tiada yang sia-sia. Ianya masa berkualiti yang disediakan untuk pendengar oleh band bernama Harrk Tuih! ini. Muzik band asal Johor ini pada keseluruhannya Hardcore Punk yang laju, membelasah dan sangat-sangat rancak. Sesetengah pendapat mengatakan ianya Fastcore. Demo ini dimulai dengan sebuah intro (sebuah mainan instrumental sebenarnya) selama hampir 1 minit, lebihkurang macam sesi soundcheck-lah kiranya. Empat lagu seterusnya adalah huru-hara, marah-marah dan penuh dengan tenaga. Digerakkan oleh Hairulanuar a.k.a Manchoi (vokal), Ekram (gitar), Idir (bass) dan Zulxaniz (dram), Harrk Tuih! merakam demo ini di Carlos Studio (Taman U), siap sepenuhnya dan mula diedarkan pada pertengahan November 2016. Percayalah, punk tidak memerlukan bunyi yang bersih untuk membunuh!, lebih kotor sifatnya akan kedengaran lebih jujur karakter mereka. Lirik-lirik lagu Harrk Tuih! ditulis dengan baik, cukup pedas serta sarat dengan kritikan-kritikan anti-sistem. Ini sebuah rilisan demo yang tidak jemu-jemu saya ulang-main, terasa tidak puas dan mahu terus-menerus diputar berulang-ulang kali. Muzik dan lirik Harrk Tuih! masuk di telinga dan terus sampai ke jiwa. Ulasan ini saya tamatkan dengan kata-kata mereka pada lagu terakhir: “biar baju semua hitam, tapi jangan hati hitam”.
81900harrk.bandcamp.com

Khamis, 16 Mac 2017

Interbiu | NO DISTANCE : 16.07.2016


Melaka Bandaraya Bersejarah tidak ketinggalan melahirkan wakil-wakil Punk Rock dalam scene muzik bebas tempatan. Slot interbiu kali ini turut mengetengahkan sebuah band dari negeri tersebut bergelar NO DISTANCE. Dibarisi oleh Popeye (bass/vokal), Adek (gitar/vokal) dan Rizal (dram), band berpaksikan Melodic Punk ini baru sahaja menerbit dan memasarkan rilisan pertama mereka berupa sebuah EP 6-lagu berjudul “Some Unexpected Journey”. Terima kasih saudara Popeye yang sudi bersama kita merungkai semua persoalan-persoalan yang diajukan.

Berikan introduksi ringkas sejarah dan motif penubuhan No Distance serta latarbelakang anggota kumpulan ini? Apa yang dimaksudkan dengan nama No Distance?
No Distance ditubuhkan pada 2013 oleh Rizal (dram), Izz (gitar+vox) dan Popeye (bass+vox). Kitorang decide nak tubuhkan band ni kerana masing-masing percaya pada kekuatan irama melodic punk yang selalu kami dengar bersama. Ianya seperti memberi satu internal spirit pada diri kami.. hahahaha!. Sebelum ini, kami ada juga band lain. Untuk menjadikan No Distance ini, begitu banyak yang kami tempuh. Dari segi mencari line-up yang sama halatuju untuk musik yang kami idamkan serta spirit d.i.y underground itu sendiri.. sebab kami tidak memilih untuk jadi sebuah band yang bermusim!!. Nama No Distance tu kami pilih kerana jika di-translate ke b.melayu (tiada jarak) dan kami cuba jadikan muzik kami tiada noktah sampai bila-bila.. dulu, kini dan selamanya.

Mengapa memilih melodic punk rock sebagai muzik bawaan No Distance? Di mana kelebihan band-band seperti Green Day, NOFX, Hi Standard, Lagwagon dan No Use For A Name yang kalian senaraikan sebagai pengaruh besar kepada halatuju muzik No Distance?
Melodic Punk adalah muzik yang ada kekuatannya tersendiri. Ianya penuh dengan energy, groove, riffing dan beat yang padu. Soal influence band yang kami listkan dalam EP tu sebenarnya hanya contoh.. sebenarnya ada lebih lagi. Actually kami mendengar semua band yang main musik yang sama.. tak kira in Malaysia dan oversea.. dan kami juga tidak meletakkan jurang perbezaan sempadan global musik.. sebab, kami percayakan idea, kreativiti serta bakat perlu luas dan berani mencuba.. tetapi ianya tetap dengan “akar punk” itu sendiri. Jujurnya pendapat kami sendiri sebagai pemuzik, kita harus terbuka untuk mendengar pelbagai musik yang lain.. tidak salah!! dan kalau dihitung zaman ini.. rata-rata anak punk sendiri semakin maju dan terbuka. Ianya terpulang pada individu itu sendiri yang membuat keputusan. Untuk kami No Distance, kami tetap dengan root punk rock itu dan selebihnya biarlah kalian semua menilaikan.. percaturan dari barat serta timur!!.

“Some Unexpected Journey” adalah satu pengkaryaan mantap meskipun ia rilisan pertama dari No Distance. Adakah kalian fikir semua yang dirancang telah tercapai menerusi EP ini atau masih ada perkara yang belum dapat digapai?
Secara jujurnya kami masih tidak puas dengan rilisan yang pertama ni. Masih banyak kekurangannya (dah jadi lumrah manusia sebab tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya.. hahahaha!) cuma kami rasa it’s out on the right time.. mengikut apa yang kami rancangkan.. tu yang paling penting.. planning is priority.

Saya sukakan judulnya – “Some Unexpected Journey”. Apa yang tersirat di sebaliknya?
Tajuk EP ini (Some Unexpected Journey) hampir dekat dengan cerita di sebalik perjalanan untuk band ini dan kami sendiri mahu buktikan, halatuju musik kami dan kami yakin dengan acuan sound yang kami mahukan. Ini sebagai satu permulaan yang kami mahukan supaya tiada penghujungnya. Ilham tajuk ini datang secara semulajadi apabila semuanya sudah tersedia dan kami rasa ianya amat memberi kesan dengan cover EP ini.. serta  perjalanan kami.

Tahniah kerana yakin dengan konsep DIY membolehkan EP tersebut dikeluarkan sendiri tanpa bantuan label. Sejauh mana kepercayaan kalian perlunya amalan DIY dalam budaya Punk?
Jujurnya bagi kami sendiri D.I.Y ini perlu ada bagi setiap orang di luar sana, sebab kita boleh belajar dari situ untuk kehidupan dan lain-lain. Untuk EP dari kami ini sebenarnya memakan masa lama juga untuk penghasilan itu.. dan DIY dalam scene punk pula, harus dipraktikkan sesuai dan waktu bagi semua anak gaul “hc punk” itu sendiri.. dan jujurnya untuk topik ini, bagi aku.. perubahan masa dan nafsu anak gaul hc punk itu sendiri yang memainkan sejauh mana budaya diy punk itu kekal atau lenyap.. sebab, zaman bergerak pantas.. tidak seperti dulu.. zine, flyer, demo tape menjadi bahan utama... dan kini rata-rata anak gaul punk yang baru tidak kenal dan faham apa itu D.I.Y!.

Lagu-lagu No Distance memiliki kekuatan melodi dan tempo yang pelbagai. Rancak serta menghi-burkan. Bagaimana kalian mencipta “mood” dan “vibe” dalam sesebuah lagu agar ia kedengaran menarik dan melekat di telinga pendengar?
Lagu-lagu yang kami hasilkan adalah dari ilham kami bertiga.. sebab masing-masing tahu kehendak dan selera serta halatuju musik kami sendiri. Mood lagu tu pula biasanya datang dari lirik tu sendiri dan kami jadikan lagu-lagu yang biasa kami dengar sebagai bahan rujukan untuk dapatkan feels supaya ianya dapat djadikan satu plot lagu yang lengkap mengikut mesej yang tersirat di dalam setiap lirik. Pada kami setiap lagu yang kami buat, kami berpuas hati dan jika pendengar/penggemar musik itu suka, kira kepuasan yang berganda buat kami kerana bukan mudah untuk mencipta lagu yang sedap serta memberi kepuasan pendengar itu sendiri.

Berikan sedikit komentar mengenai Studio Adam Music di mana kalian merakam material “Some Unexpected Journey”?
Adam Music Studio merupakan salah satu studio recording yang sudah lama wujud di Melaka. Banyak band yang merakamkan lagu-lagu mereka di studio itu. Bagi kami, kami selesa bekerjasama dengan sound engineer studio tersebut iaitu Dak Andy kerana kami sudah mengenalinya sebelum wujudnya No Distance lagi. Beliau juga telah merekod pelbagai jenis muzik di studionya dan bagi kami itu sangat memudahkan kerja kami dan beliau dengan sikap yang peramah dan suka memberi tunjuk ajar serta ruang untuk band mengekspresi-kan idea mereka ketika proses recording membuat-kan kami selesa bekerjasama dengan studio tersebut. Cheers for Adam Music Studio. \m/

Punk Rock di Melaka berkembang pesat kebelakangan ini tambahan pula adanya punk space seperti The Key dan pembekal punk stuff seperti Bebal Mailorder. Komen anda? Rekomen juga beberapa nama lain yang perlu diberi perhatian dari scene Melaka?
Sejujurnya.. semua sudah tahu dan tidak boleh dinafikan.. huhuu! ..scene di Melaka ini.. agak go slow and steady.. tidak meriah sangat.. naik turun ada juga. Dari sudut scene punk itu sendiri, tidak begitu banyak perubahan.. cuma kini nama “The Key” (dari kolektif anak hc/punk-ansara) telah mula dikenali dan bergerak agak agresif dan aktif.. untuk memberi ruang legar untuk scene local underground bergerak. Thanks for the space guys!!! really good job!! dan tidak lupa juga kepada saudara Azizi dari Bebal Mailorder.. beliau juga salah seorang dari individu hc/punk/grind/etc yang begitu aktif sebelum ini. Banyak band local dari luar Melaka dan juga oversea yang datang untuk show yang dianjurkan (jamming session ringkas yang sudah ke edisi 9 kalau tak salah, hahahaha!).. dan untuk distro/label pula tidak banyak juga.. antaranya Bebal mailorder, Pissoff..

Seronok mengenali band berpotensi seperti No Distance. Apa harapan kalian untuk band ini di masa hadapan?
Kami berharap muzik kami boleh diterima oleh semua peminat muzik undergroud especially peminat muzik melodic punk rock.. dan kami juga berharap agar kami dapat teruskan perjalanan No Distance sendiri hingga mencapai matlamat serta impian kami suatu hari nanti.. if God wills.. :)

Sepatah dua kata penutup mengakhiri interbiu ini.
Thanks to Bangkit! Zine sebab sudi interview No Distance. Diharapkan hasil dari soal jawab bertulis ini dapat mendekatkan lagi hubungan antara kita dalam scene. Thanks to Lawa Store (distributor), Dyslexi@rt Clothing (merchandise) dan who are involve with us this while. Support your local music, zine & scene. THANKS GOD FOR PUNKROCK. See you guys on the next circle pit. \m/


NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #2

Interbiu | KAH KAH CELAKA : 26.06.2016


KAH KAH CELAKA adalah sekumpulan 4 remaja dari selatan tanahair yang mahu berseronok dengan muzik Punk Rock. Namun dalam keseronokan, mereka serius melontarkan pandangan dan saranan mereka melalui lirik-lirik yang dilagukan. Dibarisi oleh Chucky (vokal/gitar), Aqmal (gitar), Fikri (bass) dan Haziq (dram), Kah Kah Celaka telahpun merilis “Demo+ntrasick” berkandungan 6 buah lagu. Segalanya diceritakan oleh pemain gitar kedua, Aqmal dalam bual-bicara berikut.

Sebagai pengenalan, ceritakan sedikit latar-belakang penubuhan Kah Kah Celaka serta ahli anggota band ini?
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca. First sekali aku nak ucapkan terima kasih kepada zine Bangkit! ni kerana sudi menemuramah kami hehe!. Okay kami Kah Kah Celaka dari Johor Bahru. KKC ni wujud atas dasar kawan atau sebenarnya wujud tanpa dirancang hahaha!. Ahli anggota KKC kesemuanya ada 4 orang; Chucky (guitar+vokal), Aqmal (2nd guitar), Fikri (bass) dan Haziq (drum).

Apa definasi lebih luas terhadap muzik Punk Rock mainan korang dan band-band apa yang mempengaruhi Kah Kah Celaka?
Bagi kami punkrock adalah second opinion (opposition thinkers) dan freedom of speech, kita bebas melakukan dan suarakan hak. Samada dalam etika hidup, politik dan juga norma masyarakat. Antara band yang mempengaruhi kami; Dum Dum Tak, Bunga Hitam, Marjinal, Con-damn The Corruptor, Youth Of Today dan macam-macam lagi. Kalau nak list rasanya sampai ke lusa tak sudah hehe!.

Berikan informasi lebih lanjut berkenaan rilisan korang “Demo+ntrasick”? Di mana rakaman ber-langsung dan bagaimana respon pendengar yang korang terima?
Pada mulanya demo kami iaitu Demo+ntrasick hanyalah bahan untuk kami mengulangkaji apa yang kurang dan apa yang tak sepatutnya kami lakukan, atas nasihat rakan rakan. Bila demo dah siap tak sangka mula ada permintaan, dengan rasa rendah diri dan kualiti sound yang agak tak seberapa tu kami jual dgn harga RM3, harga mampu milik dan ada 6 track kesemuanya. Kami record di Studio Carlos, live record.. 1 jam RM30 saja!.. dan respon yang kami terima juga ada bermacam-macam tapi diterima dengan senyuman, ada yang kata terlalu raw, ada yang kata mesra pendengar dan mudah dihafal dan ada yang suruh record semula dan bermacam lagi.

Perkara-perkara apa yang paling diberi penekanan dan keutamaan semasa korang menghasilkan lagu-lagu untuk Kah Kah Celaka?
Dalam penghasilan lagu, keutamaan yang kami titikberatkan lebih kepada lirik dan melodi sesebuah lagu tu dan cuba untuk tak lari dari apa yang kami nak sampaikan. Rasanya tak ada apa-apa penekanan  lain, takut kami pulak yang tertekan nanti hahaha!. Apa yang paling penting lagu-lagu kami sampai kepada masyarakat majmuk Malaysia dan ini adalah untuk kita semua bukan siapa-siapa.

Apa benda yang korang laung-laungkan menerusi lirik-lirik lagu Kah Kah Celaka?
Kebanyakan lirik KKC adalah berkisar kemomokkan sistem, persoalan kepada autoriti, pengalaman berdemonstrasi, impian dan kenapa kita perlu gembira.

Kenapa korang namakan band ni dengan nama Kah Kah Celaka? Mungkin ada maksud yang “deep” di sebalik nama tu?
Dah berkali juga soalan ni diajukan kepada kami sebenarnya.. tapi kami tetap tenang menjawabnya haha!. Sebenarnya masa first gig yang kitorang dapat dulu kitorang takde nama band lagi, slot gig dah dapat tapi nama band takde.. kebetulan masa lepas jamming kami berempat lepak mamak lalu segumpal idea pun terpacul dari otak si Chucky untuk bagi nama “kah kah celaka”. Apa yang cuba kami sampaikan di sebalik nama tu? Kami cuba menunjukkan sebuah reaksi protes dalam sindiran.. takde apa yang deep pun di sebalik KKC tu.

Kah Kah Celaka boleh dianggap aktif main gig. Mana gig yang paling best pernah korang sertai? Impian korang nak kongsi pentas dengan band apa?
Fuh! Alhamdulillah setakat ni semua gig best-best belaka. Tapi yang paling kami terngiang-ngiang mestilah gig pertama kami di The Key, Melaka. Voc kami waktu tu rambut pacak-pacak tapi sebelum main kena makan Eno legakan sakit perut takut.

Kongsi sedikit scene Punk Rock di sekitar Johor Bahru? Rekomen beberapa band dari sana yang korang rasa perlu diberi perhatian?
Power dan masih berbisa. Punk Rock never die in JB. Di sekitar JB, boleh saja ada punk rock. Di mana-mana ada punk rock. Di gig-gig crowd tak memilih untuk tidak mendengar punk rock. Itu satu semangat yang kami pegang sampai sekarang dan bagi kami band yang patut diketengahkan sekitar circle friends kami ialah Uptosixteen dan juga Citizens 21. Kalau bro dengar Uptosixteen ni, lagunya seperti punk Anti-Flag, catchy, jahat dan jelas! Memerli norma masyarakat sekeliling dan juga politik! Jangan anggap vokalisnya skema (Syahmi) diorang tak reti menggila!. Manakala Citizens 21 pula bagi kami lagu mereka agak jiwang dan tektikal! Guitarist-nya seperti arwah Kurt Cobain (baik orangnya) dan drummer-nya menggila seperti Travis Barker dan bassist-nya terkinja seperti DeeDee Ramones, haaa.. bayangkanlah ketiga band legend itu bergabung meletup! Wahhh!

Kata-kata penutup dari Kah Kah Celaka?
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan, para organiser dan juga para pendengar yang telah mendengar lagu kami. Kah Kah Celaka takkan berdiri tanpa korang. Tak lupa juga kepada Encik Pagan of Malacca dan Encik Kobis & Ude of Batu Pahat yang memberi slot pada gig terawal kami, tak lupa juga Bro Nizang of Dum Dum Tak dan juga Mirul Citizens 21 yang banyak sedikit sebanyak memberi ilmu dan idea. Mungkin tanpa mereka kami takkan bermain sehingga kini. Dan juga ahli skuad singalongers kami (kalau nak petik nama sorang-sorang pun parah ni) kahkahkah!. So itu sahaja sekian daripada kami, punkrock-punkrock juga, jangan tinggal apa yang disuruhNya! Hokay bye!.
#ChaosilalLiqa' #PunkRockTillJannah


NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #2

Rebiu | DESECRATE A.D. / BABIRUSA – split


DESECRATE A.D. / BABIRUSA – split
DE/A.D Records
Kaset split 2-hala tanpa judul ini diriliskan secara rasmi pada 20 November 2016. Desecrate A.D. menghidangkan 3 buah lagu baru dirakam secara live di Sound Check Studio, Pandan Indah. Senarai lagunya adalah Violent Dissonance, Polymer dan Megalodon. Band asal Lembah Kelang yang dianggotai oleh Fariz Fury (vokal), Zul Lander (gitar), Muniff (bass) dan FJ ChaosThunder (dram) ini terus setia dengan konsep eksperimentasi mereka terhadap pelbagai genre dan sub-genre muzik keras dan berat; death/thrash metal sebagai akarumbinya, dikacuk dan diadun bersama elemen-elemen seperti hardcore/punk, blues/folk, sludge, alternative rock dan sebagainya. Jika mahu ditafsir atas satu definasi, muzik bawaan band ini boleh dikategorikan sebagai Progressive Metal. Hasil daripada rakaman live mungkin tidak dapat menyediakan kualiti yang begitu baik namun apa yang Desecrate A.D. hasilkan kedengaran begitu jujur dalam kementahan bunyinya. Seperkara yang dapat saya kesan, mereka semakin menampakkan inovasi dalam komposisi dan susunan muzik berbanding rilisan terdahulu, Rehearsal Demo 2014. Babirusa dari Malang, Indonesia menyediakan 3 buah lagu yang amat profesional dalam aspek pembikinan muzik dan rakamannya. Lagu-lagu mereka iaitu Shit Life!, Liturgi Penyesatan dan Setan Jalanan berada di bawah profil Hardcore Thrash Metal / Crossover. Band yang dibarisi oleh Fajar (vokal), Krisna (gitar), Ronny (bass) dan James (dram) ini mendapatkan inspirasi dari D.R.I, Municipal Waste, Cro-Mags, Anthrax dan seumpamanya. Alunan thrash / crossover Babirusa benar-benar menghiburkan; pantas, kemas, menerajang tanpa henti. Saya teruja untuk mengenali lebih lanjut tentang Babirusa dan mendengar lebih banyak lagu-lagu ciptaan mereka. Ayuh dapatkan split tape yang menyajikan irama metal pelbagai citarasa ini. Ianya berbaloi. Khabarnya juga tersedia dalam format CD. Segeralah perolehinya!
facebook.com/desecrateKL
facebook.com/babirusaxmlg

Rebiu | Crossing Oceans; A Transcontinental Hard Core Punk Madness!!



Crossing Oceans; A Transcontinental Hard Core Punk Madness!!
Youth Crime Recordings / Unified Resistance Records / Hit and Burn Records / DIS346 Records / Gravest Records
Split 4-hala ini dilengkapi oleh DEATH BY FUNGI (Bombay, India), SHARON STONED (Gombak, Malaysia), LAST DITCH EFFORT (Southern California, USA) dan WARTHOLE (Surakarta, Indonesia). Pada dasarnya produk ini merupakan rilisan terbaharu dari kem briged hardcore Sharon Stoned namun sejujurnya saya sedikit terkilan kerana 2 lagu dari mereka dalam CD ini adalah lagu-lagu yang pernah saya dengar dan terdapat dalam keluaran-keluaran mereka terdahulu. Pun demikian, saya percaya pemilihan lagu tersebut adalah seleksi terbaik mewakili kematangan Sharon Stoned pada hari ini. ‘Ait The Bait’ (yang mana pernah diperdengarkan melalui kompilasi Penentangan Berterusan) menunjukkan kemampuan terkini Sharon Stoned menggubah muzik hardcore lari-lompat-lari yang laju, kental dan terejal manakala ‘WTF Happened To You?’ membuktikan kreativiti mereka meng-hardcore-kan lagu asal The Offspring. Harapnya, pada rilisan-rilisan akan datang Sharon Stoned hadir dengan lagu-lagu rakaman baru. Split “Crossing Oceans” ini dibuka dengan dua lagu dari Death By Fungi. Muzik mereka garang. Hardcore yang padat dan sarat dengan kocokan-kocokan metalik kencang dan disulami bahagian-bahagian melodik yang penuh warna. Antara pengaruh pembentukan muzik Death By Fungi adalah seperti Propaghandi, Black Flag, Dillinger Escape Plan dan Slayer. Band ketiga, Last Ditch Effort yang ditubuhkan sekitar tahun 2003 turut menyumbangkan dua lagu dalam nuansa Hardcore Punk yang lazat dan memberansangkan dengan lirik-lirik yang bertemakan hal-hal politikal. Bahagian melodiknya cantik dan cukup sedap didengar. Warthole yang bertindak sebagai band penutup 4-way split ini menyajikan 3 buah lagu di mana lagu terakhir jauh berbeza sifatnya dan dianggap bonus untuk CD ini. Dua lagu pertama dari mereka adalah irama Hardcore yang kedengaran begitu padu dan berat, diterap elemen grind secukup rasa. Yang paling menarik, track ke-3 berjudul ‘Demi Nestapa Yang Bermekaran’ pada hemat saya merupakan sebuah track bunyian drone / noise ambient selama 7:45 minit. Track bonus ini seakan menjadi kegemaran saya dan sering diulang-main, impaknya meremangkan bulu roma. Pada keseluruhannya, produk split CD berdurasi keseluruhan 19:32 minit ini adalah usaha yang benar-benar baik. Sharon Stoned melebarkan namanya ke serata pelusuk dunia manakala nama-nama asing dalam scene hardcore/punk dari pelbagai penjuru benua diperkenalkan kepada pendengar-pendengar di sini. Artwork oleh Kecoa Jahat (dari Indonesia) juga begitu menawan serta booklet 12-mukasurat diperhalusi dengan kemas dan menarik. Saya sarankan kalian segera dapatkan rilisan ini.
facebook.com/deathbyfungi
facebook.com/xSharonStonedx
facebook.com/lastditcheffortpunk
facebook.com/wartholegrind

Rabu, 15 Mac 2017

Rebiu | BRONCO BUSTER / BANNI CONFLICT – Split Tape


BRONCO BUSTER / BANNI CONFLICT – Split Tape
Straineyes Productions
Kaset split Bronco Buster dan Banni Conflict ini diriliskan dalam tahun 2015, kalau tidak silap saya sekitar bulan April tahun tersebut. Ia adalah usaha salah seorang sahabat lama saya dalam scene iaitu saudara Mazmi Arshad, pemilik label Straineyes Productions. Bronco Buster dari Kuching, Sarawak mempertaruhkan 6 buah lagu kesemuanya di mana mengikut perkiraan saya lima buah lagu daripadanya dirakam eksklusif untuk rilisan split ini serta tambahan sebuah lagu bonus berjudul ‘Freedom’ daripada rakaman Single 2012. Menarik split ini kerana lagu-lagu Bronco Buster tiada terdapat dalam kaset “Collection 2010-2016” yang saya ulas sebelum ini. Garapan muzik Grindcore yang baik, bertenaga, padu dan sesetengahnya kedengaran punkish! Ya, grindpunk atau punk grindcore memang itulah identiti Bronco Buster. Banni Conflict dari São Paulo, Brazil tampil dengan 9 buah lagu di mana 7 lagu pertama diambil dari “Cidadão Comum” EP 2015 mereka manakala selebihnya 2 lagi merupakan lagu cover untuk band Agathocles dan Wormrot. Banni Conflict telah ujud semenjak 2005 dan mengikut catatan pada inlay kaset, ianya dianggotai oleh Will (dram), PHel (bass), Mane (gitar) dan Jander (vokal). Muzik mereka bergerak pantas, begitu oldschool dan banyak pengaruh dari Napalm Death, R.O.T, R.D.P serta Extreme Noise Terror. Grindcore mereka bertemakan kriminal dan permasalahan sosial. Cubalah dapatkan split tape ini, itupun seandainya masih ada beredar di pasaran. Hubungi: straineyes@gmail.com.
facebook.com/broncobustergrind
facebook.com/banniconflictgrind
straineyes.blogspot.com

Rebiu | BRONCO BUSTER – Collection 2010-2016


BRONCO BUSTER – Collection 2010-2016
DIS346 / Broncos Distro / Bebal Mailorder
Pita audio diskografi “Collection 2010-2016” dari band grindcore Bronco Buster ini mengandungi kesemuanya 27 buah lagu; dipetik dari dua rilisan terdahulu iaitu “Mind Corruption” EP 2012 (10 buah lagu) dan “Grind The Strait” EP 2014 (11 lagu termasuk cover band S.O.B.) serta tambahan 6 buah lagu lagi dari rakaman terbaharu pada tahun 2016. Jika diamati dengan teliti, kaset ini memperlihatkan bagaimana muzik Bronco Buster melalui proses evolusi, berkembang dan semakin dewasa dari satu rilisan ke satu rilisan hinggalah kepada lagu-lagu rakaman terkini. Itu apabila dilihat dari aspek komposisi lagu-lagu di mana arah dan halatujunya semakin lebih jelas namun secara rangkuman, Bronco Buster adalah grindcore di bawah pengaruh Napalm Death dan Terrorizer serta suntikan elemen hardcore punk yang cukup kuat. Band yang terdiri daripada Thomas (vokal), Hubert (gitar), Bryan Roki (gitar), Kris (bass) dan Max Biondi (dram) ini hakikatnya telah mula berada di laluan sebenar pengkaryaan mereka setelah berubah nama kepada Bronco Buster  pada tahun 2012, setelah apa yang kita ketahui sebahagian mereka bermula dengan nama Traitor sewaktu masih di bangku persekolahan (semenjak 2004). Ternyata, “Collection 2010-2016” merupakan satu rilisan yang sangat bagus dan besar faedahnya dikeluarkan oleh pihak label untuk band grind asal Kuching, Sarawak ini lebih-lebih lagi untuk mereka di luar sana (seperti saya) yang baru mula mengenali siapa gerangannya Bronco Buster. Ini band yang lahir bersamanya potensi dan kualiti. Hebat!
facebook.com/broncobustergrind
broncobustergrind.bandcamp.com
reverbnation.com/broncobuster

Selasa, 14 Mac 2017

Rebiu | V/A – KOMPILASI LANUN Vol I


V/A – KOMPILASI LANUN Vol I
BBPP Records
Aku suka dengan nama kompilasi ini, nama yang bunyinya macam kelakar tapi hakikatnya punya makna yang cukup besar. Kompilasi Lanun vol.I mengetengahkan 7 buah band; Terssalahh, Berantakan, No Security, Benzoate, Penyangak, Nightwolf dan Cendol’s Dead. Masing-masing tampil dengan 2 buah lagu kecuali Penyangak yang menyumbangkan 3 lagu menjadikan kesemuanya 15 lagu dalam rilisan berformat cd-r berdurasi keseluruhan 29:47 minit. Pada dasarnya, kompilasi ini merupakan himpunan sebahagian daripada band-band yang bernaung, bergerak (atau sekurang-kurangnya sering menyertai gig-gig yang dianjurkan) di bawah banner komuniti kolektif Bukit Bintang Pyrate Punx. Dalam CD ini korang boleh dengar dan layan pelbagai sub-genre dari akarumbi Hardcore Punk. Memang menarik dan seronoknya, ia beri peluang pada orang-orang macam aku menikmati lagu-lagu dari band yang aku belum dengar sebelum ini seperti Berantakan dan Penyangak. Untuk makluman, lagu-lagu yang dimuatkan adalah lagu-lagu terpilih dari rilisan-rilisan terdahulu band-band yang menyertai kompilasi ini. Pada pendapat aku, terdapat 2 kekurangan pada produksi kompilasi ini. Pertama, tahap volume lagu-lagu tidak sekata, ada yang menonjol dan ada yang terkebelakang akibat pengambilan material dari sumber band yang berbeza. Mungkin akan lebih baik jika ada usaha untuk proses pengserataan bunyi (equalize) untuk keselesaan pendengaran. Namun dari satu sudut pembikinan kompilasi ini nampak jujur dalam mengekalkan integriti sebenar band-band yang diketengahkan. Yang kedua, CD kompilasi seperti ini seharusnya perlu dilengkapi dengan booklet atau sekurang-kurangnya infosheet mengandungi informasi / biografi ringkas serta foto setiap band yang dimuatkan, termasuklah maklumat lagu-lagu dari mana asal ianya diambil. Itu pasti memberi nilai promosi yang lebih baik kepada setiap band dalam kompilasi ini. Apapun, Kompilasi Lanun tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri dengan penampilan band-band yang ada kelebihan masing-masing, bersatu melontarkan suara-suara punk dalam cara dan gaya yang tersendiri.
facebook.com/bukitbintangpyratepunx

Rebiu | V/A – NGAUMAN SELATAN


V/A – NGAUMAN SELATAN
Muzikbox Production
Aku tidak pasti samada CD ini layak dipanggil kompilasi atau sebaliknya 5-way split CD kerana rilisan ini hanya menampilkan lima buah band di mana setiap band menyumbangkan sebuah lagu sahaja. Walaubagaimanapun, aku berpegang pada isytihar yang dibuat pihak label pengeluar bahawa ini adalah kompilasi. Bersesuaian dengan judul kompilasi dan tema utamanya (From Rock To Football), kesemua band datangnya dari selatan tanahair iaitu negeri Johor Darul Ta’zim. Masing-masing hadir dengan konsep muzik yang berbeza namun bersatu atas tujuan dan semangat yang serupa iaitu menunjukkan penghormatan serta sokongan kepada pasukan Kelab Bolasepak JDT. Dari sudut muzikal, band pembuka Zero One Heroes membawa irama Oi! / Street Rock, seterusnya Orkes Marhaen dengan alunan Reggae. Lagu ketiga adalah dari band yang tidak perlu diperkenalkan kerana mereka boleh dianggap legend dalam scene oldschool Hardcore Johor iaitu NET atau nama penuhnya Never Ending Threats. Band ke-4 adalah Explicit, unit Chaos Punk yang semakin meningkat naik. Band bergelar The Final Whistle menutup CD ini dengan muzik gaya indie / alternative rock mengikut pendengaran aku. Untuk makluman, band Zero One Heroes dan The Final Whistle menampilkan Pozy (Plague Of Happiness) di posisi dram. Ini sebuah kompilasi yang sangat bagus dalam aspek kualiti bunyi rakaman. Setiap band merakam di studio yang berbeza tetapi adunan akhir dilaksanakan oleh Bob Agigi (Damokis) di Rockin' Music Studio. Turut dibekalkan booklet 8 mukasurat berwarna dilengkapi pelbagai info ringkas tentang band dan rilisan ini. Durasi keseluruhan CD kompilasi Ngauman Selatan adalah 20:40 minit. Hubungi e-mel muzikbox@hotmail.com sekiranya berminat.
facebook.com/Ngauman-Selatan-319258365106171