Selasa, 14 Mac 2017

Rebiu | V/A – KOMPILASI LANUN Vol I


V/A – KOMPILASI LANUN Vol I
BBPP Records
Aku suka dengan nama kompilasi ini, nama yang bunyinya macam kelakar tapi hakikatnya punya makna yang cukup besar. Kompilasi Lanun vol.I mengetengahkan 7 buah band; Terssalahh, Berantakan, No Security, Benzoate, Penyangak, Nightwolf dan Cendol’s Dead. Masing-masing tampil dengan 2 buah lagu kecuali Penyangak yang menyumbangkan 3 lagu menjadikan kesemuanya 15 lagu dalam rilisan berformat cd-r berdurasi keseluruhan 29:47 minit. Pada dasarnya, kompilasi ini merupakan himpunan sebahagian daripada band-band yang bernaung, bergerak (atau sekurang-kurangnya sering menyertai gig-gig yang dianjurkan) di bawah banner komuniti kolektif Bukit Bintang Pyrate Punx. Dalam CD ini korang boleh dengar dan layan pelbagai sub-genre dari akarumbi Hardcore Punk. Memang menarik dan seronoknya, ia beri peluang pada orang-orang macam aku menikmati lagu-lagu dari band yang aku belum dengar sebelum ini seperti Berantakan dan Penyangak. Untuk makluman, lagu-lagu yang dimuatkan adalah lagu-lagu terpilih dari rilisan-rilisan terdahulu band-band yang menyertai kompilasi ini. Pada pendapat aku, terdapat 2 kekurangan pada produksi kompilasi ini. Pertama, tahap volume lagu-lagu tidak sekata, ada yang menonjol dan ada yang terkebelakang akibat pengambilan material dari sumber band yang berbeza. Mungkin akan lebih baik jika ada usaha untuk proses pengserataan bunyi (equalize) untuk keselesaan pendengaran. Namun dari satu sudut pembikinan kompilasi ini nampak jujur dalam mengekalkan integriti sebenar band-band yang diketengahkan. Yang kedua, CD kompilasi seperti ini seharusnya perlu dilengkapi dengan booklet atau sekurang-kurangnya infosheet mengandungi informasi / biografi ringkas serta foto setiap band yang dimuatkan, termasuklah maklumat lagu-lagu dari mana asal ianya diambil. Itu pasti memberi nilai promosi yang lebih baik kepada setiap band dalam kompilasi ini. Apapun, Kompilasi Lanun tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri dengan penampilan band-band yang ada kelebihan masing-masing, bersatu melontarkan suara-suara punk dalam cara dan gaya yang tersendiri.
facebook.com/bukitbintangpyratepunx

Tiada ulasan:

Catat Ulasan