Isnin, 20 Mac 2017

Rebiu | AYAM HITAM – Last Attack


AYAM HITAM – Last Attack
Independen
Saya kira saya perlu berikan double thumbs up kepada Ayam Hitam. EP ketiga ini bertambah bagus bikinannya, baik dari segi gubahan muzik, rakaman bunyi, pengisian mahupun produksi pengeluarannya. Lebih penting, teras anarki yang disemai dan dibajai dalam band ini semenjak mereka bermula semakin tumbuh melata, membesar dan lebih ketara. “Last Attack” tetap ‘sasau’ sebagaimana dua EP terdahulu “Bunyi Jujur” dan “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak-Kanak”. Ya, saya telah menggelar mereka Punk Sasau merujuk kepada betapa barai dan rabaknya penyampaian muzikal mereka, namun Ayam Hitam ini tetap teguh, sentiasa utuh dan terus dewasa dengan konsep melawan mereka. Penentangan mereka terhadap kebatilan politikal, kebertanggungjawaban mereka dalam merubah mentaliti masyarakat, cakna mereka kepada hak-hak kehidupan adalah segalanya, diletakkan di tempat yang paling atas. Cubalah rujuk kepada helaian lirik yang dikembarkan; senikata-senikata lagu Ayam Hitam penuh dengan makna, ditulis puitis dan sarat pengertian. Mereka terdiri daripada penulis-penulis rebel di bawah naungan Cukong Press, tidak hairanlah idea-idea yang ada dalam band ini cukup-cukup radikal; tanpa sempadan dan tiada sekatan. EP kali ini berdurasi 9 minit 53 saat, memuatkan lima lagu; Restu Ibu Bumi, Papan Tanda Jalan, Menuju Anarki, Punk Is Back dan yang terakhir judulnya panjang semacam bebelan iaitu Semua Orang Pikir Mereka Hidup Selesa Dibawah Kapitalisma, Padahal Mereka Hanya Diguna Untuk Kepentingan Mereka, Dunia Perlu Diubah Dengan Cara Hapuskan Mereka, Hanya Satu Kata.... lagu pendek 46 saat liriknya cuma satu sebutan – fuck!. Nah, unik dan kreatif kan Ayam Hitam ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalannya, di mana ada kesungguhan di situ ada kejayaannya – di sinilah berdirinya Ayam Hitam. Menongkah arus. Amat jantan kokokannya!
facebook.com/bandayamhitam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan