Khamis, 16 Mac 2017

Rebiu | Crossing Oceans; A Transcontinental Hard Core Punk Madness!!



Crossing Oceans; A Transcontinental Hard Core Punk Madness!!
Youth Crime Recordings / Unified Resistance Records / Hit and Burn Records / DIS346 Records / Gravest Records
Split 4-hala ini dilengkapi oleh DEATH BY FUNGI (Bombay, India), SHARON STONED (Gombak, Malaysia), LAST DITCH EFFORT (Southern California, USA) dan WARTHOLE (Surakarta, Indonesia). Pada dasarnya produk ini merupakan rilisan terbaharu dari kem briged hardcore Sharon Stoned namun sejujurnya saya sedikit terkilan kerana 2 lagu dari mereka dalam CD ini adalah lagu-lagu yang pernah saya dengar dan terdapat dalam keluaran-keluaran mereka terdahulu. Pun demikian, saya percaya pemilihan lagu tersebut adalah seleksi terbaik mewakili kematangan Sharon Stoned pada hari ini. ‘Ait The Bait’ (yang mana pernah diperdengarkan melalui kompilasi Penentangan Berterusan) menunjukkan kemampuan terkini Sharon Stoned menggubah muzik hardcore lari-lompat-lari yang laju, kental dan terejal manakala ‘WTF Happened To You?’ membuktikan kreativiti mereka meng-hardcore-kan lagu asal The Offspring. Harapnya, pada rilisan-rilisan akan datang Sharon Stoned hadir dengan lagu-lagu rakaman baru. Split “Crossing Oceans” ini dibuka dengan dua lagu dari Death By Fungi. Muzik mereka garang. Hardcore yang padat dan sarat dengan kocokan-kocokan metalik kencang dan disulami bahagian-bahagian melodik yang penuh warna. Antara pengaruh pembentukan muzik Death By Fungi adalah seperti Propaghandi, Black Flag, Dillinger Escape Plan dan Slayer. Band ketiga, Last Ditch Effort yang ditubuhkan sekitar tahun 2003 turut menyumbangkan dua lagu dalam nuansa Hardcore Punk yang lazat dan memberansangkan dengan lirik-lirik yang bertemakan hal-hal politikal. Bahagian melodiknya cantik dan cukup sedap didengar. Warthole yang bertindak sebagai band penutup 4-way split ini menyajikan 3 buah lagu di mana lagu terakhir jauh berbeza sifatnya dan dianggap bonus untuk CD ini. Dua lagu pertama dari mereka adalah irama Hardcore yang kedengaran begitu padu dan berat, diterap elemen grind secukup rasa. Yang paling menarik, track ke-3 berjudul ‘Demi Nestapa Yang Bermekaran’ pada hemat saya merupakan sebuah track bunyian drone / noise ambient selama 7:45 minit. Track bonus ini seakan menjadi kegemaran saya dan sering diulang-main, impaknya meremangkan bulu roma. Pada keseluruhannya, produk split CD berdurasi keseluruhan 19:32 minit ini adalah usaha yang benar-benar baik. Sharon Stoned melebarkan namanya ke serata pelusuk dunia manakala nama-nama asing dalam scene hardcore/punk dari pelbagai penjuru benua diperkenalkan kepada pendengar-pendengar di sini. Artwork oleh Kecoa Jahat (dari Indonesia) juga begitu menawan serta booklet 12-mukasurat diperhalusi dengan kemas dan menarik. Saya sarankan kalian segera dapatkan rilisan ini.
facebook.com/deathbyfungi
facebook.com/xSharonStonedx
facebook.com/lastditcheffortpunk
facebook.com/wartholegrind

Tiada ulasan:

Catat Ulasan