Jumaat, 17 Mac 2017

Rebiu | HARRK TUIH! – Demo


HARRK TUIH! – Demo
Independen
Demo CD ini sekali dimainkan ianya berlalu begitu cepat, cuma 6:00 minit untuk sejumlah 5 buah lagu. Biarpun begitu, tempoh singkat itu tiada yang sia-sia. Ianya masa berkualiti yang disediakan untuk pendengar oleh band bernama Harrk Tuih! ini. Muzik band asal Johor ini pada keseluruhannya Hardcore Punk yang laju, membelasah dan sangat-sangat rancak. Sesetengah pendapat mengatakan ianya Fastcore. Demo ini dimulai dengan sebuah intro (sebuah mainan instrumental sebenarnya) selama hampir 1 minit, lebihkurang macam sesi soundcheck-lah kiranya. Empat lagu seterusnya adalah huru-hara, marah-marah dan penuh dengan tenaga. Digerakkan oleh Hairulanuar a.k.a Manchoi (vokal), Ekram (gitar), Idir (bass) dan Zulxaniz (dram), Harrk Tuih! merakam demo ini di Carlos Studio (Taman U), siap sepenuhnya dan mula diedarkan pada pertengahan November 2016. Percayalah, punk tidak memerlukan bunyi yang bersih untuk membunuh!, lebih kotor sifatnya akan kedengaran lebih jujur karakter mereka. Lirik-lirik lagu Harrk Tuih! ditulis dengan baik, cukup pedas serta sarat dengan kritikan-kritikan anti-sistem. Ini sebuah rilisan demo yang tidak jemu-jemu saya ulang-main, terasa tidak puas dan mahu terus-menerus diputar berulang-ulang kali. Muzik dan lirik Harrk Tuih! masuk di telinga dan terus sampai ke jiwa. Ulasan ini saya tamatkan dengan kata-kata mereka pada lagu terakhir: “biar baju semua hitam, tapi jangan hati hitam”.
81900harrk.bandcamp.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan