Rabu, 22 Mac 2017

Rebiu | PLAGUE OF HAPPINESS – Tunjal


PLAGUE OF HAPPINESS – Tunjal
Nyaring! Records
Ianya penantian menghampiri 10 tahun. Album pertama “Kawan” terbit pada akhir 2007 / awal 2008. Boleh dikatakan agak lama Plague Of Happiness (POH) berada dalam fasa “diam” untuk hadir kembali dengan album penuh kedua. Ubinya berisi. Kepulangan ini bukan semata sebuah kepulangan. Bersama di dalamnya adalah kematangan jatidiri, keupayaan dan kemahuan. Dengan luasnya pengalaman yang ada, dengan usia bertambah dewasa, POH menerusi album baru “Tunjal” yang rilis sekitar Ogos 2016 ini dilihat melangkah lebih jauh dalam merealisasikan identiti sebenar muzik Ska Punk, dalam cara dan gaya mereka sendiri. “Tunjal” dilengkapi oleh 15 buah lagu berdurasi keseluruhan 50:32 minit. Melodinya pelbagai variasi; bermacam wajah dan wadah. Kalian pendengar tidak dihidangkan dengan ekspresi dan emosi yang sama serupa antara sebuah lagu ke lagu seterusnya yang lain. Berwarna-warni; dari rancak ke perlahan rentaknya, dari berat ke ringan coraknya. Berselang-seli, silih berganti. Horns section mengambil peranan lebih besar dan lebih cemerlang untuk album kali ini. Elemen harmoni dari unit tiupan ini digarap cukup teliti dan terperinci; tiba tepat pada masanya, kena pada tempatnya. Kolaborasi saling melengkapi (antara instrumen asas dan tiupan) ini membuahkan hasil karya yang begitu menyerlah. Enak dan mengasyikkan!. Tidak hanya pada sisi komposisi senilagu, kualiti bunyi rakaman “Tunjal” menurut saya sudah mencapai piawaian internasional. Kepakaran telah meletakkan POH tiada bezanya dengan band-band antarabangsa. Muzik POH seakan “bernafas”, bergema di liang telinga, seperti bermain di hadapan mata. Saya tidak mahu sebuah ulasan yang terlalu panjang-lebar untuk album ini. Ianya sebuah mahakarya yang sempurna, tiada langsung apa-apa untuk dipertikaikan. Rasanya tidak perlu sebarang dolak-dalik lagi dan masih dalam berkira-kira untuk dapatkan sebuah rilisan seperti ini, kerana untuk sebuah kepuasan maksima, inilah barangannnya yang perlu kalian perolehi. “Tunjal” ini benar-benar menunjal.
plagueofhappiness.com
facebook.com/plagueofhappiness
nyaring.com
facebook.com/nyaring

Tiada ulasan:

Catat Ulasan