Isnin, 8 Mei 2017

Rebiu | EXOTHERMIX – Extreme Disaster


EXOTHERMIX – Extreme Disaster
Independen
Petaling Jaya menawarkan sebuah lagi penjana Thrash Metal berpotensi. Di situ lahirnya kumpulan Exothermix hasil gabungan tenaga 3 anak muda berbakat besar; Yazzif Black (gitar/vokal), Wai (bass) dan Angah Nukehammer (dram) [Nota: line-up sewaktu rakaman Demo 2014 ini]. Kedatangan mereka bertiga dengan taruhan demo pertama “Extreme Disaster” bukan sekadar ingin memeriahkan suasana yang sediada, tetapi bersama misi memperkasakan irama Thrash Metal tulen juga visi mengangkat scene Thrash Metal Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dan dihormati. Demo pertama berjudul “Extreme Disaster” telah dikeluarkan secara rasmi dilancarkan pada 17 Mei 2014 sempena penglibatan Exothermix dalam gig Budak Jahat II di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Demo bermuatan 5 buah lagu ini dirakam di D’Chorus Studio, Shah Alam pada 6 Mei 2014 di bawah kendalian jurutera bunyi Sunny Razak. Kesemua lagu adalah ciptaan bersama ahli-ahli Exothermix sendiri manakala lirik pula ditulis oleh Yazzif Black. Angah Nukehammer juga menyalurkan kreativitinya menghasilkan kulit demo dengan grafik dan susunatur yang nampak menarik. Berikut adalah senarai lagu yang terkandung dalam Demo 1.0: 1. Extreme Disaster / 2. Total Death / 3. Thrash Mentality / 4. Infinite Brutality / 5. Kemusnahan (bonus track). Durasi keseluruhan 23:26 minit. Hasil pendengaran kesemua 5 buah lagu dari demo ini, saya berpendapat inilah rupa sebenar Thrash Metal sejati, tanpa putar-belit, tanpa teknikal keterlaluan. Agresi yang terus ke muka, menerobos telinga dan menghentam dada. Kualiti underground tidak memerlukan tingginya profesionalisma dalam kemahiran mengendali instrumen mahupun komposisi lagu, tetapi kejujuran yang menjadi roh sebenar sesebuah produk underground, semangat dan kesungguhan yang dijiwai serta cinta kepada apa yang dilakukan. Lirik kesemua lagu dalam demo ini turut dicetak di kulit dalam dengan harapan agar pendengar memahami lebih jelas akan mesej-mesej yang mahu disampaikan Exothermix. Smashing and Slashing!!! Thrashing and Banging!!! [Nota: rebiu ini suntingan dari ulasan / artikel yang asalnya saya tulis dalam blog EKSTRIM]
facebook.com/exothermixthrash

Tiada ulasan:

Catat Ulasan