Selasa, 9 Mei 2017

Rebiu | SARJAN HASSAN - Demo 2005 (Reissue 2015)


SARJAN HASSAN - Demo 2005 (Reissue 2015)
Basement Records
Demo 2005 dari Sarjan Hassan ini versi asalnya keluaran 321…Go! Distro dan End Up Records manakala yang saya miliki untuk diulas ini adalah rilisan semula oleh Basement Records pada sekitar 2015. Saya percaya demo ini cukup penting dan besar maknanya kepada Sarjan Hassan. Ini material rasmi pertama dari band yang didokongi Man Beranak (vokal), Mr.Chaos (gitar), Waqs (bass) dan Manusia Mesin (dram), mukadimah keujudan mereka dalam scene Crossover / Thrashcore tempatan. Demo ini mengandungi 8 buah lagu keseluruhan durasinya dalam lingkungan 9 minit 30 saat. Beberapa lagu diiringi intro dan outro berupa sampel dialog dipetik dari filem patriotik “Sarjan Hassan” (arahan / lakonan lagenda P.Ramlee) namun ia tidak membawa maksud Sarjan Hassan itu sendiri sebuah band nasionalis. Secara muzikal, Sarjan Hassan dalam demo ini menyajikan jenis muzik yang cukup pantas mainannya, berdesup lajunya, begitu juga penyampaian vokal yang berkelajuan tinggi. Mereka menyalurkan irama Fast Hardcore Thrash yang begitu energetik, pada masa yang sama inovatif dalam aspek struktur riff dan susunan muzik. Segar dan kuat dos-dos Thrashcore di dalamnya. Vokal menjerit dan meneriak lantang menyampaikan lirik-lirik yang mesejnya cukup “punk”, merangkumi kritikan politikal dan sindiran sosial. Sarjan Hassan pasti akan menarik anda untuk mosh bersama lagu-lagu mereka. We Will Thrash You!!
facebook.com/sarjan-hassan-357049958740
facebook.com/basementrekordz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan