Khamis, 13 Julai 2017

Rebiu | BAD IDEA – Buy Or Fuck Off!


BAD IDEA – Buy Or Fuck Off!
Dead Bir Records / Still Hardkore Distro / 321...Go! Distro
“Buy Or Fuck Off!” bukan satu rilisan picisan yang hanya untuk dipandang sepi dan dibiarkan berlalu pergi. Ini adalah khusus untuk anda yang meletakkan “punk” dalam jatidiri anda! Judul EP ini sahaja sudah penuh dengan pengertian jika anda bijak mentafsirnya. Ini Hardcore Punk yang benar-benar padu dalam pelbagai aspek diterjemahkan oleh Bad Idea, band asal Batu Pahat yang ditunjangi Kuper (bass), Bulan (dram), Zuri (gitar) dan Uda (vokal). EP “Buy Or Fuck Off!” merangkumi 7 buah lagu yang begitu cermat dan ketat olahannya. Durasi kaset ini sekitar 12 minit. Di sudut muzikal, Bad Idea mendera deria pendengaran anda dengan lagu-lagu yang hampir keseluruhannya pantas, keras dan kasar. Hidangan mereka kuat dengan aura punk rock & roll, adrenalin Hardcore 80-an serta tidak ketinggalan bunyian Hardcore era 90-an. Bagi yang menggemari Minor Threat, DS13, Sista Sekunden, Propagandhi dan seumpamanya pasti akan menikmati sajian Bad Idea ini. Rakaman telah dilangsungkan di Nyaring Studio dalam tempoh Disember 2015 hingga Mei 2016 di bawah kendalian Ajen dan Marzuki manakala proses mastering oleh Enal di Metaphor Studio. Kualiti bunyi yang begitu baik, “raw” yang menjadi, padat serta melekat. Bad Idea juga dilihat cemerlang dan teliti dalam penulisan lirik dan penyampaian mesej. Ianya berkaitan isu-isu dalaman scene, masalah sikap, etika punk dan seputarnya. Senikata-senikata seperti ini begitu menginspirasi andaikata anda pendengar benar-benar mengamati dan memahaminya. Bagi pemilik tape yang bernasib baik (sekiranya mendapatkan terus dari pihak band tidak silap saya), anda akan menerima helaian lampiran “Bad Thoughts #1” yang mengandungi pencerahan lengkap pengisian EP “Buy Or Fuck Off!” serta keterangan lebih jelas di sebalik lirik-lirik lagu Bad Idea ini. Saya perlu tegaskan bahawa ini sebuah rilisan yang mesti dimiliki. Biar saya akhiri ulasan ini dengan salah-satu rangkap dalam lagu berjudul ‘Stagnansi’ – Hidup zon selamat. Sampai kau berkulat. Suatu hari kau bosan. Benda sama kau telan. Hubungi thewallbp@gmail.com segera!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan