Rabu, 13 September 2017

Rebiu | CON-DAMN THE CORRUPTOR / CHUGS ON DECK – Raya Split Special


CON-DAMN THE CORRUPTOR / CHUGS ON DECK – Raya Split Special
Diaki Nu Records & Distro
Saya melihat rilisan ini sebagai satu kejutan! Apa tidaknya, band-band punk (yang kebiasaannya terkenal dengan jiwa berontak mereka) bikin lagu-lagu raya. Tidak, ianya tidak salah. Mereka juga manusia biasa sepertimana anda semua di luar sana. Malahan, “Raya Split Special” cd-r ini satu terjemahan idea dan kreativiti yang sangat bagus. Hasilnya begitu menarik dan sangat sempoi. Cuma saya sedikit terkilan ianya rilis sedikit lewat di mana saya perolehi rilisan ini kira-kira 2 minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri 1438H lalu. Alangkah baiknya split ini keluar seminggu dua lebih awal dari musim perayaan agar pemanduan pulang ke desa dan suasana hari raya diiringi lagu-lagu raya segar dari Con-damn The Corruptor (CTC) dan Chugs On Deck (COD). Pasti situasinya lebih meriah. CTC tidak perlu diperkenalkan. Ramai yang mengetahui dan telah hadam dengan genera Punk Rock bawaan mereka menerusi dua album sebelum ini. Dua lagu yang dihidangkan terus berada di landasan halatuju muzik CTC sebagaimana yang kalian fahami meskipun ianya bertemakan hari raya. Track pertama Raya Raya Raya sebuah lagu yang selamba, ceria dan outro-nya riff lagu raya yang sinonim dengan lagu-lagu raya kegemaran anda. Lagu bertempo laju Lepas Raya Jadi Setan adalah saduran lagu asal band Singapura, The Misfit Ramones [dipetik dari split Chugga Ritual / The Misfit Ramones “Rotting Ketupat Chaos”]. Chugs On Deck pula juga menghidangkan dua buah lagu; Notasi Aidilfitri dan Kotak Cahaya. Ini pengalaman pertama saya mendengar COD. Saya tahu mengenai EP “Superhero In Love” mereka tapi belum berpeluang memilikinya. Band ini menggelar muzik mereka sebagai Easycore di mana menurut pengamatan saya mudahnya ditafsirkan sebagai pop punk / hardcore yang penuh dengan unsur melodik dan kerancakkan. Mereka tampak meraikan makna hari raya itu dalam lagu-lagu mereka. COD bagi saya sebuah band yang berkaliber merujuk kepada kualiti komposisi lagu dan produksi bunyi bahkan lagu-lagu mereka seperti yang terdengar melalui split ini mempunyai nilai-nilai komersial. Ben (vokalis/gitaris Con-damn The Corruptor) ada memberitahu saya satu kisah di sebalik pembikinan Raya Split Special ini yang mana saya kira elok untuk dikongsikan bersama di sini: “Vokalis COD tu sebenarnya ex-bassist CTC masa awal formation dulu. Lepas CTC bubar tu kami semua bawa haluan masing-masing. Tahun 2013 baru jumpa dia semula dan masa tu CTC sudah reform semula dan dia pula form COD. Kira split ni split jejak kasih la, hahaha!”. Apa lagi yang boleh saya perkatakan tentang rilisan istimewa ini? Kedua-duanya telah memberikan sepenuh tenaga untuk membina keseluruhan 11:52 minit durasi irama-irama yang begitu bersemangat dan menghiburkan. Ayuh rayakannya!!!
facebook.com/condamnthecorruptor
facebook.com/chugsondeck
facebook.com/diaki-nu-records-distro-760771494010537

Tiada ulasan:

Catat Ulasan