Jumaat, 8 September 2017

Rebiu | EMERGED – Demo 2017


EMERGED – Demo 2017
Broken Noise Records
Unit hardcore punk asal selatan tanahair berjenama Emerged ini ditubuhkan oleh bekas anggota kumpulan Hellexist. Emerged dianggotai oleh Arif (dram), Man (bass), Ejal (gitar) dan Cileng (gitar/vokal). Kemunculan band ini dalam scene perlu diberi pemerhatian khusus kerana mereka menerusi rilisan Demo 2017 dilihat begitu menakjubkan. Kredibiliti Emerged dalam merealisasi satu bentuk muzik yang berkualiti tinggi sangat terpuji. Ini salah satu band yang lahir untuk mengangkat martabat gerakan muzik punk / hardcore tempatan ke satu tahap lebih ke atas. Demo 2017 keseluruhannya berdurasi lebih 21 minit, merangkumi 4 buah lagu yang bukan calang-calang buatannya, penuh dengan kuasa dan tenaga. Intro selama lebihkurang 4:50 minit digubah begitu cantik alirannya. Bagaikan satu penjelmaan dari sudut kelam, bernaungkan seram. Saya kira ini sebuah track pembukaan yang seakan membangkitkan jiwa. Tiga lagu seterusnya; Days Now Done, Emerged dan Sink,Drown adalah manifestasi nyata band ini dalam menghamburkan irama-irama hardcore gelap, crusty dan lengkap dengan melodik-melodik serta elemen atmosferik yang menggetarkan. Saya khayal dan hanyut dalam alunan irama susunan Emerged. Mutu rakaman dan produksi bunyi yang menurut pandangan saya bertaraf baik telah menyemarakkan lagi roh muzik Emerged. Untuk makluman, material demo ini dirakam di Studio 46 Pasir Gudang (pada Februari 2015 - Disember 2016) di bawah kejuruteraan Ajen. Bagi yang masih samar-samar tentang halatuju Emerged, nama-nama seperti Tragedy, From Ashes Rise, Fall Of Efrafa dan yang sebumbung dengannya adalah antara pengaruh pembentukan muzik Emerged. Awas! Band ini dikhabarkan bakal hadir lagi dengan rilisan susulan, dalam format 7” berjudul “Astray”. Tanpa ada rasa sangsi, anda wajib senaraikan Emerged dalam radar carian anda. Amat disyorkan!!
emergedpunk666.bandcamp.com
facebook.com/emergedfamily
instagram.com/emerged.family
facebook.com/brokennoiserec

Tiada ulasan:

Catat Ulasan