Sabtu, 16 September 2017

Rebiu | SPEEDWITCHES – Demo 2015


SPEEDWITCHES – Demo 2015
Tandang Records
Tabik hormat buat Tandang Records yang sering mengeluarkan produk-produk band tempatan dari kalangan yang mahu lari dari muzik kebiasaan. Speedwitches adalah salah satu contoh band yang wujud bukan untuk memenuhi pemintaan muzik kesukaan ramai. Saya sendiri perlu jujur memberitahu bahawa saya mengambil masa yang begitu lama untuk mengulas Demo 2015 ini kerana kurang arif dengan muzik bawaan Speedwitches, malah gagal mengenalpasti pengaruh-pengaruh yang ada di dalamnya. Demo ini membekalkan 2 buah lagu yang begitu panjang durasinya, yang pertama Intro/Void dan keduanya Red Eyes/Outro. Keseluruhannya sekitar 25 hingga 30 minit jika tidak silap perkiraan saya. Muzik Speedwitches dalam Demo 2015 ini menjurus kepada bunyian Psychedelic Rock, Stoner Rock malah juga prototaip muzik Metal di peringkat awal revolusi pembentukannya. Diselimuti sound 70an yang begitu pekat dan tebal serta jalur vokal yang penuh jiwa. Irama-irama mainan Speedwitches kedengaran melayang-layang, dan saya sebagai pendengar merasa bagaikan terbang di awangan. Sangat bebas. Untuk makluman, Speedwitches ditunjangi oleh TJ (dram), Wary (vokal/gitar) dan Emi (bass). Rakaman berlangsung di Laguna Studio dan mendapat sentuhan Tom Bollocks. Ok, kalau anda minat Black Sabbath, saya rasa anda boleh sukakan band ini. Kesimpulan saya: Speedwitches – impresif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan