Ahad, 12 November 2017

Rebiu | KLABU ASAP – self-titled (EP 2017)


KLABU ASAP – self-titled (EP 2017)
Independen
Lazat! Sangat-sangat lazat sehingga mahu dijilat-jilat, sampai habis licin, haha! Ok, saya tidak bergurau ya, saya mahu memberi gambaran bahawa sesungguhnya serius, ini rilisan yang benar-benar memberi nikmat. Setelah dua tahun berlalunya EP pertama di tahun 2015, punkrockers dari Johor Bahru, Klabu Asap kembali berkarya lagi dan menghasilkan EP kedua mereka yang masih juga tanpa judul, mungkin boleh digelar EP 2017 sahaja. EP ini memuatkan lima buah lagu, berdurasi keseluruhan 16:50 minit. Sepertimana EP terdahulu, kali ini juga dirilis sekaligus dalam 2 format; CD dan kaset secara mandiri oleh Klabu Asap. Tabik hormat buat mereka ini yang punya semangat DIY yang cukup tinggi. Klabu Asap sememangnya telah dikenali dengan gaya muzik Punk Rock mereka yang bertenaga, rancak dan bermelodi sedap. 5 lagu dalam EP kali ini kesemuanya sedap-sedap belaka; garing, rangup dan mampu menarik pendengar untuk turut menyanyi bersama dari awal hingga ke akhir. Riff-riff yang kencang, menghiburkan, vibe yang menawan, struktur melodik yang melekat terus menjadi taruhan, kekuatan dan kelebihan Klabu Asap. Musicianship Klabu Asap tidak dapat dipertikaikan lagi. Pengendalian instrumen mereka kemas. Vokal juga “masuk air”, kena dengan irama dan lagu-lagunya. Rakaman di Studio 46 di bawah kendalian jurutera bunyi Ajen turut menghasilkan kualiti bunyi lebih mantap untuk EP kedua ini. Ini band yang tulis lagu untuk buat pendengar mereka rasa bahagia. Antem punk rock yang penuh dengan kasih sayang. Ya, Punk adalah Kasih Sayang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan