Ahad, 12 November 2017

Rebiu | SOFT – Nostalgia


SOFT – Nostalgia
Héma Records
Saya percaya bahawa album pertama mereka “A Warm Romanticism In Coldwave Room” telah menerima perhatian selayaknya, bukan setakat di sini akan tetapi juga di peringkat antarabangsa berdasarkan pemerhatian saya ke atas band ini. Band shoegaze / post-punk dari Ipoh, Soft telah kembali dengan full-length kedua mereka berjudul “Nostalgia” sekitar Mei 2017 dalam format 12" vinyl gatefold disertai 20 mukasurat booklet. Pembeli boleh memilih warna piring yang diinginkan; samada hitam, putih ataupun merah. Pada September yang baru lalu, rilisan ini disediakan pula dalam format CD menerusi Héma Records, sebuah label yang berpengkalan di Solo, Indonesia. Berdurasi keseluruhan 55:55 minit, album kali ini menghidangkan 11 buah lagu yang lebih matang bikinannya, lebih energetik serta kualiti bunyi yang lebih memberikan impak kepada pendengaran. Soft tidak sekadar meneruskan apa yang mereka tawarkan dalam album terdahulu, tetapi turut menambahbaik pelbagai aspek untuk menjadikan “Nostalgia” sebuah album susulan yang luarbiasa! Bersesuaian dengan judulnya, Soft kali ini seperti mahu mengajak para pendengar mengimbau kembali kenangan-kenangan dulu, memori lampau masing-masing. Benar bagai dikata, alunan muziknya membuatkan diri saya sendiri merenung jauh ke luar jendela, melayang bersama zaman silam yang dilalui, yang sudah tentunya terkandung bermacam kisah nostalgik. Sesetengah lagu pula berada dalam nuansa suram dan seram, terus-terang saya katakan ianya berpuaka dan berhantu! Sebagai penggemar muzik Dark Ambient, saya jatuh cinta dengan track bertajuk Song For Apollo Heights. Sudah tentu semua lagu-lagunya menarik termasuklah Dark Bass Tortured yang menonjolkan permainan bass dan saya kira ramai juga yang akan meminati lagu seperti Teenage Poetry On Vhs Dreams, Eternal Kiss And First Flowers, Tamar Jalis dan Grunge Glory. Ini album yang akan saya syorkan kepada semua orang. Ini album yang benar-benar layan perasaan.
facebook.com/hemarecords
hemarecords.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan