Jumaat, 23 Februari 2018

Rebiu | 13DAS – The World Never Ends Amisdt The Struggle Of Being Human


13DAS – The World Never Ends Amisdt The Struggle Of Being Human
Tandang Records
13DAS menurut penelitian saya adalah salah-satu contoh band yang benar-benar berjaya membuahkan hasil adunan bunyian klasik Scandinavian / Swedish d-beat raw punk dan Japanese noise punk (inspirasi Kawakami secara spesifik). Menariknya, kehebatan yang saya dengar dan nikmati ini terhasil dari hanya dua anggota band tersebut; Arah Edan (bass & vokal) dan Morbid Mantia (dram). Tape berjudul “The World Never Ends Amisdt The Struggle Of Being Human” yang rilis melalui label berprestij, Tandang Records menyajikan 8 buah lagu; kira-kira 12 minit irama hardcore punk yang cukup bingit dan menggetarkan! Energi serta dinamik susunan muziknya begitu terasa. Distorsi bass yang berat berkarat, ketukan dram d-beat yang menghentam, kebisingan simbal yang melengkapi serta gema vokal bergaung diadun sebati dan meletus! Ini sebuah rilisan EP yang sangat-sangat baik kualitinya dari segi muzik dan produksi. Sekiranya kalian berminat dengan jenisan muzik destruktif menyeluruh, segeralah cari rilisan dari band 13DAS (Tertindas menurut sebutan sebenar) ini. Band asal Kulim Kedah ini memang menakjubkan! Pada akhir ulasan ini biar saya turunkan semula salah-satu dari dua senikata berbahasa melayu dari rilisan “The World Never Ends…”, ianya dari lagu berjudul Akta Neraka: Semua kau atur supaya akur. Undang-undang hanya untuk kepentingan. Kuasa-kuasa membabi buta. Butakan minda masyarakat. Demokrasi beraja..akta neraka!

Khamis, 22 Februari 2018

Rebiu | CLAYRAYANT / SENSE OF CRISIS – Live Split And Destroy!


CLAYRAYANT / SENSE OF CRISIS – Live Split And Destroy!
Exit Music
Split tape ini dikeluarkan beberapa tahun yang lalu, sekitar penghujung 2013 atau awal tahun 2014 oleh Exit Music, sebuah label dari Jerantut. Masing-masing dengan penampilan tiga buah lagu, “Live Split And Destroy!” menemukan Clayrayant, d-beat raw punk dari Kota Kinabalu dan Sense Of Crisis, raw crust punk dari Raub. Kualiti bunyi kedua-duanya agak mentah dan diambil terus dari rakaman langsung. Kedengaran agak rabak akan tetapi cukup membuktikan semangat punk yang meluap! Hanya 100 unit kaset diriliskan. Sila bertanya di exitmusick@yahoo.com untuk status terkini.
exitmusick.bandcamp.com

Rebiu | SECRET AGENDA – Resurrection Day


SECRET AGENDA – Resurrection Day
Independen
Ini sebuah album yang sebenarnya cukup-cukup berkualiti dalam pelbagai aspek yang mana saya kira terhasil dari sekumpulan pemuzik yang berkemahiran tinggi. Ya, Secret Agenda itu sendiri dianggotai individu-individu yang berpengalaman luas dan paling penting mereka memiliki pengetahuan untuk penghasilan yang terbaik, dari segi input mahupun output. Album sulung berjudul “Resurrection Day” telah direalisasikan sekitar Jun 2017 oleh band yang dibarisi oleh Caown (gitar), Amand (bass), Fathi (vokal), Drez (dram) dan Aretan (gitar) mengandungi sebanyak 11 buah lagu, berdurasi keseluruhan 44:37 minit. Profesionalisme dalam pengendalian instrumen, permainan yang mantap dan kemas, produksi bunyi yang berat dan tepat, gubahan serta susunan riff yang dinamik, kaya dengan idea-idea segar, progresif dan inovatif, sentuhan melodik serta kerja gitar yang melekat dan menangkap adalah antara kata-kata kunci kepada kualiti menyeluruh album “Resurrection Day” ini. Secara muzikal, Secret Agenda mempertaruhkan Modern Thrash Metal, mempertemukan inspirasi American Thrash era 90-an sebagaimana mainan Exodus, Megadeth, Pantera, Overkill, Testament dan seumpamanya serta elemen citarasa terkini yang didatangkan dari band-band seperti Trivium dan Lamb of God contohnya. Inilah yang dilihat membentuk tetapan bunyi serta susunan muzik Secret Agenda dan dilengkapi lagi dengan lontaran vokalnya yang begitu mengena. Tanpa sebarang keraguan, produk berkualiti tinggi seperti ini amat saya syorkan untuk kalian miliki dan nikmati. Secret Agenda sebuah band yang perlu diberi perhatian dan sokongan meskipun nama ini boleh dikatakan baru bagi sesetengah pihak. Markah penuh saya berikan untuk rilisan padu ini. Sangat berkuasa!

Rabu, 21 Februari 2018

Rebiu | AYAM HITAM – Demo Loni Dop Serupo Mulo (Kecek Omputih Plop Doh!)


AYAM HITAM – Demo Loni Dop Serupo Mulo (Kecek Omputih Plop Doh!)
Independen
Tatkala demo “No Mix No Master (Against All Authority)” masih hangat dipasarkan, Ayam Hitam dengan kejutan kebiasaannya (difahamkan itulah hobi mereka) muncul lagi dengan demo cd-r baru pada 7 Ogos 2017, berjudul “Demo Loni Dop Serupo Mulo (Kecek Omputih Plop Doh!)”. Ini merupakan rilisan rasmi kelima dalam turutan diskografi Ayam Hitam dan ianya boleh dikatakan eksklusif kerana memuatkan kesemuanya lagu-lagu yang liriknya dalam Bahasa Inggeris. Rilisan kedua dalam tahun 2017 ini berdurasi hampir 12 minit; memuatkan lagu olahan/rakaman semula He Was A Boy di samping ciptaan-ciptaan baru iaitu Live In The City, 1696 dan Split, Spit and Bleed. Berdasarkan pengamatan saya dan perbandingan kepada rilisan-rilisan terdahulu, saya berpendapat ini adalah keluaran dan inisiatif terbaik dari Ayam Hitam setakat ini. Permainan dan mutu rakamannya jauh lebih kemas. Sedar tak sedar, saya telah menjadi pengikut setia band ini dan menyokong sepenuhnya perjuangan Ayam Hitam. Ini band yang bermain muzik tanpa terikat dengan sebarang format mahupun pengaruh. Mereka mencipta lagu-lagu berdasarkan jiwa dan naluri mereka sendiri. Dapatkanlah karya-karya Ayam Hitam sekiranya anda tidak kesah dengan tradisi sasau, rabak dan barai Punk Rock bikinan mereka, namun begitu pedas dan (pada masa yang sama) bernas dalam lirik-lirik serta mesej tulisan band ini. WhatsApp 012-6444947 (Ocha) untuk sebarang urusan berkaitan Ayam Hitam.
facebook.com/bandayamhitam
ayam-hitam.bandcamp.com

Rebiu | AYAM HITAM – No Mix No Master (Against All Authority)


AYAM HITAM – No Mix No Master (Against All Authority)
Independen
Susulan kepada tiga Demo-EP sepanjang tahun 2016; “Bunyi Jujur”, “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak2” dan “Last Attack”, band Ayam Hitam kembali dengan karya terbaharu yang diriliskan pada 7 Jun 2017 iaitu “No Mix No Master (Against All Authority)” Demo 2017. Band yang pernah saya labelkan sebagai punk sasau dalam sebuah interbiu satu ketika dahulu (dalam Bangkit! #2.5) kini dilihat lebih baik dalam aspek komposisi lagu, kualiti bunyi rakaman malah pakej demo cd-r ini agak menarik di mana booklet/zine lirik 16-mukasurat turut disertakan. Demo 2017 berdurasi keseluruhan 36:14 minit ini mempertaruhkan sejumlah 13 buah lagu, antaranya Selamatkah Kita?, Fasis Yang Mulia, Anti Perang, Jagatraya dan Nuklear di samping turut memuatkan 2 lagu ‘remake’ iaitu Lawan dan Protes Rakyat yang mana gubahan asal pernah ditampilkan dalam rilisan-rilisan terdahulu. Genre mainan Ayam Hitam sebenarnya sukar untuk dikonklusikan. Mereka setia dengan pendekatan raw dan minimalist dalam gubahan serta rakaman lagu-lagu mereka. Kalian boleh sahaja meletakkan mereka di bawah jalur anarcho / political punk merujuk kepada konsep dan motif band ini. Terdapat juga lagu di mana mereka menyuntik elemen hip-hop (rapping) dalam demo ini. Ayam Hitam terus-menerus serius dalam dalam menyampaikan mesej-mesej radikal dan anarki mereka. Zine Lirik yang disediakan memperjelaskan lagi objektif punk band ini. Ayam Hitam dalam rakaman demo ini ditunjangi oleh Ocha (vokal/gitar), Kolo (vokal kedua), Mat Ghandi (gitar), Redo Gemok (bass) dan Mat Manan (dram). Untuk menutup ulasan ini, saya tuliskan kembali satu perenggan yang tercatat di bahagian “Akhir Kata!” dalam zine lirik: Perjuangan kita takkan sia-sia dalam melawan kezaliman kapitalisme, sampai bila? Sampai bila-bila pun kita akan lawan sesiapa sahaja yang cuba menghalang hak rakyat untuk hidup dengan lebih baik! Hidup Anarkis! Hidup Rakyat! Hidup kesamarataan!
facebook.com/bandayamhitam
ayam-hitam.bandcamp.com

Rebiu | PENGUASA ANJING – Bangsat Durjana


PENGUASA ANJING – Bangsat Durjana
Headhunter Records
Syukur, saya mendapat sedikit peluang untuk memiliki salah-satu rilisan Penguasa Anjing, sebuah band yang terlebih dahulu aktif dari Ben Pangazou (gitar/vokal) sebelum beliau bergiat cergas menerusi Con-Damn The Corruptor. “Bangsat Durjana” merupakan EP pertama dari band ini, dikeluarkan sekitar Februari 2013 dalam format 3" mini cd-r. Ianya mengandungi 5 lagu berdurasi keseluruhan 8:09 minit. Terus-terang, saya sukakan kualiti bunyi rakaman ini (dirakam di B.M.T Studio) yang sangat bagus, jelas dan terkawal keseimbangannya meskipun lagu-lagu Penguasa Anjing agak pantas dan keras. Band asal Inanam/Penampang, Sabah ini dilihat mencampur-adukkan kepelbagaian genre (hardcore, grindcore, punk dan metal) maka tidak hairanlah mereka lebih selesa berada di bawah definasi tersendiri iaitu “anjingcore”. Percubaan ini satu usaha yang “menjadi” berdasarkan pendengaran saya, bertenaga dan mengesankan. Kemarahan dan kegarangan yang diletakkan dalam muzik Penguasa Anjing dilengkapi lagi dengan lirik-lirik serta lontaran vokal berpaksikan kritikan (carutan) politik dan sosial yang telus tanpa berselindung. Dengan adanya “Bangsat Durjana” dalam koleksi, saya teringin untuk mencari dan mendapatkan EP kedua mereka “Kisah Si Anjing Kurap”, Live Demo 2012, Promo CD 2013 serta beberapa rilisan split yang pernah mereka riliskan. Pun demikian, Penguasa Anjing ini yang turut dianggotai Arnold/Alan (dram) khabarnya telah ditamatkan riwayatnya dan baru-baru ini dijenamakan semula sebagai Hideous.

Selasa, 20 Februari 2018

BANGKIT! #8 dalam pembikinan!!


Pada masa yang sama kami menyudahkan kerja-kerja untuk Bangkit! #7, sukacita dimaklumkan pihak kami juga turut menyediakan isu ke-8 fanzine ini. Sebenarnya situasi ini berlaku kerana kami menerima begitu banyak jawaban interbiu dan ianya tidak dapat disekalikan dalam isu yang sama jadi kami memutuskan untuk diagihkan kepada dua edisi yang berlainan. Band-band yang ditampilkan dalam Bangkit! #8 kebanyakannya adalah jawaban-jawaban interbiu yang diterima terkemudian dari yang dimuatkan dalam isu #7. BANGKIT! #8 mengetengahkan TROPHY KNIVES sebagai “cover story” dan temubual bersama BOMBRÄD, APPÄRATUS, FILE 106, ROUND OFF, A LOT LIKE TURD, THE KIDS, C4D, SEPTEMBER CLASH serta KOLEKTIF SARATA. Isu ini dijadualkan terbit sekitar April / Mei 2018.

BANGKIT! #7 dalam pembikinan!!


Untuk makluman pembaca dan penyokong penerbitan Bangkit! Fanzine, edisi ketujuh di bawah kategori “regular series” (siri tetap) zine BANGKIT! pada masa ini masih di peringkat pembikinan. Saya sedang bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk menyiapkan bahagian “tersusah” (hehe!) dalam pembuatan zine iaitu menulis ulasan cd, kaset dan sebagainya. Disebabkan beberapa kesulitan tertentu, isu #7 ini tidak mungkin dapat diterbitkan pada hujung Februari ini (sepertimana perancangan awal) dan hanya dijangkakan akan siap dan rilis sekitar Mac 2018. Isu kali ini membawa penampilan eksklusif ACID RAIN di samping interbiu-interbiu lain bersama 13DAS, THRASHIT, THY REGIMENT, HASHISHIAN, KIDS ON THE MOVE dan SECRET AGENDA. Turut dimuatkan sebuah artikel mengenai band KARATZ. Nantikan sahaja keluaran ini dan segera dapatkan apabila ianya rasmi diterbitkan. 

Notasi | Foto Sekitar KUALA LUMPUR ZINE FESTIVAL 2017


Selepas beberapa bulan berlalu, baru aku sedar yang aku belum upload laporan atau sebarang foto berkaitan penyertaan Bangkit! Fanzine dalam event Kuala Lumpur Zine Fest #KLZF2017 yang mana telah berlangsung berlangsung di ATAS by Bijan Fx, Petaling Jaya pada 9 Disember 2017. Disebabkan aku takde masa nak tulis report, jadi aku sumbat foto-foto dah ler, hehe! Maaf ler, aku pun baru perasan tak banyak foto aku snap semasa event tersebut.








Harta Terkumpul #KLZF2017
1. STREET YOUNGSTERS // DISOBEY – split demo
2. BAMM! ZINE + Free BAMM! Mixtape
3. KONVERSASI SULIT: salah satu malam
4. TAFAKURISK – Experimental Issue
5. ULTIMATE DARKNESS - Volume III 
6. Buku: MENGUKIR NADA DARI BESI
7. TRYPOPHOBIA – Issue #3
8. UTILIS! – Issue #3
9. Zine Cerpen: CAH KETING
10. CP ZINE #2
11. Sickness Versus 2: RIMBOK
12. WHAT IF? – Isu #1 "Retro"
13. RUSUH – Isu #0
14. HANG PASAI PA? (Koleksi Kartun Loghat Utara)
15. WASTED #3
16. ZINE PENDEK #1: Anti Capitalism
17. ZINE PENDEK #2: Fuck Your Nationalism...
18. ZINE PENDEK #3: Pertembungan Dialektika
19. ZINE PENDEK #4: Fuck Fasisma & Nasionalism
20. DISTOPIA – Isu #1
21. MANUSIASI – Isu #6
22. Aural Mayhem Project (4-way split)
23. Kuala Lumpur Zine Fest 2017 Art Book (plus A3 poster, KLZF 2017 leaflet, key chain, 1" button badge, 4" x 4" sticker & 50 pages sketchbook)




Tiga foto di atas adalah sebahagian persediaan Bangkit! Fanzine untuk menyertai KLZF2017 di mana semasa event ni diterbitkan secara rasmi dua isu terbaharu, #6 dan #6.5 (keluaran khas zinefest tersebut).


Alhamdulillah, setakat ni Bangkit! Fanzine dah sertai dua event; Selangor Zine Fest 2017 dan Kuala Lumpur Zine Festival 2017. Sekian, terima kasih.

Notasi | TRANSIT #2: DI SINI SELAMA INI


Sukacita dimaklumkan bahawa bertarikh 10 Februari 2018 yang lalu aku telah melancarkan edisi kedua TRANSIT, zine literatur yang terhasil dari penulisan aku di blog atas nama berkenaan. Korang boleh tengok detail di laluan: Transit #2: Di Sini Selama Ini.

Transit Kembali! Isu kedua zine TRANSIT dahpun siap! Seperti yang pertama dulu, format kali ni juga sama; menghimpunkan 12 Puisi dan 4 Catatan karya syok sendiri Sufian Mohamed Salleh a.k.a Pyan Nathias, hehe! Naskah ini asasnya diterbitkan atas dasar sekadar satu koleksi peribadi yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan yang berminat, hmmm.. ada ke yang berminat? Kalau ada, hubungi saya di: facebook.com/piankvlt.

Nota: Transit adalah projek sampingan (sub-project) Up The Punx / Bangkit! Fanzine | Blog Transit boleh dilayari di: transit-seni.blogspot.com.