Isnin, 12 Mac 2018

Rebiu | ACID RAIN – Headache


ACID RAIN – Headache
Wanted Records
“Headache” EP 2016 adalah sebuah rilisan yang tertunda dari Acid Rain, di mana hanya dapat dikeluar-dan-edarkan sekitar Julai 2017. Segala kisah dan penceritaan di sebalik sessi rakaman serta informasi kandungan lagu-lagu yang dimuatkan dalam EP ini dicatat dengan teliti, lengkap dan jelas dalam risalah bersaiz A5 percuma “Surat Layang” 8-mukasurat [Nota: Kalian juga boleh mendapat penerangan selanjutnya melalui interbiu bersama Acid Rain dalam Bangkit! #7]. “Headache” tanpa sebarang keraguan merupakan sebuah lagi pakej rilisan yang menarik keluaran band otai dari Pulau-Pinang ini. Menjalani proses rakaman di Dusthall Studio pada 26 Jun 2016, EP ini mempertaruhkan 5 buah lagu; Chaos May 13th (rakaman semula 2016 dengan sedikit pengubahsuaian berbanding komposisi asal 1996, segar dan mantap!), Headache (rakaman baru lagu yang dicipta untuk EP Attack (2000) yang dibatalkan), Punk Invasion (boleh dikatakan lagu gubahan terbaharu Acid Rain sekitar 2015/2016 dan diperkenalkan dalam rilisan Punx Invasion: Europe Tour 2017), No Way Out (lagu baru bertemakan akibat penyalahgunaan dadah yang mana turut menampilkan sumbangan suara Jack Nicholson, sedikit lebih keras seperti The Exploited bertemu Slayer), dan lagu terakhir Boria Again (juga rakaman baru lagu yang dicipta untuk EP Attack (2000) yang dibatalkan). Meskipun Boria Again dikatakan bukan percubaan untuk meraih semula populariti lagu Boria Punk Rock Pulau Pinang, menurut pendapat saya secara peribadi, ianya memperkukuhkan lagi ‘trademark’ Acid Rain itu sendiri, sesuatu yang hanya ada dalam band ini. Sebagaimana biasa, Acid Rain dalam EP ini kekal setia dengan kehuru-haraan punk UK82 seperti The Exploited, GBH, Chaos UK, Discharge dan seumpamanya dengan sedikit percubaan mempelbagaikan variasi susunan dalam komposisi lagu. Namun, keseluruhannya ia tidaklah mengubah identiti dan keserasian punk tegar Acid Rain seperti yang kita dengari dalam rilisan-rilisan terdahulu. Jitu dan senantiasa bersemangat! Sukacita ingin saya maklumkan, “Headache” terbaik dan satu kerugian jikalau kalian tidak mendengarnya serta tiada dalam simpanan kalian. Emel wantedrecpg@gmail.com jika anda mahu tahu status edarannya. Berikut serangkap petikan lirik dari lagu Headache: Stand up punks don’t be sacred. Got no gear we don’t care. It’s matter counts on your head. Hasta la vista and Punk’s Not Dead.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan