Khamis, 15 Mac 2018

Rebiu | ARMADOS – Perang Ilmu Penghancuran (Discography 2006 - 2016)


ARMADOS – Perang Ilmu Penghancuran (Discography 2006 - 2016)
Voice Of Bornneo Label/Distro
Armados dari Lahad Datu, Sabah adalah satu nama yang telah lama bertapak dalam persada metal / punk tempatan. Band ini sudah mula wujud dan bergiat semenjak tahun 2006 lagi. Agak menyedihkan, mereka kehilangan salah seorang anggotanya Mohamat Fadzil @ Pajil (vokalis) yang telah kembali ke rahmatullah pada Julai 2016, hanya beberapa bulan selepas rilisan “Perang Ilmu Penghancuran” dikeluarkan. Rilisan diskografi 10 tahun (2006- 2016) eksistensi Armados ini menghimpunkan sejumlah 20 buah lagu, berdurasi keseluruhannya 61:10 minit. Ianya koleksi kesemua material Armados sepanjang sedekad dalam satu CD merangkumi “State Of Violence” (2008), “Ready For Destruction” (2013), “The End Of The World” (2015), “Perang Ilmu Penghancuran” (2016) dan tambahan 4 buah lagu bonus track. Secara muzikal, Armados adalah sebuah band yang cukup kuat menekan konsep ‘melodik’ dalam arus irama metalpunk mainan mereka. Guitarwork yang begitu kemas dan lancar disertai solo-solo indah yang mencengkam dan membuai adalah struktur paling menonjol dalam lagu-lagu gubahan band ini, mengiringi ritma-ritma kencang dan berat percampuran genre metal dan punk. Mereka juga meletakkan beberapa idea yang menarik dalam sesetengah lagu. Versi saduran Amon Amarth lagu berjudul Victorious March menguatkan lagi halatuju permainan melodi dalam definasi menyeluruh muzik Armados. Nuansa ‘punk’ lebih ketara dalam lirik-lirik yang ditulis yang menjurus kepada isu politik, kritikan kepada sistem pemerintahan, anti-perang dan konsep-konsep perlawanan. Rilisan “Perang Ilmu Penghancuran” (Discography 2006 - 2016) ini pada saya mempunyai nilai yang cukup tinggi dan tak terbanding. Ini adalah bukti perjuangan Armados selama sedekad ini, sebuah band melodic metalpunk yang mahu berdiri dan berkarya dalam identiti mereka sendiri. Sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Pajil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan