Khamis, 30 Jun 2016

Rebiu | THE BOLLOCKS – Society Collapse


THE BOLLOCKS – Society Collapse
Tandang Records / Basement Records
Gila! Memang gila! Aku tidak maksudkan mereka ini orang gila, haha, tetapi The Bollocks itu bersama muziknya memang betul-betul menggila!!. Apa tidaknya, aku fikir kembalinya The Bollocks menerusi album baru “Society Collapse” pasti akan sedikit mengendur dan mendatar berbanding “Revival” (2008) yang aku anggap cukup keras dan pedas ketika itu [dalam rebiu aku terdahulu]. Mungkinlah kan.. dengan peningkatan usia setelah lebihkurang 8 tahun. Rupanya sangkaan aku meleset. Terjahan dan tujahan The Bollocks dalam “Society Collapse” semakin-makin jahat!; padu, laju, berat, padat, metal-influenced bersatu dalam estetika Hardcore Punk yang cukup jitu dan tinggi nilainya. Inilah penangan orang lama yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bermuzik dan membudayakan diri dengan filosofi punk. Tidak setakat senilagu dan muziknya, lirik-lirik dan suara The Bollocks turut kian lantang membidas mengelibas segala isu dan permasalahan domestik dan global. Ini himpunan 10 buah lagu (lebih 30 minit keseluruhannya) yang perlu ada dalam senarai harta milik anda, khususnya penyokong scene underground tempatan; tanpa mengira anda metal, grind, apatah lagi penggemar muzik punk. “Society Collapse” adalah manifestasi penyatuan karisma Punk Rock old-school dalam persekitaran modenisasi muzik independen hari ini. Aku dengan ini mengisytiharkan The Bollocks kini telah meletakkan satu tanda aras baru muzik Hardcore Punk di Malaysia.
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434
basementrecordz.bandcamp.com
tandangrecords.bandcamp.com

Selasa, 28 Jun 2016

Rebiu | TARANTULAH – Sekatan Minda Terseksa… Kita Didusta


TARANTULAH – Sekatan Minda Terseksa… Kita Didusta
Sisa Toxsick Production
“Sekatan Minda Terseksa… Kita Didusta” adalah rilisan demo rasmi keempat dalam kronologi karier Tarantulah, sebuah band underground yang ditubuhkan sekitar 2007 di Lembah Kelang. Dikeluarkan dan mula beredar pada 7 Jun 2016, demo CD dalam pakej slim DVD case ini mempertaruhkan 6 gubahan terbaharu mereka, termasuklah intro dan outro. Satu booklet berhalaman 8 mukasurat turut dibekalkan; padat dengan pelbagai maklumat rakaman, produksi, ilustrasi dan semestinya kesemua lirik turut dicetak. Alunan muzik Tarantulah kedengaran keras, berat, metallic, thrashing, malah kekadang juga berbaur deathmetal. Mungkin lebih mudah didefinasikan sebagai Crossover Thrash mengikut persepsi saya dan disatukan dengan ideologi Punk dari segi pendekatan dan kualiti rakaman, penulisan lirik serta intipati mesejnya mahupun teknik penyampaian vokal. Semua rencah ramuan ini digaul rata dan saling melengkapi dalam satu resepi yang dipanggil Moderate Metal Punk. Tidak lebih tidak kurang. Sederhana dan bersahaja!. Muzik Tarantulah bukan sahaja raw dan old-school sifatnya, tetapi lebih penting karya mereka kedengaran “hidup” dan berpaksikan kejujuran. Segera dapatkan CD berdurasi 26:30 minit ini selagi stok masih ada kerana ia terhad hanya 40 salinan.
tarantulahmoderatemetalpunk.blogspot.com
facebook.com/SisaToxsick

Isnin, 27 Jun 2016

Interbiu | SUDIRRRMAN : 14.06.2016


SUDIRRRMAN adalah sebuah kugiran asal Seremban ditubuhkan oleh 3 jejaka yang khabarnya sangat meminati penyanyi lagenda negara yang pernah ketika hayatnya digelar Penghibur Nombor 1 Asia iaitu Sudirman. Samada anda mahu menganggap mereka sebuah tribute atau sebaliknya, Sudirrrman berada di atas landasan sebagai sebuah band Hardcore Punk / Fastcore yang sukakan bunyi-bunyian dari era 80-an dan 90-an, mencintai konsep DIY, persahabatan, keseronokan dan sebagainya. Interbiu ini berlangsung bersama Haikal, vokalis Sudirrrman yang turut dianggotai Hairi (gitar) dan Najib (dram).

Kenapa band ini dinamakan Sudirrrman?
Sudirrrman sebab kami suka nama-nama yang lama. Kebetulan kami suka lagu-lagu penyanyi Sudirman. Kami tak fikir panjang terus bagi nama Sudirrrman.

Ceritakan sedikit bagaimana tertubuhnya band Sudirrrman?
Asalnya kami juga ada band lain selain Sudirrrman. Haikal – vokal (bekas vocalist band Kurapsick), Hairi – gitar (bassist band Obligasi), Najib – dram (drummer band Obligasi). Kami bertiga ada minat yang sama.. suka bunyi-bunyi laju dan oldschool Hardcore Punk. Mula-mula kami cuma jamming je.. suka-suka. Dah banyak kali kami jamming baru kami bincang untuk buat band bergenre oldschool Fastcore.

Bagaimana sambutan dan pendapat pendengar terhadap Demo 2016 “Fast is Fun”?
Alhamdulillah, demo tape kami pun habis dijual. Kami tak harap apa-apa pon. Yang penting kami puas dan have fun. Crowd pun fun!.

Sudirrrman ada rilisan-rilisan lain tak selain demo tersebut?
“Fast is Fun” first rilis kami. Sekarang kami dalam perancangan untuk buat record baru.

Camne korang describe muzik Sudirrrman menerusi demo “Fast is Fun”? Berikan nama 5 band yang betul-betul bagi inspirasi pada korang dalam menghasilkan lagu.
“Fast is Fun” maksudnya kami suka pada bunyi yang laju. Ia menyeronokkan. 5 band yang betul-betul bagi inspirasi pada kami; Minor Threat, Scholastic Deth, Nihil Baxter, Surf Nazis Must Die dan DS-13.

Di Malaysia ni camne penerimaan orang terhadap jenis muzik yang korang mainkan?
Bagi kami scene di Malaysia ramai. Tak kisah apa jenis genre mesti ada sambutan.

Apa perkara yang korang tulis dalam lirik dan camne korang nak mesej-mesej tu sampai kepada pendengar?
Lirik kami agak simple. Kami banyak berdasarkan apa yang kami nampak sekeliling kami. Pasal attitude, pandangan orang pada punk dan juga politik. Camne nak sampaikan mesej bergantung pada pendengar.. mungkin boleh baca lirik kami sambil sing-along, haha!.

Apa yang korang rasa masih kurang dalam demo “Fast is Fun”?
Takde yang kurang. Kami puas. Tapi banyak lagi yang kami kena belajar. Kami masih baru.

Beri pendapat sedikit tentang Windows & Attics – label yang rilis demotape tu?
Windows & Attics satu label yang baru. Kami sukakan semangat dia yang berani. Kami band first yang dia rilis untuk label Windows & Attics. Tunggu projek dia yang akan datang. Boleh follow up dia punya blog. Banyak juga cerita pasal scene kat Malaysia. 

Ada plan tak nak rilis demo tu dalam format CD?
Sebelum kami rilis tape kami ada rilis dalam CD dan dah habis dijual.

Apa pentingnya gig kepada Sudirrrman? Gig-gig mana yang korang sertai yang paling menyeronokkan dan diingati?
Pentingnya gig.. kami dapat sampaikan muzik yang kami main. Kami dapat have fun sama-sama dengan crowd, dapat kenalan baru, dapat share benda baru.. best. Gig yang paling seronok kami main adalah Pesta Laju Awal Tahun di The Key, Melaka.. sangat best.. banyak jugak band-band power.

Apa lagi yang korang rancangkan untuk masa hadapan?
Perancangan kami untuk masa depan kami akan teruskan bermain muzik dan akan rilis material yang baru.


Nota: Interbiu ini akan disunting dan dikarang semula menjadi sebuah rencana dan dimuatkan di bawah ruangan EXPOSE dalam Edisi Kedua BANGKIT! FANZINE akan datang.

Sabtu, 25 Jun 2016

Rebiu | NOT THINGS! – Wounded Dignity


NOT THINGS! – Wounded Dignity
Nervhous Records
Not Things! dari Machang, Kelantan ini pada amnya sebuah nama baru (ditubuhkan sekitar Oktober 2015) dalam arena Punk Rock tempatan akan tetapi difahamkan ahli anggotanya adalah individu-individu berpengalaman yang pernah/sedang bermain dalam band-band lain. Saya mengenali Kodi (dram) yang turut bersama Disobey yang ditemubual dalam Bangkit! #1. Selain Kodi, Not Things! turut dibarisi oleh Aisa (gitar/vokal) dan Ba (bass/vokal). Demo 2016 “Wounded Dignity” mengetengahkan 4 buah lagu yang cukup enak, segar dan menyelerakan. Dengarkan dengan teliti riff-riff gubahan mereka, kocokan-kocokan gitar dalam lagu-lagu mereka. Ianya garing, rangup dan terus-terusan merangsang, membangkitkan semangat kita yang mendengar. Apatah lagi dibantu padunya bunyi petikan bass dan ketukan dram menjadikan setiap lagu itu kedengaran begitu outstanding. Saya sukakan lagu Dear Letter, bermula agak mellow pada 3 minit pertama kemudiannya kembali rancak di 30 saat terakhir. Penulisan senikata-senikatanya juga intelektual, dinyanyikan pula oleh vokalis yang ada tone suara yang tersendiri, bukan biasa-biasa dan sangat sedap didengar. Pada saya, Not Things! tidak berada di sini untuk bermain Punk Rock popular seperti Green Day mahupun Sum 41. Ini band yang memiliki citarasa dan inspirasi yang agak distinctive berbanding kebanyakan rilisan melodic / pop-punk lain yang ada dalam koleksi saya. Saya tidak teragak-agak untuk mencadangkan kalian segera dapatkan CD berdurasi 11:25 minit ini jika kalian mahukan satu material Punk Rock yang berkualiti dari sebuah band yang berpotensi. Ini yang saya istilahkan – impresif.
facebook.com/NotThingsBand
notthings.bandcamp.com
nervhousrecords.com

Jumaat, 24 Jun 2016

Rebiu | CINTA SI PENGGALI KUBUR – PuisiCore



CINTA SI PENGGALI KUBUR – PuisiCore
Tempang Records
Unik dan berkelainan. Ini yang dapat saya ungkapkan ke atas rilisan ini. Saya melihat ia sesuatu yang berbeza seawal cassette tape ini berada di pasaran lagi. Namanya sudah cukup menambat perhatian di mana pada saya Cinta Si Penggali Kubur satu nama yang tak pernah terlintas di fikiran untuk digunapakai oleh sebuah band. Tape ini memuatkan 8 buah lagu + 2 lagu bonus berdurasi keseluruhannya lebihkurang 13 minit [tracklist sama di Side A dan Side B]. Ternyata mereka juga berada di luar kotak dari segi muzik dan persembahan mereka. Kita biasanya mendengar deklamasi sajak diiringi petikan gitar akustik yang menghanyutkan tetapi CSPK melakukannya kontra kepada kelaziman itu. Puisi-puisi mereka diperlaungkan dalam pelbagai ekspresi marah dan rintihan berlatarbelakangkan mainan gitar distorted dan raw (tanpa ketukan dram). Jelas, CSPK hadir dengan idea yang mereka jenamakan sebagai puisicore yang hampir sukar untuk ditemui dari mana-mana band lain. Puisi-puisi yang ditulis juga menarik, puitis dan sebahagiannya sarkastik. Dua lagu bonus adalah percubaan CSPK memasukkan instrumen dram dan berdiri sebagai sebuah band lengkap. Meskipun secara jujur saya lebih menyukai ketulenan idea, daya kreativiti dan sifat-sifat innovasi pada 8 lagu pertama tadi, bonus yang ditampilkan ini tidaklah mengecewakan. Terutamanya lagu terakhir Tok Adi Stone yang bernuansakan Black Doom Metal pada pendengaran saya. Penambahan bunyian kibod menyerlahkan lagi suasana kelam dan suram dalam lagu tersebut. Saya selalu terfikir kalaulah ada band yang boleh mengisi kekosongan satu-satunya band Doom Metal tempatan iaitu MODAR, ia akan sangat baik untuk scene tanahair. Mungkinkah CSPK? Siapa tahu. Kedua-duanya pun dari negeri yang sama, Terengganu. Secara keseluruhan, tape ini adalah satu rilisan yang cukup bagus buat pendengar yang mencari alternatif kepada kebiasaan.
facebook.com/cintasipenggalikubur
cintasipenggalikubur.bandcamp.com
facebook.com/TempangRecords

Rabu, 22 Jun 2016

Rebiu | CHOOSING PATH – Isu #2


CHOOSING PATH – Isu #2
80ms / A5 / Dwi Bahasa
Dah lama sebenarnya aku dapat fanzine ni. Baru sekarang aku boleh buat sedikit ulasan mengenainya. Hampir keseluruhan Choosing Path ditulis dalam Bahasa Melayu, cuma beberapa halaman menggunakan Bahasa Inggeris terutamanya yang melibatkan band dari luarnegara. Choosing Path #2 diterbitkan pada November 2015 dan ia adalah karya Benny Pangazou, individu di sebalik band Penguasa Anjing, Con-Damn The Corruptor dan label Headhunter Records. Tujuh buah band ditemubual dalam isu kedua ini; Keep The Freedom (Punk Rock dari Tenom), Liberty Chaos (Street Punk dari Ipoh), Flagitious Idiosyncrasy In The Dilapidation (all-female Grindcore dari Jepun), Gayang Kuntilangan – (Death) Metal unik dari Penampang yang menggabungkan instrumen moden dan tradisional (Sabah) dalam pembikinan muzik mereka, Marjinal (Punk Rock berpengaruh dari Indonesia), RoundOff 40 (Pop-punk dari Kudat) dan Maddthelin (Post-Hardcore Kuala Lumpur). Aku cukup respek dengan metod dan olahan Ben mengutarakan soalan-soalan interbiu; yang mana pada aku ianya matang, berkembang dan kadang-kala di luar-jangka. Ben seorang editor yang terlebih dahulu melakukan kajian, persiapan dan rancangan teliti sebelum satu-satu set interbiu itu dipanjangkan. Ini yang menghasilkan sesebuah sessi temubual itu menjadi sangat terperinci dan mendalam. Kalian perlu baca bual bicara bersama Gayang Kuntilangan dan Marjinal di mana pada pendapat aku inilah antara interbiu yang menjadi highlight dalam Choosing Path #2. Ben sekali lagi membuktikan beliau adalah penulis yang baik, dewasa dan jujur dalam setiap penulisannya di mana hal ini aku rujuk kepada paparan-paparan rencana yang bukan sahaja berkisarkan muzik tetapi juga kehidupan budaya / kemasyarakatan persekitaran ruang-lingkup beliau. Ianya di-isi dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dan inilah yang menjadi resepi kekuatan artikel-artikel seperti Headhunter/Pangazou dan “Land of Headhunter”, Siapa Marsinah? serta Aku, Sun Wukong dan Tamiya Mini 4WD. Ben dalam isu ini turut berkongsi cerita tentang aktivitinya dalam muzik, antaranya Laporan “Siok Sendiri Tour 2014” (Con-Damn The Corruptor), band awalnya Penguasa Anjing serta komuniti dan label beliau; Monsopiad Collective Movement dan Headhunter Records. Choosing Path #2 turut memberi ruang kepada penulis undangan iaitu Sara Minion. Bahagian lain yang perlu diberi perhatian dan cukup menarik untuk ditelaah adalah 10 mukasurat Seksyen Ulasan Audio. Kupasannya kreatif dan secukupnya informatif. Aku agak bimbang kiranya pengulasan ini menjadi terlalu panjang tetapi percayalah, sebuah hasilkerja yang baik perlu diberi lebih pengiktirafan. Biar saya akhiri ulasan ini dengan dua perkara paling tulen tentang Choosing Path #2. Pertama, kulit luar isu ini dihiasi artwork yang cukup original sifatnya. Nampak selamba tetapi penuh dengan makna. Kedua, pemberian percuma alat permainan puzzle tradisional kaum Rungus iaitu Inundazang. Ianya benar-benar menguji hinggakan aku terkesan (dan perlu muhasabah diri) akibat kegagalan menyelesaikan ujian permainan tersebut. Terbaik Ben. Konklusi aku terhadap Choosing Path #2, apa sahaja yang tersurat dan tersirat dari kandungannya, semuanya adalah mampat dan padat!. Hubungi Benny Pangazou di facebook.com/benny.pangazou atau talian 013-5529166.
facebook.com/Choosing-path-zine-1506412472905685

Rebiu | BOLOS – Isu #3


BOLOS – Isu #3
56ms / A5 / Bahasa Melayu
Norlaila Baizura Simeran kembali mendambakan dirinya sebagai penulis independen dan penerbit zine DIY bilamana gadis asal Sandakan ini melepaskan isu ketiga BOLOS sekitar Disember 2015, lebih tepat pelancarannya pada Kuala Lumpur Zine Fest di Findar’s, Jalan Panggung, KL bertarikh 19/12/2015. Beberapa halaman awal seakan tribute kepada kejadian gempa bumi yang menimpa Negeri Dibawah Bayu tidak lama dahulu, terutamanya kawasan persekitaran Pergunungan Kinabalu. Antaranya termasuklah paparan puisi Kinabalu Sayang, ilustrasi #prayfirsabah oleh Aerick serta penyiaran senikata Story From Our Land dendangan Con-Damn The Corruptor. Memandangkan jumlah mukasurat telah bertambah dan lebih tebal, isu kali ini lebih padat dan penuh dengan perkongsian. Teras utama Bolos #3 di mana mengikut kiraan saya 3/4 daripada keseluruhan pengisian zine ini adalah penulisan bersifat peribadi, anekdot, cerpen dan rencana non-music, antaranya; Catatan 22jam 20minit, Ais Kepal, Seorang Rabun, Kontra Hidup dan Aku (sumbangan Harith) dan Populasi Gelandangan, sekadar menyebut beberapa judul. Tanpa disentuh hal-hal berkaitan muzik sudah tentu zine ini seperti hilang arah. Saya sukakan segmen interbiu yang dibuat bersama Demo Untuk Rakyat (sebuah band rock bebas asal daerah kelahiran editor Bolos) dan Nizang Mosh Zine yang bercerita panjang lebar tentang pembikinan zine serta disentuh sedikit penglibatannya dalam band Dum Dum Tak. Selain interbiu, turut diselitkan seksyen prebiu band menampilkan Roses For Maya (Post-Hardcore dari Sandakan) dalam ruangan Kanta dan GayuGazer (Experimental Post-Rock dari Kota Kinabalu) di bawah ruangan Selongkar Bio. Kandungan lain yang berjaya memikat perhatian saya adalah laporan event di mana saudari Laila melapor acara Bangsat Fest Vol.1 (berlangsung di IBIS Styles Hotel Ballroom, Sandakan pada 26 April 2015) dan satu lagi di mana Laila berkongsi pengalaman serta penemuan beliau terhadap band “pelik” The Venopian Solitude yang pada ketika itu beraksi dalam satu persembahan live sempena tour Rombongan Nona Gila mereka. Dalam Bolos #3, pembaca juga dihidangkan dengan introduksi kepada pelukis Otak Zuber (kelahiran Tawau) dan penceritaan muzik Reggae. Memang isu kali ini lebih ampuh dan memuaskan. Rebiu ini tidak akan memberi makna sekiranya anda sendiri tidak mahu berusaha untuk mendapatkan zine ini. Saya mahu Bolos terus diterbitkan meskipun agak runsing dengan satu tandatanya yang dicatat Laila di helaian-helaian penghabisan isu #3 ini. Mungkin juga kebetulan dengan puisi Tanda Tanya (karya xBonekax), si cantik manis Norlaila tinggalkan persoalan “Mungkin ini adalah last isu keluaran Bolos”. Ayuh Laila! Bangkit! Ini cinta kamu. E-mel: lylaii81@gmail.com.

Sabtu, 18 Jun 2016

Rebiu | SHITNOISE BASTARDS / S.I.N – Collaboration Album


SHITNOISE BASTARDS / S.I.N – Collaboration Album
Total Shit Production / Within Electric
Ini bukan keluaran split sebagaimana kebiasaan. Ini rilisan kolaborasi; di mana dua atau lebih ramai pihak bergabung dan bekerjasama menghasilkan sesuatu. Dalam hal ini, band tempatan Shitnoise Bastards telah merakam track Raw Noisegrind mengikut kelaziman mereka yang kemudiannya diadun dan disatupadukan dengan lapisan bunyian Harshnoise/HNW olahan S.I.N dari Singapura. Hasil usahasama dua pihak ini dapat anda nikmati pada track berjudul Rebellion Radio Frequency (di Side A) dan Into A Circle Pit (di Side B). Kombinasi ini menakjubkan! Hasilnya lebih memeritkan gegendang telinga anda. Untuk memahami bagaimana rupabentuk Harsh Noise ciptaan S.I.N [akronim kepada Systemize Illustrating Noize], produk kaset ini turut memuatkan sessi solo mereka Submissive Pulsar. Hafal formula ini: SxNxB + S.I.N = 666 dB. Fakta: Pencemaran bunyi yang melebihi 80 desibel (dB) boleh mengakibatkan seseorang menjadi pekak.
withinelectric.bandcamp.com

Rebiu | BADASS FARMER – Rehearsal Demo


BADASS FARMER – Rehearsal Demo
Raung Records / Total Shit Production
Dahsyat! Biarpun sekadar “Rehearsal Demo”, material dari band bergelar Badass Farmer ini diriliskan dalam bentuk Pro-Tape. Difahamkan ini adalah band projek line-up Shitnoise Bastards. Tape ini memuatkan sejumlah 18 buah lagu; lebihkurang 20 minit durasi keseluruhan. Turut diselitkan 3 coversong lagu asal Unholy Grave, Napalm Death dan Hellnation. Tiga lagu terakhir “tanpa judul” (untitled) dirakam sekali harung tanpa henti. Berbanding SxNxB, Badass Farmer yang dibarisi T’e (dram), Zul (vokal) dan Hazree (gitar/vokal) dalam rakaman ini memainkan muzik Grindcore yang lebih berformat dan kedengaran struktur serta susunan riff gitar dalam lagu-lagu mereka sambil pada masa yang sama mengekalkan pendekatan bunyi raw, barai dan memekakkan! Selain 3 nama band (disebutkan tadi) yang di-cover, Badass Farmer turut mengimbau ingatan kepada band-band grind/mince otai dan legend seperti Agathocles, Archagathus, Nasum, Demisor, Warsore dan seumpamanya. Boleh tahan menarik perhatian band ini dan setuju juga dengan cogankata mereka: GRINDCORE IS NOT A CRIME.
badxassxfarmer@gmail.com
badassfarmer.bandcamp.com

Jumaat, 17 Jun 2016

Rebiu | RODENG BOYS CLUB – Lost Last Luck


RODENG BOYS CLUB – Lost Last Luck
Nervhous Records
Memang betul-betul enjoy layan lagu-lagu dan muzik dari band ni. Catchy. Biarpun hanya dua lagu dimuatkan; Tinggalkan! (3:56) dan Coba Coba (4:06) dalam produk CD-R ni tapi sudah cukup membuatkan tubuh badan bergoyang-goyang ikut irama dan sing-a-long berpandukan lirik lagu yang dicetak di kulit sampul rilisan tersebut. Berulang-ulang kali aku mainkan tetap tak membosankan dan terus bergoyang. Siapa Rodeng Boys Club? Aku pun tak kenal sebelum ni, jadi aku tulis balik di sini info yang dicetak pada coversleeve: Rodeng Boys Club ditubuhkan pada tahun 2014 di Kuantan dan merupakan pecahan dari band Love As Arson dan The Pinheads. Pengaruh muzik adalah seperti Social Distortion, Leatherface dan Hot Water Music. “Lost Last Luck” dirakam, mix dan mastered di Loudboxx Entertainment (Bakri Music Workshop) di bawah kendalian jurutera bunyi Bakri Ismail. Hasilnya dah tentulah apa yang aku dengar dari CD ni – top-notch sound quality. Tunggu apa lagi? Cepat cari punk stuff ni dan… kita enjoy!!!.
facebook.com/RodengBoysClub
nervhousrecords.com
facebook.com/nervhousrecords

Rebiu | TARANTULAH – Moderate Metal Punk (2012-2015)


TARANTULAH – Moderate Metal Punk (2012-2015)
Tyranny Grinder Production
Rilisan Pro-Tape oleh label asal negara gajah putih Thailand ini saya lihat sebagai satu pengiktirafan tinggi dari pihak luar terhadap eksistensi Tarantulah selama ini. Rilisan ini himpunan kesemua keluaran 3 demo terawal Tarantulah; “Kedamaian Jalan Hitam” Demo 2012, “War Brutality” Demo 2014 dan “Human’s Suffer” (Demo 2015). Ianya satu dokumentasi yang cukup signifikan dalam menghuraikan perjalanan Tarantulah sepanjang 2012 hingga 2015; tentang bagaimana band asal Lembah Kelang ini melalui fasa evolusi dari sudut identiti, dari sebuah band yang tercari-cari arah kepada satu unit yang hari ini berdiri teguh atas satu prinsipal muzikal dinamakannya Moderate Metal Punk. Kompilasi keseluruhannya 18 buah lagu ini bukan sahaja satu track-and-trace yang cukup baik dalam kronologi karier Tarantulah tetapi juga satu bentuk rilisan discography tape yang sangat berharga sekiranya ada dalam koleksi setiap penyokong perjuangan Tarantulah. Salinan saya #3/100.
tarantulahmoderatemetalpunk.blogspot.com
facebook.com/Tarantulah-762907913736662
facebook.com/Tyranny-Grinder-Production-Diy-Label-858636044209249

Khamis, 16 Jun 2016

Rebiu | SHITNOISE BASTARDS – Raw Noisy Blast


SHITNOISE BASTARDS – Raw Noisy Blast
Raung Records / Total Shit Production
Shitnoise Bastards adalah (antara) unit “pencemaran bunyi” paling aktif dan produktif di negara ini. Mereka telah mengeluarkan lebih 100 rilisan, kebanyakannya dalam format split cassette tape bersama band-band sejenis dari serata pelusuk dunia. Aku agak kurang pasti tetapi beranggapan kemungkinan besar “Raw Noisy Blast” adalah album full-length pertama SxNxB. Keseluruhannya 89 buah lagu (lebih 30 minit) dihidangkan; 44 track di Side A dan selebihnya 45 track di Side B. Muzik SxNxB adalah rangkuman bunyi bising yang maksima, kebingitan melampau dan tanpa struktur yang jelas. Vokalnya seakan meracau, menjerit meneriak tanpa keruan. Ini kriteria-kriteria genre bawaan mereka – Noisegrind / Noisecore. Judul album “Raw Noisy Blast” itu sahaja sudah cukup menggambarkan pendirian SxNxB – kotor, kebisingan dan membelasah!. Rakaman dibuat secara DIY di Freddy Krueger Basement, mixing dan mastering oleh Godzilla. Aku cadangkan ini album yang perlu ada dalam koleksi setiap penggemar muzik bising khususnya. Dapatkan juga rilisan-rilisan SxNxB yang lain.

Rebiu | SECRET IN DEFENSE – self-titled


SECRET IN DEFENSE – self-titled
Two Fingers Records
Ini merupakan debut EP dari Secret In Defense, band gabungan anak muda Kuantan yang menetap sekitar Lembah Kelang. Material dirakam sekitar 2011 di Havoc Studio oleh line-up terdiri daripada Peja, Apih, Boloq dan Usop. Keluaran Pro-CD ini diperkemaskan dalam format digipak berpoket dicetak sekali semua lirik-lirik lagu S.I.D. Secara keseluruhan 5 buah track, berdurasi 13:22 minit. Track pertama merupakan sebuah intro 29 saat yang kedengaran kreatif ideanya. Dua lagu pertama difahamkan diambil dari promo terdahulu S.I.D. Gov.My.Ass dan Continuum Transfunctioner memiliki sifat Hardcore yang tebal, kental, old-school dan amarah. Continuum Transfunctioner dalam EP ini diberi suntikan improvisasi (berbanding track asal dalam promo) membuatkan lagu ini lebih ke hadapan dan menyerlah. Mereka mengingatkan saya kepada band seperti Agnostic Front. Dua lagu terakhir dikatakan lagu terbaharu. Blood Never Lie adalah track paling pendek, 1:39 minit. Lagu ini kuat bau crossover-nya, laju, thrashing dan havoc. Mungkin S.I.D kali ini terpengaruh oleh muzik Nuclear Assault ataupun D.R.I. Lagu terakhir, Enemy In Blanket bagaikan kesimpulan kepada halatuju muzikal S.I.D. Ia kombinasi kegarangan hardcore old-school dan thrash punk yang bergerak pantas, komposisi yang diatur baik aliran turun naik temponya. Hebat band S.I.D ini. Permainannya tight, sound yang terhasil begitu berat dan padat. Dua ibu jari untuk mereka!.

Interbiu | KLABU ASAP : 05.01.2016


KLABU ASAP pada asasnya sebuah nama baru dalam arena Punk Rock tempatan, akan tetapi keupayaan mereka menghasilkan EP yang berkualiti sangat menakjubkan! Band pop punk 3 anak muda dari selatan tanahair ini terdiri daripada Ijam (gitar), Botak (bass/vokal) dan Eddy (dram). Pasti ramai yang ingin tahu tentang Klabu Asap dan EP keluaran usaha mereka sendiri. Ikuti interbiu ini, bersama Botak.

Tahniah di atas pengeluaran “selftitled” EP dari Klabu Asap. Apakah makna rilisan ini kepada eksistensi band Klabu Asap itu sendiri? Bagaimana rupanya sambutan dan penerimaan para pendengar yang telah kalian perolehi setakat ini?
EP ni dibuat sebab alang-alang dah ada lagu sendiri dan sebab lama sangat tertangguh, selain untuk tinggalkan hasil dari band yang bernama Klabu Asap dalam scene punkrock Malaysia. Pasal sambutan tuuu... kira okay la.

Dua format sekaligus; CD dan kaset dicetak professional, diriliskan pula tanpa bantuan label. Klabu Asap cukup bertuah mampu melakukannya atas usaha sendiri. Memang benar, Punk dan DIY cukup rapat hubung-kaitnya. Pendapat kalian?
Kaset dibuat untuk budak-budak scene kaset.. diaorang kumpul benda ni.. CD tak perlu komen la kot. D.I.Y dan Punk?.. Saya ni bukan punk pun.. minat dengan muzik je. Saya dengar semua jenis muzik dan bunyi. D.I.Y cam biasa arr.. masuk bakul, angkat arr sendiri.. lemak kau nak orang angkatkn.. kau siapa??? Pahamkan...

Umum mengenali Klabu Asap sebagai sebuah Pop Punk. Sebaliknya, saya percaya kalian mempunyai deskripsi yang lebih tepat tentang bentuk muzik Klabu Asap. Bagaimana kalian definasikan irama punk yang dimainkan mengikut cara Klabu Asap? Dari mana datangnya inspirasi dalam mencipta lagu-lagu band ini?
Takde penerangan yang tepat pasal muzik Klabu Asap. Mungkin Blink-182 wannabeee kot.. semua lagu yang saya buat semua nak dapat sebijik macam Blink-182. Inspirasi lagu tuu... dia mai gitu je arr..

Mungkin ramai yang belum mengenali Klabu Asap. Ceritakan sedikit bagaimana band ini boleh terbentuk? Dan juga, siapakah kalian sebelum bersatu menubuhkan Klabu Asap? Mengapa namanya Klabu Asap?
Sejarah eaaa.. Klabu Asap ni cerita 6-7 tahun lepas kot.. 4 orang penyamun. Satu tempat kerja dan kawan baek. Jamming suka-suka.. Pastu abang jamming Taman Daya tu selalu tanya band apa eaa?? Nak jamming pun kena ada nama band ker??? Edi pun hembus Klabu Asap. Anggota asal Klabu Asap; Lan, Boi, Edi dan Botak. Pastu Lan keluar. Pastu Edi (juga keluar). Lan rekomen Ejam untuk ganti Edi. Pastu Boi plak (keluar). Edi aku minta tolong session drum untuk siapkan EP 2015 dan untuk gig-gig juga pinjam (Edi) sekejap.. dia banyak sangat band.

Cinta dan persahabatan dilihat menjadi tema utama penulisan senikata lagu-lagu kalian. Ianya mudah dan ringan apatah lagi digabungkan dengan satu irama punk yang mesra pendengar. Klabu Asap boleh diterima baik di pelbagai kelompok dan lapisan masyarakat. Adakah ini dirancang? Apakah ada juga hasrat untuk menulis subjek yang lebih berat?
Bab lirik memang betul lirik tu dirancang (EP pertama). Saja saya tulis pakai ayat pawer dan tajuk lagu yang tak boleh blah nak bagi Edi (gitaris dan vokal asal berdekah) dan dia memang berdekah hahahaha!!. Lirik dibuat untuk diterima masyarakat?... tak arrr. Untuk EP pertama tu semua lagu yang saya buat tu saja-saja buat untuk kawan-kawan dan bagi diaorang berdekah bila dengar.. tu je. Lirik berat belum pandai lagi. Belum mendalami lagi masalah tu...


Bagaimana kalian mencipta “mood” dalam lagu-lagu gubahan Klabu Asap? Olahan dan susunannya kedengaran begitu menarik dan mengesankan.
Mood lagu... Tah arrr.. saya buat tempo tu 100% nak dapatkan stail Blink-182.

Apakah kelebihan bekerja dan menghasilkan rakaman di Studio46 - Nyaring Studio? Kenalkan kepada kami siapa Ajen? Di sebalik produksi yang begitu baik ini, apa agaknya ruang-ruang kosong yang perlu Klabu Asap berikan improvisasi untuk rakaman dan rilisan mendatang?
Rekod kat Nyaring kelebihan tu saya tak tau arr.. Banyak band rekomenkan kat situ murah dan barang pawer. RM500 untuk 10 jam. Satu lagi saya mengharapkan mungkin Ajen boleh guide kami dengan pengalaman dia merekod. Kami satu hapa pun tak tau. Ajen ni dia ade band; I See Dumb People dan Eleventh Avenue. Dan juga sound engineer untuk Plague Of Happiness. Ruang kosong yang perlu dipertingkatkan? Semua perlu dibaiki.. masih tak dapat bunyi yang saya dengar dalam kepala.. ada sikit-sikit bunyi yang kacau tempo lagu. Maklumlah  rekod nak siap cepat (nak jimat kos sampai terlepas dengar 2-3 benda).

Ilustrasi pada sampul/kulit (menggambarkan peperangan, kebinasaan) pada saya bersifat kontra dengan konsep lirikal dalam EP ini. Boleh terangkan apa tafsir maksudnya?
Hahaha memang sengaja buat cam tu. Tak kena dengan lagu pop punk kaseh sayang yang Klabu Asap main. Konon nak bagi nampak ganas.

Dalam rebiu saya menulis: “..Klabu Asap tiada masalah untuk melangkah lebih jauh. Mereka mempunyai peluang untuk berada di arus perdana sepertimana Flop Poppy mahupun Bunkface seandainya mereka mahu”. Ia bukan cadangan. Ia sekadar satu pandangan. Kalian selesa dengan kenyataan itu? Atau terus mengorak langkah di laluan indie/bawahtanah?
Boleh main mainstream? Tak kot... sebab ni part time je. Saja buang-buang masa.. malu arr nak mainstream. Selesa main underground.. dapat sing-a-long dengan 2-3 orang kawan pun dah best dah.

Saya gembira menemubual Klabu Asap. Lebih lama, lebih banyak persoalan yang mahu ditanya. Cukup untuk kali ini. Soalan terakhir, mengapa harus penggemar muzik punk / hardcore / indie di luar sana segera dapatkan “selftitled” EP karya kalian?
Kenapa pendengar muzik bebas harus memiliki EP Klabu Asap?... Hahahaha... semua lagu dalam EP ni pasal kaseh sayang dan cinta. Kalau anda rasa tergolong dalam golongn tersebut, maka EP ni sangat direkomenkan kepada anda... hahahaha!!!



NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #1.

Interbiu | DISOBEY : 07.01.2016


Mereka mungkin pada zahirnya hanya sebuah band baru, lagi pula belum ada apa-apa rilisan. Tetapi mereka juga memiliki iltizam; misi dan visi menerusi muzik punk dalam menyalurkan suara dan bicara mereka. Ini DISOBEY. Sekumpulan anak muda Kelantan. Interbiu diatur bersama Sani (vokal) dan Kodi (dram). 

Pertama sekali aku nak tanya bila dan bagaimana tertubuhnya Disobey? Apa motif korang tubuhkan band ni?
Sani: 15/3/14. Motif band nak hidupkan balik scene Kelantan. Idea band tak silap aku dari Bujim, bassist band kami.
Kodi: Seingat aku Bujim WhatsApp tanya aku nak join band d-beat tak. Bujim bagitau vokal Sani dari Pasir Mas dan Cicox gitar dari Pengkalan Chepa. Aku tahu Cixox ada, aku terus on je dan time tu memamg takda band punk kt Kota Bharu.

Dari mana korang dapat dan kenapa namakan band ni sebagai Disobey?
Sani: Pasal nama itu aku tak sure mana dapat. Tidak mematuhi dan penentangan bagi aku.

Apa definasi korang terhadap muzik Disobey? Band macamana yang jadi rujukan dalam membentuk muzik band korang sendiri?
Sani: Chaos Punx. Influences aku macam Exploited, Casualties, Tragedy, The Bollocks dan seangkatan dengannya.
Kodi: Band punk Bandaraya Islam. Hehehe!

Disobey sudah ada beberapa lagu sendiri tapi belum berpeluang merilis sebarang promo/demo. Cerita sedikit pasal lagu-lagu yang korang dah ada?
Sani: So far ada 2 lagu, Disobey dengan Media. Disobey ni pasal manusia kaki  tipu dan tamak. Media pasal medium media dekat Malaysia ni dah terima rasuah kot. Sebar benda yang mengarut dan bullshit. 
Kodi: Baru ada dua lagu. Tu pun rekod live je. Boleh dengar kat page Facebook. Disobey lagu pasal ‘korang tipu banyak, tak nak percaya, tak nak ikut, alaa benci la kat korang’. Lagu Media khusus pada arus media perdana. TV diorang conquer, surat khabar diorang punya.

Kenapa tak rilis promo/demo lagi? Agaknya bila korang rancang nak keluarkan?
Sani: Duit dan masa.
Kodi: Tak pasti bila. Nanti ada peluang, nak lepak sekali semua bincang-bincang. Bujim kerja kat Johor. Balik time cuti je.


Apakah kemelut politik, ekonomi, pentadbiran dan pelbagai isu semasa dalam negara kebelakangan ni jadi inspirasi korang dalam menulis lirik?
Sani: Rasuah. Penipuan. Penindasan. 
Kodi:  Isu paling aku sakit hati MH370 ngan TPPA. Aku ada tulis lirik pasal TPP tapi panjang sangat-lah pulak. Serius tenat gila dah Malaysia ni. Abang Pyan tak rasa nak pindah keluar negara ke? 
[Malaysia negara yang indah, yang perlu sekarang Bangkit! dan Lawan segala perkara yang tak betul dalam sistem tersebut – Editor]

Disobey dah main dalam beberapa gigs kan? Apa pengalaman dan pembelajaran yang korang dah dapat dari bermain gigs ni?
Sani: Tak silap aku 4 gig dah pernah main. Aku pun tak tau apa yang aku dapat hahahah!
Kodi: Crowd kat KB memang supportive.

Korang rasa bagaimana punk boleh menyumbang kepada satu bentuk kehidupan yang lebih baik?
Sani: Humanity.
Kodi: Aku rasa punk banyak ubah hidup aku. Bagi aku banyak benda dalam punk yang boleh ubah hidup orang. Budaya memerhati dan berfikir, DIY, tolong orang,  against banyak benda celaka macam racism, diskriminasi dalam demografik, rasuah.. banyak lagi. Sampai sekarang aku tak faham bila orang tanya soalan ‘sampai bila nak punk?’.

Bagaimana keadaannya scene punk di Kota Bharu / Kelantan sekarang?
Sani: Punk dekat Kelantan yang aku nampak tak banyak sangat. Time gig baru nampak punk dekat kelantan ni.
Kodi: Soalan air mata ni. Struggle.. slow.. susah nak buat gig kat KB. Takda tempat. Dah banyak tempat kitorang kena banned, sebab ramai ‘budak liar pakaian pelik’ katanya. Kalau nak tahu, majlis kahwin pun MPKB nak mintak permit. Nanti saya pass kat abang Pyan zine kitorang buat pasal scene KB ni.

Soalan penutup.. apa harapan korang ke atas Disobey di masa-masa akan datang?
Sani: Nak rekod demo. Biar Disobey ada rilisan.
Kodi: Semoga terus dapat bagi komitmen.


Editor – Terimakasih DISOBEY atas kesudian menjayakan interbiu ini. Selamat Maju Jaya diucapkan. Semoga rilisan pertama dapat dikeluarkan. Mana zine korang pasal scene KB?


NOTA: Sepertimana disiarkan dalam BANGKIT! #1.

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #3


PEDAL TO THE METAL – Isu #3
Faithcraft Productions
Tema riadah (berbasikal dan jelajah) seakan hilang dalam edisi lepas, isu #2. Ya, memang ada (Kayuhan di Kuala Perlis) tetapi tidaklah terlalu meriah dan menyerlah sepertimana dilaporkan di isu #1 (di mana dimuatkan 4 laporan kayuhan basikal). Identiti Pedal To The Metal sebagai media Metal Punk Berbasikal membuatkan tema kayuhan, jelajah riadah selain elemen muzik menjadi perkara pertama yang akan saya semak setiap kali isu baru Pedal To The Metal dikeluarkan. Syukur, biarpun hanya satu, isu #3 ini yang dirilis pada Jun 2016 menampilkan kembali konsep awal zine ini; didahului dengan flyer unik dan tersendiri membuka laporan kayuhan jelajah “Ride the Tide in Langkasuka – An Evening with Funeral Pyre”. Ianya sejauh 98km pada 2 April 2016 menyusuri keindahan Pulau Langkawi sekaligus bersua-muka dengan band Black/Death FUNERAL PYRE yang dianggotai oleh saudara Man (terdahulu bersama Nefarious Azarak). Menjejaki Air Terjun Chamang mengisi slot Jelajah dan Juadah, satu kawasan rekreasi yang berkesempatan dikunjungi Rammy (editor zine ini) sewaktu beliau turut serta dalam satu gig yang berlangsung di Raub. Untuk sisi muzikal, Pedal To The Metal #3 mengetengahkan sessi wawancara bersama TORCH (Pangeran rock aneh dari Pahang), DOSA (perintis Noisecore dari Perlis) dan PERPETUAL (raja Grindcore dari Sabah). Orientasi seni muzik turut dipanjangkan pada isu kali ini bilamana Rammy menulis 2 repot gig; Grundar Death Fest 4 di Embrace Hall bertarikh 26 Mac 2016 dan Bertukang Malam-Malam 7 di Kecapi Studio, Raub pada 7 Mei 2016 yang turut disertai band beliau WRECKÄR – malah band ini turut diperkisahkan di bawah halaman prebiu/analisis band selain NERVOSA, band thrash metal wanita yang mencetuskan fenomena di Sao Paulo, Brazil. Sepertimana pembaharuan yang dibuat pada isu ke-2, pemaparan karya senitulis seperti sajak dan cerpen kian bertambah kuantitinya dibantu sumbangan penulis luar/jemputan. Cuma kali ini hilang pula sudut “Ilusi Minda Sakit”. Banyak lagi rencana-rencana yang disiarkan, yang pelbagai subjek dan objektif-nya. Izinkan saya terus kepada konklusi: Pedal To The Metal telah meletakkan satu tanda aras baru dalam pembikinan zine DIY tempatan. Di sini segalanya ada, semua konsep makalah independen; kombinasi perzine (personal zine), fanzine muzik underground, kompilasi senilukis dan ilustrasi, antologi kesasteraan dan penulisan kreatif, segalanya!. Ianya perkongsian ilmiah pengetahuan dan pengalaman; geografi, sejarah, jasmani dan kerohanian. Ini majalah budaya dan kesenian. Ini buku tentang kehidupan dan peradaban. Semuanya!. Satu manuskrip hebat olahan sahabat lama saya, insan pelbagai bakat bernama Ahmad Raimi. 52ms / A5 / Bahasa Melayu / Salinan #50/100.
cyclingmetalpunk.blogspot.com
ra1m1.blogspot.com
faithcraftmobile.blogspot.com

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #2


PEDAL TO THE METAL – Isu #2
Faithcraft Productions
Penulisan saya agak panjang dalam mengulas isu pertama terdahulu. Maka itu tidak perlulah lagi introduksi itu ini berkaitan zine Pedal To The Metal. Isu kedua tebitan Mac 2016 dimulai dengan kolum Hero Berdendang [Nota: Kolum yang juga telah ujud di isu pertama tetapi tidak saya sentuh dalam rebiu]. Dalam kolum ini Ahmad Raimi (editor) membayar penghormatan terhadap pemergian (kematian) Lemmy Kilmister, pengasas dan peneraju Motörhead – seorang pemuzik dan sebuah band agung yang menjadi idola serta inspirasi kebanyakan band-band metal dan punk seluruh pelusuk dunia. Penerbitan Pedal To The Metal #2 dilihat kian berkembang dan meningkat ke satu peringkat lagi bilamana penulisan-penulisan kreatif seperti puisi dan cerpen turut diberi ruang penyiaran di samping mengekalkan identiti Metal Punk Berbasikal; riadah kayuhan dan elemen muzik lasak. Hal ini dinyatakan dalam satu perenggan prakata – “Zine ini diterbitkan tanpa ada satu matlamat hakiki padanya. Aku anggap ia sebagai salah satu karya seni bagi meraikan bahasa dan falsafah.” – kata Ahmad Raimi. Travelog Kayuhan di Kuala Perlis, artikel Menjejaki Makam Puteri Lindungan Bulan serta Menjejaki Tan Yong Pong, Satun adalah pengisian yang memenuhi tema asas beriadah (Berbasikal, Jelajah dan Juadah) dalam fanzine ini. Interbiu-interbiu bersama JEHOVAH THE SATYR (Death Metal dari Sukabumi, Indonesia), HEREAFTER (Thrash Metal kelahiran Selangor) dan UNVEILED (Brutal Death buatan Johor) ditampilkan mengisi slot muzikal, selain rencana-rencana hebat seperti Dari Florida ke Malaysia bilamana Raimi melihat dan mencatat definasi dan deskripsi muzik Death Metal mengikut pendapat peribadinya sendiri. Turut ditulis dengan baik hal-hal kerenah sampingan dalam bermuzik; antaranya penulisan “Pornografi dan Heavy Metal” dan “Kemaruk Artis dan Autograf”. Beberapa paparan ilustrasi adalah lakaran kartunis Aku Napie, termasuklah pengenalan kepada Haspiddy – maskot Pedal To The Metal. Penyiaran 3 buah cerpen adalah sumbangan penulis luar/jemputan; 2 darinya karya Remie Deen dan 1 dari Adi Herman. Empat halaman terakhir untuk Pedal To The Metal #2 disudahi dengan seksyen Ulasan Muzik Ghuluw; himpunan rebiu padat yang ditulis dengan akal ke atas beberapa rilisan metal tempatan, termasuklah terhadap dua produk dari label saya sendiri, Blazt Promotion. Tetapan kulit luar berwarna dan helaian kertas kuning seakan kekal sebagai jatidiri Pedal To The Metal zine, di samping kekalnya format 52 mukasurat, bersaiz A5 dan Bahasa Melayu sebagai pengantar. Salinan saya #90/100. Hubungi e-mel: faithcraftproductions@yahoo.com atau WhatsApp: 019-2281979.
facebook.com/pedatodameta
facebook.com/faithcraftproductions

Rabu, 15 Jun 2016

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #1


PEDAL TO THE METAL – Isu #1
Faithcraft Productions
Ahmad Raimi Azmi atau lebih senang dipanggil Rammy adalah kenalan lama saya dalam scene muzik underground tanahair. Beliau di peringkat awal era 90-an dikenali sebagai editor fanzine metal Kemenyan dan ahli band blackthrash The Ravens. Kreativiti anak kelahiran Perlis Indera Kayangan ini terus berkembang sehingga hari ini menerusi aktiviti dan projek beliau seperti Au Revoir (band avant-garde metal), Wreckär (band metalpunk), Ahmad Ra1m1 (projek solo muzik Ambient) dan pelbagai lagi termasuklah penglibatannya dalam kumpulan lagenda Blackfire. Identifikasi Rammy cukup jelas, seseorang yang multi-talented, innovatif dalam kerja-kerja kreatifnya dan sering mahu menonjolkan kelainan dan sifat-sifat mahakarya dalam setiap penghasilan karya-karya beliau. Cerita tentang penerbitan Pedal To The Metal zine telah saya dengar sekitar Oktober 2015, sebaik sahaja Rammy menghimpunkan koleksi kerja-kerja penulisan lamanya dalam satu buku bernama KEMENYAN: Book of Metal Sorcery. Pedal To The Metal mengikut asal dan asasnya adalah satu aktiviti riadah berbasikal (sambil beramal) yang dijalankan oleh Rammy bersama beberapa rakannya yang kemudiannya dilapor dalam bentuk travelog dan dimuat-naik di blog label beliau – faithcraftmobile.blogspot.com. Pada masa yang sama, sebagai individu yang cukup pelbagai tabiat penulisannya, Rammy turut mengujudkan blog di mana beliau menyentuh bukan sahaja hal-ehwal kesenian muzik dan perfileman tetapi juga perkara-perkara berkaitan kerohanian, kehidupan dan segala macam kerenah manusiawi dan persekitaran. Blog itu diberi nama Khusyuk Kematian – ra1m1.blogspot.com. Inilah dasar dan rangka utama termaktubnya Pedal To The Metal zine; kegiatan berbasikal itu sendiri dan dokumentasi penulisan dari dua blog yang disebutkan tadi. Sesuatu yang lahir dari kesedaran betapa pentingnya ia dicetak dalam format fizikal. Isu perdana Pedal To The Metal zine terbit secara rasmi pada Disember 2015, memuatkan 4 laporan kayuhan basikal. Yang pertama dari Kangar ke studio Soundmaker di Pulau Pinang untuk menghadiri acara JASAD: Brutal in Malaysia Tour 2014 (bertarikh 14 Mei 2014 sejauh 175km). Keduanya, kayuhan Kickin’ And Thrashin’ Fist ke Alor Setar pada 30 Ogos 2014 bagi menziarahi sahabat lamanya CS Wild yang mengendalikan toko muzik berat Hard & Heavy Shop serta label Thrashingfist Productions. Seterusnya dilapor kayuhan berjarak dekat (5km) dari Terminal Bas Larkin ke Stopzone Hall pada 1 November 2014 untuk menyaksikan persembahan An Evening with Frank Blackfire, ikon gitaris thrash metal Jerman yang dikenali umum kelibatnya yang pernah menganggotai band-band gergasi Sodom dan Kreator. Travelog terakhir yang ke-4 adalah Ride & Roll to Singora, kayuhan sejauh 58km dari Padang Besar ke Hatyai, Thailand pada 16 Mei 2015 bertujuan melawat dan menikmati dengan mata sendiri panorama Hatyai-Songkhla serta kegiatan scene underground di persekitarannya. Setiap travelog Rammy bukan sahaja berkisar catatan diari dan tips berbasikal itu sendiri tetapi dilengkapi juga dengan kupasan terperinci setiap destinasi kayuhannya, sebagai contoh rebiu persembahan band-band yang beraksi di pentas acara yang dikunjunginya. Tanpa basikal, insan hebat ini akan bermotorsikal pula. Aktiviti “rempit” kali ini adalah menjejaki Urak Lawoi dan Koh Lipe di Satun, Thailand diabadikan panjang-lebar dalam ruangan Jelajah dan Juadah. Bagi memenuhi tuntutan segmen temubual, Pedal To The Metal #1 menampilkan wawancara terperinci dan mendalam bersama 2 personaliti hebat disiarkan; bersama Anita Yusof – pengembara wanita, penjelajah bermotorsikal dan juga bekas anggota kumpulan rock Sherox, dan seterusnya bersama Nizang – figura muzik punk tanahair, tentang Mosh Zine, band Dum Dum Tak, scene punk rock tempatan dan paling bernilai perkongsiannya mengenai pembedahan pemindahan organ buah-pinggang yang telah Nizang lalui. Pengisian-pengisian lain dalam isu pertama ini adalah rencana mengenai muzik Ambient, ilustrasi sumbangan Abi Suffian, Ulasan Muzik Ghuluw dan beberapa artikel. Analisa ringkas band ABBATH (ditubuhkan oleh Abbath selepas meninggalkan IMMORTAL) menyempurnakan lembaran penutup zine ini. Cukup jelas dan nyata, Rammy seorang yang serius dan bersungguh dalam berkarya. Pedal To The Metal zine ini bukan main-main bikinannya. Ia himpunan penulisan teks yang digarap cukup baik dan teliti dibantu rekabentuk dan susunatur yang kemas dan terancang. Bukan sahaja zahiriah kulit luarnya yang dicetak profesional, kertas keras berkilat dan berwarna penuh, tetapi Rammy yang memang peribadinya pelik-tapi-unik menggunakan kertas berwarna kuning pada semua helaian dalamannya. Penerbitan ini secara fizikalnya 52 mukasurat termasuk kulit luar, bersaiz A5 dan ditulis dalam Bahasa Melayu. Salinan saya #62/200. Tahniah Rammy dan Pedal To The Metal – anda memang benar-benar Metal Punk Berbasikal!.

Jumaat, 10 Jun 2016

Notasi | TARANTULAH


Ia satu nama yang agak underrated biarpun telah ujud dan berkarya lebih daripada 5 tahun. Saya menghormati konsistensi usaha band ini menerbitkan satu demo setiap tahun di samping rilisan-rilisan selingan seperti split, kompilasi dan sebagainya. Saya memang cukup teruja dengan band ini sejak awal eksistensi mereka, senantiasa menanti material-material terbaharu mereka dan amat menghargai setiap titik-peluh yang mereka curahkan sepanjang rentetan perjuangan mereka. Karya-karya Tarantulah di telinga saya sentiasa kedengaran jujur, dibikin dengan rasa cinta mendalam dan disalurkan pula dengan semangat kesungguhan & komitmen yang tinggi tanpa belah-baginya. Ini band yang berdiri tanpa peduli apa yang orang lain akan kata kerana mereka hanya mahu terus menjadi diri sendiri. Hubungi Man Tarantulah [facebook.com/lemanrabaxx.tarantulah] untuk dapatkan demo #4 mereka “Sekatan Minda Terseksa… Kita Didusta” demo 2016 dan “Moderate Metal Punk (2012-2015)” discography tape.
– 09.06.2016