Sabtu, 9 Disember 2017

BANGKIT! FANZINE – Isu #6.5


Sebuah Keluaran Khas sempena Kuala Lumpur Zine Festival 2017. Edisi istimewa ini membawakan temubual-temubual bersama Petak Daud, Nizang Mosh, Aku Napie, Ocha Vozvyshennyy dan Aphabetical Theory. Turut mengetengahkan beberapa artikel, puisi, komik dan pelbagai karya seni lain serta 12-halaman rebiu perzine / litzine / artzine. Ilustrasi kulit oleh Maminkfesto. 52ms / A5 / Bahasa Melayu.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570


Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

BANGKIT! FANZINE – Isu #6


Menampilkan temubual eksklusif bersama In A Sense serta interbiu-interbiu bersama Brawk, Republik Anak Timur, Piri Reis, Soft, 13, Anak Bukit, Sepu10h dan Shizuka Ben Aman. Turut mengandungi liputan gig (Bandana Thrash Vol.1), Buletin (Informasi Hardcore Punk Malaysia), artikel serta ruangan ulasan CD / Tape / Zine dan lain-lain. 52ms / A5 / Bahasa Melayu.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570


Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Khamis, 23 November 2017

Liputan Gig | GARAGE SESSION #1


Acara: Garage Session #1
Band: Blank Shot / Kerak Nasik / Forgetting Francesca / Klabu Asap / Classmates / Seeing The River
Tempat: Garage Studio, Taman Melawati, Kuala Lumpur
Tarikh: 11 November 2017 (Sabtu)
Anjuran: Garage Studio & Space – facebook.com/garagestudio1

Saya akui, saya teramat jarang turun padang menghadirkan diri ke acara-acara gig semenjak beberapa tahun ini untuk menonton aksi-aksi pentas band-band tempatan. Selain limitasi masa yang kadang-kala dihimpit dengan pelbagai komitmen, masalah penglihatan saya untuk memandu di sebelah malam agak membataskan pergerakan. Entah mengapa, hari itu bertarikh 11 November 2017 saya begitu terdetik dan tertarik untuk datang ke acara Garage Session #1. Lokasinya tidaklah begitu jauh dari kediaman saya, sekitar 15 minit perjalanan berkenderaan. Senarai band yang dijadualkan membuat persembahan sebenarnya begitu mendorong untuk saya bergerak ke sini. Garage Session #1 pada dasarnya adalah gig berskala kecil di ruang studio yang diadakan bagi menyokong mini tour Blank Shot (Singapura), persinggahan pertama mereka sebelum ke Kuantan pada malam berikutnya. Agak terkilan, band Transitions yang berada dalam senarai awal tidak dapat bersama memeriahkan acara.


FORGETTING FRANCESCA tampil sebagai band pembukaan acara pada malam tersebut. Mereka ini adalah band 5-piece dari Petaling Jaya yang berpaksikan irama pop-punk. Meskipun pengunjung tidaklah ramai malahan boleh dihitung satu-persatu dengan jari, Forgetting Francesca tetap gah berdiri di hadapan memberikan yang terbaik dalam persembahan. Semangat mereka mengatasi segalanya, bahkan semakin hangat di penghujung persembahan dengan aksi-aksi berbaring di lantai. Lima buah lagu dibawakan, termasuk dua single mereka sendiri yang kedengaran lazat, rancak dan menghiburkan.
1. Intro
2. Cookies and Cream
3. We Got This (A Day To Remember)
4. Song 2: Creampie
5. December (Neck Deep)
6. The Rock Show (Blink-182)


KERAK NASIK menyusul mengisi ruang pentas. Band ibukota Kuala Lumpur terdiri daripada Azam (gitar), Faez (vokal) dan Kenit (dram) ini menerapkan unsur-unsur humor dalam penyampaian dan kepantasan Grindcore bawaan mereka. Memang lucu setiap kali gitarisnya menerangkan lagu-lagu yang dimainkan, apatah lagi semua ahli band ini mengenakan kostum yang mencuit hati. Dari segi muzik, walaupun hanya bersandarkan instrumen gitar dan dram, sound mereka begitu tebal dan berat – laju, bingit dan menghentam! Agak kelakar, mereka sendiri kurang ingat lagu-lagu yang dimainkan setelah selesai membuat persembahan. Antaranya: Kerak Nasik, Kerana Kangkung Badan Binasa, Ketidakhadaman, Gout Power, Goutness In The Forest, Seafood Membunuh, Cirit or Die, Dataku Habis serta sebuah cover dari Napalm Death, You Suffer. Apapun, ini band yang padu dan menceriakan suasana!


SEEING THE RIVER yang datangnya dari bandaraya Johor Bahru tanpa membuang masa mengambil alih pentas aksi. Saya kira, saya beruntung turutsama berada di Garage Session #1 untuk melihat kelibat beberapa band yang asalnya dari negeri kelahiran saya sendiri. Berpuluh tahun merantau di negeri orang, inilah peluang-peluang yang saya ada. Dibarisi lima pemuzik muda, Seeing The River memperagakan kuasa energetik dalam persembahannya – lincah, kencang dan disulami emosi di bawah nuansa Melodic Hardcore galasan mereka. Sistem bunyi begitu padat memenuhi ruang studio. Respon beberapa rakan pengunjung turut menaikkan lagi aura persembahan band ini. Vokalis dan pemain bass saling bertukar posisi pada lagu terakhir di mana sebahagian besar yang dimainkan dipetik dari rilisan EP mereka sendiri. Jitu, kuat semangat dan kudratnya!
1. Survive For Our Life 
2. Coin Face
3. Burn (Counterparts)
4. Second Chances 
5. Wake The Dead (Comeback Kid)


CLASSMATES turut bertandang menjayakan gig ini. Unit indie/modern rock / pop-punk asal Kota Tinggi ini bukannya calang-calang band. Mereka sudah cukup terkenal dengan antem “Luaskan Kuasamu (Dari Selatan)” yang telah memenangi Anugerah Lagu Johor 2014. Terdiri daripada Elham (vokal), Ucop (gitar), Din (bass) dan Kim (dram), band ini mempamerkan kreativiti mereka dalam penghasilan dan penyampaian lagu. Classmates memiliki vibe yang memukau, terserlah apabila ianya dipersembahkan secara langsung. Beberapa lagu didahului dengan intro yang mengasyikkan. Malam itu juga, Classmates tidak sekadar mendendangkan lagu-lagu rakaman terdahulu tetapi turut memperdengarkan lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Lagu penutup Primadunia dinyanyikan bersama hampir kesemua yang ada di dalam studio ketika itu. Menarik!
1. Dakapan Kedua
2. Cuba 
3. Giliranku
4. Bagaikan 
5. Primadunia


BLANK SHOT datang jauh dari Kota Singa mengisi slot kedua terakhir. Ini salah-satu dari dua destinasi jejalah mereka di Malaysia. Malah turut dimaklumkan inilah show “luarnegara” pertama Blank Shot sejak ditubuhkan setahun yang lalu. Saya turut membeli EP “Stick 'Em Up!” (2015) untuk kenangan. Persembahan Blank Shot begitu ligat dan menyeronokkan walaupun ditimpa masalah teknikal (putus tali gitar) pada satu ketika, namun mereka kembali menyambung aksi bahkan lebih menggila, berlari dan menari. Blank Shot adalah Noise Punk Rock; bising, keras dan lantang! Seperkara yang menarik tentang Blank Shot ini, mereka adalah band “majmuk”; Andreas yang berbangsa Cina sebagai gitaris/vokalis, Omeigar berketurunan India yang juga vokalis selain bermain bass serta Raf, orang Melayu di posisi dram. Blank Shot membuktikan prejudis perkauman perlu ditolak jauh. Blank Shot membuktikan rasisme tidak sepatutnya wujud dalam muzik. Terbaik! Lapan buah lagu dipersembahkan termasuk cover songs.
1. Never Look Back
2. Fear the Shepherd
3. Scream
4. Get Away
5. Wired
6. Should I Stay or Should I Go (The Clash)
7. Run to the Hills
8. Blitzkrieg Bop (The Ramones)


KLABU ASAP diletakkan sebagai band penutup acara gig ni. Lagu-lagu Klabu Asap bukanlah asing di telinga saya. Kedua-dua rilisan EP band Johor Bahru ini ada dalam rak koleksi saya. Ini band yang sangat-sangat “menjemput” kaki saya memanjat tangga Garage Studio, untuk melihat dengan mata sendiri ragam mereka beraksi “live”. Botak dan rakan-rakannya beberapa kali ucapkan terima kasih di atas kesudian saya datang dan menunggu hingga habis gig. Jangan khuatir kawan, saya adalah jenis orang yang sentiasa menjadi paling awal memasuki dewan dan keluar setelah selesai semuanya. Saya mahu menikmati setiap minit persembahan band-band yang beraksi. Saya perlu menghargai jiwaraga yang mereka letakkan, titik-peluh yang mereka curahkan lebih dari nilai ringgit yang saya bayar di pintu masuk. Itulah saya, setiap kali saya berpeluang menghadiri acara gig. Klabu Asap tidak menghampakan. Mereka membuang semua keletihan untuk beraksi lincah-selincahnya seperti telah mendapat tonik. Lasak dan sungguh bertenaga! Penuh dengan aksi-aksi lompatan. Nyanyian-nyanyian sing-along Punk Rock mereka terus-menerus mengundang beberapa kerat penonton yang tinggal turutserta berlagu bersama. Klabu Asap melengkap malam Garage Session #1 dengan beberapa lagu terpilih dari EP mereka dan sebuah lagu Rancid.
1. Endahnya Chenta
2. Bikin Onar
3. Saya Ada Kawan
4. Fall Back Down (Rancid)
5. Rebong 
6. Chenta Itu Klabu Asap


Pada keseluruhannya, suka sukakan format gig ini kerana kepelbagaian genre muzik yang ditampilkan; dari keindahan melodi indie rock / pop-punk hinggalah kepada kebisingan Grind, dari ekspresi santai sampai ke aksi-aksi lari & lompat tanpa lelah! Scene muzik bebas dan DIY tidak pernah mati, malah berkembang pesat dari generasi ke generasi. Gig-gig kecil seperti ini banyak mengingatkan saya pengalaman-pengalaman terdahulu yang telah saya lalui. Meskipun scene ini terpencil dan sentiasa terpinggir di mata masyarakat, makna dan usaha band-band serta gig seperti ini cukup besar ertinya dalam memperkasakan karya-karya bebas. Mereka juga mempunyai suara untuk dilontarkan. Acara seperti ini akan sentiasa menjadi platform yang baik untuk semua band bergerak dan terus melangkah ke hadapan. InshaaAllah, saya akan datang lagi! Bangkit!

Teks & Foto: Pyan Nathias / 23.11.2017


Nota: Artikel ini akan disiarkan dalam Bangkit! Fanzine isu akan datang!

Isnin, 20 November 2017

Rebiu | HUMAN ENERGY COLLECTIVE – self-titled (Demo 2017)


HUMAN ENERGY COLLECTIVE – self-titled
Independen
Demo CD ini boleh dianggap rilisan percubaan dari Human Energy Collective (HEC), band 4-piece asal Sibu, Sarawak yang terdiri daripada Nazrin (gitar/vokal), Zaqwan (gitar), Alvin (bass) dan Izzy (dram). CD-R yang tampil dalam pakej bersampul ringkas ini memuatkan satu single track panjang selama 20:05 minit; difahamkan terkandung 2 lagu yang dimain tanpa henti – ‘Nobat Dari Langit’ dan ‘Ora’. Untuk makluman, lagu panjang ini dipersembahkan secara instrumental (tiada vokal) dan track kedua bermula lebihkurang pada penghujung minit ke-12. Secara muzikal, saya berpendapat HEC sebuah kumpulan indie yang mahu membawa sedikit kelainan dalam muzik mereka. Mereka menyuntik elemen-element ambient, atmospheric dan psychedelic dalam nuansa post-rock mainan mereka. HEC dilihat begitu bereksperimentasi dengan bunyian menerusi petikan-petikan gitar serta struktur riff, disulami iringan bass dan ketukan gitar yang tepat dengan susunan serta alunan melodi yang digarap. Ianya melayang dan membuai. Kualiti produksi bunyi yang baik turut menambah nilai kualiti menyeluruh CD Demo ini di mana ianya dirakam di imusicshoppe, Sibu. Pada keseluruhannya menurut pandangan saya, HEC ini sebuah band yang kreatif dan boleh dikatakan agak unik. Mereka menghasilkan satu komposisi muzik yang cantik olahannya, kedengaran cukup indah di telinga. Ini percubaan yang sedikit-sebanyak menampakkan potensi awal HEC dalam scene muzik bebas tempatan.


Nota: Human Energy Collective adalah salah-satu band yang akan Bangkit! Fanzine ketengahkan dalam special “Indie Rock” issue yang kini dalam perancangan / pembikinan, dijayakan secara kolaborasi bersama seorang rakan penulis iaitu XjujuX.


Berikut sedikit Kajian Awal saya berkaitan band Human Energy Collective, bersama Izzy (dram), individu yang mengirim CD demo mereka dan Alvin (bass). HEC yang berpengkalan di Sibu, Sarawak turut dianggotai oleh Nazrin (gitar/vokal) dan Zaqwan (gitar).


Saya dah dengar cd demo HEC. Boleh saya tau apa judul demo/cd ni dan senarai/tajuk lagu dalam cd tu? Yang saya dengar 1 single track panjang, 20++ minit. Macam ada part-part.. tu yang saya anggap ada beberapa track lagu yang dimainkan bersambung. 
Izzy Izzuddin: Terima kasih kerana sudi mendengar HEC. Buat masa sekarang demo memang tiada judul. Record memang untuk kepuasan diri je pada permulaan niat. Minta maaf sebab lupa tulis dekat demo berkenaan untuk tajuk lagu, hehe. Dalam satu track sebenarnya ada dua lagu. Memang disengajakan buat satu track. Lagu pertama tu Nobat Dari Langit. Dan lagu kedua adalah Ora yang mula pada penghujung minit ke-12 kalau tak silap.

Sound memang best, sedap. Bagi saya HEC mencuba kelainan dalam muzik. Susunan & flow lagu pun best. Bagi saya HEC buat something different la dalam scene muzik tempatan ni. 
Izzy Izzuddin: Terima kasih di atas perhatian bro dengan bibit-bibit sound dalam demo tu. Kami se-band memang tak perasan dengan kelainan yang ada dalam lagu tu sebab memang pada mulanya frontman form HEC ni based on minat sekumpulan lelaki yang menjurus ke arah instrumental music je, hehe.

Pertama kali dengar saya terus define macam Ambient Rock / Atmospheric Rock gitu. Betulkan saya kalau saya salah.
Izzy Izzuddin: Sampai sekarang HEC sendiri pun tak tau genre macam mana. Macam-macam mana pendengar nak nilai, HEC ok je, hehe.

Band-band macam mana yang influence music composing HEC ni?
Alvin Äldreen: Soalan ini yang payah jawab. Masing-masing bandmate ada influence sendiri. Nanti saya tolong tanya diaorang. Tapi macam saya, bassist, influence lebih ke buku macam George Orwell (Animal Farm, 1984), Aldous Huxley (Brave New World, Barren Leaves), filem (Waking Life, Slacker, Into The Wild), music secara personal ialah Bob Dylan, dan musik personal juga ialah Rohas Remi.

Buat masa ni kami sedang carigali band-band local yang dalam kategori indie / alternatif / post-ROCK untuk satu special issue zine Bangkit! So, ni saya dah dapat satu band yang saya nak feature, hehe!
Izzy Izzuddin: Terima kasih banyak-banyak sebab tak sangka jugak boleh sampai ke telinga bro pasal HEC. First ever platform for HEC ni.

Terima kasih! Temubual lengkap bakal menyusul nanti. – Pyan Nathias

BANGKIT! #6.5 dalam pembikinan!!


Bangkit! #6.5 edisi istimewa KLZF2017 ini tampilkan artwork “Think For Yourself” oleh Maminkfesto di kulit hadapan. Keluaran Khas ini sebuah isu yang aku dedikasikan kepada scene penulisan dan penerbitan DIY / indie tempatan; pembikin dan pembaca zine, penulis dan pengeluar buku, penggiat seni literatur, kartunis dan artwork designer – semuanya!

Kandungan dan pengisiannya tertumpu kepada dunia penulisan, penerbitan dan pengamal seni independen. Mereka-mereka yang mahu bebas berkarya! Dalam isu ini aku bawa temubual eksklusif bersama Petak Daud, Nizang Mosh, Aku Napie dan Ocha Vozvyshennyy. Mereka ini antara pemain-pemain utama di lapangan penulisan dan penerbitan independen. Turut ditampilkan interbiu bersama kumpulan rock indie Aphabetical Theory yang muziknya penuh estetika seni, dikendali rakan penulis Bangkit!, saudari XjujuX.

Selari dengan tema Zine Fest, aku turut siarkan paparan-paparan sokongan, dalam bentuk senitulis, senilukis, senimuzik dan sudah tentu budaya DIY. Dalam isu ini, hayatilah beberapa puisi, penulisan-penulisan kreatif, rencana, beberapa ilustrasi serta komik dua-halaman Spirit DIY edisi KLZF2017. Aku juga sediakan ruangan besar untuk rebiu Perzine, Litzine dan Artzine (temasuk komik). 12 mukasurat kesemuanya, hampir 30 buah zine diulas menurut kacamata aku.


Penerbitan Bangkit! #6.5 keluaran khas Kuala Lumpur Zine Festival 2017 ini akan dilancarkan di acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung di ATAS by Bijan Fx, Petaling Jaya pada 9 Disember 2017. Jumpa di sana!

facebook.com/KlZineFest
facebook.com/events/310427529361120

Notasi | Idea di sebalik Edisi Terhad Dua Tahun Up The Punx


Dapatkan sebelum terlambat! Edisi Terhad “Dua Tahun Up The Punx”. 200 salinan sahaja! Isu ni sempena ulangtahun kedua blog UP THE PUNX. Satu blog yang aku kendali untuk muzik dan scene Punk sedangkan sebelum ni aku lebih kepada Metal (Nathias Zine, blog Ekstrim, etc). Blog ni yang mencetuskan penerbitan BANGKIT! FANZINE. Salah-satu benda EKSKLUSIF dalam edisi ni interview bersama Ajax Salaman a.k.a Ajax Dethkren. Dia ni korang kenal kan? METAL TEGAR. Orang penting dalam scene metal tempatan sejak sekian lama. Dari zaman Krenmaut Zine, Ultra Hingax Production hingga sekarang KLmetalcamp. Dalam metal-sampai-tua dia tu siapa sangka sekarang ni dia mengurus sebuah band punk rock, Brawk. Macam tak percaya kan? Even band BRAWK itu sendiri dianggotai mereka yang main dalam band metal. So korang nampak tak apa idea di sebalik edisi ni? Yes... PUNK dari kacamata “kami” METALHEAD. Kau punk, kau metal, kau layan semua.. tiada istilah diskriminasi dalam music genres. Back then, we’re all the same.. duduk bawah satu bumbung.. sama-sama kasi up kita punya underground music scene! – Pyan Nathias, 18 November 2017

Selasa, 14 November 2017

BANGKIT! #6 dalam pembikinan!!


BANGKIT! #6 ini menampilkan band Punk Rock & Roll bergelar IN A SENSE sebagai highlight. Kira macam “cover story” lah. Dorang ni dah dua puluh tahun memperjuangkan senimuzik mereka serta suara mereka, menerusi liriki-lirik yang dorang tulis. Lama tu kan dorang bertahan. Demo 2017 dorang pun baik. Sebab tu aku pilih dorang untuk interbiu eksklusif dalam isu ini.

Selainnya untuk slot interbiu aku juga adakan temubual bersama BRAWK, band yang ditubuhkan oleh Asy The Splatters bersama beberapa rakan berpengalaman dalam scene muzik u/g tempatan. Interbiu ni aku ada siarkan dalam edisi Dua Tahun Up The Punx tapi kali ini dengan foto-foto yang berbeza. Begitu juga dengan interbiu bersama band emoviolence PIRI REIS yang turut ada dalam edisi Dua Tahun Up The Punx tapi yang dalam Bangkit! #6 ni versi sebenar, full layout & more killer pics, hehe!  

Baca juga nanti temubual-temubual bersama 13 [band Grindcore dari Sarawak ni, jangan keliru pulak dengan 13DAS. Band 13DAS nanti dalam isu #7, dorang dah reply interbiu cuma tak cukup ruang untuk selit dalam isu ni], REPUBLIK ANAK TIMUR, unit harshnoise ANAK BUKIT, band unik SOFT dan band punkish-grunge SEPU10H. Ada satu lagi interview menarik, bersama indie rockers SHIZUKA BEN AMAN yang dikendalikan dan disumbangkan oleh rakan penulis Bangkit!, saudari XjujuX.

Well, setakat ni dulu aku boleh cerita. Ada banyak lagi paparan dalam Bangkit! #6 termasuk artikel, liputan gig, ulasan cd / kaset / zine, buletin (informasi terkini scene hardcore punk tempatan) dan sebagainya. Tunggu! Bakal rilis pada Disember nanti ketika berlangsungnya Kuala Lumpur Zine Festival 2017.

Ahad, 12 November 2017

Rebiu | IN A SENSE – Demo 2017


IN A SENSE – Demo 2017
Independen
Kombinasi Punk Rock dan Rock & Roll telah menjadi pertaruhan In A Sense semenjak 20 tahun yang lalu. Demo 2017 ini merupakan rilisan kelima dari mereka, atau tepatnya ketiga di bawah nama In A Sense. Untuk makluman, sebelum mengubah nama kepada In A Sense, band ini pernah dikenali dengan dua nama lain; Paradocks dan Innocent Criminal akan tetapi halatuju dan semangat muzik mereka tidak pernah beralih arah. Demo 2017 adalah bukti ampuh perjuangan dua dekad Punk Rock & Roll galasan In A Sense. Saya menikmati keseluruhan 8 buah lagu yang dipersembahkan. Side A bermula dengan intro berjudul Noises, sebuah instrumental pendek yang kencang. Kemudiannya Generosity yang juga sebuah track singkat. Lagu susulan It’s Not Me dan Past,Present,Future,Hope kedengaran begitu santai di telinga saya. Beralih kepada Side B, lagu pertama pada keratan ini iaitu Red Tie adalah lagu yang paling saya gemari. Saya sukakan flow-nya, vibe dan hook yang ada di dalam lagu ini. Moonlight memiliki lebih citarasa punk rock manakala Fooling Yourself agak sempoi namun tetap menarik. Track penutup, Mind Of The Mindless merupakan sebuah lagi lagu kegemaran saya dalam demo ini. Ianya lebih berat dan padat dalam aspek sound menurut pendapat saya. Tidak dapat dinafikan, kematangan In A Sense terserlah menerusi kebijaksanaan mereka menulis dan menyusun keseimbangan Punk Rock dan Rock & Roll dalam komposisi lagu-lagu mereka. Band yang dianggotai Kerol (bass), Bard (gitar), Spex (gitar/vokal) dan Anchoi (dram) dalam rakaman ini juga berkemampuan menyetarakan nuansa ringan dan berat dalam lagu-lagu mereka tanpa mengetepikan kepentingan tarikan melodi. In A Sense meletakkan melodi-melodi yang tepat dan melekat pada tempat-tempatnya dan kesemua 8 buah lagu dalam demo ini mengandungi karisma-karismanya yang tersendiri, rancak dan menghiburkan. Produksi bunyi juga begitu baik meskipun status rilisan ini hanyalah sebuah demo, dirakam di Green House Studio di bawah kendalian Tom Bollocks yang turut bertanggungjawab dalam proses mixing dan mastering. Saya kira In A Sense menerusi Demo 2017 ini telah menyediakan satu bekalan terbaik buat diri mereka sendiri setelah hiatus beberapa tahun selepas EP 2011. Dan harapnya bekalan ini menjadikan mereka lebih bersedia untuk merealisasikan sebuah full-length (album penuh) sebagai susulan dan hadiah paling bermakna buat pendengar-pendengar muzik mereka.

Rebiu | KLABU ASAP – self-titled (EP 2017)


KLABU ASAP – self-titled (EP 2017)
Independen
Lazat! Sangat-sangat lazat sehingga mahu dijilat-jilat, sampai habis licin, haha! Ok, saya tidak bergurau ya, saya mahu memberi gambaran bahawa sesungguhnya serius, ini rilisan yang benar-benar memberi nikmat. Setelah dua tahun berlalunya EP pertama di tahun 2015, punkrockers dari Johor Bahru, Klabu Asap kembali berkarya lagi dan menghasilkan EP kedua mereka yang masih juga tanpa judul, mungkin boleh digelar EP 2017 sahaja. EP ini memuatkan lima buah lagu, berdurasi keseluruhan 16:50 minit. Sepertimana EP terdahulu, kali ini juga dirilis sekaligus dalam 2 format; CD dan kaset secara mandiri oleh Klabu Asap. Tabik hormat buat mereka ini yang punya semangat DIY yang cukup tinggi. Klabu Asap sememangnya telah dikenali dengan gaya muzik Punk Rock mereka yang bertenaga, rancak dan bermelodi sedap. 5 lagu dalam EP kali ini kesemuanya sedap-sedap belaka; garing, rangup dan mampu menarik pendengar untuk turut menyanyi bersama dari awal hingga ke akhir. Riff-riff yang kencang, menghiburkan, vibe yang menawan, struktur melodik yang melekat terus menjadi taruhan, kekuatan dan kelebihan Klabu Asap. Musicianship Klabu Asap tidak dapat dipertikaikan lagi. Pengendalian instrumen mereka kemas. Vokal juga “masuk air”, kena dengan irama dan lagu-lagunya. Rakaman di Studio 46 di bawah kendalian jurutera bunyi Ajen turut menghasilkan kualiti bunyi lebih mantap untuk EP kedua ini. Ini band yang tulis lagu untuk buat pendengar mereka rasa bahagia. Antem punk rock yang penuh dengan kasih sayang. Ya, Punk adalah Kasih Sayang!

Rebiu | REPUBLIK ANAK TIMUR – Jamming Pah Ceroh


REPUBLIK ANAK TIMUR – Jamming Pah Ceroh
Independen
Pertama kali saya menerima dan mendengar demo “Jamming Pah Ceroh” dari Republik Anak Timur atau ringkasnya R.A.T, saya melihat bakat dan potensi besar di dalam band 3-piece ini, di mana ahlinya terdiri daripada Jack (gitar/vokal), Imey (bass/vokal) dan Ajis (dram). Ini merupakan demo cd-r pertama mereka, diriliskan penghujung Mei 2017 lalu dan ianya mengandungi 5 buah lagu berdurasi keseluruhan 18:41 minit. Senarai lagu: 1. Cerita Kita, 2. Hipokritis Bangsat, 3. Kau Pemusnah, 4. Polititas Babi, dan 5. Tinggal Mati. Secara muzikal, R.A.T pada dasarnya berpaksikan Street Punk Oi! di mana asas muzik mereka banyak mengingatkan saya kepada band dari Sabah, Con-damn The Corruptor dan sudah tentu pengaruh kuatnya datang daripada band-band Indonesia seperti Marjinal dan Desa Lukanegara. Demo ini tidak bosan untuk dilayani berulang-kali. Saya terhibur dengan lagu-lagu ciptaan R.A.T yang tidaklah terlalu keras, sedap didengar serta mudah dihadam. Mereka bijak mengolah. menyusun dan mengujudkan keseimbangan antara melodi yang catchy dan riff-riff agresif. Semuanya kedengaran enak dan rangup. Kualiti bunyinya juga begitu baik dan jelas biarpun difahamkan dirakam secara langsung (live). Meskipun tiada lirik dibekalkan pada sampul demo, nyanyiannya cukup jelas dan senang difahami, dan R.A.T menerapkan mesej-mesej yang positif di dalam lirik-lirik lagu tulisan mereka. Akhir kata, Saya berharap akan ada label-label tempatan yang boleh mengeluarkan semula demo cd-r ini dalam format kaset, kerana saya fikir ianya layak dan menarik.

Rebiu | SEPU10H – Demo


SEPU10H – Demo
Independen
Tidak banyak informasi mengenai band ini ketika kali pertama saya menerima CD demo ini. Sampulnya terlalu ringkas, selain hiasan yang seakan “Bleach” Nirvana, hanya tercatat senarai judul lagu di belakang. Apapun, ia bukan perkara besar yang boleh menghalang saya untuk menikmati rakaman ini dan seterusnya menyelongkar lebih jauh untuk mengenali apa adanya dengan Sepu10h. Demo ini mempertaruhkan 3 buah lagu berdurasi keseluruhan hampir 9 minit; Caring Pharmacy, P.M.O dan The Lions. Di peringkat awal pendengaran, saya seperti merasakan Sepu10h ingin memainkan muzik Grunge yang mahu kembali kepada asasnya (back to the basic). Saya terbayangkan band-band Grunge yang punya nama besar seperti sudah tentunya Nirvana, Pearl Jam, Soundgarden, Stone Temple Pilots, The Melvins dan beberapa lagi. Grunge mungkin boleh dikatakan akar yang ada pada muzik bawaan Sepu10h namun setelah diamati dengan teliti, didengari berulang-kali, band yang dianggotai oleh Bal (vokal), Bo (gitar utama), Mask (gitar kedua), Poped (bass) dan Pian (dram) ini tidaklah terlalu bergantung kepada inspirasi dan nuansa Grunge di zaman kegemilangan Settle. Sepu10h mengambil langkah proaktif dengan menyuntik beberapa pembaharuan agar muzik mereka kedengaran lebih segar dan sejajar dengan edaran zaman. Saya dapati banyak juga unsur-unsur protopunk / garage rock 70an dalam komposisi lagu-lagu band ini selain dari sedikit elemen alternative/indie rock 90an. Komposisi lagu-lagu Sepu10h sememangnya mantap, baik dari segi struktur riff mahupun susunan muzik. Terus-terang saya sukakan kesemuanya, sedap di telinga, enak di jiwa. Hinggakan saya merasakan tidak puas sekadar hanya 3 lagu yang dihidangkan. Bentuk vokalnya juga kedengaran begitu bagus. Dan saya juga perlu beritahu, demo ini memiliki kualiti bunyi yang sangat baik. Saya terkejut dan memperakui, tidak hairanlah mengapa produksi bunyi dalam demo ini pada tahap yang tinggi setelah difahamkan ianya dirakam di Bakri Music Workshop Studio. Saya harap Sepu10h menambah inisiatif menulis dan merakam lebih banyak lagi lagu-lagu bermutu dan melekat seperti yang disediakan dalam demo ini pada masa-masa akan datang. Sepu10h ini sebuah band yang menarik untuk diikuti perkembangannya.

Rebiu | SOFT – Nostalgia


SOFT – Nostalgia
Héma Records
Saya percaya bahawa album pertama mereka “A Warm Romanticism In Coldwave Room” telah menerima perhatian selayaknya, bukan setakat di sini akan tetapi juga di peringkat antarabangsa berdasarkan pemerhatian saya ke atas band ini. Band shoegaze / post-punk dari Ipoh, Soft telah kembali dengan full-length kedua mereka berjudul “Nostalgia” sekitar Mei 2017 dalam format 12" vinyl gatefold disertai 20 mukasurat booklet. Pembeli boleh memilih warna piring yang diinginkan; samada hitam, putih ataupun merah. Pada September yang baru lalu, rilisan ini disediakan pula dalam format CD menerusi Héma Records, sebuah label yang berpengkalan di Solo, Indonesia. Berdurasi keseluruhan 55:55 minit, album kali ini menghidangkan 11 buah lagu yang lebih matang bikinannya, lebih energetik serta kualiti bunyi yang lebih memberikan impak kepada pendengaran. Soft tidak sekadar meneruskan apa yang mereka tawarkan dalam album terdahulu, tetapi turut menambahbaik pelbagai aspek untuk menjadikan “Nostalgia” sebuah album susulan yang luarbiasa! Bersesuaian dengan judulnya, Soft kali ini seperti mahu mengajak para pendengar mengimbau kembali kenangan-kenangan dulu, memori lampau masing-masing. Benar bagai dikata, alunan muziknya membuatkan diri saya sendiri merenung jauh ke luar jendela, melayang bersama zaman silam yang dilalui, yang sudah tentunya terkandung bermacam kisah nostalgik. Sesetengah lagu pula berada dalam nuansa suram dan seram, terus-terang saya katakan ianya berpuaka dan berhantu! Sebagai penggemar muzik Dark Ambient, saya jatuh cinta dengan track bertajuk Song For Apollo Heights. Sudah tentu semua lagu-lagunya menarik termasuklah Dark Bass Tortured yang menonjolkan permainan bass dan saya kira ramai juga yang akan meminati lagu seperti Teenage Poetry On Vhs Dreams, Eternal Kiss And First Flowers, Tamar Jalis dan Grunge Glory. Ini album yang akan saya syorkan kepada semua orang. Ini album yang benar-benar layan perasaan.
facebook.com/hemarecords
hemarecords.com

Rebiu | SOFT – A Warm Romanticism In Coldwave Room


SOFT – A Warm Romanticism In Coldwave Room
Rumah Horror / Toothache Splinter / Obscura
Depressive metal/rock, shoegaze, darkwave, drone, ambient, noise dan seumpamanya telah menjadi sebahagian kegemaran saya sejak sekian lama, sejak saya mengenali band seperti Mortiis dan Aghast hinggalah kepada Hijokaidan serta Merzbow. Mereka-mereka ini bukan sahaja kreatif dalam mempelbagaikan eksperimentasi, tetapi juga melibatkan permainan emosi. CD “A Warm Romanticism In Coldwave Room”, album pertama Soft yang saya miliki ini adalah cetakan kedua di tahun 2016 yang mana keluaran asalnya pada tahun 2013. Ianya mengandungi tujuh buah lagu berdurasi keseluruhan 26:35 minit; 1. Chapter, 2. Tapes, 3. Voices Lost In Echoes, 4. Girl Ghost, 5. First Kiss and Death Off, 6. Virgo Venus Venera, dan 7. Past. Saya agak sukar untuk memberi deskripsi sebenar gaya muzik Soft. Ia merangkumi dan mengadun semua genre yang saya sebutkan di permulaan tadi dengan Shoegaze dan Post-Punk sebagai asas dan tunjangnya. Kalau menurut pihak Soft sendiri, mereka lebih gemar mentafsirkannya sebagai “softloudgaze”. Sound mereka banyak dikuasai efek-efek echo dan reverb, serta manipulasi distorsi yang mengkhayalkan. Riff dan melodi lagu-lagu band ini akan membawa pendengar merewang-rewang, terbang di awangan. Pendengar seperti berada di alam surreal, di dunia subliminal, berfantasi bersama irama lagu-lagu Soft yang mengasyikkan. Ianya hebat dan memukau! Ditambah pula dengan pendekatan vokal yang agak minimal, namun cukup hipnotik dan menghanyutkan. Ini sebuah album yang betul-betul sempurna mengikut pendapat saya dan ianya dalam kategori yang jarang-jarang ditemui dalam konteks scene tempatan. Keseluruhannya tersangat menakjubkan!
facebook.com/softloudgaze
facebook.com/rumahhorror

Rebiu | DISLODOS – Recycling The Dead


DISLODOS – Recycling The Dead
Broken Noise Records
Ini band yang saya kategorikan sebagai “rare”. Rilisan pun boleh dikatakan unik, dalam format 3" cd-r terhad 33 salinan sahaja! [salinan milik saya #31]. Dislodos cuma dianggotai dua ahli; Che Leng (gitar/vokal) yang pernah bersama Depress, Abysmal Fornikate dan Hellexist serta Jimbo (dram/vokal) yang rasanya ramai orang kenal, vokalis Parkinson dan Hellexist juga. Demo “Recycling The Dead” berisi 10 buah lagu berdurasi keseluruhan 11:36 minit. Muziknya, Grindcore oldshool, dengan bentuk sound yang raw berkarat, kering dan berat. Lagu pendek-pendek, kebanyakannya laju, bingit sudah tentu dan yang pasti ia menghentam tepat ke muka! Rakaman demo ini dibuat secara live di Hell Studio a.k.a jamming depan Kilang Yeo Hiap Seng. Nama pun depan kilang, sound memang dah macam bunyi mesin-mesin dalam kilang. Vokal boleh tahan, penuh ekspresi; jeritan, teranan, sahutan dan sebagainya. Kalau nak imbau kembali demo/rehearsal sekitar 90an, boleh cuba dengar demo ini. Lagi-lagi kalau nak dengar Jimbo belasah set dram, lain macam dia punya pergi. Cuma RM5 tapi rasanya dah lama sold-out!

Rebiu | DESTROYING EARS – Rotten Words


DESTROYING EARS – Rotten Words
Independen
Bumi Kenyalang seakan tidak ketandusan band-band berpaksikan irama Grindcore, malah terus-menerus melahirkan para grinders berpotensi besar, termasuklah yang terkini iaitu Destroying Ears. Band bermastautin di bandaraya Kuching dianggotai oleh Haizan (vokal/gitar), Sukor (gitar) dan Pyan (dram) ini baru sahaja meriliskan demo pertama mereka “Rotten Words” sekitar pertengahan Jun 2017 lalu. Demo ini memuatkan 3 buah lagu, selama sekitar 7 minit setengah yang buas dan ganas nuansanya!. Track pertama, Slander Kills dimulai dengan intro seakan bunyian ambient yang kelam dan penuh derita, suram dan menyeramkan selama lebihkurang 1:40 minit sebelum disambut ledakan distrosi yang cukup berat dan dentuman-dentuman dram yang menghentam. Perisa Death Metal begitu kuat pada track kedua, Rotten Words. Sound yang kedengaran old-school, padat, keras serta riff-riff yang meng-hayun dan mengkhayalkan. Menakjubkan jika dilihat Destroying Ears membina struktur muzik mereka hanya berasaskan penggunaan dua gitar dan dram, tanpa bass. Menariknya lagi lagu Rotten Words pada pengakhirannya diselitkan outro yang seolah-olah kesinambungan intro pada track pertama tadi. Lagu ketiga, Viralism merupakan track terpendek dalam demo ini di mana berdurasi 1:42 minit. Ia terus bermula dengan riff-riff dan hentakan yang amat kencang, dan menyerlahnya elemen Hardcore untuk kali ini. Bijaknya Destroying Ears, mereka mengendurkan kepantasan awal dalam lagu ini dengan sedikit mid-tempo Thrash sebelum kembali berat dan dimatikan mengejut!. Terasa tenaganya. Dengan teknik vokal yang buas, produksi bunyi yang sememangnya ganas, ini band yang tanpa syak lagi perlu diberi perhatian. Difahamkan band ini mendapat inspirasi kuat dari Nasum, Nails, Coldworker, Napalm Death dan Unholy Grave antaranya. Jika anda mencari sebuah band yang benar-benar boleh mendatangkan kemusnahan kepada gegendang telinga anda, maka inilah Destroying Ears jawaban yang cukup tepat kepada pencarian anda. Hubungi destroyingears@gmail.com kalau mahukan bukti. Nota: Label kecil saya Blazt Promotion ada meriliskan keluaran terhad 35 salinan edisi Semenanjung berharga cuma RM5 seunit.

Rebiu | CHILD MEADOW / PIRI REIS – Split


CHILD MEADOW / PIRI REIS – Split
GLord Records
Ini merupakan rilisan ketiga dalam format cassette tape oleh label produktif GLord Records, sebuah kaset split mempertemukan Child Meadow (Perancis) dan Piri Reis (Malaysia) di mana masing-masing menyumbangkan 3 buah lagu. Child Meadow berasal dari Toulon, sebuah bandar pelabuhan di selatan negara Perancis. Terdiri daripada Pierre (dram/vokal) dan Clement (gitar/bass/vokal), duo ini mempersembahkan irama hardcore/punk sound 90an yang menarik juga garapannya; ada kalanya bergerak rancak, ada masanya bermelodi manis, pembawaannya penuh perasaan. Tiga lagu dari Child Meadow; 1. Dans Vos Veines, 2. Batrovci, dan 3. Somehow We Got Lucky (Appletop cover) berdurasi 9:30 minit keseluruhannya. Untuk split ini saya lebih jatuh cinta kepada bahagian dari Piri Reis. Bukan kerana mereka band tempatan, tetapi sememangnya sentuhan muzik band berpengkalan di Shah Alam, Selangor ini cukup bertenaga dan berkualiti. Durasi 3 track dari mereka sangat singkat, keseluruhannya cuma 5:19 minit – 1. I Like It Quiet In The Morning, 2. Petit A Petit, L' Diseau Fait Son Nid, dan 3. Lost Before Nakano Shimbashi. Dibarisi oleh Nurul Amira (voka), Muhammad Farhan (gitar), Azwari Zainal (gitar), Jaka Abdullah Hashim (bass) dan Muhammad Fakhri (dram), Piri Reis meledak pantas menerusi muzik Screamo / Emoviolence ciptaan mereka. Jeritan pekikan vokal wanitanya sangat menghentam, penuh dengan permainan emosi. Ia meletakkan kesempurnaan kepada kualiti komposisi muzik yang menakjubkan; struktur dan susunan yang seimbang di antara riff-riff kencang menerajang serta melodi seakan murung dan merintih. Marah dan gundah disatukan dengan teliti dalam setiap lagu –menghasilkan screamo / emoviolence yang mengesankan! Split ini berbaloi untuk kalian miliki.

Rebiu | 13 – Futile Resistance


13 – Futile Resistance
Mørk Sjel Records
Terlebih dahulu saya perlu mengucapkan terima kasih kepada saudara Mark Benji, gitaris band Pïg-Krüst kerana memperkenalkan saya kepada band 13 ini. Dan saya perlu akui kata-kata beliau: This is the best underrated crust grind in Sarawak. CD ini ibarat satu kejutan kepada saya. Kualitinya dahsyat!. Saya hairan jika band yang sebagus ini tidak begitu dikenali sedangkan apa yang telah mereka tawarkan menerusi rilisan berjudul “Futile Resistance” ini melangkaui tahap sebahagian band-band yang jauh lebih aktif di dalam scene. Tidak mengapa, itu mungkin pilihan band bergelar 13 (Thirteen) ini yang berpengkalan di Kuching dan dibarisi oleh Yus (vokal), Robin (vokal & gitar) dan Said (dram). “Futile Resistance” menyajikan sejumlah 50 (ya, ianya lima puluh) buah lagu berdurasi keseluruhan 38:41 minit. Sedikit sebanyak ianya mengimbau ingatan saya kepada format “An Enormous Feeling Of Hatred” (Demo 1991) oleh Sputum (band grind / mincecore yang juga dari Sarawak). Bezanya, 13 sebuah band grindcore yang disuntik dengan kuat dan nyata elemen-elemen crust/punk. Musicianship band ini begitu menyerlah, permainan yang tight, gubahan lagu yang benar-benar membunuh serta pemilihan sound yang begitu padat, berat dan berkarat. 13 turut menyelitkan sebuah lagu cover iaitu Fast and Rush (lagu asal The Uncompromised). Rakaman album ini dibuat di Mockingbird Studios dengan kerjasama 13 serta Bojet dan Kului di proses mixing. Bagi yang berminat untuk mengetahui halatuju muzik 13, boleh hubungi e-mel borneonoise@gmail.com atau talian 016-6682078 (Norisk) sekiranya berada di Semenanjung. Rilisan ini amat disyorkan! Memang terbaik dan meyakinkan!!!

Rebiu | BOHR – self-titled


BOHR – self-titled
BTNKcllctv / Tandang Records
Rilisan ini hanya memuatkan dua buah lagu; Voyager (5:09) dan Suria (5:12). BOHR berpaksikan Sludge / Doom Metal dan mereka berpengkalan di Kuala Lumpur. Material yang diriliskan pada tahun 2016 ini dirakam di Laguna Music Studio, mixed dan mastered oleh Tom (The Bollocks). Lagu pertama sebuah track doomy, keras dan berat dari segi riffing dan sound. Manakala lagu kedua agak bermelodi, bermain dengan riff-riff catchy dan ada feel punk tapi masih dalam landasan sludge/doom rock. Dua-dua lagu memang terbaik dalam aspek guitarwork dan komposisi lagu. Untuk keseluruhannya, BOHR ini menawarkan muzik yang ada nilai estetika yang tinggi. Menarik dan mengagumkan!
facebook.com/bohr.riffs
bohrofficial.bandcamp.com
facebook.com/tandangstore
facebook.com/btnkcllctv
btnkcllctv.com

Rebiu | BOMBRÄD – self-titled (Demo 2016)


BOMBRÄD – self-titled (Demo 2016)
Pissed Off! Records
Bombräd chaos!!!, Bombräd chaos!!! – Hebatnya Bombräd di sudut identiti band ini hinggalah kepada kualiti muzik mereka membuatkan saya terdorong dan tidak sedikit pun berasa rugi mendapatkan kedua-dua versi Demo 2016 mereka; di mana cetakan pertama pada Disember 2016 yang dikhabarkan telah laris terjual dalam masa yang begitu singkat dan versi cetakan kedua yang telah dikeluarkan sekitar Februari 2017 menampilkan artwork yang berbeza. Bombräd terdiri daripada Krāsna Arip (vokal), Sēed (gitar/bass/vokal) dan Warthug (dram/vokal) yang juga ahli / bekas ahli band-band seperti Skullcrusher, Defeat, The One Chord Wonders, Lycant Militia dan Urban Vicious. Kaset demo ini menyajikan 5 buah lagu yang kuat dipengaruhi oleh hardcore punk Skandinavia. Ianya meledak, bertenaga, sarat dengan inspirasi Swedish/Finnish hardcore punk beruratnadikan band-band seperti Totalitär, Anti Cimex, Tampere SS, Mob 47, Shitlickers dan yang sewaktu dengannya. Tidak ketinggalan Bombräd turut menyuntik pengaruh UK Punk seperti Discharge dan elemen Rock & Roll Motörhead dalam usaha menambah lagi sengat irama bawaan Bombräd. Tidak hanya pada muzik, mereka juga mengaplikasikan dwi bahasa Sweden dan Finland dalam penulisan lirik dan nyanyian. Motstånd (dalam bahasa Sweden) bermaksud Resistance, Korruptio (dalam bahasa Finland) bermaksud Corruption. Raha (fin) maknanya Money dan Spräckta Snutskallar (swe) ertinya Crack Cop Skull. Demo yang dirakam (termasuk mixing dan mastering) sekitar 5 Ogos 2016 hingga 30 November 2016 di tiga studio berbeza ini menjanjikan produksi dan kualiti bunyi pada tahap yang begitu baik. Muzik dan lagu-lagu Bombräd kedengaran begitu padat, mantap dan cukup huru-hara! Demo ini sesuatu yang mesti dimiliki, cubalah tanya kalau-kalau masih ada.

Nota: Saya ada mengemukakan set soalan interbiu kepada Bombräd pada Februari/Mac 2017 dan sehingga kini masih menunggu jawaban dari mereka. Harapnya Sēed dan rakan-rakan beliau dapat memberi respon kerana ini salah-satu band yang saya inginkan sangat untuk ditampilkan dalam Bangkit! Fanzine.

Rebiu | KAKISERIBU – Manusial


KAKISERIBU – Manusial
DIS346 / Green Peace Distro / Fvkof Distro
Kakiseribu adalah band 3-piece dari Georgetown, Pulau Pinang dianggotai oleh Edd (gitar/vokal), Shaik Itaro (bass) dan Nicky (dram). Untuk makluman, Edd juga merupakan gitaris kumpulan Weot Skam. Rilisan demo “Manusial” dikeluarkan secara rasmi sekitar September 2015 merupakan demo pertama mereka, berdurasi keseluruhan 9:40 minit, memuatkan 4 lagu; Manusial, Tali Gantung, Kehidupan Boneka, dan Bangsat Paling Agung. Di sudut muzikal, Kakiseribu dalam demo ini memainkan hardcore Punk yang garang, diperkasa oleh elemen-elemen crust, d-beat serta sentuhan sludge/doom. Lagu-lagu band ini kreatif, dipenuhi komposisi-komposisi innovatif pada riff-riff dan melodi gitar, petikan bass yang menonjol serta paluan dram yang ke hadapan, mengadun dengan baik kombinasi genre-genre yang saya sebutkan tadi terutamanya dalam nuansa sludge / doom / downbeat – menjadikan irama muzik Kakiseribu ini kedengaran begitu konstruktif dan segar! Sangat-sangat menarik apatah lagi dengan kualiti bunyi yang sepadan dengan citarasa muzik mereka. Lirik mereka begitu antagonis dan melawan sifatnya, ditulis dan dinyanyikan dalam bahasa Melayu, dan turut disediakan translasi dalam bahasa Inggeris.
kakiseribu.bandcamp.com
facebook.com/KakiseribuPG

Rebiu | THE PAPAS – Game Over


THE PAPAS – Game Over
Adaptif Records / Tempang Records / Bullwhip Records / Noisemongers Records
Ini Hardcore Punk yang garang dan penuh kemarahan – tegak berdiri, berjuang dan lantang bersuara menentang segala macam sistem pembodohan. The Papas yang terdiri daripada Izzy (vokal), Soyok (gitar), Kamal (bass) dan Ayien (dram) datangnya dari pekan Kajang yang kebiasaannya terkenal dengan band-band thrash seperti Antacid dan Vault. The Papas juga bagi saya memiliki aura thrash dan sememangnya lagu-lagu mereka agak thrashing! “Game Over” mengandungi 6 buah lagu; Just For Fighter, Friends, Clever Boy, Politicias, Game Over, dan Psycho Punk. Sepertimana yang saya katakan awal tadi, muzik The Papas adalah hardcore punk amarah, bersulamkan riff-riff yang keras, rancak dan pantas, dram yang laju, d-beat dan membelasah! Terdapat juga suntikan irama Oi! Punk pada sesetengah lagu. Nuansa keseluruhannya chaos dan memberontak dengan penyampaian vokal yang benar-benar menempelak dan meluahkan rasa geram. Berikut sedikit kata-kata mereka dalam satu lirik: “we’re not in your game. lies, stupidity, greed, corruption. your world, your nationality. we don’t need your lead! so…game over, najib! we will bring you down”.
facebook.com/thepapaspunkrawk
thepapas.bandcamp.com