Jumaat, 9 Jun 2017

BANGKIT! #5 dalam pembikinan!!


Sekadar perkongsian: Rekabentuk (draf akhir*) kulit luar BANGKIT! #5 didedahkan. Semuanya sudah siap; merangkumi interbiu, rencana, buletin dan sebagainya KECUALI bahagian rebiu yang masih semput & sangkut, huhu!! Tunggulah, lepas musim cuti raya aidilfitri (disasarkan rilis sekitar Julai 2017). BANGKIT! #6 pun dah ada terima setakat ni dua jawapan interbiu. Dalam pada itu BANGKIT! "keluaran khas Zine Fest" juga dalam pembikinan. Ini sahaja yang saya ada dan mampu buat untuk scene dan kawan-kawan.

Berkenaan BANGKIT! #5, isu kali ini menampilkan temubual bersama BAD IDEA sebagai coverstory / highlight. Di samping interbiu-interbiu bersama DERITAxTERUS, EMERGED, BROKENTAPES INCIDENT, HEGEMONI, PELIGROSOS, TOTAL SICK, STORY ENDS, DELUSI dan EXPURGATED. Dalam isu kelima ini juga akan ada artikel (di bawah kolum "Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan") ditulis oleh Farisi Che (vokalis band Hegemoni) serta ulasan showcase Showdown In Borneoland oleh Adi Herman.

*draf akhir bermaksud boleh jadi ada perubahan pada saat akhir.

Pyan Nathias, 9 Jun 2017

Sabtu, 3 Jun 2017

Rebiu | MIRA MESLI feat POZY PLAGUE – Langkah 1555


MIRA MESLI feat POZY PLAGUE – Langkah 1555
One Triple Five Records

Ini sebuah projek Pop Punk yang baru lahir di selatan tanahair, Johor Bahru; menampilkan Mira (vokal, gitar & bass) dan Pozy (dram). Gabungan dua bakat ini telah menzahirkan sebuah album mini berjudul “Langkah 1555”, keluar dan beredar secara rasmi pada 15 Mei 2017. Mira atau nama sebenarnya Amira Shahira Mesli adalah artis / pemuzik indie dan finalis Mimpi Ke Bintang TV2 (2012) manakala Pozy bukan orang asing dalam scene muzik tempatan. Beliau antara pemain dram terbaik di negara ini, selain Plague Of Happiness turut dikenali peranan besarnya dalam Narsamum, Damokis, Eleventh Avenue dan banyak lagi.

EP “Langkah 1555” keluaran One Triple Five Records (label milik Pozy) mempertaruhkan 5 buah lagu, berdurasi keseluruhan 16:30 minit. Kesemuanya dinyanyikan dalam bahasa ibunda kecuali Don’t Wanna Lose You. Secara muzikal, projek ini menyajikan irama Pop Punk yang mesra pendengar (radio-friendly) dan menghiburkan. Mira Mesli tidak hanya memiliki tona vokal yang enak dan bersesuaian dengan nuansa muzik yang dimainkan, tetapi juga pemain gitar dan komposer yang baik. Gandingannya bersama Pozy Plague bijak mengolah melodi-melodi yang lembut manis, disulami kocokan-kocokan rancak yang penuh keceriaan, kaya juga dengan pelbagai riff yang menarik dan menangkap. Struktur dan susunan muziknya kreatif dan impresif. Lagu-lagu kegemaran saya dalam CD ini adalah dua yang terakhir; Langkah 1555 dan Anugerah.

Kualiti Studio46 sebagai sebuah studio rakaman profesional memang telahpun diperakui, dan itu memberikan banyak kelebihan serta kekuatan kepada album mini “Langkah 1555” dari segi produksi bunyi. Sedap, melekat. Anda di luar sana saya syorkan segera dapatkan rilisan ini. Nanti boleh sama-sama sing-along. Hidangan Mira Mesli feat Pozy Plague pasti akan memenuhi selera peminat-peminat Blink-182, Alkaline Trio dan yang seumpamanya. Kalau mahu, boleh cuba-cuba dengar dulu menerusi dua single mereka; Anugerah dan Setia (cari di YouTube). Jika berminat, terus hubungi 0108267471 / 0127554662.

facebook.com/onetriplefiverecords