Khamis, 13 Julai 2017

Rebiu | DERITAxTERUS – Haktuih


DERITAxTERUS – Haktuih
Tempang Records / Bullwhip Records
Bandana Thrashcore! Begitu utuh dan jitu semangatnya! Muzik hardcore yang deras, agresif dan sungguh energetik. Garang dan cukup membelasah! “Haktuih” sepertimana judulnya, sebuah karya yang benar-benar meludah! Ini EP dari DeritaxTerus dengan kandungan tujuh buah lagu; Cakap Pasal, Penipuan Dunia, Kau Lupa Janji, Teknologi Bangsat, Kita Tentang Kita Lawan, Siapa??? dan Outro. Kesemua lirik ditulis dalam bahasa Melayu, kecuali Outro dalam kod-kod angka yang tidak difahami, haha! Ya, mereka suarakan tentang penderitaan rakyat, propaganda media, kritikan dan kecaman keras terhadap sistem keji politikal dan pemerintahan. Ludah terus, haktuih!!! Kualiti bunyinya cukup baik dan padat, serta permainan yang kemas dan ketat begitu banyak memberikan kelebihan kepada rilisan ini. Mantap dan menyerlah! Bagi yang meminati band-band fastcore dan thrash yang lama-lama, kalian pasti akan lebih menghargai apa yang telah dihasilkan DeritaxTerus menerusi “Haktuih” ini. Sebuah rilisan yang tidak harus dilepaskan sekiranya anda mahu diserang bertali-arus irama old school fast hardcore buatan band berpengkalan di Puchong ini. Disarankan!

Rebiu | TXT / BAD IDEA – Rehearsal Split 2014


TXT / BAD IDEA – Rehearsal Split 2014
Independen
Terima kasih kepada Uda (vokalis Bad Idea) kerana memberi peluang kepada saya untuk mendengar rilisan split TxT / Bad Idea ini meskipun telah lebihkurang 3 tahun usia pengeluarannya. Sebagaimana yang diketahui ramai, kedua-dua band ini berpengkalan di The Wall, Batu Pahat. TxT memulakan Rehearsal Split 2014 ini dengan 4 buah lagu; Destruction Instruction, Vote For Not Voting, Bullet For Every Rapitism dan Destroy Pyramid. Dianggotai oleh Noah (gitar), Zughi (bass), Juda (dram) dan Lama (vokal), mereka merakam material untuk split ini di Albert Hippie Studio, BP pada Jun 2014. Menariknya, setiap lagu TxT didahului dengan sampel ringkas sebagai intro dan muzik mereka hardcore punk memberangsangkan! Raw dan kedengaran ‘hidup’. Olahan riff dan susunan muzik yang cukup sempoi. Kredit untuk pembawaan vokal yang penuh emosi menjiwai bait-bait lirik yang dilontarkan. Bad Idea menyusul dengan irama old-school HC punk yang menumbuk tepat ke-muka; laju, kuat dan marah-marah! 5 buah lagu disediakan Bad Idea dalam split ini; Routine Existence, Unholy Monarchy, Bad Idea, Bad Attitude dan Dapat Tak?. Oh ya, cuma pada lagu bertajuk Bad Idea mereka memperlahan sedikit rentak dan saya terbayangkan riff-riff Nirvana Smells Like Teen Spirit. Dibarisi oleh Bulan (dram), Zuri (gitar), Kuper (bass) dan Uda(vokal), Bad Idea merekod di Meta4 Studio juga pada Jun 2014. Meskipun rakaman ‘live’, hasil bunyinya masih kedengaran bagus dan jelas. Bagi yang meminati nuansa Hardcore 80an pasti ini makanan kalian. Ini rilisan split yang mantap pada keseluruhannya. Kurang pasti samada cd-r Rehearsal Split 2014 berdurasi 20:22 minit ini masih boleh diperolehi atau sebaliknya, kalian boleh hubungi thewallbp@gmail.com untuk pengesahan. Helaian lirik/info turut disertakan. Menarik!

Rebiu | BAD IDEA – Buy Or Fuck Off!


BAD IDEA – Buy Or Fuck Off!
Dead Bir Records / Still Hardkore Distro / 321...Go! Distro
“Buy Or Fuck Off!” bukan satu rilisan picisan yang hanya untuk dipandang sepi dan dibiarkan berlalu pergi. Ini adalah khusus untuk anda yang meletakkan “punk” dalam jatidiri anda! Judul EP ini sahaja sudah penuh dengan pengertian jika anda bijak mentafsirnya. Ini Hardcore Punk yang benar-benar padu dalam pelbagai aspek diterjemahkan oleh Bad Idea, band asal Batu Pahat yang ditunjangi Kuper (bass), Bulan (dram), Zuri (gitar) dan Uda (vokal). EP “Buy Or Fuck Off!” merangkumi 7 buah lagu yang begitu cermat dan ketat olahannya. Durasi kaset ini sekitar 12 minit. Di sudut muzikal, Bad Idea mendera deria pendengaran anda dengan lagu-lagu yang hampir keseluruhannya pantas, keras dan kasar. Hidangan mereka kuat dengan aura punk rock & roll, adrenalin Hardcore 80-an serta tidak ketinggalan bunyian Hardcore era 90-an. Bagi yang menggemari Minor Threat, DS13, Sista Sekunden, Propagandhi dan seumpamanya pasti akan menikmati sajian Bad Idea ini. Rakaman telah dilangsungkan di Nyaring Studio dalam tempoh Disember 2015 hingga Mei 2016 di bawah kendalian Ajen dan Marzuki manakala proses mastering oleh Enal di Metaphor Studio. Kualiti bunyi yang begitu baik, “raw” yang menjadi, padat serta melekat. Bad Idea juga dilihat cemerlang dan teliti dalam penulisan lirik dan penyampaian mesej. Ianya berkaitan isu-isu dalaman scene, masalah sikap, etika punk dan seputarnya. Senikata-senikata seperti ini begitu menginspirasi andaikata anda pendengar benar-benar mengamati dan memahaminya. Bagi pemilik tape yang bernasib baik (sekiranya mendapatkan terus dari pihak band tidak silap saya), anda akan menerima helaian lampiran “Bad Thoughts #1” yang mengandungi pencerahan lengkap pengisian EP “Buy Or Fuck Off!” serta keterangan lebih jelas di sebalik lirik-lirik lagu Bad Idea ini. Saya perlu tegaskan bahawa ini sebuah rilisan yang mesti dimiliki. Biar saya akhiri ulasan ini dengan salah-satu rangkap dalam lagu berjudul ‘Stagnansi’ – Hidup zon selamat. Sampai kau berkulat. Suatu hari kau bosan. Benda sama kau telan. Hubungi thewallbp@gmail.com segera!

Rabu, 5 Julai 2017

Rebiu | HVTAM – Isu #4


HVTAM – Isu #4
24ms / A5 / Bahasa Melayu
Hvtam Zine telah kembali dengan isu yang ke-4 pada April 2017. Ianya mengambil masa lebihkurang 10 bulan untuk diterbitkan, di mana isu terdahulu rilis sekitar Julai 2016. Isu kali ini agak nipis dan ringkas, ekoran komitmen editornya terhadap kerjaya dan keluarga. Pun demikian, ianya bukan alasan untuk Encik Jep (editor) tidak menyempurnakan Hvtam #4 ini dengan pengisian-pengisian yang baik dan menarik. “Canyon Merah Nan Sebatang” terus menjadi ruangan tetap dan seakan trademark kepada Hvtam. Kolum catatan-catatan penulis ini (dalam isu ke-empat kali ini) memuatkan 5 penulisan; Punk is Dad, Fukk the System!, Punk Network, Ipohmali dan Apa Khabar Dunia!. Seperti biasa, ianya mengandungi nota-nota logik dan informatif. Untuk slot interbiu, Hvtam #4 mengetengahkan dua band dari Ipoh iaitu GAINA (Kickass Rock & Roll) dan THE ELECTRIC APE IN STEREO (Post-Rock). Memang “terbaik” kalau menampilkan interbiu-interbiu sebegini kerana pertamanya, ini 2 buah band yang mungkin ramai di kalangan kita kurang mengenalinya dan yang kedua, band-band ini menghadirkan sifat muzik yang ada kelainan. Beberapa rilisan cd, tape dan zine turut diulas dengan baik di bawah ruangan “Review DIY” manakala artikel bernas “Angin Perubahan: Bagaimana Melancarkan Ancaman” (sumbangan Kozöi Blastër, pemilik label GORE in GORE out records) melengkapkan lagi kandungan Hvtam Zine isu ke-4. Penerbitan zine ini dilihat semakin bagus dalam aspek design & layout, cuma mungkin sedikit kesilapan sewaktu menggunakan software / aplikasi untuk proses suntingan design & layout mengakibatkan beberapa teks agak pecah atau kabur serta ketidakseragaman saiz font (ada yang terlalu kecil) sehingga menyukarkan pembacaan. Tidak mengapa, Encik Jep mendapat beberapa pengajaran dan pengalaman dari proses suntingan seperti ini (ianya masih berkonsepkan “cut & paste” cuma bukan proses konvensional, di mana Jep menyunting menggunakan kemudahan dalam handphone dan komputer). Apapun, Hvtam #4 dirumuskan sebagai minimal namun efektif.