Jumaat, 29 September 2017

Notasi | Edisi Pengenalan Yang Dibatalkan!


sekadar perkongsian: 

BANGKIT! #0 [Edisi Pengenalan] – sebuah issue yang tidak pernah diketahui umum, tidak pernah dimaklumkan kepada sesiapa pun sebelum ini, tidak diterbitkan dan secara teknikalnya dibatalkan. Kalaupun ada master copy / digital file isu ini, ianya tidak rasmi atau bahasa omputehnya "unofficial" (sebab aku anggap ia tidak wujud). 

Apabila Ocha Vozvyshennyy beri komen balas "tolong riliskan bangkit #0 tu pleaseee? nipis pun takpe, ada value dia" dalam status aku terdahulu, balik rumah tadi aku terus cari semula sampel kulit luar yang aku teringat aku pernah print (rujuk foto). Bukannya apa, aku terkenang banyak perkara. Di sini bermulanya idea awal dan asas penerbitan Bangkit! Fanzine yang ada sekarang. Pembikinan "isu percubaan" ini terbengkalai di mana aku begitu "down" bila arwah abah aku sakit dan pergi buat selamanya pada masa tu. Sedikit demi sedikit, pelahan-pelahan aku bangkit kembali dan hasilnya aku realisasikan terus Bangkit! #1 pada Mei 2016 tanpa perlu ada sebarang Edisi Pengenalan. 

Bangkit! Fanzine sebelum keujudannya aku bermula dengan blog "Up The Punx" terlebih dahulu. Bila datang keinginan untuk menjadikan penulisan-penulisan online kepada format fizikal paper fanzine, nama BANGKIT! memang nama pertama yang terlintas dalam fikiran aku, dipacu dari nama "Up The Punx" itu sendiri. Kredit & terima kasih kat Ahmad Nizamuddin Abdullah aka Nizang Mosh sebab dialah orangnya yang aku refer untuk dapatkan nasihat / pandangan tentang penggunaan nama tersebut dan beliau mengesahkan tiada zine bernama BANGKIT! sebelum ini dalam scene tempatan. 

Terima kasih juga kat Johan aka Trashnoiser dari blog Noise From Hell zine sebab contribute banyak bahan untuk disiarkan masa aku sedang bikin "isu yang tak menjadi" ni, huhu.. maaf kerana terpaksa "reject" beberapa daripadanya apabila isu ni bertukar wajah menjadi Bangkit! #1.

Nota: Kalaulah Bangkit! #0 ni dikeluarkan satu hari nanti, rasanya akan kekal dengan kandungan & pengisian asal tanpa ada tambahan benda/bahan baru. Ia perlu keluar (jika dikeluarkan) dalam format sepertimana ia sepatutnya keluar pada waktu itu iaitu Disember 2015 / Januari 2016.

– Pyan Nathias, 29 September 2017

Notasi | Bangkit! Lahir Dari Rasa Cinta


Tak sangka aku telah melakukannya. Bangkit! Fanzine – sejumlah 8 isu diterbitkan setakat ini; merangkumi 5 “regular series” + 3 “special issues”. Syukur Alhamdulillah di atas segalanya. Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang menyokong, mendorong, membeli & membaca naskah-naskah yang aku kira taklah seberapa ini. Mohon maaf andaikata masih banyak kekurangan & kelemahan sana-sini dalam zine ini. Aku hanya buat sekadar mampu, semuanya demi cinta & sokongan kepada scene tempatan. Bangkit! Zine ni sentiasa menjadi pengalaman & cabaran baru untuk aku sendiri sejak aku mulakan projek ni dan isu pertama rilis pada Mei 2016. Mudahan ia terus berkembang dan tidak terhenti, selagi ada keizinan-Nya, inshaaAllah. Bangkit!

Nota: 
1. Aku pernah cuba keluarkan Bangkit! #0 (edisi percubaan) sekitar Disember 2015 / Januari 2016 tapi terbengkalai & terbatal bila arwah bapa aku meninggal dunia. Aku “down” dan sedikit demi sedikit bangkit semula untuk terus merealisasikan Bangkit! #1 tanpa ada edisi percubaan.
2. Harga semua issue, termasuk #5.5 yang cadangnya nak launch dan mula diedar pada #selangorzf2017 ngam-ngam RM50. Never planned but it happens, hehe!
3. Bakal menyusul: Bangkit! #6 (Brawk, In A Sense, RAT, 13, Piri Reis, Anak Bukit, Soft, Sepu10h, Shizuka Ben Aman, etc) dan Bangkit! #6.5 (Petak Daud, Aku Napie, Nizang Mosh, etc). Bahan-bahan interview semua dah ada tapi macam biasa la part review lambat siap. So, tunggu ia kembali bangkit!

Sorry tulis status panjang-panjang, ditulis untuk diri sendiri untuk kongsikan bersama kalian. Bangkit! lahir dari rasa cinta untuk korang semua.

Pyan Nathias, 29 September 2017

Khamis, 28 September 2017

BANGKIT! #5.5 dalam pembikinan!!


Dalam pembikinan apenya, haha! Dah siap pun, huhu! BANGKIT! #5.5 – sebuah lagi keluaran khas, sempena Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017. Isu ini nak dilancar dan mula diedarkan pada event tersebut, bertarikh 7hb Oktober 2017 di Blackbox, Level 2 SACC Mall, Shah Alam. Isu ni sebenarnya takde dalam perancangan pun, tapi ntah apa mimpi aku “ter” buat la pulak, haha!


Setelah melalui fasa "try & error", aku putuskan menukar warna kulit dari perancangan asal hijau tua kepada hijau muda yang tampak lebih manja & ceria [sebenarnya aku terjumpa kertas kaler ni beratus keping duk ada dlm kotak bwh katil, haha]. BANGKIT! #5.5 serupa sepertimana isu #2.5 (edisi KLZF2016) yang hanya sekadar 28 mukasurat (harga dicadangkan juga sama, cuma RM3 senaskah). Nipis? Bangkit! Fanzine sebagaimana biasa senantiasa menjanjikan kepadatan!

Bangkit! Fanzine sebagaimana konsep & halatujunya 100% untuk band-band dan scene tempatan (Malaysia). Since aku dapat dua interbiu dangan band luarnegara dari rakan-rakan penyumbang, maka aku guna edisi #5.5 untuk siarkan interbiu-interbiu tu plus aku tambah 1 lagi temubual ringkas, jadi ada 3 band interview dalam ni – MY OWN VOICE (Itali), NOXA (Indonesia) dan FLAT SUCKS (Jepun). Lain-lain pengisian termasuklah artikel “tribute” Chris Cornell, sajak, komik, ilustrasi dan sebagainya.   

Ok, jumpa nanti di #selangorzf2017 dan dapatkan BANGKIT! #5.5 ni di sana.


Informasi mengenai Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out 2017 korang check sini:
facebook.com/SelangorZF
facebook.com/events/2004050166473133

Isnin, 18 September 2017

Interbiu | CUKONG PRESS : 17.09.2017


Ilmu Adalah Senjata. Itulah pendirian dan perjuangan CUKONG PRESS, sebuah rumah penerbitan berhaluan kiri yang dilihat begitu aktif dan produktif dalam menulis serta mengeluarkan bahan-bahan bacaan radikal, anarki dan segalanya yang berpaksikan perlawanan. Usaha kolektif ini seakan tidak mengenal penat dalam menyalurkan ilmu dan pendidikan, meskipun dalam keadaan mereka sendiri tenat. Semua ini bukan juga atas dasar minat semata-mata, tetapi lebih menjurus kepada kesungguhan dan kebertanggungjawaban terhadap matlamat mereka. Cukong tidak terhenti sekadar penerbitan buku dan zine malah terus berkembang dengan pelbagai produksi dan aktiviti-aktiviti lain. Diskusi ini bersama Ocha Vozvyshennyy. Beliau bukan sahaja salah seorang penulis utama, tetapi individu penting di belakang keujudan dan pergerakan Cukong Press. Untuk makluman, Cukong Press hari ini diterajui sepenuhnya oleh Butan, Din Tonggak, Redo Gemok, Kolo (Aisy) dan Ocha. – Temubual oleh Pyan Nathias

(1) Cerita sikit latarbelakang Cukong Press ni. Apa yang mendorong dan mencetuskan idea kepada wujudnya publisher ni? Apa dasar dan sasarannya?

Ni kan bang, soalan yang jawapan dia ramai belum tau, sebab jarang orang interview Cukong Press ni. Kalau ada orang interview pun budak universiti / kolej yang buat dorang punya kerja, aku yakin lecturer dorang reject interview tu, muahahahaha..

Ok, kita mula, Cukong Press secara rasmi wujud pada Januari 2015, secara seriusnya nama Cukong Press digunakan, aku malas nak cerita pasal nama lama (Bayangan Biasan), sebab kau interview pasal nama Cukong Press. Asalnya Cukong ditubuhkan secara bersama, aku (Ocha), Nami dan Aepool, kami bertiga yang asaskan kolektif ni. Cukong Press berdiri pun atas sebab aku dan Aepool bangunkan space art Rumah Bayang, lepas tu Nami masuk tumpang dan akhirnya jadi sebahagian dari kolektif Rumah Bayang / Cukong Press. Oleh sebab minat kami yang sama dalam bidang buku, kami bersetuju melahirkan sebuah rumah penerbitan yang serius dalam mempunyai fokus menerbitkan bahan bacaan radikal berunsur ilmiah dan ideologi, juga politikal.

Pada awalnya, kami menerbitkan bahan bacaan yang kami gelar pop-radikal, bahan seperti novel, cerpen, puisi yang berasaskan radikalisme dan politikal kiri. Kami betul-betul fokus dalam hal isi yang diterbitkan, kerana kami sendiri adalah para pengamal ideologi anarcho-kolektivisme, terutama aku dan Aepool yang mana kami telah berkawan cukup lama dari waktu bermain tear gas, sampai kami mula meninggalkan tear gas dan dekat dengan masyarakat.

Dasar kami cukup mudah, Lawan penindasan! apa segala bentuk penindasan, berterus terang, berani untuk ilmu, anarkisme adalah darah kami, siapa pun berani menuduh kami anarkis sesat, kami tetap menjawab, kami adalah ANARKIS! Pelanggan tidak selalu betul! kami lawan siapa pun yang berlagak dengan duit mereka, sebab kami terlalu ramai manusia baik berbanding mereka yang berlagak suci, jadi kami tidak akan tunduk pada sesiapa pun.

Sasaran kami juga cukup mudah. Mampos la penindas-penindas di masa akan datang setelah kami berjaya menyebar subur ilmu yang kami tanam pada anak muda hari ini, biar kami mampos di tali gantung, supaya anak cucu kami menyanjungi ilmu yang kami curahkan, dan mereka mempunyai semangat untuk mencurahkan minyak petrol ke atas kepala-kepala bapak korupsi dan membakar mereka.

(2) Semenjak ianya bermula hinggalah ke hari ni adakah kau gembira dan berpuashati dengan tujuan-tujuan dan pencapaian Cukong Press?

Sejujurnya aku selalu puas hati, dari segi kolektif hingga masyarakat. Kita mula dengan kolektif, kalau kau nak tau, Aepool dan Nami bukan lagi sebahagian kolektif Cukong Press, kolektif silih berganti, tapi apedehal, yang penting bukan menjaga kepuasan individu, tetapi kepentingan kolektif yang lebih diutamakan, sedar atau tak, hari ini Cukong Press ada 5 ahli kolektif yang betul-betul rakus dan mempunyai semangat yang tinggi dalam hal-hal penulisan, sehingga kami berjaya melebarkan sayap Cukong Press dengan tertubuhnya Pickpocket Press dan Monkey Zine, ya, semuanya berjalan dengan lebih baik hari ni.

Sejak tertubuhnya Cukong aku beberapa kali pernah cuba menghentikan semua ni, kau tau la, hidup dalam kolektif bukan benda mudah, kita bukan kolektif “part time” yang ahli dia pergi kerja, hujung minggu baru lepak space, tak!.. kami kolektif makan, tidur, sakit semua sama-sama, kami buat kerja ni full time, orang minta kurang kami bagi, orang minta itu ini gift kami hulur, last-last kami sendiri susah, tapi apedehal, kami yakin dengan apa yang kami buat, walaupun beberapa kali dihalau tuan rumah sebab tangguh sewa.

Hal pembaca pulak, aku rasa setakat ni semua ok, cuma ada beberapa ketika, waktu kami mula-mula bergerak, orang komplen pasal kualiti buku (kami buat buku handmade), sejak tu aku berusaha untuk lahirkan buku handmade terbaik dan ajar kawan-kawan lain supaya kualiti terjamin, sekarang ok dah kot... kahkahkah!

(3) Beberapa keluaran Cukong adalah bahan terjemahan / alih bahasa contohnya macam “Sindikalis Dalam Revolusi Rusia” atau “Anarki: Sebuah Panduan Grafik”. Apa antara kriteria utama pemilihan sumber-sumber asal yang hendak diterjemahkan tu?

Oh, buku terjemahan semua aku yang terjemah, kriteria dia adalah aku suka buku tu dan aku terjemah lah! muahahaha... tak la, ada buku yang aku rasa masyarakat dapat terima cara penceritaan dia, so aku terjemah lah, tambahan pulak, buku tu senang nak terjemah, kalau kau suruh aku terjemah Das Kapital, aku tutup terus Cukong ni.. kahkahkah... sebenarnya tak ada la kriteria mana pun, cuma pastikan dia tak fasis, rasis, pro monarki, pro nasionalis, dan sekutu dengannya la, kami anarkis paham? anarkis! kakakakaka... buku-buku yang berunsurkan agama pun tengok gak la, kalau ada yang lepas, aku lepaskan jugak, tak la diskriminasi pun, cuma kebanyakkan penulisan yang masukkan unsur agama ni aku elakkan sebab biasanya dia fasis.

(4) Bagaimana pula dengan buku / zine yang dihasilkan penulis-penulis di bawah Cukong Press sendiri, apa skop kandungan dan pengisiannya?

Cukong ni bosan, sebab pengisian dia sama, anarkisme, komunisme, anarkisme, komunisme, anarkisme, komunisme, ha tu jela... jadi, terjemah ke, penulis ke, rupa dia tu je, nak buat macam mana, dah kami anarko, jangan kau minta buku Mein Kampf pulak, mintak penerbit lain la, kami ada prinsip, jangan kau templak kami tak menganjurkan kepelbagaian ilmu plak? kami bukan rumah penerbitan yang lempar apa saja, kami ada prinsip tau? kakakaka... dah banyak buku yang berunsurkan politik kepartian, ultra agama, dan nasionalisme aku reject tanpa belas kasihan, geram jugak aku, dia tak kenal ke Cukong Press sebelum dia hantar manuskrip tu? penat tau aku nak review, alih-alih isi tahi (bagi aku la).

(5) Senaraikan 10 buku / zine terbitan Cukong Press paling laris?

Paling laris sejak 2015, satu-satunya buku yang menggegarkan kerusi pemimpin korup adalah KL – Lagenda Urban Yang Digelapkan. Buku ni ditulis oleh semua ahli Cukong terdahulu dengan daya kami sendiri, inilah buku terbaik pernah kami hasilkan sepanjang riwayat Cukong setakat ini.

Antara buku lain adalah:

2. Anarki: Sebuah Panduan Grafik
3. Pudu
4. Deklarasi Perang
5. Selimut Fasis
6. Perang Tani di Jerman
7. Bonnot Gang
8. Penghambaan Politik
9. Manusia Melangkah
10. Carlo Cafiero

(6) Sebutkan judul 1 atau 2 atau mungkin 3 buku / zine yang paling Cukong Press sarankan untuk dibaca dan terangkan sedikit kenapa perlu dibaca?

1. Biasanya bagi orang yang tak biasa dengan bacaan kami “spark plug” dia adalah KL – Lagenda Urban Yang Digelapkan. Aku yakin lepas tu kau kene mandrem dengan Cukong Press dan ketagih macam kau “rindu” ganja, kakakakaa... sebab buku KL ni artikel dan kisah dia menarik, ramai orang tak tahu semua kisah yang kami jumpa ni. Tak kire kau minat genre apa sekalipun, bila kau baca buku KL, kau akan tersangkut, aku jamin 400%!

2. Biar aku selfish sikit la eh? bagi can la? aku sarankan buku aku sendiri, hahahaha... Deklarasi Perang. Deklarasi Perang ni adalah buku essei di mana aku huraikan puisi terbaik bagi aku dengan tajuk yang sama.

3. Oleh sebab kau bagi sampai 3 choice, aku guna semanfaat mungkin, wuhuuuu... aku nak orang baca Anarki: Sebuah Panduan Grafik, fuhh... buku ni sedap weh kalau kau nak kenal anarkisme, anarkisme bukan geng baju hitam pecahkan mcD paham? anarkisme dibina oleh ni orang-orang bijak! kahkahkah!

(7) Cerita sikit pasal division Cukong yang lain macam Cukong Media, Cukong Merch, CP Sindiket dan lain-lain lagi kalau ada yang mungkin aku tak tau.

Banyak weh, hahahaha... aku gila merchandise, aku kalau boleh handphone pun nak buat sendiri, tapi apakan daya, nak beli beras tadi pun nak kene singgah kedai mesin try luck, hahahaha... Cukong Merch dengan Cukong Media adalah cabang yang terawal kami buat, tapi tula, kolektif dulu jenis ahli kuat tido dan layan diri sendiri lebih utama, maka terbengkalai, aku pun semak, aku buat bodoh, aku fokus pada buku.

Sampai bila kami semakin wise dalam hal-hal penerbitan, aku tubuhkan CP Sindiket (Pickpocket Press, nama baru) yang memberi fokus bahan bacaan fiksyen radikal (pop-radikal seperti Cukong awalnya), kerana Cukong telah mengambil peranan menerbitkan bacaan yang non-fiksyen dan lebih keras, Pickpocket Press aku bagi kepercayaan pada Redo Gemok untuk uruskan, dan satu lagi cabang adalah Monkey Zine, yang diuruskan oleh Kolo (15 tahun, berhenti sekolah, fuck sekolah katanya), Monkey zine kerja dia ciplak zine, jaga-jaga la zine korang, kahkahkah... takde lah... kami tau batas menjaga hubungan kawan-kawan dan persekitaran.

Cukong Merch, buat merchandise la, cuma kami slow sikit, sebab, dalam Kolektif Rumah Bayang ni ada Organisasi Terlarang, kami banyak bagi laluan pada mereka untuk keluarkan merchandise, jadi Cukong Merch fokus pada merchandise Cukong Press jela, supaya orang tak keliru posting merchandise dari pihak mana nanti, kang semua nama Cukong je tapau, baik tutup je semua page lain.. kahkahkah... sebenarnya kami sama je, bawah Rumah Bayang, cuma pengurusan diagihkan supaya semua ada peranan tanpa ketua.

(8) MONKey Zine tu apekebenda pulak?

Aduh, dah cakap dah tadi, nampak sangat tak fokus, kesian aku, penat nak jawab berulang, kakakakaka... Monkey Zine asalnya nak dijadikan distro untuk semua kawan-kawan buat zine kumpulkan, last-last si Kolo ni punya malas nak berurusan dengan orang, dia plagiat je semua zine, aku lantak kan aje, esok lusa apa nak jadi, jadi lah, sebab bagi aku, dia perlu lalui proses pembelajaran dalam menerima tohmahan dan pujian, aku biarkan je dia uruskan semua hal ikut kehendak dia, boleh jadi dia ada alasan dia sendiri yang aku sendiri kene belajar pada dia satu hari nanti, tak ada batasan umur pada ilmu beb!

(9) Rumah Bayang tu apa sebenarnya dan apa yang ada di situ?

Rumah Bayang tu rumah hantu... kahkahkah kahkahkah... aduh, aku dah ketawa sorang-sorang ni... naya la...

(10) Kau rasa orang kita ni malas membaca atau memang tak suka ilmu? 

Susah nak cakap bang, aku tak berani kata orang malas membaca, sebab dorang bukak fb setiap hari, dulu tak ada fb orang bukak surat khabar setiap hari, jadi di mana malasnya?

ok, aku paham sebenarnya maksud soalan kau, bagi aku ini semua adalah kerana kerja jahat autoriti yang suka menakut-nakutkan masyarakat sebab diorang melorong masyarakat ke arah satu ilmu semata-mata, autoriti menyusup sorok ilmu-ilmu yang boleh menggugat kedudukan mereka dari diberi kepada rakyat, kerana itulah, rakyat tidak biasa dengan sesetengah ilmu yang bagi mereka bukan kebiasaan. Oleh kerana ketakutan itu juga mereka tidak membaca dan membeli bahan bacaan selain dari bahan bacaan kebiasaan yang beredar di kedai buku.

Dan antara yang bangangnya adalah mat-mat konon otai yang cakap “la... ada lagi ke orang tulis zine ni? aku ingat zine ni zaman aku sekolah dulu je”, depa tak terdedah dengan kepelbagaian jenis bahan bacaan, ada ke patut orang fikir zine ni untuk budak sekolah?? dia ingat kita tulis “knowledge” maksud Adidas dengan Levi’s ke dalam novel tu? barua punya “otai”.

(11) Ok bro, last... kau cakap / tulis aje la apa yang kau nak bagitahu kat penutup interview ni biar orang tahu & faham apa adanya dengan Cukong Press.

Aku ni orangnya suka cakap direct bro, sebab tu jugak aku rasa ramai yang tak senang dengan aku, dan aku suka pergi mampos kan orang! kakakaka... macam ni, biar faham, Cukong Press mengamalkan konsep dan sistem anarkisme dalam kolektif, kami berbahagi samarata, kami publisher kecik, jualan paling laris kau ingat sampai 1000 copy ke? burit la nak sampai 500 pun tak, dan keuntungan setiap jualan kami tanggung rumah dan makan kami, itu pun nak makan sedap kene tunggu kawan datang ziarah dan belanja, hahahaha... kami buat buku DIY, DIY ni kau buat utk pakai sendiri murah la bro, tapi kalau kau nak jual balik, kos dia tinggi lagi, sebab tu karpet handmade dengan karpet mesin, lagi mahal karpet handmade, so kau orang tak patut persoal ke aku kenapa buku Cukong mahal, nak baca beli, takde duit curi, menyampah maki, apa kami peduli???

Isu royalti, bukan tak nak bagi, tapi tak mampu, kang kami janji, tak tepati, lagi kami mati! kakakakaka.. Jadi seeloknya, kami akan buat persetujuan awal dengan penulis, kami paham kau minta royalti, tapi kau hantar la ke publisher lain, bukan kami, sebab kami kaki maki! yeah!

Apa pun terus la support kami supaya kami menjadi penerbit paling banyak menyumbang semula kepada masyarakat, mana yang follow kami lama tu tau la apa kami dah buat selama ni, duit hasil pembelian korang kami tak bazir sikit pun untuk kepentingan kami, semuanya demi yang satu. Masyarakat!

Terima kasih abang Pyan sebab sudi interview Cukong Press, perkataan “aku” tu anggap jela mewakili “kami”, aku malas nak tukar. Terima kasih, terima kasih, terima kasih.



Nota: Interbiu ini dibuat untuk disumbangkan kepada Manusiasi Zine #5, suntingan Khasreena Afiqa @ Kesi. Kenali Manusiasi Zine di:

Sabtu, 16 September 2017

BANGKIT! FANZINE – Isu #5


Setelah menempuhi beberapa fasa kesulitan, pembikinan BANGKIT! FANZINE #5 akhirnya dapat diselesaikan dan terbit secara rasmi pada 15 September 2017. Isu kali ini menampilkan temubual bersama BAD IDEA sebagai coverstory / highlight. Juga disediakan interbiu-interbiu bersama DERITAxTERUS, EMERGED, BROKENTAPES INCIDENT, HEGEMONI, PELIGROSOS, TOTAL SICK, STORY ENDS, DELUSI dan EXPURGATED. Dalam isu kelima ini juga ada artikel (di bawah kolum Hardcore Punk, Solidariti dan Kebebasan) ditulis oleh Farisi Che (vokalis band Hegemoni) serta ulasan showcase Showdown In Borneoland oleh Adi Herman. Seperti biasa turut dipaparkan ruangan informasi / buletin scene hardcore punk tempatan, rebiu-rebiu CD, Tape dan Zine serta satu komik sumbangan Roots Radicals. Semua ini ditulis dalam Bahasa Melayu, 52 mukasurat bersaiz A5.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570







Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Rebiu | MOSH – Isu #18


MOSH – Isu #18
104ms / A5 / Bahasa Melayu
Mosh Zine – satu nama yang sudah begitu kukuh dalam scene penulisan dan penerbitan DIY tempatan. Ini zine yang tidak boleh tidak, wajib berada di tangan dan dibaca oleh setiap penyokong muzik punk/hardcore malah pengumpul koleksi zine/fanzine di negara ini. Mosh tidak perlu kepada pengenalan lanjut mengenai keberadaannya dalam scene. Ianya telah bertahan begitu lama, dihasilkan demi keperluan dan kepuasan kalian semua tanpa mengenal erti penat. Bagi yang pernah memiliki edisi dok dang dang Mosh #17.5 (diterbitkan sempena KL Zine Fest pada 8 Oktober 2016 lalu), anda mungkin telahpun mendapat serba sedikit gambaran awal kandungan dan pengisian Mosh #18. Rilis secara rasmi pada 24 Februari 2017, Mosh #18 adalah edisi yang lengkap. Ya, serba lengkap dan sempurna! Isu ini mengetengahkan temubual bersama Johny Comes Lately, Cinta Si Penggali Kubur, Kah Kah Celaka, Rejected Kids, The Pilgrims, The Needles dan juga OOMK zine (satu-satunya bahan bertulis dalam Bahasa Inggeris). Bangga saya kali ini ini kerana turut menyumbangkan 3 buah soalan dalam interbiu bersama Johny Comes Lately. Banyak juga artikel-artikel menarik yang dimuatkan antaranya Lumpuh Di Temerloh (oleh Riduan Mohamad), DDT di Sabah, Bah! (travelog mini tour Dum Dum Tak tulisan editor zine ini, Nizang), Rumah Api Takkan Mati (oleh Adi Salvatrucha), Meat is Murder (cerpen ditulis dalam Bahasa Melayu oleh Matyie Abahaydar, penulis novel Paramalang), Hingga Hujung Hayat (catatan-catatan transplant – oleh Nizang yang melalui sendiri proses transplant tersebut), Madu & Racun (himpunan nota-nota pendek), Aku, Pen Marker dan The Dillinger Escape Plan (personal writing oleh Amirull Jaafar) dan ulasan eksklusif buku Aku Anak Punk. Tidak ketinggalan Mosh #18 turut menyelitkan beberapa karya senilukis dalam bentuk komik dan illustrasi, antaranya sumbangan Farriese (komik 2-mukasurat berjudul Persepsi), artwork-artwork oleh Raimi Barbarossa, Aku Napie, Irwan JCL dan Adi Shutterscream. Ruangan “butthurt” pula melibatkan sejumlah 5 mukasurat ulasan-ulasan editor ke atas beberapa produk zine dan muzik. Semua ini; merangkumi keseluruhan texts, arts & rock n roll sepertimana slogan junjungan Mosh Zine adalah satu himpunan bahan-bahan yang penuh pengertian, begitu banyak menyalurkan inspirasi dan perkongsian berguna kepada para pembacanya. Inilah kelebihan dan kekuatan Mosh, bukan sekadar bacaan kosong tanpa manfaat. Cepat dapatkan Mosh #18, ianya berbaloi dengan nilai RM yang kalian bayar untuk senaskah zine berkualiti seperti ini. Diterbitkan oleh Karya Raya Resources dan edaran menerusi Kidal. Hubungi nizangmosh@gmail.com. RM15 tak termasuk pos.

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #1


TRYPOPHOBIA – Isu #1
44ms / A6 / Bahasa Inggeris
Tempohari saya mengulas Trypophobia #2 di mana saya terpegun dengan pengisiannya. Ia mendorong saya untuk cuba mendapatkan isu pertama zine ini dan syukur sya masih berpeluang memperolehinya. Saiznya “comel” – A6, separuh A5. Nampak kecil namun pengisianya amat-amat padat, ketat dan sarat dengan manfaat. Trypophobia #1 yang dirilis pada Disember 2015 membawakan artikel-artikel mustahak seperti What is Punk, Judy Is A Fuck, Anarchism in Punk, GG Allin: The Man who Brings Danger to Rocks, Smoking Benefits, Banned in KL: I Don’t Care If You Burn My Boyfriend Pictures Mom, I’ll Still Love Him dan I Against I (Between Faith of Atheism and Religion). Turut dimuatkan interbiu panjang dan mendalam bersama Ben’s Bitches dan Benzoate serta prebiu informatif melibatkan band Pig-Krüst, Iqbal M dan Radiowave. Disertai juga satu ruangan rebiu muzik mengandungi ulasan-ulasan cd & tape yang ditulis dengan begitu baik sekali. Saya secara peribadi kagum dengan integriti dan kebolehan editor-editor Trypophobia ini. Mereka meletakkan ilmu yang subur dan segar di setiap helaian cetakannya. Penuh dengan pendedahan dan bahan-bahan “cuci otak”. Ini zine yang berada teguh pada pendiriannya – Do Not Fear The Irregularities (Jangan Kau Takut Dengan Kejanggalan). Ini adalah dari punk untuk punk! Hubungi mr.fadhlan@gmail.com (Muhd Fadhlan) ataupun oliverdabit666@gmail.com (Ribut Cicak) sebagaimana tercatat pada mukasurat terakhir, manalah tahu anda masih ada nasib untuk dapatkan senaskah Trypophobia #1.

Rebiu | SPEEDWITCHES – Demo 2015


SPEEDWITCHES – Demo 2015
Tandang Records
Tabik hormat buat Tandang Records yang sering mengeluarkan produk-produk band tempatan dari kalangan yang mahu lari dari muzik kebiasaan. Speedwitches adalah salah satu contoh band yang wujud bukan untuk memenuhi pemintaan muzik kesukaan ramai. Saya sendiri perlu jujur memberitahu bahawa saya mengambil masa yang begitu lama untuk mengulas Demo 2015 ini kerana kurang arif dengan muzik bawaan Speedwitches, malah gagal mengenalpasti pengaruh-pengaruh yang ada di dalamnya. Demo ini membekalkan 2 buah lagu yang begitu panjang durasinya, yang pertama Intro/Void dan keduanya Red Eyes/Outro. Keseluruhannya sekitar 25 hingga 30 minit jika tidak silap perkiraan saya. Muzik Speedwitches dalam Demo 2015 ini menjurus kepada bunyian Psychedelic Rock, Stoner Rock malah juga prototaip muzik Metal di peringkat awal revolusi pembentukannya. Diselimuti sound 70an yang begitu pekat dan tebal serta jalur vokal yang penuh jiwa. Irama-irama mainan Speedwitches kedengaran melayang-layang, dan saya sebagai pendengar merasa bagaikan terbang di awangan. Sangat bebas. Untuk makluman, Speedwitches ditunjangi oleh TJ (dram), Wary (vokal/gitar) dan Emi (bass). Rakaman berlangsung di Laguna Studio dan mendapat sentuhan Tom Bollocks. Ok, kalau anda minat Black Sabbath, saya rasa anda boleh sukakan band ini. Kesimpulan saya: Speedwitches – impresif.

Rebiu | THE GARRISON – Subversion


THE GARRISON – Subversion
Tandang Records
Ini bukan produk tipikal yang kalian biasa dengari dari scene punk tempatan. The Garrison sebuah band yang boleh dianggap hadir untuk menawarkan citarasa yang berbeza, malah mereka sendiri menggelarkan muzik mereka sebagai Subversion Rock. Rilisan tape “Subversion” (2015) ini adalah re-issue dari versi asal dalam format CD keluaran Knot Records pada tahun 2011. The Garrison yang dianggotai oleh Jie “Abang” (bass), El Pheng (vokal/gitar), Kecick (gitar utama) dan Sidh Clyde Jr (dram) mempertaruhkan sebanyak 14 buah lagu menerusi “Subversion”, dirakam di Pertama Studio pada Ogos 2010 di bawah kendalian jurubunyi Tom Bollocks. Saya memandang The Garrison pada satu kelas yang berlainan. Punk yang energetik, rockabilly sesetengahnya, diolah dengan bijak. Mereka mungkin mendapat sedikit inspirasi dari The Clash, lagenda punk rock dari Kota London. Ini diperkuatkan lagi dengan usaha The Garrison menerapkan unsur-unsur Reggae pada beberapa lagu. Sungguh istimewa dan meletakkan The Garrison pada kedudukan yang hebat.

Rebiu | V/A – SAVE OUR LAST HOPE


V/A – SAVE OUR LAST HOPE
Raung Records
Save Our Last Hope adalah nama yang diberi untuk sebuah rilisan kompilasi terbitan asal dua label iaitu Blindsight Records (Perlis) dan Bingyt Distro (Kedah) sekitar tahun 2000/2001. Raung Records (Perak) kemudiannya pada tahun 2014 mengambil langkah mengeluarkan semula dalam format tape berpaket yang menarik dan informatif. Save Our Last Hope membawakan band-band dari Jerman seperti Force Of Change, Narzib, Engrave, Reno Kid dan Costa’s Cake House. Turut disertai Nothing To Prove (Perancis), PN (Belgium), New Winds (Portugal), Pile Driver (Filipina) dan Blood Of Sara (Malaysia). Ini adalah sebuah Hardcore compilation, dari 10 buah band dan himpunan 17 buah lagu – merangkumi pelbagai subgenre muzik hardcore; dari nuansa old / new school hingga ke screamo. Keras, panas dan penuh dengan kelantangan!!! Sheet bersaiz A4 yang disertakan padat dengan maklumat, lirik setiap lagu dan imej sampul kaset terbitan asal. Berikut adalah catatan Khairul / Blindsight Records yang menarik untuk dikongsikan: Hardcore is more than music… together we makes this world a better place to live, don’t let anybody put you down, this compilation was released with full of anger, hate, disappointed, emptiness, loneliness, sadness, and hopefully this compilation really meant for you, yes for you, because hardcore only for hardcore
facebook.com/raung.rekod

Rabu, 13 September 2017

Rebiu | CON-DAMN THE CORRUPTOR / CHUGS ON DECK – Raya Split Special


CON-DAMN THE CORRUPTOR / CHUGS ON DECK – Raya Split Special
Diaki Nu Records & Distro
Saya melihat rilisan ini sebagai satu kejutan! Apa tidaknya, band-band punk (yang kebiasaannya terkenal dengan jiwa berontak mereka) bikin lagu-lagu raya. Tidak, ianya tidak salah. Mereka juga manusia biasa sepertimana anda semua di luar sana. Malahan, “Raya Split Special” cd-r ini satu terjemahan idea dan kreativiti yang sangat bagus. Hasilnya begitu menarik dan sangat sempoi. Cuma saya sedikit terkilan ianya rilis sedikit lewat di mana saya perolehi rilisan ini kira-kira 2 minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri 1438H lalu. Alangkah baiknya split ini keluar seminggu dua lebih awal dari musim perayaan agar pemanduan pulang ke desa dan suasana hari raya diiringi lagu-lagu raya segar dari Con-damn The Corruptor (CTC) dan Chugs On Deck (COD). Pasti situasinya lebih meriah. CTC tidak perlu diperkenalkan. Ramai yang mengetahui dan telah hadam dengan genera Punk Rock bawaan mereka menerusi dua album sebelum ini. Dua lagu yang dihidangkan terus berada di landasan halatuju muzik CTC sebagaimana yang kalian fahami meskipun ianya bertemakan hari raya. Track pertama Raya Raya Raya sebuah lagu yang selamba, ceria dan outro-nya riff lagu raya yang sinonim dengan lagu-lagu raya kegemaran anda. Lagu bertempo laju Lepas Raya Jadi Setan adalah saduran lagu asal band Singapura, The Misfit Ramones [dipetik dari split Chugga Ritual / The Misfit Ramones “Rotting Ketupat Chaos”]. Chugs On Deck pula juga menghidangkan dua buah lagu; Notasi Aidilfitri dan Kotak Cahaya. Ini pengalaman pertama saya mendengar COD. Saya tahu mengenai EP “Superhero In Love” mereka tapi belum berpeluang memilikinya. Band ini menggelar muzik mereka sebagai Easycore di mana menurut pengamatan saya mudahnya ditafsirkan sebagai pop punk / hardcore yang penuh dengan unsur melodik dan kerancakkan. Mereka tampak meraikan makna hari raya itu dalam lagu-lagu mereka. COD bagi saya sebuah band yang berkaliber merujuk kepada kualiti komposisi lagu dan produksi bunyi bahkan lagu-lagu mereka seperti yang terdengar melalui split ini mempunyai nilai-nilai komersial. Ben (vokalis/gitaris Con-damn The Corruptor) ada memberitahu saya satu kisah di sebalik pembikinan Raya Split Special ini yang mana saya kira elok untuk dikongsikan bersama di sini: “Vokalis COD tu sebenarnya ex-bassist CTC masa awal formation dulu. Lepas CTC bubar tu kami semua bawa haluan masing-masing. Tahun 2013 baru jumpa dia semula dan masa tu CTC sudah reform semula dan dia pula form COD. Kira split ni split jejak kasih la, hahaha!”. Apa lagi yang boleh saya perkatakan tentang rilisan istimewa ini? Kedua-duanya telah memberikan sepenuh tenaga untuk membina keseluruhan 11:52 minit durasi irama-irama yang begitu bersemangat dan menghiburkan. Ayuh rayakannya!!!
facebook.com/condamnthecorruptor
facebook.com/chugsondeck
facebook.com/diaki-nu-records-distro-760771494010537

Rebiu | FIGHT FIELD – FxFxF


FIGHT FIELD – FxFxF
Familitas Inc
Pernahkan anda mengambil tahu tentang Fight Field? CD mereka yang berjudul “FxFxF” sekitar akhir September 2016 lalu adalah satu rilisan yang tidak sepatutnya anda abaikan. Jika anda terlepas pandang, sila cari semula dan segera dapatkan. Ianya benar-benar berkualiti. Muzik yang dibina dengan begitu baik sekali. Fight Field adalah unit Hardcore / Punk / Crossover Metal yang berpengkalan di Kuala Lumpur dan dianggotai Daus (vokal), Bob (gitar), Cdth (bass) serta Monyonk (dram). Saya sebenarnya baru mengenali mereka melalui kompilasi Penentangan Berterusan. Berdasarkan kandungan 10 buah lagu (durasi keseluruhan hampir 21 minit), rasanya “FxFxF” adalah rilisan album pertama Fight Field, susulan kepada “self-titled” demo 2009 dan “Let’s Start Again” EP 2014. Dengan kualiti bunyi yang cukup baik, saya sangat menikmati lagu-lagu Fight Field yang begitu thrashing; garang, kencang, keras dan pantas! Band ini pasti mengingatkan anda kepada lagenda hardcore New York iaitu Warzone. Saya sukakan CD “FxFxF” ini, ianya menakjubkan pada deria pendengaran saya. Seorang rakan ada memberitahu bahawa Fight Field ini budak-budak skinhead yang bermain muzik hardcore. Menarik tu! Dalam lagu Sistem Ini mereka beritahu: Sistem ini sudah lama mati. Kau pun jua harus mati. Setelah beribu tahun lamanya. Sistem ini tiada di dunia. Sistem ini milik babi!

Rebiu | BLACK DEMONS – Black Rock & Roll Madness


BLACK DEMONS – Black Rock & Roll Madness
Blood Of War Records
Tatkala meneroka dan menyusuri lagu-lagu dan irama yang terdapat dalam EP “Black Rock & Roll Madness” ini, Black Demons itu adalah penyatuan mesej-mesej satanik, kegilaan bermotosikal berkuasa tinggi dan sisi gelap muzik Metal Punk. Sungguh-sungguh jahat! Black Demons yang dianggotai Rotten Demon (dram), Evil Dead (vokal/gitar) dan Satan Slut (bass) adalah band dari Batu Pahat, Johor yang memainkan muzik metalpunk di bawah pengaruh kuat Venom, Motorhead, Midnight dan sepertinya. “Black Rock & Roll Madness” menyenaraikan sejumlah 6 buah lagu; Rock n Roll Madness, Satanic Rites, Demonic Sacrifice, Bloody Blasphemous Mantra, Hard Ride with Satan, dan Black Metal (Venom cover). Seingat saya, kaset  EP ini rilis secara rasmi pada 25 Oktober 2014 bersempena kemunculan Black Demons di acara Food Not Bombs (A Benefit Show For Food Not Bombs KL) berlangsung pada hari tersebut di Rumah Api, Ampang. Kualiti bunyi berada pada tahap yang baik dan kedengaran old-school. Semua lagu dirakam, mixed dan mastered oleh Tom Bollocks di studio Kerbau Works Bangsar. Jika anda mahukan muzik Rock & Roll yang hitam pekat dan menyesatkan (haha!), Black Demons “Black Rock & Roll Madness” adalah pilihan yang tepat.

Rebiu | NIGHTWOLF – Bite Em’ Dead


NIGHTWOLF – Bite Em’ Dead
Blood Of War Records
Nightwolf telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 2011 (difahamkan ada di kalangan anggotanya dari kumpulan Lobotomy) dan merilis “Bite Em Dead” EP sekitar Ogos 2012 dalam format kaset profesional keluaran oleh Blood Of War Records [Kat#: BOW 009]. Produk ini memuatkan lima buah lagu berpaksikan Black Heavy / Speed Metal Rock & Roll termasuklah sebuah saduran di mana senarai lagu (sama pada) keratan A dan B adalah: 1. Bite Them Dead... / 2. Heavy Metal Slut / 3. Women from Blackhell / 4. Satanik Metal Fucking Hell (Abigail cover) / 5. Be Ready to Roll. Dibarisi oleh Satanwolf (vokal/bass), Ironwolf (gitar) dan Wolfterror (dram), Nightwolf turut secara berleluasa menyuntik elemen Punk / Metalpunk dalam aliran lagu-lagu dan muzik mereka. Selain Abigail (band dari Jepun) yang jelas mempengaruhi sentuhan Nightwolf, bau-bauan dari Angel Witch, Venom, Magnesium, Jaguar, Motorhead dan juga Discharge dapat dihidu di sini sana dalam lagu-lagu ciptaan band asal Kajang, Selangor ini. Meskipun dirakam secara live di studio Laguna Music, Kuala Lumpur ianya masih menampilkan produksi bunyi yang membanggakan; berat, padat dan merangsang (keinginan)! Apa nak ditunggu lagi? Puaskan tuntutan nafsu serakah anda dengan kebuasan Nightwolf “Bite Em’ Dead”. Liar dan mengghairahkan sepanjang pita audio ini dimainkan!
nightwolf666metalfuck.bandcamp.com
bloodofwarrecords.blogspot.com

Rebiu | SUARA KAMI – Isu #1


SUARA KAMI – Isu #1
44ms / A5 / Dwi Bahasa
Anda kenal Farid bin Ahmad Saleh atau nama facebook-nya Xrantarox Farid? Ya, beliau adalah penyunting / penerbit Gelanggang Filem Fanzine yang telah mencapai pengeluaran isu ke-12. Kini Farid hadir dengar karya baru menerusi Suara Kami Zine. Berbeza Gelanggang Filem, Suara Kami sebuah zine yang berpaksikan muzik dan indie scene cuma serupa dalam aspek design dan layout. Suara Kami #1 dikeluarkan pada November 2016, mengandungi interbiu bersama Yellow Fang (Thailand), Impatient Sisters (Malaysia), Fungjai (music website Thailand), Meor Yusof Aziddin, Nadia Khan (penulis), Carl Hamm, Fatrim (penulis) serta 9Belas Zine. Turut dimuatkan beberapa penulisan artikel termasuklah mengenai band Deredia (Indonesia) dan seksyen Music Review. Apa yang menarik bagi diri saya sendiri tentang Suara Kami Zine ini adalah keberanian editornya mengetengahkan band-band dan individu yang jarang-jarang didengar. Ianya membuatkan saya tidak terikat pada satu scene sahaja. Zine seperti ini akan mengajak kita membuka mata dan mula mahu menerokai serta menghargai scene-scene lain yang bergerak atas dasar independen (bebas berkarya). Interbiu-interbiu kendalian Farid meskipun ada antaranya agak simple tapi masih menarik dan sudah cukup memberikan pengetahuan atau informasi tentang band / individu yang ditemubual. Manakala penulisan ulasan muzik dalam isu ini memang terbaik melibatkan rilisan-rilisan dari Yellow Fang, Deredia, Efek Rumah Kaca (Indonesia), Payung Teduh (Indonesia), Mocca (Indonesia) dan Tattoo Colour (Thailand). Harapan saya pada isu-isu akan dapat Suara Kami dapat menampilkan lebih banyak band-band indie tempatan contohnya The Venopian Solitude dan Fazleena & The Lasykar.
facebook.com/suarakamizine

Jumaat, 8 September 2017

Rebiu | THE HIROSHIMA LOVERS – self-titled


THE HIROSHIMA LOVERS – self-titled
Sad Cat Records / Dogma Artistic Guerrilla
Andaikata dipersoal tentang persepsi awal saya setelah pertama kali memainkan Debut CDEP dari The Hiroshima Lovers, saya akan tanpa ragu terus nyatakan bahawa ini band yang berada pada kualiti internasional. Kenapa? Kerana saya dapati profesionalisme The Hiroshima Lovers dalam mencipta muzik dan menentukan kualiti sound production mereka  telah mencapai piawaian antarabangsa. Ayat paling mudah, bila saya mendengar CD ini, saya seperti mendengar CD dari band-band negara barat yang telah ternama. Band Lembah Kelang terdiri daripada Riz (gitar/vokal), Mukhriz (bass/vokal) dan Hanafi (dram/vokal) ini merilis EP pertama mereka secara rasmi pada 13 Mei 2016. Berdurasi keseluruhan 12:47 minit, lima buah lagu yang disenaraikan adalah Every Man for Himself, Desperations Not Flattering, LSD, Sully Wants Comfort dan Rusty. The Hiroshima Lovers dilihat begitu mahir dalam menulis lagu, mengolah dan menyusun melodi serta struktur-struktur riff mereka sehinggakan lagu-lagu yang mereka cipta kedengaran amat lazat, menangkap dan sempurna di gegendang telinga. Ia benar-benar muzik melodic / pop punk yang menghiburkan. Ini punk untuk para peminat Bad Religion, Lagwagon dan No Use For A Name. Amat disarankan untuk dimiliki. Salinan saya: 87/500.
facebook.com/thehiroshimalovers
thehiroshimalovers.bandcamp.com
dogmaartisticguerrilla.blogspot.my

Rebiu | WARDOGS – Nuclear Disorder


WARDOGS – Nuclear Disorder
Broken Noise Records
CD ni dah lama rilis, sekitar tahun 2009. Cuma aku yang tertinggal dan baru perolehinya setahun dua lepas. Kira bernasib baik juga lah, haha!. Wardogs ni band dari Kota Tinggi, Johor ditubuhkan pada tahun 2005 dan line-up terdiri daripada Farhan (gitar), Faiz (bass), Fareezi (dram) serta Izraudin (vokal). “Nuclear Disorder” menghidangkan sebanyak 8 buah lagu. Tracklist: 1. Dis Distort Reality  / 2. A.N.A.D / 3. Bones Extractor / 4. A.W.O.P.V (Bloody Campaign) / 5. Schizoid Minded Workers / 6. Off To Die!!! / 7. Control Lovers / 8. Poisoning Party For The Peoples. Durasi keseluruhan 16:04 minit. Lagu-lagu dirakam pada 31 Disember 2008 di Hardsound Studio di bawah kendalian Helmi Hakamura. Muziknya, yeahh.. bising, kotor, keras, ekstrim dan paling melampau, boleh bikin telinga berdarah!. Jeritan-jeritan vokal setajam pisau yang menikam. Kejam!. Mereka ni main Raw Hardcore yang banyak pengaruh Jap-Noise Punk. Gaya ala-ala Confuse, Disclose, GISM, Disorder dan yang sepertinya. CD diselitkan dalam 7" syle hard jacket dan turut disertakan poster besar bersaiz A3 dicetak dibelakangnya lirik-lirik lagu dan info-info lain. Menarik design-nya, memang nampak fuckin’ raw lah!. Cuba contact Broken Noise Records kot-kot masih ada lagi CD ni dalam stok mereka.
facebook.com/brokennoiserec

Rebiu | ALL NIGHT TOTAL INTOXICATION – self-titled


ALL NIGHT TOTAL INTOXICATION – self-titled
Terr-Records
Almost unheard, low profile, deep in the underground. All Night Total Intoxication atau ringkasnya ANTI menurut pemerhatian aku satu nama yang agak “terselindung”, jarang-jarang kedengaran di sebalik kemeriahan scene hardcore punk masakini. Seolah-olah mereka bergerak jauh di bawah tanah, haha! Berdasarkan pencarian di facebook mereka, ANTI yang berpengkalan di ibukota Kuala Lumpur ditubuhkan sekitar tahun 2011/2012 dianggotai oleh Rico (vokal), Hanif (gitar), Mukhriz (gitar), Fabien (bass) dan Hanafi (dram). Mereka mengeluarkan kaset self-titled EP sekitar awal Disember 2016 terbitan label baru pada ketika itu, Terr-Records. Cassette-EP ini memuatkan lima buah lagu; 1. Young Terrorist, 2. Your Epic Soul, 3. Lifeless Gods, 4. Warlord, dan 5. What Doesn't Kill You, Makes You Stranger. Hasil pendengaran aku, ini band yang muziknya buat aku terperangkap di antara keasyikan Black Metal dan kegarangan D-beat/Crust Hardcore. Mereka nampak berjaya mengadunkan elemen d-beat, metal dan hardcore dengan begitu baik. Aku pernah tanya pada ANTI tentang halatuju muzik mereka di mana mereka jawab: “We defined ourselves as crust punk and bands that influenced us are mainly Fukpig and Anaal Nathrakh. It’s something like crust hc punk mixed with blackmetal”. Memang menarik lah!. Kaset ni aku pertimbangkan sebagai satu produk berkualiti yang mungkin ramai tak tau mengenainya; baik dari segi komposisi lagu mahupun kualiti sound. Apatah lagi rakaman dibantu Ardy dan Tom laguna studio. Memang padu!!! Ditambah pula dengan konsep packaging kreatif dan lain daripada yang lain oleh pihak label. Barangsiapa yang berminat dengan band-band seperti Mayhem, Anaal Nathrakh, Satyricon, Fukpig, Tragedy dan PisschrÏst, engkorang boleh cuba dapatkan EP ni dan kenali ANTI.
facebook.com/All.Night.Total.Intoxication
facebook.com/TerrRecords

Rebiu | EMERGED – Demo 2017


EMERGED – Demo 2017
Broken Noise Records
Unit hardcore punk asal selatan tanahair berjenama Emerged ini ditubuhkan oleh bekas anggota kumpulan Hellexist. Emerged dianggotai oleh Arif (dram), Man (bass), Ejal (gitar) dan Cileng (gitar/vokal). Kemunculan band ini dalam scene perlu diberi pemerhatian khusus kerana mereka menerusi rilisan Demo 2017 dilihat begitu menakjubkan. Kredibiliti Emerged dalam merealisasi satu bentuk muzik yang berkualiti tinggi sangat terpuji. Ini salah satu band yang lahir untuk mengangkat martabat gerakan muzik punk / hardcore tempatan ke satu tahap lebih ke atas. Demo 2017 keseluruhannya berdurasi lebih 21 minit, merangkumi 4 buah lagu yang bukan calang-calang buatannya, penuh dengan kuasa dan tenaga. Intro selama lebihkurang 4:50 minit digubah begitu cantik alirannya. Bagaikan satu penjelmaan dari sudut kelam, bernaungkan seram. Saya kira ini sebuah track pembukaan yang seakan membangkitkan jiwa. Tiga lagu seterusnya; Days Now Done, Emerged dan Sink,Drown adalah manifestasi nyata band ini dalam menghamburkan irama-irama hardcore gelap, crusty dan lengkap dengan melodik-melodik serta elemen atmosferik yang menggetarkan. Saya khayal dan hanyut dalam alunan irama susunan Emerged. Mutu rakaman dan produksi bunyi yang menurut pandangan saya bertaraf baik telah menyemarakkan lagi roh muzik Emerged. Untuk makluman, material demo ini dirakam di Studio 46 Pasir Gudang (pada Februari 2015 - Disember 2016) di bawah kejuruteraan Ajen. Bagi yang masih samar-samar tentang halatuju Emerged, nama-nama seperti Tragedy, From Ashes Rise, Fall Of Efrafa dan yang sebumbung dengannya adalah antara pengaruh pembentukan muzik Emerged. Awas! Band ini dikhabarkan bakal hadir lagi dengan rilisan susulan, dalam format 7” berjudul “Astray”. Tanpa ada rasa sangsi, anda wajib senaraikan Emerged dalam radar carian anda. Amat disyorkan!!
emergedpunk666.bandcamp.com
facebook.com/emergedfamily
instagram.com/emerged.family
facebook.com/brokennoiserec

Khamis, 7 September 2017

Rebiu | TOTAL SICK – Street Punk Army


TOTAL SICK – Street Punk Army
Independen
“Street Punk Army” merupakan rilisan EP sulung dari band asal Taiping, bergelar Total Sick. Ya, mereka boleh dilihat sebagai kesinambungan legasi Taiping Huru Hara Punks akan tetapi band Total Sick tidaklah sebagaimana Karatz jika itu yang kalian bayangkan. Lagu-lagu tersenarai dalam EP ini adalah Street Punk Army, Dirty Politics, Huru Hara Punks, Bangsat, Lawan Tetap Lawan (unreleased) dan Media Control (cover The Casualties). Dalam CD berdurasi 14:05 minit ini, lagu-lagu Total Sick boleh diumpamakan sebagai satu himpunan antem punk rock yang dikuasai semangat memberontak yang meluap, lantang memperlaungkan ketidakpuasan dan semestinya dalam tempo dan nada penuh kaotik, penuh amarah!. Selain The Casualties, band-band seperti The Varukers, The Exploited dan Total Chaos cukup kuat mempengaruhi nuansa muzik Total Sick, band yang turut mempertaruhkan konsep dua vokalis. Biarpun kualiti bunyi rakaman dalam rilisan ini tidak berada pada tahap yang terbaik, ianya tetap menarik dan dilihat bertepatan dengan terma dan tema “street punk” yang diperjuangkan.
facebook.com/totalsick69

Rebiu | STORY ENDS – Instinct


STORY ENDS – Instinct
Independen
Melodic / Pop punkrock dari Kota Kinabalu, Sabah ini amat mengasyikkan! Saya benar-benar sukakan perisa-perisa kerancakan, kemanisan dan keceriaan yang dicampur-gaulkan dengan sebati oleh Story Ends dalam EP “Instinct” bermuatan 4 buah lagu ini. Tiga lagu pertama; Punk Rock Party, Progresia dan Tonight, Tonight tanpa membuang banyak masa terus mengajak pendengar menyanyi dan menari bersama. Manakala track ke-4 iaitu versi akustika untuk lagu Progresia menyajikan satu kelainan, kreativiti yang berbeza untuk lagu tersebut. Band yang dianggotai Taufek (vokal/gitar), Alter (gitar), Rody (bass) dan Khai (dram) ini diperakui menghiburkan menerusi muzik mereka, tanpa mengetepikan estetika dan etika muzik punk; menghebahkan mesej-mesej positif melalui senikata lagu-lagu mereka. Bagi yang meminati band seperti Blink-182 terutamanya, saya kira tiada masalah untuk menghargai karya-karya berkualiti Story Ends selain nama-nama seperti The Ataris, New Found Glory dan Box Car Racer yang turut disebut-sebut sebagai sumber ilham mereka dalam menulis lagu. Jika kalian menggemari muzik melodik punk / poppunk yang dihasilkan dengan bagus, baik dari segi komposisi muzik mahupun produksi bunyi, segeralah dapatkan CD “Instinct” berdurasi 16:04 minit dari Story Ends ini. Ianya berbaloi dan memuaskan!
facebook.com/storyendsband
storyends.bandcamp.com

Rebiu | BROKENTAPES INCIDENT – EP-1


BROKENTAPES INCIDENT – EP-1
Independen
Sedap! Kalau saya merasa sesebuah rilisan itu menyelerakan dan selesa pada pendengaran, tanpa ragu-ragu saya berkeinginan tinggi untuk kongsi dan syorkan rilisan tersebut kepada anda semua. Secara jujurnya, saya bukanlah pendengar atau pengikut setia muzik grunge. Saya hanya menikmati grunge semasa zaman kegemilangan Nirvana dan beberapa band-band seangkatan dengannya. Sehinggakan saya pernah perform lagu “Smells Like Teen Spirit” bersama band kolej satu ketika dahulu sewaktu masih menuntut di UPM Serdang sekitar awal 90an. Grunge tempatan yang saya ada miliki beberapa buah album pun cuma Butterfingers. Berbalik kepada BrokenTapes Incident ini, apa yang mereka sampaikan adalah di luar daripada jangkaan saya (yang ketinggalan, haha!). Rilisan yang hanya digelar EP-1 ini pada saya tidak lagi terikat pada irama grunge “tradisional” sepertimana sangkaan saya. BrokenTapes Incident dilihat memiliki sesuatu yang jauh lebih segar menerusi rilisan CD berdurasi keseluruhan 19:12 minit ini. Banyak idea-idea progresif dan riff-riff inovatif diperkasakan dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Band yang terdiri daripada Kidd (vokal), Iskandar (gitar utama), Chad (gitar ritma), Epunk (bass) dan G-bam (dram) ini boleh dikatakan bijak dalam membentuk komposisi dan susunan muzik yang baik untuk hasilkan aliran (flow) lagu yang menarik. Melodi yang memang sedap dilayan, bahagian-bahagian bertempo perlahan dan emosional seperti dapat dirasai, silih berganti dengan bahagian-bahagian rancak, keras dan agresif. Jadi, andaikata anda mencari “wadah terkini” muzik Grunge / Modern Rock, saya sarankan kalian mencuba BrokenTapes Incident. Band ini bukanlah baru dalam arena muzik tempatan. Mereka sebenarnya sudah lebih 10 tahun bermain dalam BrokenTapes Incident cuma baru sekarang berpeluang dan berkesempatan merilis usaha pertama mereka, EP berkandungan lima buah lagu ini. Saya berfikiran BrokenTapes Incident dalam tempoh 10 tahun itu lebih banyak mengkaji dan meneliti sebelum berani dan yakin untuk keluar dengan sesuatu yang berbeza, bukan sekadar biasa-biasa atau buat benda yang sama sahaja. Membanggakan!
facebook.com/BrokenTapesIncident

Rebiu | EXPURGATED – All We Hope Is Gone


EXPURGATED – All We Hope Is Gone
GLord Records
“All We Hope Is Gone” pada dasarnya tiada beza dari segi kandungan / turutan lagu samada pada format kaset ataupun versi CD. Cuma skim warna pada sampul kaset berwarna hijau manakala kotak CD pula merah. Sembilan buah lagu disediakan Expurgated dalam rilisan EP berdurasi hampir 19 minit ini; 1. Intro/Funeral Of Earth, 2. Man O War feat. Amad (Memorial), 3. Grip Of Death, 4. Collapsed, 5. Hass Einfallen, 6. False God, 7. Dying Soul (Demo 2015), 8. All We Hope Is Gone, dan 9. Genocide. Ganas dan buas! – inilah interpretasi awal saya ketika pertama kali memutar dan mendengar “All We Hope Is Gone”. Grindviolence ditafsirkan sebagai definasi tepat galasan Expurgated, ya saya bersetuju merujuk kepada kombinasi Grindcore / Fast Hardcore dan Powerviolence yang cukup mampat dalam muzik band ini. Struktur muzik Expurgated cukup-cukup berat dan padat. Berkepelbagaian olahan dan susunannya; merangkumi riff-riff laju menggerudi, diselangi kocokan-kocokan menghenjut dan adakalanya agak doomy / gloomy seiring bait-bait lirik yang dilontar keras dan penuh perasaan. Dengan tahap permainan yang begitu kemas dan ketat, lagu-lagu Expurgated secara langsung akan mengheret pendengar (atau penonton di persembahan live) berlari-lari liar, melompat dan head-banging seiring gelombang bingit bikinan mereka. Ditunjangi Epul (bass/vokal), Mirul (vokal), Apiq (dram) dan Pojie (gitar), ini band yang tidak boleh dipandang enteng kebolehan mereka. Potensi mereka begitu besar. Seorang rakan pernah memberitahu saya bahawa Expurgated adalah jawaban Malaysia kepada Full Of Hell. Saya tidak tahu, kerana sejujurnya saya tidak pernah mendengar lagu-lagu Full Of Hell, haha! Yang saya tahu, Expurgated itu sendiri seakan sudah ada “magik” tersendiri untuk memukau saya terus menikmati rilisan “All We Hope Is Gone” EP ini berulang-kali. Ianya ibarat gempa yang amat dahsyat!
facebook.com/ExpurgatedOfficial-788524647891364
facebook.com/glordrecords

Rebiu | M.C.B – Terrör Drönes


M.C.B – Terrör Drönes
Independen
Ini contoh sebuah band yang ada semangat tinggi, keinginan dan kesungguhan untuk menjadi lebih bagus serta lebih ke hadapan. “Terrör Drönes” menutup hampir kesemua kekurangan mereka dalam Promo 2016 terdahulu. Kali ini, sound yang jelas lebih besar, malah lebih tebal. Kemasukan pemain bass dalam line-up di mana kini dianggotai Achmad (gitar), Ben (vokal), Bondi (bass) dan Ritchie (dram) telah memberi impak yang cukup baik kepada M.C.B, menjadikan Crust Punk / Grind mainan band ini kedengaran lebih kuat dan menyerlah! Vokal ala-ala Max (old Sepultura) yang cuba diseragamkan dengan nuansa muzik M.C.B juga boleh dikatakan menjadi! “Terrör Drönes” memuatkan 11 buah lagu (durasi keseluruhan 18:25 minit) dan didapati beberapa lagu (dalam 2 atau 3 buah lagu) kedengaran totally D-Beat Raw Punk. Beberapa lagu terpilih dari Promo CD terdahulu turut dirakam semula dalam usaha memantapkan lagi kualiti dan disesuaikan dengan pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan oleh band berpengkalan di Kuching, Sarawak ini. Rilisan ini sebenarnya adalah versi CD unofficial, dikeluarkan dalam kuantiti terhad untuk rakan-rakan rapat M.C.B, editor zine dan record label. “Terrör Drönes” akan dirilis secara rasmi dalam format Pro-Tape oleh Green Peace Distro pada waktu terdekat ini (dijadualkan selepas musim raya aidilfitri). Nantikannya, ia pasti menarik!
facebook.com/mcbcrust

Rebiu | NO SECURITY – Live at Libertad Fest Jakarta


NO SECURITY – Live at Libertad Fest Jakarta
BBPP Records
CD Audio ini adalah hasil rakaman langsung penampilan / persembahan live No Security di acara Libertad Fest Jakarta, 17-19 Januari 2017. Terdapat 9 buah lagu diselitkan dalam rilisan DIY ini berdurasi keseluruhan 17:21 minit. CD ini didahului dengan lagu Ace Of Spades, lagu cover band Motörhead. Enam lagu seterusnya adalah lagu-lagu original No Security: Pechah, Life, Hipokrit, Claim Yourself, Sympathy dan Drunk & Destroy. Dua lagu penutup juga cover iaitu Misery (Bastard cover) dan Awas Polisi (Krass Kepala cover, menampilkan Ama). Meskipun agak minimalis buatan CD ni, bagi aku ianya masih penting kepada No Security itu sendiri sebagai arkib atau dokumentasi perjalanan band mereka. CD ini bukti kukuh mereka turut pernah terlibat dalam Libertad Fest dan sudah tentu ini koleksi / simpanan bermakna buat penyokong-penyokong muzik No Security. Pada aku, CD ni layan beb. Natural sound yang bikin terasa aura live-nya. Korang tak dapat join Libertad Fest kan? Korang masih boleh sama-sama mabok dengan No Security menerusi CD ni. Akhir kata, mambang mabok minom brendi, haha! Sempoi!

Rebiu | PELIGROSOS – Brainwash


PELIGROSOS – Brainwash
Nervhous Records
Peligrosos mendefinasikan muzik bawaan mereka sebagai Thrash Metal Punk. Band yang ditubuhkan pada tahun 2009 di daerah Tawau, Sabah ini mendapat inspirasi dari Dum Dum Tak, Gerodok serta Armados selain dipengaruhi The Casualties, Bunga Hitam, Marjinal, Sarjan Hassan, Municiple Waste, Anthrax dan banyak lagi dalam pembentukan senimuzik ciptaan mereka. Sekitar penghujung April 2017 baru lalu, Peligrosos yang terdiri daripada Sepul (vokal / gitar), Ayen (gitar utama), Acap (bass) dan Keong (dram) telah mengeluarkan “Brainwash” Cassette-EP menerusi kerjasama Nervhous Records, menyenaraikan 4 buah lagu; Korupsi, Political Assault, Media So Sial!!! dan Demokrasi Pagar Besi. Selain daripada inisiatif yang baik dalam mengolah komposisi lagu-lagu mereka (merangkumi gubahan riff dan melodi), Peligrosos diperakui mempunyai keupayaan mengujudkan keseimbangan antara genera Hardcore Punk dan Thrash Metal. Lagu-lagu band ini dimainkan laju dan agresif pada kebanyakan tempat, catchy dan bermelodik pada masa-masa tertentu. Bahagian solo gitarnya begitu menyengat! Sesetengah pendapat mungkin meletakkan Peligrosos di bawah kategori Crossover di mana saya tiada masalah untuk bersetuju dengan tafsiran tersebut. Di sudut penulisan dan penyampaian lirik, Peligrosos agak garang dan lantang mempersoalkan sistem politik, media dan penyakit sosial. Vokal Sepul kedengaran memiliki tona yang tersendiri, agak unik pada pendengaran dan boleh dikatakan menepati unsur “crossover” dalam keseluruhan muzik Peligrosos itu sendiri. “Brainwash” telah dirakam di studio Setanggi Setang Records, Lahad Datu pada 5 Disember 2016 (di bawah kendalian saudara Munir). Produksi bunyi yang berada pada tahap agak baik, cuma masih ada ruang yang mungkin perlu diperbaiki kualitinya (pada masa akan datang) agar dapat menyerlahkan lagi kekuatan muzik Peligrosos. Secara keseluruhan, elemen kreativiti yang menarik dihasilkan Peligrosos adalah satu alasan kukuh untuk kalian tidak mengabaikan rilisan EP ini. Ini band yang ada di dalamnya potensi dan kewibawaan.