Rabu, 24 Mei 2017

Rebiu | BRAWK – Never Join The Army


BRAWK – Never Join The Army
Independen
Brawk telah pun meriliskan Demo 2017 mereka berjudul “Never Join The Army” pada akhir Mac lalu. CD dicetak profesional ini memuatkan 5 buah lagu, termasuklah saduran We Got The Beat lagu asal The Go-Go's. Promosi awal rilisan ini bermula sekitar Februari di mana Brawk melancarkan video lirik Friends By My Side, lagu pertama dalam demo ini [rujuk: youtu.be/QkCwgnoU5zI]. Band yang pada dasarnya berpaksikan Punk Rock / Crossover ini ditubuhkan oleh Asy (bekas vokalis The Splatters) dan disertai beberapa orang lama dalam scene; Roi (gitar), Man (bass) dan Emri (dram). Selain daripada semangat The Splatters diserap ke dalam jiwa Brawk, “Never Join The Army” cukup bijak mengambil inspirasi British Punk era 70an/80an, diadun bersama rentak Rock & Roll yang rancak menghiburkan serta diselit eksperimentasi bunyian metal dan free-jazz bagi menjelmakan udara segar dalam muzik mereka. Penglibatan pemuzik-pemuzik berpengalaman dari band, genre dan pengaruh yang berbeza dilihat sebagai satu kelebihan dan lebih banyak pilihan kepada Brawk dalam membentuk nuansa muzik gubahan band ini. Tiada sebarang komen untuk kualiti bunyi kerana ia memang pada tahap yang begitu baik. Ini rilisan demo yang dibikin mengikut piawaian album. Bayangkanlah, gigitan-gigitan solo gitar kedengaran cukup menyengat manakala petikan bass seakan melantun-lantun di gegendang telinga. Apa yang dapat disimpulkan, kesemua 5 lagu dalam Demo CD berdurasi keseluruhan hampir 15 minit ini tidak dicipta dan dirakam untuk kalian sekadar mendengar sahaja, ianya untuk kita turut serta riang gembira meraikannya; menyanyi dan berdansa bersama mereka. Brawk benar-benar rawk!! Rebiu ini diakhiri dengan kata-kata keramat: United we stand! We shall not be divided.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan