Ahad, 12 November 2017

Rebiu | CHILD MEADOW / PIRI REIS – Split


CHILD MEADOW / PIRI REIS – Split
GLord Records
Ini merupakan rilisan ketiga dalam format cassette tape oleh label produktif GLord Records, sebuah kaset split mempertemukan Child Meadow (Perancis) dan Piri Reis (Malaysia) di mana masing-masing menyumbangkan 3 buah lagu. Child Meadow berasal dari Toulon, sebuah bandar pelabuhan di selatan negara Perancis. Terdiri daripada Pierre (dram/vokal) dan Clement (gitar/bass/vokal), duo ini mempersembahkan irama hardcore/punk sound 90an yang menarik juga garapannya; ada kalanya bergerak rancak, ada masanya bermelodi manis, pembawaannya penuh perasaan. Tiga lagu dari Child Meadow; 1. Dans Vos Veines, 2. Batrovci, dan 3. Somehow We Got Lucky (Appletop cover) berdurasi 9:30 minit keseluruhannya. Untuk split ini saya lebih jatuh cinta kepada bahagian dari Piri Reis. Bukan kerana mereka band tempatan, tetapi sememangnya sentuhan muzik band berpengkalan di Shah Alam, Selangor ini cukup bertenaga dan berkualiti. Durasi 3 track dari mereka sangat singkat, keseluruhannya cuma 5:19 minit – 1. I Like It Quiet In The Morning, 2. Petit A Petit, L' Diseau Fait Son Nid, dan 3. Lost Before Nakano Shimbashi. Dibarisi oleh Nurul Amira (voka), Muhammad Farhan (gitar), Azwari Zainal (gitar), Jaka Abdullah Hashim (bass) dan Muhammad Fakhri (dram), Piri Reis meledak pantas menerusi muzik Screamo / Emoviolence ciptaan mereka. Jeritan pekikan vokal wanitanya sangat menghentam, penuh dengan permainan emosi. Ia meletakkan kesempurnaan kepada kualiti komposisi muzik yang menakjubkan; struktur dan susunan yang seimbang di antara riff-riff kencang menerajang serta melodi seakan murung dan merintih. Marah dan gundah disatukan dengan teliti dalam setiap lagu –menghasilkan screamo / emoviolence yang mengesankan! Split ini berbaloi untuk kalian miliki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan